Showing posts with label Husam Musa. Show all posts
Showing posts with label Husam Musa. Show all posts

Monday, May 25, 2009

Husam, Mahfuz sahkan bertanding

Husam, Mahfuz sahkan bertanding
Harakahdaily
Mon | May 25, 09 | 1:15:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa sahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan Muktamar Jun depan.

"Saya buat keputusan muktamad pagi tadi...saya dah serahkan borang terima pencalonan sebentar tadi," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Nasharuddin, Timbalan Presiden PAS sejak dua penggal, pagi tadi juga mengesahkan akan mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

Husam telah memaklumkan perkara itu kepada Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Dato' Abdul Nik Aziz Nik Mat pagi tadi dan akan berbuat demikian juga apabila menemui Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang tengah hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar turut mengesahkan bahawa beliau bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan akan datang. - azm/mks.

Saturday, May 23, 2009

Keputusan Mahkamah Rayuan diatur?

Keputusan Mahkamah Rayuan diatur?
Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | May 23, 09 | 8:07:40 am MYT

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa menyatakan beliau telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, dan hakikatnya benar apabila semalam mahkamah membuat keputusan sedemikian.

"Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran DUN Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis BN sekali lagi Isnin atau Selasa ini.

"Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini? Ia bukan tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa. Sudah tentu kita tidak dapat mengharapkan apa-apa pada hari ini," jelasnya dalam satu kenyataan.

Keputusan ini memberi kesan besar, baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, kata Husam.

"Agung atau Sultan boleh melantik PM atau MB yang baru tanpa PM atau MB berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya," katanya.

Persoalannya ujar Husam, sama ada negara sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses 'tabung uji di luar rahim' iatu Dewan Rakyat atau Dun seperti yang difahami sebelum ini.

"Khususnya Najib, sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agong boleh dengan itu melantik PM yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?," soalnya.

Pada Husam, tiga atau lima hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman negara.

Melainkan keputusan mereka yang dilihat wajar, apa lagi keputusan Mahkamah ke atas krisis politik, memerlukan lebih ketelitian dan kebebasan,katanya.

"Berbalik kepada Perak. 'Ramalan' saya seterusnya ialah, Majlis BN akan bersidang. Kemudian Zambry kononnya bersetuju menyerahkan mandat kepada rakyat dengan mengadap Sultan Perak untuk pembubaran," katanya.

Memang itu yang dihasratkan oleh Pakatan Rakyat tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak,katanya.

Husam bertegas, sepatutnya proses pembubaran juga perlu didahului dengan keputusan mahkamah yang adil. - mks.

Thursday, May 21, 2009

Pembubaran DUN Perak kian hampir

Pembubaran DUN Perak kian hampir
Dato' Husam Musa
Thu | May 21, 09 | 7:09:00 am MYT

Saya telah menemui Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Chua Soi Lek dan Tan Sri Abu Talib Othman awal minggu ini, seperti dipersetujui Presiden dan Dewan Harian PAS Pusat. Perjumpaan seterusnya adalah bersama seorang pimpinan Gerakan.

Dr Chua telah menjelaskan sebahagian inti perbincangan kami dalam blognya.

Apa yang saya dapat tangkap ialah, dari segi prinsip, semua ketiga pimpinan yang saya temui, bersetuju, DUN Perak harus dibubarkan.

Dr Chua memberikan saranan, pembubaran dilakukan melalui undi percaya di DUN terlebih dahulu, baik oleh Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.

Selepas siapa diputuskan menang sebagai Menteri Besar yang sah pada 21 Mei ini. Itu adalah pandangan beliau. Tetapi akhirnya, pembubaran adalah perkara pasti yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, jika ingin dilihat bermaruah.

Dr Chua berjanji membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam selepas perjumpaan kami, Isnin lepas.

Saya difahamkan Dr Chua benar-benar membangkitkannya dan pada keseluruhannya, parti komponen yang lain menuju pandangan pembubaran sebagai jalan survival politik BN di Semenanjung. Jika tidak, penolakan terhadap BN akan berlaku di seluruh Semenanjung.

Pembubaran DUN Perak juga akan mengimbangkan langkah BN tidak meletakkan calon di Penanti. BN tidak gentar. Buktinya, BN bertindak berani membubarkan DUN Perak sedikit masa lagi dan BN berani menghadapi pilihan raya di Perak dan dengan itu, tidak menyertai Penanti adalah atas sebab prinsip semata-mata.

Jika maklumat saya ini hendak dijadikan kenyataan, langkah pertama ialah Mahkamah Rayuan perlu membuat keputusan yang menyebelahi Zambry, Khamis ini. BN sangat memerlukan keputusan itu untuk BN akan dilihat bertindak menasihati Sultan untuk pembubaran itu dan bukan Pakatan Rakyat. Mereka juga mempunyai kelebihan sebagai care taker government sepanjang tempoh kempen.

Saya membuat tekaan, Khamis ini, Mahkamah Rayuan akan menyebelahi Zambry. Ini hanya tekaan saya. Untuk membolehkan tekaan saya selanjutnya menjadi kenyataan.

Pengunduran dari Penati hendaklah juga dibaca sebagai satu strategi membuat kejutan reverse iaitu pilihan raya mengejut di Perak.

Terima kasih pada semua pimpinan BN yang membawa versi berbeza dalam pandangan politik mereka.

Pakatan Rakyat, pada pendapat saya, bersedia dengan pilihan ini kerana krisis Perak perlukan penyelesaian segera dan muktamad. Jika tidak, satu lagi institusi yang sebelumnya dilihat terhormat iaitu Istana, juga akan menghadapi kepudaran kepercayaan rakyat sama seperti hampir keseluruhan institusi di negara ini.

Bersedia! - mr_