Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Friday, May 15, 2009

Kaunter klinik kerjaya disambung untuk rakyat Selangor

Kaunter klinik kerjaya disambung untuk rakyat Selangor
Saidah Hairan
Fri | May 15, 09 | 3:18:04 pm MYT

SHAH ALAM, 15 Mei (Hrkh) - Kerajaan Selangor melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah membuat keputusan menyambung program 'Retrenchment Helpline' hingga 30 Mei ini.

Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan program itu amat berguna kepada semua pihak terutama orang awam yang menghadapi masalah dalam pekerjaan mahupun yang sedang mencari kerja.

Kaunter klinik kerjaya dibuka setiap minggu pada hari Sabtu di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Manakala skuad bantuan Jobstreet.com pula akan turut sama turun ke kaunter tersebut di pejabat PBT tertentu setiap minggu.

Pada minggu ini, kaunter klinik kerjaya dan retrenchment helpline yang akan sertai oleh pihak JobStreet.com adalah seperti berikut:

Tarikh: 16 April 2009 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi-12.30 tengah hari
Tempat :

1- Petaling Jaya - Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
2- Selayang - Pejabat Majlis Perbandaran Selayang.
3- Klang - Pejabat Majlis Perbandaran Klang.
4- Kajang - Pejabat Majlis Perbandaran Kajang.

Orang ramai yang menghadapi masalah dalam pekerjaan atau diberhentikan kerja, boleh membuat pendaftaran dikaunter tersebut sekitar kawasan masing-masing mengikut PBT yang berdekatan.

Kerajaan Selangor menyediakan perkhidmatan ini adalah sebagai usaha membantu dari sudut khidmat nasihat dan runding cara kepada pengadu untuk memulihkan keyakinan dalam mencari pekerjaan.

Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh menghubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam di setiap pejabat Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing atau urus setia di talian 03-55447113/7114/7121 (urusan waktu pejabat). - mks

Thursday, May 14, 2009

Umno berpenyakit kanser kronik

Umno berpenyakit kanser kronik
Harakahdaily
Thu | May 14, 09 | 12:50:09 pm MYT

AMPANG, 14 Mei (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz, berkata Umno kini menghidapi penyakit kanser tahap empat yang tidak boleh diubati.

Yang Dipertua PAS Kawasan Ampang itu berkata demikian ketika mengulas penyertaan 50 ahli Umno kawasan terbabit kepada PAS, baru-baru ini.

Beliau juga yakin perjuangan berasaskan kaum tidak boleh diterima oleh masyarakat berbilang kaum seperti di negara ini.

"Perjuangan yang berdasarkan kaum iaitu Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina dan India dengan India sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang," katanya.

Katanya, slogan 'PAS Untuk Semua' telah menarik minat orang bukan Islam untuk mendekati Islam. - mks.

Tuesday, May 12, 2009

Penghargaan kepada ibu tidak harus dibuat secara bermusim

Penghargaan kepada ibu tidak harus dibuat secara bermusim
Roy Rasul
Tue | May 12, 09 | 1:25:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Penghargaan terhadap segala pengorbanan ibu kepada anak-anaknya yang tidak ternilai tidak harus bersifat 'bermusim' atau hanya sekadar satu hari, ujar Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh.

Dedikasi agung sepanjang masa katanya, perlu diberikan kepada seluruh kaum ibu sejajar dengan pengorbanan melahirkan dan mendidik generasi sehingga ke hari ini,

Katanya, wanita yang bergelar seorang ibu berhak mendapat penghormatan, pengiktirafan, penghargaan dan ihsan atau kebaikan daripada anak-anak.

Malah katanya, Allah S.W.T menyuruh manusia mengabdikan diri kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mensyukuri Allah.

Dengan itu katanya, tidak selayaknya perit seorang ibu hanya dikenang dengan memberi anugerah dan penghormatan pada satu hari dalam setahun.

"Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendapat para ibu sewajarnya sentiasa didekati dengan kasih sayang, perhatian, penghormatan oleh anak-anak dan keluarga.

"Biarlah dekat seorang ibu dengan perhatian, rahmat dan kasih sayang Allah atas ketulusan budi dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi," katanya dalam satu perutusan hari ibu baru-baru ini.

Katanya, seorang ibu tidak mengharapkan kepada balasan atas pengorbanan mereka tetapi kerana ibu memiliki sekeping hati yang diselaputi rasa kasih sayang sehingga segala kesukaran dan kesulitan semasa mengandung sehingga anak-anak membesar tidak membekas di sanubarinya.

Ujarnya, institusi keluarga yang berjaya adalah keluarga yang di dalamnya wujud 'rasa mahabbah' atau kasih sayang yang didasari oleh pemupukan dan penerapan nilai-nilai Islam yang murni.

Asas penting pembinaan keluarga ujarnya, untuk membajai 'fahaman Islam' sehingga nukleus kecil dalam pembentukan keluarga akan berkembang kepada proses pembentukan masyarakat yang harmoni.

Oleh yang demikian katanya peranan ibu sebagai 'mahaguru alam' tidak dapat dinafikan. Mahaguru inilah yang memainkan peranan paling awal untuk mendidik generasi.

"Wanita, tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya bisa menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang," katanya.

Sebagai pendidik alam ini katanya, kaum ibu perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan melalui proses tarbiyah supaya mampu memberi didikan yang seimbang kepada anak-anak dalam semua aspek kehidupan.

Didikan tersebut katanya, dalam membentuk aspek pembinaan material semata-mata, tetapi bermula dari membentuk jati diri seorang individu dengan akhlak yang mulia.

Katanya, pengurniaan taraf seorang ibu banyak tercatit dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w..

"Berbuat baiklah kepada ibu kita..ingati dengan segar terhadap segala budi baik mereka semasa mengandungkan kita selama sembilan bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, malah mendidik kita...temanilah ibu dikala senang dan susah, hargailah mereka, sayangilah mereka, doakanlah ibu sentiasa dilindungi dan dipermudahkan dalam segala perkara," katanya. - mns

Sunday, May 10, 2009

Nelayan terjerat bayar balik pinjaman dana tsunami

Nelayan terjerat bayar balik pinjaman dana tsunami
Mohd Sabri Said
Sun | May 10, 09 | 2:39:31 pm MYT

KUALA MUDA, KEDAH, 10 Mei (Hrkh) - Dana Khas Tsunami Nelayan yang diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LIKM) akhirnya menjerat nelayan Tepi Kuala Sungai, Kuala Muda, Kedah apabila ramai antaranya tidak dapat membayar balik pinjaman akibat bantuan yang diperolehi telah rosak.

Pemimpin masyarakat nelayan sekitar Kuala Tepi Sungai, Ismail Othman menegaskan, sepatutnya mereka yang benar-benar terlibat dengan bencana tsunami tidak dipelawa meminjam Dana Khas Tsunami sebaliknya diberikan borang Skim Pinjaman Kemesraan Rakyat (SPKR).

Sekarang ini mangsa seramai 44 orang yang secara langsung hilang mata pencarian sewaktu ancaman tsunami itu bimbang diheret ke mahkamah berikutan sudah dua ke tiga kali surat daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda diterima.

"Saya sendiri pun menerima surat kali ketiga untuk pergi berbincang dengan PNK cara pembayaran seterusnya. Tak apalah saya masih turun ke laut bagaimana pula kalau mangsa merupakan warga tua yang kini sedang sakit," ujarnya.

Semasa LKIM menerusi PNK memperkenalkan borang itu dulu para nelayan sudah terasa bahang pembayaran balik tetapi apa boleh buat waktu itu memang semua peralatan ke laut seperti perahu, pukat dan enjin rosak.

Nelayan tiada pilihan lain melainkan dana tersebut walaupun sedar ia boleh menimbulkan risiko jika gagal menjelaskan. Bila bantuan seperti bot, pukat atau enjin rosak nelayan terpaksa mencari dana lain untuk membeli peralatan kerana kerja ke laut adalah mata pencarian mereka seharian.

"Kita tahu waktu isi borang ramai yang berpusu-pusu memohon bantuan sehingga setengahnya berbohong kononnya hilang mata pencarian. Walhal dalam senarai yang ada pada saya hanyalah 44 orang. Sekarang ini 44 individu yang menjadi mangsa terperangkap dengan dana tersebut kerana ada yang sudah tua, sakit malahan yang telah mati pun ada," jelas beliau.

Lebih baik katanya, pinjaman itu dilupuskan daripada kalangan mangsa sebenar terutamanya golongan yang daif, tua dan sudah tidak ke laut daripada terus mencengkam hidup mereka.

Seorang mangsa, Roslan Awang 46 berkata, perahu yang diperolehi daripada bantuan dana itu telah rosak akibat terkena cerucuk besi yang dibina oleh sebuah syarikat pengorek pasir di persisiran pantai kampung berkenaan.

Malangnya, sampai hari ini syarikat berkenaan tidak membayar ganti rugi dengan alasan syarikat itu kini tidak lagi seaktif dulu melaksanakan projek besar.

"Sekarang saya nak bayar macamana perahu dah rosak. Saya pinjam RM35 ribu dan bayaran sebulan RM460.00. Buat masa ini saya pakai perahu pinjam daripada ayah saya yang sudah tidak ke laut," katanya sedih.

Dana Khas Tsunami diberikan kepada nelayan yang terlibat dengan trajedi tsunami pada 26 Disember 2004 lalu di mana bayaran balik dikenakan sebahagianya sahaja contohnya sesiapa yang meminjam RM15 ribu mereka dikehendaki membayar balik sejumlah RM750.00. - mns

Kesedaran terhadap bacaan al-Quran semakin meningkat

Kesedaran terhadap bacaan al-Quran semakin meningkat
Muhammad Arif Ismail
Sun | May 10, 09 | 2:04:57 pm MYT

BATU CAVES, 10 Mei (Hrkh) - Kesedaran masyarakat Islam terhadap bacaan atau tilawah al-Quran semakin meningkat dengan sambutan daripada pihak media.

Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah al-Quran peringkat Negeri Selangor, Dato' Ramli Mahmud.

Menurut beliau, satu fenomena yang sangat menarik untuk dikongsi bersama ialah bagaimana kesedaran umat Islam terhadap bacaan dan tilawah al-Quran semakin mendapat sambutan.

"Semua peringkat usia dilihat bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran," katanya sempena Majlis Penutup dan Penyampaian Hadian Tilawah al Quran Peringkat Negeri Selangor 1430H/2009M di Masjid Jamek Amaniah, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama dalam Majlis Penutup tersebut, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang juga ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato' Muhammed Khusrin Munawi; Ketua Hakim Syarie, Dato' Zohdi Toha dan Dato' Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Menurut beliau, kesedaran ini turut disuburkan oleh pihak media khususnya media elektronik yang mula menerbitkan rancangan-rancangan yang berkaitan dengan bacaan tarannum dan tajwid al-Quran.

"Kemunculan program Akademi al-Quran dan Mari Bertarannum di TV 9, Tilawah Interaktif dan Qiraatul Quran di TV1 serta Kalam Suci di Astro Oasis menjadi penyubur jiwa keinginan umat Islam untuk mengenal kesucian kitab al-Quran.

"Kita mengharapkan peranan media dalam memartabatkan al-Quran untuk terus meningkat ketika umat Islam begitu dahaga dengan segala petunjuk dan ilmu yang terkandung dalamnya," katanya.

Kesedaran ini katanya, sewajarnya disambut oleh tokoh-tokoh dan pakar al-Quran dengan menghamparkan segala ilmu yang ada pada mereka.

"Pembacaan al-Quran yang baik lagi sempurna adalah secara tartil yakni tepat, jelas sebutan huruf serta menepati hukum hakam tajwid," ujar beliau.

Sementara itu, pada tahun ini, tempat pertama telah dimenangi qari dari Daerah Hulu Selangor, Ahmad Mustafa Mohd Sidin. Manakala, qariah pula dimenangi oleh johan menunggu dari daerah Sepang, Norfaizah Panut.

Mereka berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000, piala iringan, sepersalinan pakaian, sijil penghargaan dan hadian mengerjakan umrah serta akan menjadi wakil calon negeri Selangor ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada 6 hingga 10 Julai di Ipoh, Perak Darul Ridzwan.

Hadiah tersebut telah disampaikan oleh Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mewakili DYMM Sultan yang menjalani rawatan jantung di Amerika Syarikat. - mns