Sunday, May 17, 2009

Tiada lagi budaya suapan projek di Selangor

Tiada lagi budaya suapan projek di Selangor
Zuharman MN
Sun | May 17, 09 | 7:27:09 pm MYT

KETEREH, 17 Mei (Hrkh) - Kerajaan Selangor mendedahkan ada pihak mengadu sukar melaksanakan projek di negeri terbabit kerana tidak ada budaya suapan sejak diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.

Anggota Exco, Elizabeth Wong berkata, ketelusan yang diamalkan menyebabkan budaya suapan yang berleluasa di bawah kerajaan terdahulu tidak lagi berlaku sekarang.

Katanya, budaya suapan tidak berlaku kerana pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menggunakan wang rakyat untuk tujuan peribadi seperti makan angin ke Disneyland atau jumpa Mickey Mouse dan Donald Duck.

"Tapi wang rakyat digunakan untuk rakyat. Contohnya kerajaan negeri mengadakan skim Takaful untuk warga emas seperti dilaksanakan di Kelantan.

"Kerajaan Selangor juga akan menubuh tabung khas bayi baru lahir. Dan apabila usianya meningkat 18 tahun mereka boleh keluarkan tidak kurang dari RM1,500," katanya pada ceramah di Taman Puspa, Kok Lanas, malam semalam.

Oleh itu Elizabeth mendedahkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor banyak menerima tekanan pelbagai pihak termasuk Umno dan golongan kapitalis sejak memerintah negeri terbabit.Image

Bagaimanapun katanya, tekanan itu tidak mematahkan semangat kerajaan yang sentiasa menyedari mendapat sokongan padu rakyat.

"Kita tidak takut kepada sebarang tekanan. Kita dipilih oleh rakyat. Maka amanah rakyat menjadi kewajipan kita. Tidak ada sebab untuk takutkan kepada tekanan," jelasnya.

Menurutnya juga keseluruhan rakyat Selangor menerima baik kerajaan sekarang kerana banyak membawa pembaharuan kepada kestabilan tanpa mengira kaum.

Pada ceramah itu beliau melahirkan rasa terharu di atas nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika beliau berdepan dengan peristiwa mengaibkan peribadinya sebelum ini.
Image "Nasihat Tuan Guru membuatkan saya merasa tenang menghadapi segala dugaan dan cabaran. Tuan Guru adalah the best and the great.

"Saya akan ingatkan nasihat Tuan Guru selama-lamanya. Benar kata Tuan Guru, sabar itu separuh daripada iman. Saya terima hakikat itu dengan penuh keyakinan," ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua PAS Ketereh, Senator Dato' Ahmad Rusli Ibrahim dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw. - mj

Tidak wajar tuduhan tanpa bukti disebarkan - Nik Aziz

Tidak wajar tuduhan tanpa bukti disebarkan - Nik Aziz
Salmah Mat Husain
Sun | May 17, 09 | 6:59:13 pm MYT

KOTA BHARU, 17 Mei (Hrkh) - Perwakilan PAS diharap tidak berkompromi dengan calon-calon yang dikatakan mengamalkan 'politik wang' pada pemilihan sempena muktamar PAS pada bulan depan.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita sekiranya benar ada pemimpin PAS yang cuba menyogok wang bagi mendapat kedudukan dalam parti.

"Sewajarnya orang sedemikian ditolak perwakilan bagi memastikan ia tidak wujud dalam PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

"Orang berpeluang menuduh kita sekiranya kita membiarkan diri melakukan sesuatu yang bercanggah," katanya selepas meraikan bakal pendaki Gunung Everest, di pejabatnya hari ini.

Baru-baru ini Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud mendakwa ada calon yang akan bertanding pada muktamar PAS bulan depan difahamkan memberi saguhati kepada perwakilan.

Ketika ditanya berhubung tindakan yang perlu diambil sekiranya ada calon yang bakal bertanding turut mengamalkan politik wang beliau berkata, calon seperti itu hendaklah ditolak.

"Sebagaimana saya sering sebut sebelum ini 'beri gula kacau, beri kain pakai, beri lembu sembelih, tetapi bila mengundi pangkah calon PAS' hendaklah terus dipraktikkan.

"Duit yang dia bagi kita ambil, tetapi jangan undi dia, akhirnya dia akan perit setelah dia berasa dia bodoh dan tertipu," ujarnya.

Oleh itu beliau menasihatkan perwakilan PAS tidak membiarkan gejala seperti yang menimpa Umno sekarang menjangkiti PAS.

Beliau juga bersetuju tindakan perlu diambil terhadap orang yang membuat tuduhan tanpa dapat mengemukakan bukti yang kukuh.

Menurutnya setiap dakwaan mesti ada fakta kerana tuduhan tanpa bukti ia akan menggelirukan masyarakat.

"Seharusnya perkara seperti itu tidak didedahkan kepada masyarakat, sebaliknya masih ada lagi jalan untuk diselesaikan sekiranya ia benar-benar berlaku.

"Dalam Islam sendiri tidak dibenarkan penganutnya menyebarkan benda yang tak baik kepada masyarakat, kalau ia sekadar berupa teguran tidak mengapa kerana tuduhan dan teguran dua perkara yang berbeza," ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila Presiden PAS, Dato� Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding biar pun sebelum ini media sering membuat spekulasi jawatan itu akan ditandingi.

Kata beliau biar pun media sering memperbesarkan isu pengganti presiden, namun sebagai sebuah gerakan Islam pemimpin yang berkemampuan wajar dikekalkan.

"Selagi beliau masih sihat, Insya-Allah amat wajar Ustaz Hadi terus menerajui kepimpinan parti. Ini ketokohan beliau diakui di seluruh dunia apabila sering dijemput hadir menyampaikan ucapan.

"Sememangnya payah hendak dicari pemimpin macam itu. Kalau ada yang silap sedikit sebanyak, kita pakat tegur. Saya pun begitu juga, ada salah boleh tegur, saya sangat suka orang tegur saya, tetapi teguran biarlah berfakta," katanya.

Beliau juga memberitahu ada PAS kawasan mencalonkannya bertanding jawatan presiden, namun beliau menolak cadangan itu.

Katanya beliau sudah serik dengan pengalaman ketika menandingi jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS pada tahun 1960-an iaitu menentang Haji Husin Rahimi.

"Saya terkilan sampai ke hari ini kenapa melawannya pada waktu itu. Sebab itulah sampai sekarang saya telah serik untuk bertanding merebut apa-apa jawatan," ujarnya. - mj

Segalanya 2 di Perak, 1 halal dan 1 haram - Sivakumar

Segalanya 2 di Perak, 1 halal dan 1 haram - Sivakumar
Lanjusoh | Rizal Tahir
Sun | May 17, 09 | 5:17:06 pm MYT

KOTA BHARU, 17 Mei (Hrkh) - Aneh lagi luar biasa. Mungkin juga boleh menjadi tarikan pelancong. Ini kerana segalanya ada dua di Perak sekarang. Bermula dua kerajaan, dua Menteri Besar dan dua Speaker.

Selain itu ada dua setiausaha kerajaan negeri dan dua setiausaha Dewan Undangan Negeri (Dun). Namun harus diingatkan satu daripadanya haram dan satu lagi halal.

Speaker Dun Perak, V Sivakumar berkata, semua perkara yang tidak berlaku di negara-negara lain ada di Perak sekarang.

"Ketika saya masih lagi speaker yang sah, Adun Barisan Nasional melantik pula speaker baru. Speaker tersebut diibaratkan duri dalam daging.

"Apa yang lebih menggelirukan lagi apabila setiausaha kerajaan negeri pula cuba bertindak bagi pihak speaker dengan melarang media yang tidak pro Umno membuat liputan pada persidangan Dun 7 Mei lalu.

"Sedangkan kuasa bagi menentukan seseorang boleh atau tidak masuk dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker," katanya pada ceramah menjelaskan isu terbaru di Perak di Putik malam tadi.Image

Ceramah itu mempertemukan dua Speaker iaitu Sivakumar dan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud di satu pentas. Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya apa yang berlaku pada 7 Mei lalu adalah satu penghinaan terhadapnya kerana yang menentukan segala urusan dalam dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker.

Begitu juga katanya bagi menentukan kedudukan ahli Dewan sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang ditentukan speaker.

Katanya pada peringkat awal persidangan 7 Mei lalu beliau mengarah Penasihat Undang-Undang Negeri supaya duduk di bahagian kerajaan (kanan).

"Namun selepas dua kali diarah pindah pegawai terbabit tidak mengendahkan menyebabkan saya menyebut kepadanya kalau tidak mahu ikut speaker boleh keluar dewan.

"Saya dari awal lagi sudah menjangka satu konspirasi dilakukan kerana ada pakatan di kalangan pegawai kerajaan dan Adun BN supaya tidak mengikut arahan Speaker," katanya.

Menurutnya beliau juga mengarahkan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya yang dilantik serta tiga wakil rakyat Bebas keluar dewan bagi membolehkan persidangan dimulakan.

Bagaimanapun katanya, keputusan beliau sebagai Speaker tidak diendahkan sehingga Timbalan Speaker, Hee Yit Foong cuba mengambil alih tugasnya.

"Saya hairan dia menggunakan kuasa mana mengambil alih tugas Speaker. Sedangkan mengikut Perintah Tetap Dewan selagi Speaker ada di kerusinya timbalan speaker tidak ada kuasa," katanya.

Beliau juga berkata, Umno gagal menggugurnya sebagai speaker memandangkan beliau tetap mempertahankan kerusi sejak bermula persidangan jam 8.45 pagi hingga 2 petang tanpa keluar minum atau ke bilik air. Image Bagaimanapun tambahnya, Umno menggunakan kekerasan dengan bantuan anggota polis mengusungnya keluar dan mengurung dalam bilik pegawal selama lebih sejam.

Oleh itu katanya, perjumpaan anggota dewan hari itu tidak boleh dikatakan sebagai persidangan biasa kerana ia tidak menepati peraturan dewan.

Nusuruddin pula mencadangkan kerusi Speaker di Perak menggunakan tali pinggang keledar pada masa akan datang bagi mengelakkan ada lagi orang yang mengusung keluar Speaker.

Beliau juga berkata, Perkara 4 Peraturan Tetap Dewan menyebut Speaker berkuasa penuh bagi menentukan perjalanan mesyuarat anggota dewan.

Katanya, jawatan seseorang speaker hanya boleh gugur apabila dia berhenti secara sukarela atau meletak jawatan sebagai Adun.

Selain itu apabila bermula persidangan penggal baru selepas pilihan raya dan speaker juga boleh dijatuhkan melalui usul tidak percaya. - mj

Isu Altantuya Najib PM baru takut ke luar negara

Isu Altantuya Najib PM baru takut ke luar negara
Saidah Hairan
Sun | May 17, 09 | 1:30:52 pm MYT

SHAH ALAM, 17 Mei (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyelar sikap Dato' Seri Najib Tun Razak yang sudah menjadi Perdana Menteri selama dua bulan tetapi tidak berani membuat lawatan ke luar negara kecuali Manado, Sulawesi dan Thailand.

Menurut beliau, sudah menjadi amalan Perdana Menteri sebelum ini selepas mengambil alih pentadbiran langkah pertama dilakukan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan di luar negara.

Bagaimana pun katanya, perkara itu tidak berlaku terhadap Najib kerana beliau berasa takut disebabkan isu berkaitan dengan dirinya (kes pembunuhan Altantuya) sudah didedahkan dalam 11 akhbar antarabangsa.

Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana meraikan petugas negeri Selangor di Stadium Melawati, Shah Alam. Turut berceramah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali.

Mengulas laporan akhbar terhadap Najib katanya, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang telah memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

Katanya, akhbar tersebut secara terang-terangan menyiarkan gambar Dato' Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al- Qaeda, dan sedang di tahan di Guantanamo Bay.

Menurut beliau, Daily Mirror telah mengakui kesilapan di atas laporan palsu tersebut dan telah menyiarkan permohonan maaf tersebut di akhbar dan web mereka.

"Tetapi perkara ini tidak dilakukan oleh Najib, kenapa Najib tidak saman akhbar tersebut. Kalau Presiden boleh saman satu akhbar, Najib ada 11 akhbar kalau menang banyak dapat...," katanya disambut sorakan hadirin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok tidak sabar menanti tarikh 15 Jun bermulanya sidang Dewan Rakyat kerana Nizar akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Bukit Gantang.

"Saya mendapat maklumat pihak Parlimen sukar untuk meletakkan tempat duduk Nizar. Sebab Nizar bukan saja Ahli Parlimen tetapi beliau juga Menteri Besar."

"Paling seronok saya hendak melihat Ahli Parlimen Kepala Batas, dulu tempat duduk Perdana Menteri sekarang jadi seperti saya Ahli Parlimen," katanya.

Petugas PAS diajak berkampung di Penanti

Petugas PAS diajak berkampung di Penanti
Mohd Sabri Said
Sun | May 17, 09 | 10:48:10 am MYT

PERMATANG PAUH, 17 Mei (Hrkh) -Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menyeru semua jentera PAS seluruh negara berkampung di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti untuk membantu calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman selepas hari penamaan calon pada 23 Mei ini.

Beliau ketika berceramah bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kampung Pak Elong semalam menambah, semangat juang yang tinggi amat penting diterjemahkan oleh semua gabungan parti dalam Pakatan Rakyat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat tidak mustahil boleh jadi pemerintah lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

BN diamanahkan memerintah Malaysia selama 50 tahun lebih nyata bukan membawa kecemerlangan bahkan memeritkan rakyat dengan berbagai kenaikan yang tidak sewajarnya.

"Datanglah beramai-ramai ke Dun Penanti untuk memberikan tenaga dan buah fikiran untuk memastikan calon Pakatan Rakyat berjaya di situ. Kejayaanya kelak bukan kejayaan KeADILan sahaja malahan PAS dan DAP, " tambahnya.

PAS dengan bantuan PAS Pulau Pinang akan memberitahu di mana lokasi negeri-negeri akan ditempatkan bersama jentera KeADILan termasuk DAP.

Tambahnya, setelah bersama melaksanakan tugasan yang diberikan semua gabungan Pakatan Rakyat akan merancang strateji bagaimana untuk menjatuhkan pengaruh BN yang telah hampir punah.

BN dan Umno sebenarnya kata Dr Hatta, berada di garisan penamat untuk terjun ke lautan dalam maka menjadi tugas Pakatan Rakyat menolak parti itu bersama rakyat yang sudah muak dengan telatah mereka.

"Pilihan raya kecil Penanti merupakan satu lagi peluang untuk menolak Umno maka laksanakan tugas dengan sempurna tanpa ada perasaan tidak puas hati. Yang penting Umno kalah dan terus menderita, " tegasnya lagi. - mks.

Soal ketelusan badan kehakiman, Mahfuz sanggah Khairy

Soal ketelusan badan kehakiman, Mahfuz sanggah Khairy
Irwan Muhammad Zain
Sun | May 17, 09 | 10:40:44 am MYT

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung ketelusan badan kehakiman negara.

Mahfuz menegaskan kepada Harakahdaily, menjadi amalan biasa bagi orang yang melakukan kesalahan untuk menafikan apa yang berlaku.

Khairy juga, tegas Mahfuz, menafikan apa saja yang tidak kena dengan Umno termasuk menafikan beliau disiasat lembaga displin Umno sebelum pemilihan parti itu Mac lalu.

"Buktikan apa saja kepada Khairy, beliau akan nafikan termasuk menafikan disiasat lembaga displin Umno sebelum pemilihan Umno Mac lepas.

"Perkara ini bukan perkara baru dan sudah menjadi tradisi bagi pihak yang melakukan kesalahan untuk menafikan segala bentuk kecaman terhadap mereka," tegas Mahfuz.

Beliau tetap mengatakan kenyataan yang dibuatnya berhubung keputusan mahkamah berhubung isu di Perak mempunyai asas kerana Ketua Hakim Negara merupakan ahli Umno dan pernah memegang jawatan dalam parti tersebut.

Mahfuz menegaskan kerana adanya individu seperti Tan Sri Zaki Tun Azmi maka tidak mustahil Umno akan menggunakan ejen-ejen mereka dalam badan kehakiman untuk membuat keputusan yang berpihak kepada mereka.

Sehubungan dengan itu, beliau mencabar Khairy untuk berdebat secara terbuka isu ketelusan institusi kehakiman tidak kira di mana-mana tempat.

Sebelum ini Khairy dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam sebuah akhbar pada 15 Mei lalu berkata tidak ada 'tangan-tangan ghaib' yang mencampuri urusan Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan terhadap kemelut politik di Perak.

Sebaliknya beliau berkata, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar yang membuat dakwaan tidak berasas dalam isu tersebut. - mks.

Iktibar daripada cerita Presiden Obama

Iktibar daripada cerita Presiden Obama
A Kadir Jasin
Sun | May 17, 09 | 9:49:09 am MYT

SEBUAH universiti di Amerika memutuskan tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Presiden Barack Obama kerana dia belum cukup berjasa dan terbukti prestasinya.

Di Malaysia, universiti berlumba-lumba memberi ijazah kehormat kepada menteri, bekas menteri dan isteri menteri.

Tidak mengapa kalau isteri menteri atau isteri bekas menteri itu tidak jelas atau belum terbukti jasa, kepakaran dan kecemerlangannya. Yang penting dia isteri menteri.

Maaf cakaplah. Macam sesetengah gelaran diraja, gelaran kehormat universiti pun, kata orang putih, sudah jadi "a dime a dozen" atau dalam loghat Kedah, sedozen sekupang.

Di sesetengah negeri, gelaran diraja (termasuk oleh Gabenor) sudah jadi macam lawak. Budak 20-an tahun pun boleh dapat asalkan bapanya jutawan yang pemurah dengan "derma" dan "sedekah".

Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, ada pengarang media massa yang dapat lima atau enam gelaran Datuk daripada negeri dan wilayah. Tak cukup dengan gelaran Datuk, diberikan pula gelaran Datuk Seri.

Khabarnya, di sebuah organisasi media arus perdana, pengurusan baru telah mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan yang ditawarkan anugerah diraja melaporkan terlebih dahulu kepada pengurusan.

Saya terbaca sebuah berita dari bandar Tempe di Negeri Arizona, Amerika Syarikat di mana Arizona State University tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Obama kerana pencapaiannya setakat ini belum melayakkannya menerima anugerah itu.

Dengan berseloroh, Obama berkata bukan pihak universiti itu sahaja yang berpendapat beliau perlu menunjukkan lebih banyak kejayaan malah isterinya sendiri, Michelle, juga berpendapat demikian.

Obama berkata begitu ketika menjadi tetamu kehormat di majlis konvokesyen universiti berkenan. Adalah tradisi universiti di Amerika menganugerahkan ijazah kehormat kepada tetamu khas majlis konvokesyen.

Sebaliknya pihak universiti itu menamakan salah satu skim biasiswanya mengikut nama Obama.

Dengan berseloroh, Obama berkata: "Saya datang ke sini bukanlah untuk mempertikai cakap-cakap bahawa pencapaian saya belum memadai. Buat permulaan, Michelle setuju dengan penilaian ini. Dia mempunyai senarai panjang mengenai apa yang belum saya laksanakan, yang menanti saya di rumah."

Kalau di Malaysia, sang isteri akan mengatakan suaminya layak dianugerahkan itu dan ini walaupun sang suami baru sehari menjadi menteri atau menjawat jawatan tinggi.

Kita suka orang luar kata kita sederhana atau "modest". Tetapi ramai orang kita sebenarnya amat suka menunjuk-nunjuk dan gila pangkat.

Mereka tidak begitu peduli pandangan masyarakat terhadap mereka. Akibatnya mereka sangat serius mencari anugerah, pangkat dan gelaran, tetapi mereka tidak berkelakuan seperti orang ternama.

Maka berlakulah situasi di mana budak "kanyir" dan jutawan segera yang entah apa sumbangannya kepada masyarakat dan negara diberikan pelbagai gelaran dan anugerah, termasuk gelaran diraja.

Tidak hairan jugalah kalau begitu ramai penyandang anugerah diraja yang terbabit atau dikaitkan dengan akhlak buruk, skandal dan jenayah.

Ada negeri dan wilayah tertentu di bumi Malaysia ini yang menjadikan penawaran anugerah sebagai cara mencari pengaruh politik dan sumbangan kewangan.

Harap-harap institusi pengajian tinggi kita mengambil iktibar daripada tindakan Arizona State University dengan tidak sewenang-wenang memberi ijazah kehormat kepada sebarang Ali, Ah Kau dan Muthu. - kadirjasin.blogspot.com.

Isu Perak: Husam jumpa pimpinan BN

Isu Perak: Husam jumpa pimpinan BN
Harakahdaily
Sun | May 17, 09 | 5:59:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) -Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan parti komponen BN untuk menasihatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Husam berkata, pertemuan itu atas kapasiti peribadi, bukan atas parti.

"Dalam (mesyuarat) lajnah politik, kita sudah bersetuju, kita boleh konteks semua orang secara peribadi bukan atas dasar kapasiti parti.

"Tapi kalau dia nak datang atas kapasiti parti, kena dapat mandat parti dialah," katanya dalam satu sidang media di pejabat Harakah semalam.

"Kita mesti bersama untuk menubuhkan satu barisan untuk mendesak pembubaran DUN Perak," katanya.

Kemelut politik di Perak yang berlanjutan sejak Februari lalu, telah mendapat reaksi daripada beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional antaranya dari MCA dan Gerakan yang mahukan DUN Perak dibubarkan.

Tengku Razaleigh adalah antara pemimpin Umno yang mahukan pembubaran DUN Perak untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

Lajnah Politik PAS, tambah Husam, bersetuju diadakan usaha menyatukan semua pihak yang mahukan pembubaran DUN Perak sebagai jalan penyelesaian kemelut politik di negeri tersebut.

Ditanya sama ada pemimpin Pakatan Rakyat yang lain telah dimaklumkan mengenai hasrat tersebut, Husam berkata:

"Pemimpin Pakatan telah dimaklumkan. Tetapi masa perundingan itu berlaku, saya terpaksa pulang tergesa-gesa ke Kota Bharu, saya belum tahu apa maklumat dalam perbincangan tersebut.

"Tetapi saya rasa pada umumnya ia tidak ada halangan," katanya.

Selain bekas presiden parti Semangat 46 itu, tambah Husam, beliau juga akan bertemu dengan Timbalan MCA, Dr Chua Soi Lek, dan pemimpin Gerakan yang turut mendesak agar DUN Perak dibubarkan. - mks.

Hadapi pembubaran Dun Perak, Petugas PAS diarah bersedia

Hadapi pembubaran Dun Perak, Petugas PAS diarah bersedia
Hashim Abdullah
Sun | May 17, 09 | 8:30:41 am MYT

TEMERLOH, 17 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengarahkan Petugas PAS di negeri ini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dun Perak yang berkemungkinan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

Arahan diberikan Tuan Ibrahim dalam program penerangan PAS Temerloh, di Markas PAS Cempaka, dekat sini, baru-baru ini.

Tuan Ibrahim amat bimbang dengan situasi yang berlaku di Perak yang memerlukan semua pihak dalam parti bersiap sedia untuk diarahkan pada bila-bila masa.

"Petugas PAS perlu bersedia untuk diarahkan pada bila-bila masa. Pilihanraya kecil Dun Perak kali ini jika ada adalah pilihan raya kecil berbeza dari sebelumnya kerana ia dijangka melibatkan pembubaran DUN Perak.

"Keperluan persiapan petugas lebih besar dari sebelumnya. Saya harapkan setiap ahli melakukan pengorbanan yang termampu. Bila masa untuk kita diminta bertugas kita segera berangkat,"katanya. - mks.

Ustaz Hadi kekal Presiden!

Ustaz Hadi kekal Presiden!
Irwan Muhammad Zain
Sat | May 16, 09 | 7:48:45 am MYT

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden PAS bila tiada calon yang mencabar beliau untuk jawatan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali menegaskan hanya satu kawasan yang mencalonkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menentang Hadi sebagai Presiden dalam pemilihan parti Jun nanti.

Setiap calon, tegas Mustafa, perlu mendapat dua pencalonan bagi melayakkan diri bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan.

"Bila tarikh pencalonan ditutup 8 Mei lalu, hanya PAS kawasan Bukit Bintang mencalonkan Nik Aziz untuk bertanding jawatan Presiden.

"Lain-lain kawasan tetap mencalonkan Hadi dan kerana itu beliau yang telah menyatakan persetujuan untuk mengekalkan jawatan menang tanpa bertanding," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Menurut Mustafa, sehingga tarikh tutup menghantar pencalonan sebanyak 137 kawasan daripada 176 kawasan telah menyerahkan senarai pencalonan mereka.

Baki 39 kawasan yang lain gagal menghantar senarai pencalonan mereka atau gagal mengadakan mesyuarat agung sebelum tarikh tutup pencalonan yang telah ditetapkan.

Seramai 125 calon layak bertanding jawatan-jawatan utama dalam parti.

Setiap calon perlu mendapatkan dua pencalonan bagi melayakkan diri untuk bertanding.

Calon-calon yang layak juga telah dihantar surat menyatakan jumlah pencalonan diterima dan perlu menjawab surat tersebut sama ada akan bertanding atau menarik diri.

Tarikh tutup membalas surat tersebut pada 25 Mei nanti.

Mustafa juga menjelaskan calon-calon yang menarik diri selepas bersetuju untuk bertanding, nama mereka akan tetap dicetak dikertas undi.

"Jumlah pencalonan kali ini merupakan terbanyak berbanding pemilihan yang diadakan sebelum ini," jelas beliau.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap sebanyak dua calon layak bertanding manakala Timbalan Pengerusi Tetap enam calon layak bertanding.

Ustaz Abu Kassim Abdullah dan Hussain Ismail merupakan calon yang layak bertanding jawatan Pengerusi tetap.

Hussain turut dicalonkan untuk jawatan timbalan pengerusi tetap bersama Ishak Surin, Misbahul Munir Masduki, Nasuruddin Daud, Tengku Puji Tengku Hamid dan Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah.

"Bagi kedua-dua jawatan ini hanya seorang bakal terpilih bila perwakilan membuat undian nanti," jelas Mustafa.

Lima orang dicalonkan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Empat calon lain untuk jawatan timbalan presiden terdiri daripada Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Dato' Dr Haron Din.

Husam, Mohamad Sabu, Nasharuddin dan Azizan turut menerima pencalonan bagi jawatan Naib Presiden bersama 12 calon lain.

12 calon tersebut terdiri daripada Salahuddin Ayob, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Mahfuz Omar, Ustaz Ahmad Awang, Dato' Ustaz Harun Taib, Dato' Dr Hassan Mohd Ali, Ustaz Idris Ahmad, Dato' Kamaruddin Jaffar, Dato' Mohd Amar Abdullah, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan Ustaz Taib Azamuddin Md Taib.

Tiga orang daripada 16 calon ini bakal menduduki kerusi Naib Presiden bagi penggal 2009 ke 2011.

Seramai 86 orang layak bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dimana 10 daripada mereka terdiri daripada calon wanita.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Saleh antara yang dicalonkan untuk jawatan tersebut selain Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.

Exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Dr Halimah Ali dan Senator Mumtaz Md Nawi juga turut dicalonkan untuk jawatan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat.

Hanya 18 orang calon bakal dipilih untuk jawatan ini daripada 86 pencalonan yang diterima.

Bagi jawatan Pemeriksa Kira-kira, seramai sembilan orang calon layak bertanding dimana hanya dua orang bakal terpilih. - mks. _

Anwar akan saman, jika Anifah tidak mohon maaf

Anwar akan saman, jika Anifah tidak mohon maaf
Mohd Khalil Abdullah
Sat | May 16, 09 | 7:37:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Menteri Luar, Dato' Anifah Aman akan menghadapi tindakan saman oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim jika beliau tidak memohon maaf secara terbuka atas tuduhan Anwar menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila beliau berjaya mengambil alih kuasa Kerajaan Malaysia.

Peguam Sangkara Nair dan rakan-rakan yang bertindak bagi pihak Anwar akan mengfailkan saman terhadap keyataan Anifah jika beliau tidak memohon maaf dalam masa 24 jam dari sekarang.

"Klien kami, Anwar menafikan bahawa beliau pernah menawarkan jawatan tersebut kepada Anifah dan menafikan sekeras-kerasnya pertuduhan sedemikian oleh Anifah.

"Pertuduhan demikian langsung tidak berasas, berbaur fitnah dan mahu menjatuhkan imej Anwar di mata dunia,"jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah yang dipetik The Star hari ini berkata, "Dia (Anwar) cuba memujuk ahli-ahli Parlimen dan saya sendiri ditawarkan untuk melompat kepada pembangkang dengan jawatan amat lumayan dan dia juga beritahu seperti (jawatan) Timbalan Perdana Menteri."

Sementara,tajuk berita The Star hari ini berbunyi: "Anwar offered me the DPM�s post, says Anifah."

Dalam pada itu, tajuk berita Mstar Online pula berbunyi, "Anifah: Anwar pernah tawar jawatan TPM bentuk Kerajaan Persekutuan."

Anifah berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan kepada beliau dalam satu sidang akhbar bersama dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, di Washington, Amerika Syarikat semalam.

Menteri Luar itu juga berkata bahawa Anwar tidak menceritakan keadaan sebenar mengenai Malaysia.

"Anda tahu, kami mempunyai kepercayaan teguh terhadap sistem kehakiman kami. Mengenai Anwar Ibrahim, kita amat mengenalinya. Lebih atau kurang, apa yang dia (Anwar) telah nyatakan khususnya di luar negara, banyak perkara yang diperkatakan adalah tidak benar.

"Dia telah berulang kali menyatakan sebelum pilihan raya bahawa dia akan memberikan bukti dan namum sehingga hari ini, dia tidak memberikan apa-apa," katanya ketika menjawab soalan seorang wartawan pada sidang akhbar itu. - mks.