Monday, May 18, 2009

Dasar Islam jadikan PAS terus utuh - Presiden

Dasar Islam jadikan PAS terus utuh - Presiden

Basiron Abdul Wahab
Mon | May 18, 09 | 1:35:11 pm MYT

BERA 18 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Dato� Seri Abdul Hadi Awang mempertegaskan bahawa dasar Islam adalah punca kekuatan PAS selama ini.

Katanya dengan dasar itu, Kerajaan PAS gagal dijatuhkan walaupun dengan kekuatan majoriti hanya satu kerusi di Kelantan apabila wakil Rakyat PAS gagal dibeli walaupun dengan nilai yang amat tinggi.

"Adun PAS mempunyai kekuatan akidah yang kental untuk menolak tawaran-tawaran yang dibuat kepada mereka," kata beliau ketika berucap pada Majlis Penerangan di Darul Ikhwan, Bera.

Menceritakan sejarah lampau, beliau berkata, Umno melakukan pengkhianatan terhadap rakyat yang memilih PAS memerintah di Kelantan dan Terangganu sekitar tahun 1960-an dengan melakukan sabatoj dan penculikan Adun dalam usaha untuk mejatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat.

"Di Terengganu mereka membeli Adun Parti Negara dan akhirnya berjaya menjatuhkan kerajaan PAS di negeri itu, di Kelantan pula Adun PAS diculik dan dibawa ke Kuala Lumpur kemudian dibawa ke persidengan Dun Kelantan, Namun Adun PAS berkenaan tidak menyokong undi tidak percaya menyebabkan Kerajaan Kelantan gagal di jatuhkan.

"Kini diulangi pula di Perak dalam usaha untuk berkuasa selepas ditolak rakyat dalam pilihan raya umum," ujarnya.

Menurut Tuan Guru, jika di negara maju, perbuatan Umno itu boleh menjatuhkan kerajaan pusat kerana di dalam negara demokrasi rakyat adalah hakim tertinggi adalah rakyat, bila kerajaan lemah rakyat akan menggantikannya dengan kerajaan baru.

"Bagiamanpun di negara kita, tahap kefahaman politik rakyat masih rendah dan mereka tidak memahaminya menyebabakan Umno-BN terus berkuasa walaupun melakukan pelbagai perkara yang mencemarkan demokrasi," ujar beliau.

Mengenai PAS, beliau menegaskan semua pihak mempunyai peranan tersendiri termasuk golongan profesional malah katanya, golongan profesional terlibat sama dalam menubuhkan PAS.

PAS, katanya pernah dipimpin oleh Dr Abas dan ramai tokoh profesional di dalam PAS termasuklah Tan sri Aminuddin Baki, Prof Ahmad Ibrahim dan lain-lain. Image

Menurutnya, laporan media kononya PAS bergolak hanyalah laporan media di luar PAS yang tidak memahami dan melihat PAS dari dalam.

"Umpama kita mengubah suai rumah kedengaran riuh dari luar wal hal kita mengemas rumah dan mengalih parabut, memanglah kedengaran dari luar bising tetapi kita di dalam tahu apa sedang kita buat," katanya. - mns _

Penjelasan terhadap kenyataan yang salah dalam Sinar Harian, 18 Mei 2009

Penjelasan terhadap kenyataan yang salah dalam Sinar Harian, 18 Mei 2009
WAN HASRINA WAN HASSAN
Mon | May 18, 09 | 8:56:51 pm MYT

Di sini saya ingin perjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian 18 Mei, 2009 yang menyimpang langsung daripada kenyataan sebenar yang dibuat oleh saya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian berbunyi, "Kemasukan ahli- ahli baru yang juga bekas ahli parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) ke dalam PAS antara faktor menularnya amalan sagu hati atau sogokan kepada perwakilan menjelang Muktamar PAS Jun ini."

Kenyataan sebenar saya adalah, "Untuk memastikan PAS terus bersandar pada dasar yang sebenar seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan PAS itu menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukkan maka PAS perlulah meneruskan proses pendidikan (tarbiyah) kepada ahli-ahlinya terutamanya kepada ahli-ahli baru yang mana kita tahu kebanyakan ahli-ahli baru datangnya dari berbagai latar belakang pendidikan dan fahaman politik termasuklah mereka yang datang dari Umno dan orang-orang yang tidak berparti. Oleh itu dengan proses tarbiyyah ini saja kita yakin PAS dapat membendung budaya-budaya yang tidak sihat daripada menular di dalam perjuangan PAS ini."

Tidak timbul langsung kenyataan saya yang mengaitkan ahli-ahli baru ini dengan gejala politik wang kerana saya percaya politik wang tidak wujud di dalam proses pemilihan kepimpinan di semua peringkat dalam PAS. Kenyataan yang dibuat oleh Sinar Harian ini berhasrat untuk menimbulkan konflik antara ahli PAS.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor_

Elak berulang tragedi 13 Mei: PAS teroka politik baru di Malaysia

Elak berulang tragedi 13 Mei: PAS teroka politik baru di Malaysia
Muhammad Yusri Amin
Mon | May 18, 09 | 5:20:15 pm MYT

KOTA BHARU, 18 Mei (Hrkh) - Masihkah anda ingat peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Rusuhan kaum yang mencatat sejarah hitam negara ekoran kegagalan kerajaan Perikatan (Barisan Nasional) menyusun masyarakat secara adil.

Berdasar kepada kajian, peristiwa berdarah itu berlaku kerana polisi kerajaan yang tidak seimbang antara kaum.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, pemimpin Umno yang mengetuai kerjaaan Perikatan gagal mengurus penyusunan masyarakat sehingga menyebabkan orang Melayu dan orang Cina bermusuhan.

"Dan berlakulah peristiwa 13 Mei di mana sesetengah ahli sejarah mendakwa ia berlaku kerana kegagalan pemimpin Umno melahirkan keseimbangan dalam kehidupan masyarakat terutamanya di bandar-bandar besar.

"Sedangkan peristiwa berdarah itu tidak berlaku di Kelantan. Ini kerana sebaik sahaja tercetus rusuhan di Kuala Lumpur, Dato' Asri Muda memanggil semua penghulu dan mengarahkan mereka menjaga keselamatan mukim masing-masing," katanya di sini.

Menurutnya penghulu diberi tanggungjawab oleh kerajaan PAS ketika itu bagi memastikan tidak berlaku peristiwa berdarah seperti di tempat lain pada 13 Mei.

Beliau juga berkata, pemimpin PAS di Kelantan sejak awal lagi mengutamakan keseimbangan antara kaum bagi mengelakkan ada kelompok masyarakat yang tersisih.

Oleh itu katanya usaha kerajaan PAS mengadakan Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan 13 Mei 2009 baru-baru ini bagi mencetus langkah proaktif ke hadapan dengan meneroka politik baru di Malaysia.

"Dan oleh kerana itu, saya fikir Mursiydul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz telah mengambil inisiatif untuk menggagaskan konsep perpaduan nasional sebagai premis politik yang baru di negara ini," katanya. - mj

Lutfi, isteri ucap terima kasih atas keprihatinan pembaca

Lutfi, isteri ucap terima kasih atas keprihatinan pembaca
Atriza Umar
Mon | May 18, 09 | 5:05:57 pm MYT

Allahmdulillahi Rabbil 'alamin. Dengan limpahan Rahmat-Nya, yang memberi sesuatu ujian dan menyelesaikan dengan timbunan Maghfirah dan Mawaddah. Pada petang Ahad, anak ketiga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Ikmal Syafiq Ahmad Lutfi dibenarkan keluar dari wad setelah seminggu terlantar akibat demam denggi di wad 6B, Hospital Ampang, Selangor.

Ujian yang ditempuhi dengan bergunung usaha, kesabaran, doa dan tawakal oleh keluarga Ahmad Lutfi Othman dan Siti Hawa Samsam dibalasi dengan sebaik-baik balasan. Alhamdulillah.

Dengan ini, saya mewakili beliau dan isterinya, Siti Hawa merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu terutama di waktu Ikmal Syafiq dalam keadaan kritikal pada pagi Rabu lalu, iaitu hari ketiga ditempatkan di wad, sebelum dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU), khususnya buat para doktor, jururawat, termasuk pelatih dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau terharu

Lutfi cukup terharu dengan sikap warga Hospital Ampang yang terbabit bertungkus-lumus menyelamatkan anaknya. "Mereka bertugas dengan begitu cemerlang sekali. Hanya Allah dapat membalas jasa baik mereka, kami pasti tidak akan dapat melupakan mereka," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya ke atas keprihatinan pembaca Harakahdaily yang tidak putus-putus memberi dorongan, kata perangsang, selain petua-petua bermanfaat untuk merawat demam denggi yang dihidapi anaknya. Ada juga yang mengirim air penawar dan rawatan alternatif.

Beliau juga memohon maaf kerana tidak sempat membalas begitu banyak SMS yang memberi dorongan dan kata-kata nasihat daripada pembaca Harakahdaily di seluruh negara.

Difahamkan ramai juga pimpinan PAS yang turut menziarahi Ikmal Syafiq. Begitu juga banyak majlis doa selamat dan solat hajat, terutama yang diadakan selepas solat Jumaat lepas.

"Doktor mengesahkan Ikmal diserang dengue shock syndrome. Saya difahamkan ia sering mengakibatkan kematian secara tiba-tiba jika tidak mendapat rawatan sewajarnya dalam waktu kritikal itu," kata Lutfi yang pernah kehilangan anak perempuannya, Nurul Syafiqah yang disyaki diserang penyakit sama, pada hari pertama Ramadan, Oktober 2005.

Sepanjang tujuh hari di wad Hospital Ampang, Lutfi dan isteri berasa cukup puas hati dengan layanan yang diberikan, termasuk oleh para pengawal keselamatan di situ. "Terutama jururawat di ICU tingkat tiga, mereka memberikan khidmat penuh cemerlang, terutama dalam menghadapi karenah anak saya di waktu genting itu," tambahnya.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja di Harakah dan sahabat taulan yang bertali arus menziarahi anaknya.

Sesungguhnya hanya Allah yang dapat membalas kebaikan dan doa kalian. Insya-Allah perjuangan ini akan diteruskan._

Guru pendinding ampuh bendung anasir negatif

Guru pendinding ampuh bendung anasir negatif

Ustazah Nuridah Salleh (Ketua DMPP)
Mon | May 18, 09 | 3:38:29 pm MYT

Selamat Hari Guru diucapkan kepada para guru Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab dalam mendidik generasi ummah.

Tahniah dan syabas buat kalian di atas kesungguhan dan kesabaran dalam mendukung visi dan misi murni menyampaikan ilmu.

Tema Hari Guru ke-38 'uru Pembina Negara Bangsa' menyerlahkan agenda membina tamadun negara melalui proses pendidikan yang menjadi nadi profesyen perguruan.

Cabaran guru masa kini berhadapan dengan masalah kebejatan sosial masyarakat yang bermula daripada institusi keluarga yang rosak. Apabila institusi keluarga sejahtera gagal dibentuk, maka pembinaan individu manusia menjadi tidak seimbang.

Ini mengakibatkan guru-guru terpaksa terlebih dahulu menangani 'masalah sikap' para pelajar sebelum meneruskan proses penyampaian ilmu dengan pelbagai medium dan kaedah bersesuaian.

Selain itu proses membentuk daya tahan dan membangunkan sistem imuniti melalui aspek penerapan 'akidah' dan kefahaman terhadap agama serta akhlak merupakan cabaran para guru. Ini adalah kerana dunia ledakan maklumat tanpa sempadan seringkali membuka ruang dan peluang untuk anasir-anasir negatif.

Guru-guru dengan wibawa yang tersendiri mampu melatih pelajar dalam mewujudkan daya saing yang ampuh bagi mendepani segala anasir dan unsur-unsur negatif yang berleluasa.

Segala cabaran kehidupan yang dipengaruhi aspek teknologi serta pengembangan ilmu pada hakikatnya akan mendatangkan kesan positif secara menyeluruh sekiranya pengarahan dan halatuju adalah berdasarkan konsep yang telus.

Sebagaimana Allah SWT menukilkan dalam surah al-'Asr yang bermaksud: "Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Sekali lagi ucapan penghargaan kepada para guru Malaysia di atas segala komitmen membentuk jatidiri masyarakat Malaysia.

Anjakan paradigma terhadap peranan mendidik masyarakat perlu dijadikan satu agenda pelaksanaan yang menyeluruh kepada semua warga Malaysia, agar agenda 'mendidik anak bangsa' tidak hanya diletakkan di bahu para guru semata-mata. - lanh

Terima kasih Cikgu kerana 'selamatkan' saya...

Terima kasih Cikgu kerana 'selamatkan' saya...
Azamin Amin
Mon | May 18, 09 | 2:35:19 pm MYT

Masih belum terlewat untuk menitipkan sebaris kalimah yang tidak mungkin boleh membalas budi baik, niat ikhlas dan sakit pening mendidik, menggilap dan mengasah susuk tubuh ini agar menjadi 'manusia'. Terima kasih Cikgu.

Izinkan saya mencoret secubit kisah, pengorbanan guru...

Ya, bagaimana mungkin sebilangan besar guru-guru di sebuah sekolah asrama di Perak akan melupakan seorang pelajar tingkatan dua tahun 1989, yang lari daripada sekolah di waktu malam, menaiki keretapi lalu ke utara tanah air tanpa diketahui oleh sesiapa.

Gamat satu sekolah keesokannya. Namun kisah 'fugitive' itu tidak bertahan lama. Dua hari selepas itu saya berjaya 'ditangkap'.

Tidak mungkin juga, mana-mana guru dapat menghilangkan wajah seorang Azamin yang terpaksa berdiri di hadapan ratusan pelajar pada hari perhimpunan Jumaat, kerana melanggar displin sekolah.

Digelar oleh guru displin sebagai P1 (Penjenayah, penjahat, perosak dan pelbagai perkataan P yang menunjukkan akhlak saya tidak elok).

Bukan sekali langgar. Acap kali. Antaranya bertumbuk, bergaduh, pecah almari makmal, bawa 'lari' sebuah TV asrama ke bilik gerakan sekolah semata-mata untuk menonton video, meronda-ronda ke Asrama Puteri lewat malam dan aneka macam kelaku yang cukup memalukan. Image
Seringkali mata memandang serong apabila saya menuju ke bilik pengetua sekolah untuk menjalani hukuman sebatan rotan yang cukup menyakitkan. Lebih mengaibkan, ayahanda terpaksa datang sebab saya digantung selama seminggu kerana mencederakan pelajar.

Senarai panjang salah laku, tidak mungkin dapat memenuhi coretan ini. Cukup secebis, tanda pengakuan salah sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Saat itu, umpama sudah ada 'sayap untuk terbang'. Terlalu angkuh, padahal hijau lagi akal budi.

Cumanya... paling menyayat hati dan tersentuh jiwa, walau setinggi mana gumpalan noda dan dosa, biar melangit saya melompat, dan tersungkur ke bumi sekalipun, guru-guru sekolah tidak pernah 'membuang' ataupun 'menyisih' saya.

Malah ketika saya 'jatuh', mereka mengutip saya, mengangkat lalu menjulang semula ke atas. Tanpa serik, saya kembali 'liar' melonjak ke sana ke mari mencabar jiwa naluri seorang guru.

Setelah lama, saya 'jatuh' terperusuk lagi. Sepi, sakit dan berdarah. Guru-guru, sekali lagi memapah, memeluk dan menyelamatkan saya sambil membasahkan bibir dengan kalimah kata-kata hikmat dan azimat. Tanpa peduli, siapa saya yang dikenali cukup bermasalah.

Tidak putus-putus, seorang demi seorang menasihati saya. Baik guru lelaki mahupun perempuan. Baik yang beragama Islam mahupun bukan. Tanpa kecuali guru kaunseling, silih berganti, menjadikan saya sebagai subjek bermasalah yang perlu ditangani dengan segera.

Selama setahun lebih guru-guru memulih dan menenangkan 'pemberontakan' saya.

Bayangkan tanpa ayah ibu di depan mata, guru-guru menjadi keluarga pengganti diri. Jika tidak sabar, sudah pasti tidak ada sekelumit nurani pun yang berhajat untuk membimbing saya ketika itu. Tanpa jemu, guru-guru terus memberi semangat juang yang tinggi untuk menjadikan saya, seorang pelajar yang baik.

Tahun 1990, terbit rasa insaf. Berjurai air mata tatkala mendengar kalimah tajam menusuk jiwa daripada guru-guru saya.

"Awak terlalu matang untuk membuat kerja-kerja bodoh ini. Seorang pemimpin, bukan begini kelakuannya.," nasihat seorang guru perempuan kepada saya yang ketika itu berada di tingkatan tiga.

"Azamin, cara awak berkata-kata, bercerita menunjukkan tahap pemikiran yang sama sekali berbeza dengan sifat yang awak tunjukkan selama ini. Berubahlah, disebalik keburukan pasti ada cebis kebaikan awak," kata seorang guru kaunseling sambil menitiskan air mata.

Walaupun tercatat nama dalam buku hitam dispilin sekolah termasuk satu rekod di Balai Polis Ipoh kerana lari sekolah, saya 'bangkit' semula atas usaha jerit pedih cikgu-cikgu mendidik saya.

Ya...bukan senang menjadi guru. Siang malam bergelumang dengan karenah dan ragam pelajar yang kini cukup dasyat, menyeramkan dan meloyakan.

Saya, antara bukti yang masih hidup. Betapa payahnya, guru-guru melentur saya, namun akhirnya berjaya jua.

Berapa ramai guru di seluruh negara, secara 'tidak sengaja' dan tanpa niat telah melahirkan beratus-ratus malah ribuan 'binatang' di luar sana. Perompak, perogol, penjenayah, penagih dan pembunuh yang asalnya juga daripada suci perut ibu mengandung, juga asalnya seorang pelajar sekolah. Pasti mengecewakan. Namun itu bukan salah cikgu. Image

Alhamdullilah, saya terselamat kerana guru-guru saya sempat dan cepat. Calar-balar dan lebam di tubuh serta tempeleng dan jerkahan guru menjadikan saya sedar kesilapan yang dilakukan.

Jika tidak, entah di kolong manalah saya melabuhkan lena, entah di longkang manalah saya terjaga. Lorong hitam manalah saya berkelana dan mungkin perginya tanpa nama, atau lebih pedih dihina.

Jikalau badan saya tidak berbirat dan tiada pekikan guru menerjah telinga saya, sudah pasti saya tidak berada di sini.

Mungkin tidak ada sesuatu pun boleh dibanggakan oleh guru-guru terhadap saya. Namun sejahat mana sekali pun saya, seteruk mana libasan guru ke tubuh saya, sekuat mana tempikan guru kepada saya...saya tidak pernah melawan guru.

Jauh sekali untuk mencalarkan kereta atau memancitkan tayar kereta cikgu atau mengajak cikgu 'bertempur' di luar sekolah. Biar apapun, dua jenis manusia yang tetap saya hormati sepanjang hayat...'ayah ibu dan guruku'.

Mungkin guru-guru saya, di sekolah, di kolej atau di pondok pasti akan bersyukur dan merasa sungguh bangga apabila sebilangan besar anak-anak didik mereka telah menggapai 'bintang'.

Yang menjadi doktor, peguam, jurutera, pendidik, usahawan, pemimpin politik dan berada di puncak pasti akan menyejukkan hati guru-guru saya.

Cuma tentang diri saya... adakah guru -guru bersyukur dan rasa penat-lelah mereka berbalas apabila saya berada 'di sini', di lingkungan oposisi?

Hajat di hati, ingin saya merakamkan nama-nama guru saya di coretan ini namun rasa tidak sampai hati dan tidak tergamak, mana tahu bakal 'terpalit lumpur' di sebabkan oleh saya, maklumlah saya di berada 'di sini'.

Saya begitu berbesar hati untuk membariskan senarai semua guru-guru yang telah 'menyelamatkan' saya selama ini, namun hati kecil penuh sayu terpaksa membatalkan hasrat kerana tidak mahu menyusahkan cikgu di kemudian hari.

Walau apapun tanggapan dan sangkaan, saya tetap menyanjung cikgu kerana telah 'menyelamatkan' saya dan kini saya berada 'di sini', memperjuangkan apa yang saya percayai...

Sebelum mata tertutup rapi atas kesalahan saya selama ini, saya mohon ampun dan maaf atas segala tutur-kata dan gerak-gaya yang menyinggung dan mengusik hati cikgu yang cukup baik terhadap saya. Moga sudi teruskan mendoakan saya bersama perjuangan ini.


Muridmu suka mencabar hati,
Asyik melawan, langgar arahan.
Budi baik guruku sejati,
Jasamu kutebus di depan tuhan.

"TERIMA KASIH, KASIH DIJULANG...SELAMAT HARI GURU." - azm

(Artikel ini ditulis setelah tercetus ilham sejurus berada di pekarangan hadapan Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun, Ipoh jam 3.50 pagi, 7 Mei lalu. Sebarang pandangan, luahan dan kritikan, bolehlah dimajukan kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )_

Wabak influenza A: Saringan mesti diperketatkan, tidak lalai

Wabak influenza A: Saringan mesti diperketatkan, tidak lalai
Roy Rasul
Mon | May 18, 09 | 2:13:10 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh) - Saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa yang menerima kemasukan pelawat dari negara-negara yang dilanda wabak influenza A(H1N1) perlu dilakukan dengan telus serta diperketatkan.

Ini tegas, Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman, kes pertama wabak influenza H1N1 yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan pada Jumaat lalu di negara ini yang melibatkan seorang pelajar yang baru pulang dari Amerika Syarikat berkemungkinan berlaku kelalaian di segi itu.

Beliau yang dihubungi berharap kerajaan melaksanakan pengawasan secara menyeluruh.

Malah katanya apabila hasil saringan kesihatan pelawat didapati mempunyai wabak tersebut mereka perlu dikuarantin.

"Sesiapa saja yang memasuki ke negara ini sama ada melalui darat, laut dan udara perlu dibuat pemeriksaan secara terperinci.

"Kerana sebelum ini negara kita tiada kes lagi, jadi apabila tiba-tiba wabak itu berada di negara ini, mesti ia dibawa dari negara luar.

"Mangsa itu balik daripada luar negara maksudnya kita punya pemeriksaan tak betul-betul telus," katanya.

Beliau berkata, wujudnya wabak influenza A(H1N1) itu mungkin ada kebocoran atau kelalaian di mana-mana pintu masuk.

Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican dipetik berkata, mangsa wabak tersebut seorang pelajar berusia 21 tahun dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, pelajar yang pulang ke tanah air pada 13 Mei lalu itu mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan pada keesokan harinya dan dibawa ke hospital pada hari yang sama kira-kira pukul 6.45 petang.

Mengulas lanjut, Dr Hayati berkata, pemeriksaan yang dilakukan di negara ini tidak setaraf.

"Contohnya di Pulau Pinang, didapati pemeriksaan suhu badan dibuat ke atas orang dewasa dan kanak-kanak berbeza. Di mana orang dewasa dibuat di dahi dan kanak-kanak di dalam telinga. Sedangkan cara paling berkesan dalam telinga.

"Sebenarnya jika di periksa atas dahi bacaan suhu mereka tidak tepat kerana mungkin mereka baru lepas berada dalam penghawa dingin," jelasnya.

Selain itu katanya, pengisian borang semasa sampai di pintu masuk negara perlu juga telus sama ada mereka mempunyai selsema atau tidak.

Katanya, walaupun simptom-simptom wabak tersebut hampir sama dengan selsema biasa tetapi apa yang wabak tersebut telah masuk ke negara ini.

Namun katanya, rakyat negara ini tidak perlu terlalu risau dan panik kerana ia satu kes terpencil.

Apa yang penting tegasnya, kerajaan perlu mengetatkan kawalan di semua pintu masuk di negara ini. - azm

Najib tiada kekuatan untuk buat perubahan politik

Najib tiada kekuatan untuk buat perubahan politik
Basiron Abdul Wahab
Mon | May 18, 09 | 1:56:16 pm MYT

BERA 18 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan Parti KeAdilan Rakyat Pahang, Ahmad Nizam Hamid mengatakan, Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Razak tidak mempunyai kekuatan politik untuk membuat perubahan politik.

Berucap pada majlis penerangan Pakatan Rakyat dekat sini beliau menegaskan apa yang dilakukan oleh perdana menteri hanyalah sekadar membuat slogan kosong yang tidak bermakna.

Menurutnya, slogan 'Satu Malaysia' tidak membawa apa-apa makna kerana pada ketika sama, amalan kerajaan Pusat masih tidak memperlihatkan suatu perubahan kepada konsep satu Malaysia. Kerajaan Pusat masih terus mengamalkan dasar mendiskriminsikan kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat melalui penubuhan agensi pusat bagi mengganggu pentadbiran kerajaan negeri atau menubuhkan �kerajaan dalam kerajaan�.

Dasar lama diteruskan dan tidak ada tanda-tanda ia akan dihapuskan walaupun perdana menteri telah mengumumkan dasar 'Satu Malaysia'nya.

Ahmad Nizam yang juga Ketua KeADILan bahagian Temerloh dalam ucapan sama turut mendedahkan kepincangan urus tadbir kerajaan Barisan Nasional Pahang yang terbabit dalam skandal pembalakan.

Katanya, isu saman RM63 juta terhadap kerajaan negeri oleh syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn BHd (SGMSB) adalah sebahagian daripada rentetan kes saman membabitkan kerajaan negeri Pahang.

Beliau mendakwa, akan ada lagi saman terhadap kerajaan akan muncul selepas ini dalam jumlah yang jauh lebih besar.

Jelas beliau, isu saman SGMSB berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang baik berlandaskan undang-undang sedia ada. Ini kerana kes berkenaan berpunca daripada salahguna kuasa menteri besar Pahang terdahulu yang telah meluluskan tanah seluas 10,000 ekar kepada Umno Bahagian Pekan.

Katanya, pada tahun 1998, Menteri Besar Pahang serta sebahagian besar barisan anggota exconya adalah ahli Umno. Mereka hadir dan aktif dalam mesyuarat Exco yang meluluskan tanah kepada Umno. Ini merupakan suatu kesalahan tetapi gagal diambil tindakan oleh pihak berkuasa walaupun banyak laporan telah dibuat kepada Suruhan Jaya Pencegah Rasuah (SPRM) dan Polis.

Ahmad Nizam mendakwa, setelah memperolehi tanah berkenaan, Umno tidak menjelaskan bayaran premium berjumlah RM4.8 juta kepada kerajaan negeri menyebabkan kerajaan kehilangan hasil bagi tanah berkenaan sebaliknya tanah tersebut dijual kepada SGMSB dengan harga hanya RM50,000 sahaja.

Tambahnya, sehingga kehari ini Umno masih tidak membayar premium tanah berkenaan kepada kerajaan negeri tetapi pihak berkuasa tidak juga mengambil tindakan kepada Umno.

Beliau mempersoalkan keberkesanan agensi kerajaan menjalankan tugas dengan berkesan apabila membabitkan Umno.

"Bila membabit Umno agensi kerajaan gagal menjalankan penguakuasaan berbeza apabila rakyat biasa gagal membayar cukai kepada pihak berkuasa tempatan umpamanya, segera tindakan diambil," katanya. - mns

Apabila yang haram jadi Menteri Besar

Apabila yang haram jadi Menteri Besar
Dato' Mahfuz Omar
Mon | May 18, 09 | 1:43:43 pm MYT

MINGGU lepas suasana politik negara kita agak aneh. Dalam suasana tegang kerana penyalahgunaan pasukan keselamatan untuk menjaga 'keselamatan' kuasa politik Umno/BN, tiba-tiba 13 tahanan ISA dibebaskan.

Saya amat kesal sekali dengan kejadian pencerobohan oleh satu kumpulan yang dikatakan 'pasukan keselamatan' ke atas Dun Perak, sedangkan di luar pejabat SUK Perak, sejumlah polis sedang menyekat kebebasan rakyat untuk bergerak, berhimpun dan berpendirian politik.

Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah negara kita sidang Dun dicemari oleh penceroboh yang bersenjata. Hal ini tidak akan berlaku sekiranya BN tidak melakukan rampasan kuasa pada Februari 2009 lalu. Rampasan kuasa ini walaupun kelihatan seperti mendapat restu istana, tetapi rakyat telah membuat penghakiman bahawa ia adalah sesuatu yang tidak baik.

Kerana pendirian tegas rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang menolak politik ugut, culik, paksa dan rasuah yang diamalkan oleh Umno/BN, maka ketika bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti, pemimpin BN mempertikaikannya. Bahkan, Najib Razak awal-awal sudah membayangkan kemungkinan BN tidak bertanding. Sebabnya hanya satu... takut kalah lagi.

Dalam keadaan politik ketakutan ini, nampaknya M Manoharan, Adun Kota Alam Shah lebih licik apabila beliau membuat ugutan untuk meletakkan jawatan jika tidak dibebaskan daripada tahanan ISA. Kerana terlalu takutkan pilihan raya kecil, Najib Razak tidak ada pilihan melain membebaskan Manoharan. Duabelas yang lain mendapat �durian runtuh� daripada pembebasan ini. Cerita tentang Penanti dan ISA ini menyinggung hidup saya kerana saya pernah ditahan ISA dan pernah juga bertanding di Parlimen Permatang Pauh yang Dun Penanti terletak di dalamnya.

Kerana sindrom takutkan pilihan raya atau lebih tepat lagi takutkan penghakiman rakyat, BN melakukan taktik kotor untuk mendapatkan kuasa. Dulu mereka merampas kerajaan Perak, baru-baru ini mereka melakukan rampasan jawatan Speaker Dun Perak secara tidak berperlembagaan. Keadaan sudah menjadi kecoh kerana Dun Perak tidak dapat bersidang dengan baik dan sempurna, bahkan dianggap tidak sah.

Umno/BN terpaksa mengadakan sidang tegesa-gesa ini untuk mengelakkan Dun terbubar dengan sendiri kerana sudah hampir enam bulan tidak bersidang. Dan mereka berusaha dengan cara yang jahat untuk menlantik Speaker haram, R Ganesan dengan tujuan membolehkan mereka mengemukakan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Telahan mereka memang tepat kerana selepas sidang tersebut, mahkamah telah mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar yang sah. Maknanya Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar haram!

Kini Umno tidak ada jalan lain kecuali memperalatkan mahkamah untuk menjatuhkan Nizar. Masalahnya kedudukan Speaker Dun masih tidak jelas. Jika Dun brsidang juga, ia akan menimbulkan keadaan politik yang lebih kecoh terutama sekiranya undi tidak percaya dibuat. Bukan soal Speaker, tetapi tentang kedudukan Zambry Abdul Kadir.

Jika BN membuat usul undi tidak percaya kepada Nizar, maka dengan sendirinya mereka memperakui bahawa tindakan mereka merampas kuasa dan melantik Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah dan haram di sisi undang-undang. Kerja buat Zambry sebagai Menteri Besar semenjak 6 Februari 2009 adalah haram juga. Gaji yang diambil oleh Zambry juga haram. Di mana maruah dan air muka Zambry sebagai Menteri Besar haram dalam isu ini. Ia bukan soal pandangan rakyat atau pendirian mahkamah, tetapi pengakuan Umno/BN sendiri yang akan dibuat melalui undi tidak percaya itu.

Undi tidak percaya hanya dibuat kepada Menteri Besar yang sah. Tidak pernah berlaku undi tidak percaya dikemukakan kepada bekas Menteri Besar atau kepada orang lain yang bukan Menteri Besar. Ini bermakna usul undi tidak percaya jika berlaku adalah satu pengiktirafan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sebenar.

Dan sekiranya Nizar berjaya disingkirkan melalui undi tidak percaya, ini bermakna Zambry kena mengangkat sumpah semula kerana sumpah yang lama itu tidak sah hukumnya. Mana mungkin seseorang Menteri Besar itu dikenakan undi tidak percaya selepas Menteri Besar baru dilantik, melainkan dilantik Menteri Besar baru sesudah Menteri Besar lama dijatuhkan. Sumpah yang lama itu tidak laku, tidak sah dan haram. Walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, namun kedudukan Zambry tetap haram.

Sekiranya Zambry memilih untuk menjatuhkan Nizar melalui undi tidak percaya dan dia mengangkat sumpah semula, ini bermakna Zambry memilih untuk memalukan Tuanku Sultan Perak. Baginda sudah tentu berasa malu kerana tindakan baginda memanggil Zambry mengangkat sumpah dahulu dianggap tidak sah, sedangkan baginda adalah bekas Ketua Hakim Negara.

Proses mengenakan undi tidak percaya ini dalam apa keadaan pun akan memalukan Sultan Perak. Pertama, baginda akan tercemar kerana telah melantik Zambry secara haram; kedua, baginda mendapat malu kerana mahkamah telah memutuskan Nizar yang dipecat oleh baginda sebagai Menteri Besar yang sah; dan ketiga baginda akan dimalukan lagi apabila Dun tidak mengiktiraf keputusan baginda dengan membuat usul tidak percaya kepada Nizar.

Dalam apa keadaan pun, baginda akan tercemar kerana permainan politik kotor BN yang didalangi sendiri oleh Najib Razak.

Tuanku Sultan Perak hanya ada satu pilihan untuk membersihkan nama baginda dan memulihkan keyakinan rakyat kepada istana, sekali gus menamatkan krisis politik ini iaitu dengan memperkenankan permohonan membubarkan Dun.

Semua pihak sudah sepakat supaya Dun dibubarkan. Pemimpin MCA dan Gerakan sudah membuat pendirian, Tengku Razaliegh juga telah memberi pandangan. Suhakam dan pengamal undang-undang juga mahukan Dun dibubarkan sebagai jalan keluar. Yang tidak mahu kerana percaya BN akan kalah hanyalah Tun Dr Mahathir.

Pemangku Sultan Perak sudah memberitahu bahawa istana berada di atas politik. Maknanya baginda tidak memihak. Sebagai ketua negeri, sudah tentu baginda mengutamakan rakyat Perak. BN berkata mereka mendahulukan rakyat juga dan inilah masa untuk membuktikannya. Jika Sultan Perak mengikut pendapat Mahathir yang tidak mahu pilihan raya, baginda akan dilihat memihak. Tetapi jika baginda membubarkan Dun semua rakyat akan berpuas hati kerana hak memilihkan kerajaan dikembalikan kepada rakyat, bukannya dengan membeli wakil rakyat.- tajdid

KSN digesa 'ambil balik' SU Perak

KSN digesa 'ambil balik' SU Perak
Faiz Abdullah
Mon | May 18, 09 | 10:24:24 am MYT

SEREMBAN, 18 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya 'mengambil balik' Setiausaha Kerajaan Negeri (SU) Perak iaitu Dato' Abdul Rahman Hashim kerana gagal mengikut peraturan dan tidak bertanggungjawab.

Zulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Mohd Sidek yang mengatakan Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Nizar Jamaluddin tiada kuasa untuk mengantung SKN Perak, Abdul Rahman baru-baru ini.

Menurut Zulkefly, Menteri Besar ibarat seorang Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) dan adalah menjadi peraturan 'standard' setiap SU harus bertanggungjawab pada kerajaan negeri dan seterusnya melapor diri pada menteri besar.

Malah Abdul Rahman tidak boleh membuat tindakan sesuka hati dan mendahului menteri besar berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri, katanya.

"Apa berlaku di Perak adalah jelas bahawa Abdul Rahman telah melakukan beberapa perkara yang bertentangan dan melanggar undang-undang.

"Antaranya menghalau Nizar dari pejabat, berpihak kepada Umno- BN, terlibat dalam kemelut Sidang DUN dan menghalang Nizar dari jalankan tugas sebagai menteri besar," jelas Zulkefly.

Berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh Abdul Rahman, maka adalah tidak sesuai untuk Abdul Rahman memegang jawatan SU Perak.

"Jika Mohd Sidek berkata bahawa menteri besar tiada kuasa, jadi sebagai ketua kerajaan negeri, apakah kuasa yang Nizar ada jika pegawai kerajaan melangkaui undang-undang dan langgar peraturan?

" Oleh yang demikian saya meminta agar Mohd Sidek mengambil balik Abdul Rahman kerana gagal laksanakan peraturan, tidak bertanggungjawab dan maka tidak layak menjadi SKN Perak," katanya lagi.

Zulkefly turut mengulas bahawa tindakan Abdul Rahman memberi notis Sidang DUN dan kenyataan media adalah tindakan menafikan kuasa Speaker V.Sivakumar.

Maka oleh kerana terlalu banyak salah laku yang dilakukan oleh Abdul Rahman, maka adalah wajar Mohd Sidek 'mengambil semula' Abdul Rahman dari pentadbiran kerajaan Negeri Perak. - azm _

Kempen sejuta tandatangan, wanita desak bubar DUN Perak

Kempen sejuta tandatangan, wanita desak bubar DUN Perak
Harakahdaily
Mon | May 18, 09 | 9:58:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh)- Wanita Pakatan Rakyat akan turun padang untuk bertemu rakyat bagi mengumpul sejuta tandatangan sebagai gambaran suara hati sebenar rakyat untuk mendesak supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri Perakdengan segera bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan.

Kempen tersebut dilancarkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, 15 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Wanita KeADILan Zuraida Kamaruddin.

Memorandum berkenaan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak secepat mungkin bersama sejuta tandatangan rakyat Perak yang melambangkan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk melihat pilihan raya diadakan bagi mengatasi kemelut politik di negeri itu.

Dalam ucapannya Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kempen untuk mendesak pembubaran Dewan akan menjadi kenyataan jika semua pihak terutama golongan wanita di negeri ini memainkan peranan masing-masing.

Tambah beliau golongan wanita merupakan 52% daripada jumlah pengundi berdaftar di negeri Perak dan mampu menjadi satu kuasa pendesak yang berkesan untuk mencapai objektif pembubaran Dun dalam masa terdekat.

"Kempen untuk mendesak agar Dun Perak dibubar memerlukan peranan wanita kerana mereka memainkan peranan penting dalam kempen ini," kata Zuraida yang dipetik daripada Suara KeADILan

Sementara itu Ketua Wanita DAP Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata sudah sampai masanya golongan wanita tampil ke depan untuk meniupkan semangat juang agar kempen mendesak pembubaran Dun menjadi kenyataan.

"Saya berasa kempen ini sangat bermakna kerana ianya pertama kali diadakan yang diterajui oleh wanita. Sudah sampai masa untuk wanita bangkit dan mengambil bahagian dalam perkara yang penting seperti ini," tegas beliau.

Kempen ini juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung di seluruh negeri Perak bagi mendapatkan tandatangan penduduk kampung yang kemudiannya akan diserahkan kepada wakil rakyat masing-masing.

Turut hadir pada pelancaran kempen mengumpul tandatangan ini ialah Ketua Muslimat Pas Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Perak. - azm _

Zahid juga bertanggungjawab atas kemelut Perak

Zahid juga bertanggungjawab atas kemelut Perak
Azamin Amin
Mon | May 18, 09 | 9:46:13 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh) - Sebagai Timbalan Pengerusi Umno Perak ketika berlakunya kerajaan kudeta 5 Februari lalu, Dato' Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab atas kemelut yang yang terjadi di negeri Perak.

Adun Titi Serong, Drs Idham Lim berkata kenyataan Naib Presiden Umno itu bahawa kekecohan politik akan berlaku bila diadakan pilihanraya adalah alasan kebudak-budakan dan alasan terdesak Zahid.

Katanya lagi pandangan Zahid itu dilihat melawan arus dan menunjukkan sikap yang sebenar Zahid dalam menghadaqpi kemelut yang berlaku di negeri kelahirannya sendiri.

"Sepatutnya dia lebih bertanggung jawab kerana dialah Timbalan Pengerusi Umno Perak dalam masa kudeta berlaku pada 5 Februari 2009 yang lepas.

"Walaupun kes (Menteri Besar Perak) telah dibawa ke Mahkamah Rayuan tetapi rakyat pada keseluruhannya tidak mahu ada kekecohan politik di negeri Perak ini sekiranya pilihan raya diadakan.

"Sepatutnya dia kena bertanggung jawab kepada situsi politik di Perak , bukan main lepas cakap sahaja," katanya yang dipetik daripada laman blognya.

Kata Idham lagi desakan diadakan pilihan raya negeri dibuat oleh Pakatan Rakyat mestilah diambil kira oleh Naib Presiden Umno itu malah pelbagai pihak juga mengatakan langkah yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik di Perkat dengan cara pembubaran DUN. - azm _

Najib punca kemelut Perak!

Najib punca kemelut Perak!
Nyza Ayob
Sun | May 17, 09 | 10:35:44 am MYT

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak boleh menafikan bahawa beliau merupakan punca kemelut politik di Perak kerana seluruh dunia telah melihat bagaimana beliau mengetuai rampasan kuasa di Perak pada 5 Februari lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan sewaktu rampasan kuasa itu dilakukan, Najib merupakan Pengerusi Umno Perak yang mana pada waktu itu juga beliau masih Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad dalam kenyataanya sebelum ini menegaskan kecamukan serta kemelut politik yang berlaku hari ini di Perak berpunca daripada tindakan Najib .

Bagaimanapun Najib dalam kenyataannya pada 15 Mei lalu menafikan beliau punca kemelut politik di Perak dan meminta rakyat tidak menyalahkan Sultan Perak kerana pelantikan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar mematuhi undang-undang.

"Krisis perlembagaan di Perak berpunca apabila Najib sendiri mengenepikan undang-undang. Jika betul beliau mengatakan Barisan Nasional berhak berkuasa di Perak dan mempunyai majoriti, sidang Dun harus diadakan dan perkara tersebut harus dibawa ke dewan dan adakan undi tidak percaya.

"Namun beliau menyembunyikan tiga orang Adun tersebut. Sebab itu saya mengatakan Najib seorang yang rakus dan tamak. Beliau tidak boleh menafikan penyebab krisis di Perak kerana berlaku pengambilan kuasa di Perak yang dipilih oleh rakyat,"tegasnya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Jelas Ahmad, Najib cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan tiga orang Adun yang telah keluar daripada Pakatan Rakyat yang berstatus sebagai Adun Bebas adalah Adun BN.

"Apabila diadakan undi tidak percaya di dalam dewan nanti, kita boleh tunjukkan surat janji ketiga-tiga mereka yang menyokong kerajaan campuran tiga parti ini dan menyokong Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar. Perjanjian ini secara bertulis. Dan sudah tentu ketiga-tiga mereka tidak berani mengangkat tangan menyokong pada pihak BN.

"Ini kerana jelas mereka akan mungkir janji kepada Sultan. Dan dengan sendiri mereka boleh dikaitkan menderhaka kepada Sultan. Jadi implikasinya banyak," katanya.

Sehubungan itu beliau tetap berpendirian Najib yang memulakan serta punca kemelut yang berlaku di negeri Perak itu. - mks.