Showing posts with label H1N1. Show all posts
Showing posts with label H1N1. Show all posts

Friday, May 22, 2009

Larangan al-Quran cegah 'selsema babi'

Larangan al-Quran cegah 'selsema babi'
Azamin Amin
Fri | May 22, 09 | 10:05:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Setiap larangan Allah SWT terhadap sesuatu perkara, pasti tersimpan hikmah yang tersendiri dan mempunyai sebab yang kuat demi melindungi manusia daripada sesuatu bahaya dan bencana.

Pengharaman memakan daging babi di dalam surah al-Baqarah ayat 172, mempunyai kaitan rapat dengan jangkitan 'selsema babi' yang melanda dunia yang kini begitu mengancam nyawa manusia dan bukan pertama kali malah telah berlaku dalam sejarah yang sewajarnya di ambil iktibar atas setiap yang di perintah dan dilarang oleh Allah SWT selama ini kepada manusia.

Kata Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah bahawa Allah SWT melarang memakan babi itu kerana tuhan lebih arif tentang wabak dan penyakit yang ada pada babi yang dicipta-NYa termasuk kemampuan manusia untuk menerima sesuatu makanan yang layak untuk tubuh badannya.

"Dia yang ciptakan manusia dan babi, dia jugalah yang tahu segala baik buruknya sesuatu. Oleh itu kita perlu taat, kerana setiap larangan Allah pasti bersebab yang kuat,

"Bahkan dalam al-Quran menyebut dalam permulaan surah Baqarah, ayat 172 itu dengan kalimah 'wahai manusia' bermaksud ayat ini tidak semata-mata dituju kepada orang Islam sahaja tetapi semua manusia termasuk orang bukan Islam yang jika mengikuti larangan ini, akan dapat juga mencegah daripada terkena wabak ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliahnya dalam rancangan Halaqah terbitan TV9 malam semalam yang bertajuk "Selsema Babi" bersama ahli perubatan, pendakwah dan penulis buku Dr Danial Zainal Abidin yang dipengerusikan oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Yusof.

Dalam pada itu, Dr Danial menjelaskan hasil kajian bahawa babi berupaya menerima aneka jenis virus di dalam tubuh badannya sekalgus boleh menukarkan virus menjadi lebih merbahaya sehingga boleh membunuh manusia.

"Babi boleh memakan apa saja dan menerima semua jenis virus. Kemudia menukarkan virus yang ada padanya kepada virus yang lebih merbahaya seperti selsema babi. Babi boleh menyebabkan manusia mendapat lenih 25 jenis penyakit," katanya.

Malah kata Dr Danial 'swine flu' atau selsema babi ini pernah melanda dunia pada tahun 1918 yang turut dikenali sebagai "Spanish Flu".

"Dalam journal yang saya baca, ada yang mengatakan telah membunuh 20 juta manusia dan ada yang kata 40 juta manusia. Dan wabak yang melanda dunia hari ini sama dengan Spanish Flu pada tahun 1918," katanya

Beliau turut mengemukakan hasil kajian barat, bahawa terdapat nasihat daripada pakar melarang memakan babi kerana membawa virus dan penyakit.

Babi katanya walaupun dimasak berkali-kali, terdapat sejenis kuman yang tidak mati yang 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa bahaya.

"Dalam Dinasti Ting, ada seorang tabib terkenal juga melarang orang Cina memakan babi. Ini kitab kuno orang Cina sudah ada larang tersebut dan memberitahu tentang bahayanya," kata Dr Danial lagi.

Dalam kesimpulan diskusi rancangan agama itu, Farid Ravi menjelaskan bahawa doa adalah merupakan senjata paling ampuh untuk mengelak manusia daripada terkena jangkitan ini kerana ianya merbak secara luas dan tanpa sempadan.

"Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Itu kuasa Allah. Penyakit yang ada di Mexico beribu-ribu batu sudah sampi ke negara jiran Thailand. Begitu cepat ia merebak.

"Kita mestilah berdoa banyak kerana itu antara senjata kita kerana kita tak mampu kawal semua. Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada. Semua dengan izin Allah semata-mata," katanya.

Sementara itu Dr Danial pula memberi berapa panduan untuk mengelak berlakunya jangkitan tersebut antaranya seperti yang dianjurkan oleh agama iaitu sentiasa membasuh tangan.

"WHO mengeluarkan panduan, supaya sentiasa membasuh tangan. Bagi kita ini bukan sesuatu yang baru, malah kita sentiasa berwuduk untuk solat dan mambasuh tangan sebelum makan,"katanya yang turut menyarankan agar mengikuti saranan Nabi Muhammad s.a.w sewaktu bersin.

Ketika bersin, Nabi menutup tangan dan adakalanya menggunakan kain dan ini seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini.

"Sebenarnya setiap perkara yang melanda, di satu segi ianya merupakan bahaya tetapi ianya juga peluang kita untuk berdakwah, menceritakan kuasa Allah dan kebenaran al-Quran.

"Ekonomi global jatuh, ketika itu baru dunia sedar ekonomi berasaskan Islam, sangat cantik dan baik maka begitu jugalah dengan kes wabak ini, yang membuatkan dunia akan mengkaji larangan Allah SWT dalam al-Quran," katanya. - azm

Monday, May 18, 2009

Wabak influenza A: Saringan mesti diperketatkan, tidak lalai

Wabak influenza A: Saringan mesti diperketatkan, tidak lalai
Roy Rasul
Mon | May 18, 09 | 2:13:10 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh) - Saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa yang menerima kemasukan pelawat dari negara-negara yang dilanda wabak influenza A(H1N1) perlu dilakukan dengan telus serta diperketatkan.

Ini tegas, Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman, kes pertama wabak influenza H1N1 yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan pada Jumaat lalu di negara ini yang melibatkan seorang pelajar yang baru pulang dari Amerika Syarikat berkemungkinan berlaku kelalaian di segi itu.

Beliau yang dihubungi berharap kerajaan melaksanakan pengawasan secara menyeluruh.

Malah katanya apabila hasil saringan kesihatan pelawat didapati mempunyai wabak tersebut mereka perlu dikuarantin.

"Sesiapa saja yang memasuki ke negara ini sama ada melalui darat, laut dan udara perlu dibuat pemeriksaan secara terperinci.

"Kerana sebelum ini negara kita tiada kes lagi, jadi apabila tiba-tiba wabak itu berada di negara ini, mesti ia dibawa dari negara luar.

"Mangsa itu balik daripada luar negara maksudnya kita punya pemeriksaan tak betul-betul telus," katanya.

Beliau berkata, wujudnya wabak influenza A(H1N1) itu mungkin ada kebocoran atau kelalaian di mana-mana pintu masuk.

Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican dipetik berkata, mangsa wabak tersebut seorang pelajar berusia 21 tahun dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, pelajar yang pulang ke tanah air pada 13 Mei lalu itu mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan pada keesokan harinya dan dibawa ke hospital pada hari yang sama kira-kira pukul 6.45 petang.

Mengulas lanjut, Dr Hayati berkata, pemeriksaan yang dilakukan di negara ini tidak setaraf.

"Contohnya di Pulau Pinang, didapati pemeriksaan suhu badan dibuat ke atas orang dewasa dan kanak-kanak berbeza. Di mana orang dewasa dibuat di dahi dan kanak-kanak di dalam telinga. Sedangkan cara paling berkesan dalam telinga.

"Sebenarnya jika di periksa atas dahi bacaan suhu mereka tidak tepat kerana mungkin mereka baru lepas berada dalam penghawa dingin," jelasnya.

Selain itu katanya, pengisian borang semasa sampai di pintu masuk negara perlu juga telus sama ada mereka mempunyai selsema atau tidak.

Katanya, walaupun simptom-simptom wabak tersebut hampir sama dengan selsema biasa tetapi apa yang wabak tersebut telah masuk ke negara ini.

Namun katanya, rakyat negara ini tidak perlu terlalu risau dan panik kerana ia satu kes terpencil.

Apa yang penting tegasnya, kerajaan perlu mengetatkan kawalan di semua pintu masuk di negara ini. - azm

Friday, May 15, 2009

Kes pertama selsema babi di Malaysia

Kes pertama selsema babi di Malaysia
Harakahdaily
Fri | May 15, 09 | 2:13:05 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa seorang pelajar berusia 21 tahun menjadi mangsa pertama dijangkiti wabak influenza A (H1N1) atau selesema babi di negara ini

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pada 15 Mei 2009," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican yang dipetik daripada laman web.

"Ini merupakan kes yang pertama influenza A (H1N1) dikesan diMalaysia."

Pelajar itu, dipercayai dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau telah diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.

Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarga beliau dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Kementerian juga meminta semua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut supaya menghubungi talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk tindakan susulan.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut: batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, selain kes di atas, Pusat Tindakan dan Persiapan Krisis (CPRC) kementerian menerima 11 lagi notifikasi kes - enam kes dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, dua di hospital Seremban dan masing-masing satu kes di hospital Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan hospital Kota Bharu bagi tujuan siasatan dan pemerhatian. - azm