Showing posts with label PRK Dun Penanti. Show all posts
Showing posts with label PRK Dun Penanti. Show all posts

Tuesday, May 26, 2009

Pengundi Penanti berhak tahu penyelewengan pemimpin BN

Pengundi Penanti berhak tahu penyelewengan pemimpin BN
Zuharman MN
Tue | May 26, 09 | 4:42:00 pm MYT

KETEREH, 26 Mei (Hrkh) � Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mampu menutup diri daripada terdedah pelbagai penyelewengan biarpun tidak menyertai pilihan raya kecil di Penanti.

Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, N Gobalakrishnan berkata, Umno tidak mampu mengelak daripada dikaitkan dengan pelbagai isu yang berlaku sekarang kerana ia membabitkan pemimpin negara.

Katanya, rakyat perlu diberitahu tentang pelbagai penyelewengan yang berlaku kerana mereka ada hak di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

"Apabila rakyat sudah tahu mereka boleh membuat pilihan sendiri. Ini penting untuk membolehkan sebuah kerajaan yang adil dapat ditegakkan," katanya pada satu program di sini, baru-baru ini.

Program tersebut diadakan di Kampung Soko, Kok Lanas. Hadir sama anggota Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria dan Naib Yang Dipertua PAS Ketereh, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim.

Semalam Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, KeADILan tidak ada modal apabila membelasah Umno dan BN pada kempen pilihan raya tersebut.

Menurutnya KeADILan sepatutnya menumpukan kepada isu pembangunan bagi membela nasib rakyat di Penanti.

Gobalakrishnan yang juga anggota Padang Serai berkata, alasan diberi Presiden Umno, Dato' Seri Najib Razak tidak mahu menyertai pilihan raya di Penanti kononnya tidak mahu membazir tidak lebih sebagai satu sandiwara.

"Mengapa baru sekarang mereka hendak bercakap soal pembaziran. Rakyat sudah tahu malah sudah masak dengan sikap hipokrit pemimpin mereka.

"Kalau Umno dan BN betul-betul tidak mahu membazir, kembalikan wang komisen yang telah dibazirkan membeli kapal selam dan Sukhoi sehingga mencecah puluhan juta ringgit," katanya.

Nasir ketika berucap pada majlis yang sama berkata, kejayaan Pakatan Rakyat memecah belenggu perkauman di negara ini telah menyuntik semangat rakyat sehingga berani bangkit membuat perubahan.

Ahmad Rusli pula memberitahu media dan mahkamah menjadi talian hayat Umno bagi membolehkan parti itu terus berada di pentas politik negara.

Menurutnya tanpa bantuan tersebut Umno sudah berada di muzium yang hanya diingati pada catatan sejarah sahaja.

Beliau juga berkata, rakyat perlu sensitif terhadap situasi yang berlaku dalam politik tanah air bagi membolehkan mereka membuat pilihan terbaik pada masa akan datang.

"Rakyat menolak Umno dan BN kerana kesedaran. Rakyat bijak menilai antara kaca dan permata. Kecerdikan rakyat tidak boleh lagi ditukar dengan wang ringgit," katanya. - mj

Umno buat rombongan 31 Mei, elak keluar mengundi?

Umno buat rombongan 31 Mei, elak keluar mengundi?
Mohd Sabri Said
Tue | May 26, 09 | 10:59:11 am MYT

PENANTI, 26 Mei (Hrkh)-Umno Bahagian Permatang Pauh dipercayai mengadakan rombongan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan tujuan melarikan sebahagian besar ahlinya pada 31 Mei ini.

Kegiatan tersebut dipercayai semata-mata menghalang ahlinya daripada menyertai pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti yang menyaksikan pertandingan empat penjuru tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) iaitu tiga bebas dan seorang calon Pakatan Rakyat.

Harakahdaily dimaklumkan oleh sumber, bas disediakan di semua cawangan dan terpulang kepada ahlinya untuk turut serta atau sebaliknya.

"Kepada mereka yang tidak kesempatan menyertai rombongan tersebut mereka dinasihatkan memboikot pilihan raya berkenaan bagi mengurangkan peratus jumlah keluar mengundi," kata sumber terbabit.

Pada pendapat mereka, kata sumber itu jika peratus jumlah keluar mengundi turun tidak mustahil calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman kalah dan menyukarkan pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri 1 yang tinggalkan penyandangnya sebelum ini Mohamad Fairus Khairudin.

Tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri bahkan boleh mencetuskan salah faham dan perpecahan sesama parti gabungan Pakatan Rakyat.

Ini merupakan peluang untuk Umno dan BN membalas dendam kekalahan bertubi-tubi mereka ketika berhadapan dengan Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini.

Namun kata sumber itu, bagi mengatasi perkara ini daripada berlaku jentera Pakatan Rakyat harus melipat gandakan gerakan penerangan kepada rakyat betapa pentingnya pilihan raya kecil ini diadakan untuk melincinkan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng yang jelas berjaya memperkenalkan beberapa strategi pembangunan serta membantu golongan miskin tegar walaupun baru memerintah setahun berbanding Umno dan BN. - azm

Sunday, May 24, 2009

Tidak bertanding di Penanti, bukti BN makin parah

Tidak bertanding di Penanti, bukti BN makin parah
Mohd Sabri Said
Sun | May 24, 09 | 10:35:56 am MYT

PENANTI, 24 Mei (Hrkh) - "Terima kasih Barisan Nasional (BN) kerana tidak bertanding di Penanti kerana ia memberi laluan mudah untuk Parti keadilan Rakyat (KeADILan) mempertahankan kerusi di situ, " ujar Ketua Perhubungan KeADILan Pulau Pinang, Dato' Zahrin Hashim.

Beliau ketika ditemui di hari penamaan calon pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBM), Penanti menambah, pengunduran diri Barisan Nasional (BN) bukan sahaja memudahkan kempen bahkan terbukti kegawatan BN makin parah.

Jelasnya lagi, namun walaupun laluan agak mudah tetapi penerangan kepada rakyat tetap di teruskan ke kampung-kampung atau taman bagi tujuan menyedarkan mereka tentang kepentingan pilihan raya yang diadakan.

Katanya,Pakatan Rakyat mahukan rakyat dilatih dengan sistem demokrasi yang sah maka kemasukan dalam pilihanraya boleh meningkatkan lagi pengaruh parti yang menyertainya.

"Insya-Allah bila menang nanti kita akan teruskan kerja kerajaan yang kian banyak maklumlah kita mempunyai kerajaan yang seimbang dan telus, " jelasnya.

Tambahnya, untuk mencapai hasrat itu bukan sahaja memerlukan gabungan tenaga bersama bahkan memerlukan kesatuan fikiran. - mks.

Jumlah undi, indikator pada sokongan Pakatan Rakyat

Jumlah undi, indikator pada sokongan Pakatan Rakyat
Izwan Abdul Halim
Sun | May 24, 09 | 8:16:00 am MYT

Buat pertama kali tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN), tentunya Pilihan Raya Kecil (PRK) N.12 Dun Penanti tidak akan memperlihatkan 'pertembungan' sebenar kekuatan politik yang menjadi kelaziman sepertimana setiap PRK sebelum ini.

Bersama 'suasana baru' tersebut, pembawaan serta analisis pihak terlibat juga pastinya berubah. Sehubungan itu, Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM mendapatkan Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution mengulas mengenai perkara tersebut.

HARAKAH: Dalam keadaan BN tidak bertanding, apakah mesej yang akan dibawa pada PRK ini?

SAIFUDDIN: PRK Penanti kali ini bakal menyaksikan KeADILan akan hanya bertembung dengan calon-calon Bebas, sekaligus pendekatan kempen akan sedikit berubah.

Yang akan kita tekanan ialah pertama, kita akan lebih memberi tumpuan memperkenalkan calon Dr Mansor Othman. Yang kedua kita akan menerangkan kepada pengundi Penanti, dasar-dasar Kerajaan Pakatan rakyat Pulau Pinang yang dilihat lebih memberikan kebajikan dan kebaikan kepada rakyat Pulau Pinang.

Yang ketiga kita akan terangkan kepada pengundi di Penanti supaya mereka akan keluar mengundi seperti biasa walaupun pertandingan kali tidak melibatkan BN akan ada kedapatan di kalangan segmen pengundi itu nanti yang barangkali memikirkan bahawa keputusan itu sebagai sesuatu yang dianggap 'a gone conclusion'.

Tetapi jentera kempen KeADILan akan memujuk supaya pengundi-pengundi ini 'clear' seperti biasa. Jadi strategi kempen penerangan akan melebihkan kepada memperkenalkan calon, kedua menerangkan polisi-polisi kerajaan negeri yang dianggap popular dan memberikan kebaikan kepada rakyat dan ketiga ialah memberikan penekanan kepada memujuk pengundi supaya keluar mengundi.

Tentunya peluang untuk menang lebih mudah tanpa BN. Jadi pada PRK ini, apakah indikator yang boleh menunjukkan bahawa rakyat sebenarnya kekal menyokong Pakatan Rakyat dan terus menolak BN?

Indikatornya hanya akan kita lihat apabila kita mendapat nantinya jumlah sebenar yang memberikan undi kepada Pakatan Rakyat melalui calon KeADILan.

Indikator akan kita perolehi apabila pada hari pengumuman keputusan PRK ini jika didapati jumlah undi sebenar yang diperolehi calon KeADILan melebihi daripada jumlah undi yang diperolehi pada 8 Mac 2008.

Itu sekaligus memberikan isyarat bahawa biarpun pertembungan itu tidak melibatkan BN, tetapi sokongan rakyat kepada calon KeADILan terus meningkat. Meningkatnya undi kepada calon KeADILan itu bolehlah dibaca bertambah lagi penolakan rakyat kepada BN.

Apakah dengan Umno/BN tidak menyertai PRK bermula di Penanti, ianya akan menjadi 'trend' mereka selepas ini hingga Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Saya tidak menjangkakan begitu. Secara kebetulan sambil kita membuat persiapan PRK Penanti, akan berlaku satu lagi PRK di Kelantan iaitu di Manek Urai.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat pada 28 Mei nanti. Dato' Najib telah membuat kenyataan beberapa jam tadi di Singapura bahawa BN akan bertanding di Manek Urai. Itu bermakna BN sebenarnya tidak konsisten dari segi tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Di Penanti dia tidak mahu mengambil bahagian sebab katanya pilihan raya ini membazir wang rakyat. Kalaulah membazir wang rakyat dijadikan alasan, dia mesti konsisten. Bagaimana pula pilihan raya di sini membazir wang rakyat, sementara pilihan raya di Manek Urai tidak membazir wang rakyat? Jadi ternyata BN tidak ada jalan keluar lagi, dia tiada pilihan.

Di sini dia cuba 'twist' atau main sentimen seolah-olah ini sesuatu yang merugikan wang rakyat. Tetapi belum pun PRK Penanti bermula, Tuhan takdirkan satu lagi PRK dan sepantas kilat Perdana Menteri mengumumkan bahawa BN akan bertanding di Manek Urai.

Jadi saya fikir, sama ada dia bertanding atau tidak, dia sudah tentu tidak dapat menjadi pemenang di Penanti sebab tidak menyertai, manakala Manek Urai ini pula kubu kuat tradisi PAS! Bayangkan ketika BN menang semua kerusi di Kelantan melainkan dua kerusi, satu darinya adalah Manek Urai yang PAS menang.

So demikianlah ketika kekuatan BN begitu hebat pun dia tidak tawan Manek Urai, apatah lagi dalam keadaan sekarang PAS menguasai 40 kerusi bersama KeADILan. So, Manek Urai akan jadi kekalahan yang kelima berturut-turut bagi BN, saya yakin!

Di Dun Penanti juga terdapat pengundi Umno/BN, jadi apakah seruan saudara kepada mereka?

Seruan saya sangat mudah, agar mereka memberi peluang kepada Dr Mansor Othman calon KeADILan untuk mewakili Penanti. Dr Mansor sudah tentu akan menikmati tambahan undi sekiranya rakan-rakan daripada Umno yang tidak berpeluang mengundi calon BN, maka mereka boleh sebenarnya memberikan undi kepada Pakatan Rakyat.

Sebenarnya itulah peluang yang terhidang kepada mereka. Mereka tidak perlu lagi untuk teragak-agak atau berbelah bagi antara tidak mengundi BN sebab BN sudah tidak bertanding. Jadi undi mereka itu saya rayu dapat diberikan kepada calon KeADILan. - mks

Ribuan hadiri ceramah Anwar dan Nizar sempena PRK Penanti

Ribuan hadiri ceramah Anwar dan Nizar sempena PRK Penanti
Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | May 24, 09 | 6:36:05 am MYT

PENANTI, 24 Mei (Hrkh) - Biarpun Umno/BN tidak bertanding menentang Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Dun Penanti, namun kaedah kempen yang dijalankan Pakatan Rakyat tetap bersemangat.

Ceramah sulung (pertama) yang diadakan malam tadi di Kubang Semang mendapat sambutan ribuan penyokong Pakatan Rakyat meskipun kempen sebenarnya baharu sahaja bermula.

Ceramah yang diadakakan di Kubang Semang itu membariskan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan Saifuddin Nasution.

Sejak jam 8.00 malam, kenderaan bertali arus masuk ke perkarangan kawasan ceramah dan keadaan semakin sesak apabila ceramah dimulakan sekitar jam 9.00 malam.

Kehadiran Anwar, Nizar dan beberapa tokoh lain nyata mendapat sambutan hangat bagaikan suasana tersebut seolah-olah kempen yang berjalan itu adalah kempen tatkala Pakatan Rakyat menentang Umno/BN.

Anwar dan Nizar dalam ceramahnya menyentuh isu rampasan kiasa di Perak dan isu mengapa Umno/BN takut untuk menyertai pilihan raya Penanti.

Anwar secara sinis menyebut, "Umno/BN kata mereka tak mahu masuk PRK Penanti kerana membazirkan wang dan ia lebih bersifat menyelesaikan masalah dalam KeADILan, saya nak tanya apa pula alasan Umno/BN yang dilihat bersungguh-sungguh mahu menyertai PRK Dun Manik Urai (Kelantan) yang juga bakal diadakan.

"Apakah Umno/BN tidak merasakan menyertai PRK Manik Urai nanti satu pembaziran?," katanya.

Sementara itu Nizar pula dalam ceramahnya menyentuh krisis politik Perak yang baginya adalah berpuncari dari tindakan rampasan kuasa yang dilakukan BN.

Nizar menyelar tindakan BN itu yang baginya membelakangi demokrasi, memalukan negara dan satu penzaliman ke atas hak rakyat.

Justeru sebagai penyelesaiannya, Nizar menggesa Dato' Dr Zambry Abdul Kadir memohon perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dun segera bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang sah.

Ceramah tersebut berakhir pada jam 12.30 malam dalam keadaan yang cukup aman tanpa gangguan.