Showing posts with label Speaker Perak. Show all posts
Showing posts with label Speaker Perak. Show all posts

Wednesday, May 20, 2009

BN rancang konspirasi jahat buang Speaker - Sivakumar

BN rancang konspirasi jahat buang Speaker - Sivakumar
Khairul Azlam Mohamad
Wed | May 20, 09 | 9:22:55 am MYT

KEMAMAN, 20 Mei (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, V Sivakumar mendedahkan 'tragedi hitam' pada 7 Mei 2009 lalu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak merupakan satu konspirasi jahat yang dirancang bagi 'menjatuhkan' Speaker Dun tersebut.

Katanya, kekecohan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menempatkan pejabat dan Dun Perak itu berpunca dari Adun-adun Barisan Nasional (BN) Perak sendiri.

"Pada hari 7 Mei 2009 itu, saya katakana satu konspirasi jahat diatur oleh pihak-pihak tertentu untuk 'menjatuhkan' (buang) Speaker Dun Perak yang sah.

"Mereka (Adun BN) rancang satu konspirasi mahu 'menjatuhkan' saya dari jawatan kerusi Speaker Dun.

"Kekecohan yang berlaku itu (Dun Perak) kerana Adun-adun BN tidak ikut peraturan dan ingkar arahan Speaker," jelasnya di hadapan lebih 3,000 hadirin dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa tindakan pelik dan luar biasa telah dilakukan oleh pihak BN sebelum hari Persidangan Dewan Dun Perak lagi.

Antara lain, katanya pihak 'tertentu' yang memanggil Sidang Dun Perak tanpa pengetahuan Speaker, cuba menghadkan kepada wartawan tertentu sahaja boleh membuat liputan Sidang Dun Perak, tidak membenarkan tetamu pemerhati masuk walau pun dengan kebenaran Speaker serta pengeluaran pas masuk oleh pihak SUK.

Menurutnya, kawalan keselamatan yang ketat dan jumlah anggota polis yang ramai dipergunakan dalam konspirasi tersebut.

Katanya, semua kuasa-kuasa Speaker Dun Perak telah 'dirampas' awal-awal lagi sebelum berlaku hari yang memalukan itu.

Malah, menurut Sivakumar pada hari tersebut (7 Mei) sebenarnya tidak berlaku Persidangan Dun Perak kerana Dewan belum dimulakan lagi.

"Saya masuk dewan (Dun Perak) dan sebelum pemangku Sultan (Raja Nazrin) masuk untuk merasmikan dewan, saya sebagai Speaker Dun akan pastikan dewan teratur dan selamat.

"Saya masuk untuk menguruskan dewan dan bukan untuk memulakan persidangan dewan sebelum berlaku kekecohan yang memalukan itu,"ujarnya.

Beliau turut menyifatkan kekecohan yang berlaku kerana Adun-adun 'monyet' (BN) tidak mengikut peraturan dan undang-undang.

Akhirnya, kata Sivakumar Speaker Dun Perak yang sah dan halal telah diangkut dan dibawa keluar oleh anggota polis.

Menurutnya, rakyat Perak dan seluruh negara akan 'mengajar' pemimpin Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing, bekas Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Awang Dagang dan Naib Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Hazeri Jusoh. - azm _

Sunday, May 17, 2009

Segalanya 2 di Perak, 1 halal dan 1 haram - Sivakumar

Segalanya 2 di Perak, 1 halal dan 1 haram - Sivakumar
Lanjusoh | Rizal Tahir
Sun | May 17, 09 | 5:17:06 pm MYT

KOTA BHARU, 17 Mei (Hrkh) - Aneh lagi luar biasa. Mungkin juga boleh menjadi tarikan pelancong. Ini kerana segalanya ada dua di Perak sekarang. Bermula dua kerajaan, dua Menteri Besar dan dua Speaker.

Selain itu ada dua setiausaha kerajaan negeri dan dua setiausaha Dewan Undangan Negeri (Dun). Namun harus diingatkan satu daripadanya haram dan satu lagi halal.

Speaker Dun Perak, V Sivakumar berkata, semua perkara yang tidak berlaku di negara-negara lain ada di Perak sekarang.

"Ketika saya masih lagi speaker yang sah, Adun Barisan Nasional melantik pula speaker baru. Speaker tersebut diibaratkan duri dalam daging.

"Apa yang lebih menggelirukan lagi apabila setiausaha kerajaan negeri pula cuba bertindak bagi pihak speaker dengan melarang media yang tidak pro Umno membuat liputan pada persidangan Dun 7 Mei lalu.

"Sedangkan kuasa bagi menentukan seseorang boleh atau tidak masuk dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker," katanya pada ceramah menjelaskan isu terbaru di Perak di Putik malam tadi.Image

Ceramah itu mempertemukan dua Speaker iaitu Sivakumar dan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud di satu pentas. Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya apa yang berlaku pada 7 Mei lalu adalah satu penghinaan terhadapnya kerana yang menentukan segala urusan dalam dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker.

Begitu juga katanya bagi menentukan kedudukan ahli Dewan sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang ditentukan speaker.

Katanya pada peringkat awal persidangan 7 Mei lalu beliau mengarah Penasihat Undang-Undang Negeri supaya duduk di bahagian kerajaan (kanan).

"Namun selepas dua kali diarah pindah pegawai terbabit tidak mengendahkan menyebabkan saya menyebut kepadanya kalau tidak mahu ikut speaker boleh keluar dewan.

"Saya dari awal lagi sudah menjangka satu konspirasi dilakukan kerana ada pakatan di kalangan pegawai kerajaan dan Adun BN supaya tidak mengikut arahan Speaker," katanya.

Menurutnya beliau juga mengarahkan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya yang dilantik serta tiga wakil rakyat Bebas keluar dewan bagi membolehkan persidangan dimulakan.

Bagaimanapun katanya, keputusan beliau sebagai Speaker tidak diendahkan sehingga Timbalan Speaker, Hee Yit Foong cuba mengambil alih tugasnya.

"Saya hairan dia menggunakan kuasa mana mengambil alih tugas Speaker. Sedangkan mengikut Perintah Tetap Dewan selagi Speaker ada di kerusinya timbalan speaker tidak ada kuasa," katanya.

Beliau juga berkata, Umno gagal menggugurnya sebagai speaker memandangkan beliau tetap mempertahankan kerusi sejak bermula persidangan jam 8.45 pagi hingga 2 petang tanpa keluar minum atau ke bilik air. Image Bagaimanapun tambahnya, Umno menggunakan kekerasan dengan bantuan anggota polis mengusungnya keluar dan mengurung dalam bilik pegawal selama lebih sejam.

Oleh itu katanya, perjumpaan anggota dewan hari itu tidak boleh dikatakan sebagai persidangan biasa kerana ia tidak menepati peraturan dewan.

Nusuruddin pula mencadangkan kerusi Speaker di Perak menggunakan tali pinggang keledar pada masa akan datang bagi mengelakkan ada lagi orang yang mengusung keluar Speaker.

Beliau juga berkata, Perkara 4 Peraturan Tetap Dewan menyebut Speaker berkuasa penuh bagi menentukan perjalanan mesyuarat anggota dewan.

Katanya, jawatan seseorang speaker hanya boleh gugur apabila dia berhenti secara sukarela atau meletak jawatan sebagai Adun.

Selain itu apabila bermula persidangan penggal baru selepas pilihan raya dan speaker juga boleh dijatuhkan melalui usul tidak percaya. - mj

Friday, May 15, 2009

Speaker yang sah: Sivakumar lwn Ganesan

Speaker yang sah: Sivakumar lwn Ganesan
Harakahdaily
Fri | May 15, 09 | 2:32:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hari ini memfailkan saman terhadap Speaker yang baru dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) R Ganesan kerana tindakan yang dikatakan menghina beliau dan ekoran dikurung semasa sidang DUN Perak minggu lalu.

Beliau memfailkan saman itu pada pukul 11.45 pagi tadi di Mahkamah Tinggi Ipoh dan dalam kenyataan tuntutannya ialah memohon perintah mahkamah terhadap Ganesan, daripada mengganggu beliau menjalankan tugas.

Sivakumar juga memohon gantirugi terhadap tindakan kekerasan terhadapnya sewaktu sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu, di mana beliau diheret keluar dari dewan secara kekerasan oleh anggota polis atas arahan Ganesan.

Sehubungan itu, Sivakumar juga memohon perintah mahkamah terhadap Ganesan untuk menghalangnya daripada terus bertindak secara kekerasan oleh (Ganesan) dan ejen atau pesuruhnya.

Jika kesemua perintah mahkamah itu berjaya diperolehi, maka Pakatan Rakyat akan dapat menghalang sidang khas yang dijangka dipanggil oleh BN untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar. - azm

Nizar 'gentleman', tidak gila kuasa - Speaker

Nizar 'gentleman', tidak gila kuasa - Speaker
Azamin Amin
Fri | May 15, 09 | 2:27:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Tanpa lengah dan berhajat lama untuk mempertahankan kuasa Menteri Besar, Dato' Seri Nizar Jamaluddin dengan segera melafazkan janji untuk mengadap Sultan bagi mencadangkan pembubaran DUN Perak bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan mereka sendiri.

Ini merupakan sikap seorang yang tidak tamakkan kuasa dan berpegang janji kepada rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Speaker Dun V. Sivakumar dalam laman blog peribadinya tentang kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nizar yang sangat dihormatri oleh rakyat.

"Beliau terbukti seorang 'gentleman'. Inilah janji yang diberikan oleh Pakatan Rakyat. Pakatan rakyat mahu kuasa dikembalikan kepada rakyat. Kata telah dikotakan oleh DS Nizar.

"Beliau telah menunjukkan sikap jujur dan berani dalam menghadapi pilihanraya. Beliau berpegang kepada prinsip-prinsip perjuangannya. Beliau percaya kepada kuasa rakyat dan sistem demokrasi yang tulen," katanya.

Ini jelas katanya membuktikan bahawa beliau tidak gilakan kuasa dan sebab itulah rakyat Perak semakin menyayangi dan menghormati beliau kerana mempunyai semua ciri murni untuk menjadi seorang pemimpin yang paling berkarismatik di negara ini. - azm

Tuesday, May 12, 2009

KeADILan Perak buat laporan polis kes hina Speaker

KeADILan Perak buat laporan polis kes hina Speaker
Ekmal Yusof
Tue | May 12, 09 | 1:36:57 pm MYT

SUNGAI SIPUT, 12 Mei (Hrkh) - Parti KeADILan Rakyat Negeri Perak telah membuat laporan polis serentak semalam mengenai penghinaan dan kekerasan yang dilakukan terhadap Speaker V. Sivakumar oleh Umno/BN di pembukaan DUN Perak 7 Mei lalu.

Dalam kejadian tersebut V. Sivakumar yang masih kekal jawatan Speaker Dun Perak yang sah telah diusir dan diheret keluar oleh pihak Umno/BN yang tiada memakai lencana pengenalan diri ketika Sidang Dewan Negeri Perak sedang berjalan.

Malah dilaporkan juga tragedi ditanggalkan jubah pakaian rasmi Speaker secara paksa oleh anggota polis yang dikatakan tiada pakaian seragam dan tanpa memakai tanda pengenalan diri.

Semalam tepat jam 3.30 petang pimpinan PKR yang diketuai oleh Timbalannya Haji Ahmad Zainal telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut di Balai Polis di sini.

Menurut Ketua KeADILan di sini Haji Mohd Aun Mansor partinya juga akan membuat aduan polis mengenai pemecatan tugas Ketua Kampung dan AJKKK Kerajaan Pakatan Rakyat oleh Umno/BN baru-baru ini. - mns_

Monday, May 11, 2009

Dua MB, dua speaker : Mesti mohon restu rakyat - V. Sivakumar

Dua MB, dua speaker : Mesti mohon restu rakyat - V. Sivakumar
Azamin Amin
Mon | May 11, 09 | 11:26:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Perak kini dilihat mempunyai dua kerajaan, masing-masing daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) mestilah mendapatkan mandat daripada rakyat untuk menentukan masa depan negeri ini sekaligus menamatkan kemelut politik yang berlaku.

Demikian pendapat Speaker DUN Perak V. Sivakumar yang mahu krisis ini diselesaikan melalui pembubaran Dewan Negeri dan mengadakan Pilihan Raya dengan segera.

Katanya Barisan Nasional (BN) masih berdegil dan mahu meneruskan pemerintahan dengan kerajaan yang dirampas secara haram namaun dalam sistem demokrasi, rakyatlah menentukan segala-galanya.

"Biarlah rakyat membuat pilihan. Kedua-dua pihak harus bersedia untuk menerima keputusan rakyat. Kalau proses demokrasi ini tidak dihormati, maka yang akan menjadi mangsa adalah rakyat.

"Kita tidak patut membelakangkan rakyat dalam isu krisis politik Perak. Rakyat perlu diutamakan," katanya dalam blog peribadi beliau.

Kata Sivakumar ketamakan kuasa akan merugikan rakyat dan tidak boleh membiarkan satu kerajaan yang tidak sah memerintah negeri Perak malah memerlukan sebuah kerajaan yang diterima oleh semua.

Kemelut politik Perak telah mengakibatkan suasana yang amat mengelirukan dan ianya menjadi semakin kusut.

"Perak kini ada dua orang Menteri Besar, dua orang Speaker Dewan Negeri, dua barisan Exco, dua Setiausaha Dewan Negeri dan Dua Dewan Negeri (Sub Dewan dalam Dewan Negeri).

"Dalam kata lain, Perak mempunyai dua kerajaan. Satu kerajaan yang sah dan satu lagi yang haram. Politik Perak sudah sampai ke jalan buntu. Merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan atau taktik-taktik kotor tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah ," katanya. - azm

Sunday, May 10, 2009

Polis cabul sidang Dun Perak , Sivakumar masih Speaker

Polis cabul sidang Dun Perak , Sivakumar masih Speaker
Debra Chong
Sat | May 09, 09 | 5:00:15 am MYT

SEMAKIN banyak pihak menimbangkan kesahihan perlucutan V Sivakumar daripada jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan pengundian pengganti beliau, R Ganesan, bekas Adun Sungkai, dan juga dua lagi usul.

Peguam dan juga Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Malik Imtaz Sarwar tidak bersetuju dengan pandangan Dato' Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bahawa usul yang diluluskan 7 Mei adalah sah.

"Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hafarizam dan Shafee. Saya tak nampai bagaimana it boleh menjadi sah," jelas Malik Imtaz kepada Malaysian Insider.

Prosidur diragui

Dia mendapati terlalu banyak persoalan berhubung prosidur di dalam ruang dewan, mengakibatkan kesahihannya diragui.

"Pertama, bagaimanakah persidangan itu boleh sampai ke peringkat di mana Hee mengambil alih persidangan?" beliau mempersoalkan, merujuk kepada Hee Yit Foong, Adun Jelapang merangkap Timbalan Speaker.

"Sekiranya Sivakumar berada di situ secara sah, bagaimana dia (Hee) boleh mengambil alih (tugas Speaker)?" tambah beliau, merujuk kepada penjelasan Hafarizam yang membuat rujukan kepada Perkara 36A(1)(b) Peraturan Persidangan yang membenarkan Timbalan Speaker mengambil tempat menggantikan Speaker.

Versi bercanggah

Kata Imtaz, dia mendengar versi yang bercanggah-canggah mengenai peristiwa 7 Mei, termasuk dakwaan kononnya pada satu ketika Sivakumar tidak berada di dalam kamar dewan sewaktu persidangan berlangsung.

Beliau juga mempersoalkan kehadiran pegawai polis berpakaian biasa di dalam kamar dewan.

"Polis tidak sama sekali mempunyai kuasa dalam kamar dewan," kata Imtaz, dan merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara pada Mac lalu selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh dikasari di Parlimen.

Syed Hamid dan Musa Hassan menegaskan bahawa pihak polis tidak boleh campur tangan dalam kamar dewan walaupun sekiranya terdapat pergaduhan dan hanya petugas dewan (sergeant-at-arms) mempunyai kuasa menangkap.

Polis bukan agen parti politik

"Polis telah bertindak tanpa kuasa. Mereka sebenarnya menjadikan diri mereka sebagai agen kepada sebuah parti politik dan bukan sebagai pelaksana bebas undang-undang," kata Imtaz, sambil menekankan bahawa Sivakumar adalah masih Speaker yang sah ketika itu.

Sementara menekankan pandangannya bahawa tidak bermakna Adun Pakatan Rakyat bebas daripada apa-apa perlakuan salah, Imtaz menolak penjelasan Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil polis apabila keadaan menjadi semakin tegang.

"Mereka mengatakan mereka tidak ada pilihan tapi itu tidak benar. Mereka boleh sahaja memfail untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menyebut Sivakumar sebagai menghina mahkamah. Mereka tidak melakukan demikian tetapi memilih untuk membantu diri-sendiri tetapi membantu diri-sendiri tidak dibenarkan di bawah sistem perundangan kita," jelas Imtaz lagi dengan nada marah.

"Bahkan, cara paksaan terpaksa digunakan - dengan menggunakan polis untuk memaksa Sivakumar keluar dari kamar dewan tanpa sebarang alasan-� ini adalah merupakan penunjuk yang mencukupi bahawa BN tidak mempunyai penyelesaian politik mahupun perundangan terhadap kesulitan yang mereka sendiri mulakan."

Beliau juga mempersoalkan: "Pada saat manakan persidangan sebenarnya bermula?"

Bila sidang bermula?

"Sekiranya perasmian persidangan bermula selepas titah Raja Nazrin, bagaimanapula mereka menjalankan sebarang urusan sebelum itu?" tanya Imtaz.

Beliau menekankan, Raja Muda Perak yang sepatutnya membuka persidangan, memasuki kamar dewan hanya pada kira-kira jam 3.00 petang, setelah berlaku perebutan kerusi Speaker dan setelah tiga lagi usul - pemilihan Ganesan sebagai Speaker, anggota baru untuk jawatankuasa sampingan dan kelulusan pengisytiharan pembatalan sidang Pakatan Rakyat terdahulu yang diadakan di bawah sebatang pohon.

Imtaz juga menegaskan persidangan tersebut juga melanggar beberapa lagi konvensyen, termasuk tidak mengadakan upacara mengangkat sumpah untuk Ganesan selaku Speaker. Ini, tegasnya, biasanya diadakan dalam satu upacara di masa lain di hadapan raja.

Terus buntu

"Inilah antara perkara yang menyebabkan saya merasa ragu tentang kesahan usul yang diluluskan," kata peguam yang baru-baru ini menjadi penerima anugerah hak asasi manusia antarabangsa.

"Akhirnya, terdapat kebuntuan di sini," katanya, dan menambah sekiranya Perdana Menteri Najib Razak "ikhlas tentang Satu Malaysia, dia tidak boleh membenarkan BN melakukan tindakan tersebut."

Bagi pensyarah undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Abdul Aziz Bari, "semuanya begitu jelas dan terpampang."

Katanya, dia bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa persidangan 7 Mei adalah "haram dan tidak berperlembagaan".

Cara salah pilih Speaker

"Bagi saya, cara mereka memilih Speaker adalah salah. Speaker masih Sivakumar," jelas ahli akademik itu.

Beliau memerhatikan bahawa urutan peristiwa dari 5 Februari sehingga semalam - dari perbuatan melompat parti yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih sehinggalah kepada keputusan mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar untuk menggantung kehadiran Adun BN - membuatkan kesahihan usul cukup meragukan menurut pandangannya.

Seperti juga Malik Imtiaz, Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan bersetuju situasi di Perak sudah tiba pada titik di mana tidak ada jalan lain kecuali Sultan Perakmembubarkan dewan undangan dan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru bagi membersihkan kemelut yang berlaku.

Undang-undang tak boleh selesai masalah

"Bagi kita, cara perundangan tidak akan dapat menyelesaikannya kerana setiap peguam mempunyai pendapat berbeza," katanya.

"Secara peribadi, saya rasa terdapat hujah yang memihak kepada kedua-dua pihak. Satu daripadanya bilakah persidangan itu sebenarnya bermula? Satu lagi apakah Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul yang hendak dibentangkan?"

"Tapi kini Pakatan Rakyat adalah pihak minoriti dan BN mempunyai majoriti stabil dengan 28 campur tiga bebas," jelasnya.

Ragunath menekankan cara terbaik untuk keluar dari permasalahan tersebut ialah membenarkan pengundi membuat keputusan.

"Saya tak fakir dalam demokrasi, untuk kembali semula kepada rakyat setelah baru sahaja mengadakan pilihan raya umum merupakan satu masalah," katanya.

----

Tulisan dari The Malaysian Insider ini diterjemah oleh Shirzad Lifeboat _