Monday, May 11, 2009

'Kesabaran PAS ada batasnya' - Presiden PAS

'Kesabaran PAS ada batasnya' - Presiden PAS
Harakahdaily
Mon | May 11, 09 | 10:34:05 am MYT

MARANG, 11 Mei (Hrkh)- Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi amaran beliau, kesabaran PAS atas apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional ada batasnya.

Beliau yang berucap dalam majlis penerangan berkaitan isu Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di masjid Rusila, dekat sini, baru-baru ini mengulangi amaran yang beliau keluarkan dalam sidang media di Ma�ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman, pada 8 Mei, Jumaat lalu.

Beliau berkata tindakan kerajaan menggunakan bahasa Inggeris dalam pegajaran dan pembelajaran sains dan matematik membawa kepada kehancuran bangsa.

"Ini menipu, menipu bangsa sendiri, pejuang-pejuang bahasa dan sasterawan negara menentang dan sanggup menyerahkan semula gelaran (sasterawan negara).

Image

"kerana menghancurkan bahasa dia sendiri, bahasa jiwa bangsa, bangsa yang menghilangkan bahasanya (adalah) bangsa yang tidak ada jiwa," katanya yang dipetik daripada laman web peribadi beliau.

Katanya apabila sesuatu bangsa itu tidak ada jiwa, ia akan mengikut telunjuk dan kehendak orang lain.

"Kita mempunyai satu tanggungjawab dan kewajipan yang besar, apa yang berlaku di (negeri) Perak ini menjadi pengajaran, Umno ini tidak ada adab, tidak ada akhlak, dan tidak ada.



"Kelmarin orang surat khabar tanya saya, supaya saya buat ulasan dan jawapan berhubung apa yang berlaku di Perak, saya buat, saya menyatakan bahawa PAS boleh sabar tetapi sabar PAS ada sempadan,ada batas!"jelasnya.

Katanya PAS tidak akan tunduk kepada penipuan-penipuan Umno dan BN dan meminta semua ahli PAS menunggu arahan yang akan dikeluarkan oleh pimpinan.

Justeru, katanya PAS adalah parti yang berlandaskan Islam yang akan memimpin rakyat dengan Islam.

"Kita (PAS) bangkit diatas nama Islam, dan PAS akan memimpin rakyat dengan Islam, kalau PAS pimpin rakyat dengan Islam,

"Kita akan lalu, 'membujur lalu melintang patah', akan tiba masanya,"tegasnya.

Katanya PAS akan mengajar Umno yang jahil dan yang merosakkan bangsa dan umatnya sendiri. - azm _

PAS bukan untuk golongan tertentu sahaja - Mahfuz

PAS bukan untuk golongan tertentu sahaja - Mahfuz
Irwan Muhammad Zain
Mon | May 11, 09 | 2:13:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan PAS adalah sebuah parti milik semua pihak dan semua golongan seperti petani, pekebun, guru, kakitangan awam dan kerajaan, profesional dan ulama.

Beliau menegaskan tidak timbul PAS milik golongan tertentu sahaja kerana untuk mengukuhkan parti penglibatan semua pihak daripada pelbagai golongan diperlukan.

Beliau juga kecewa bila ramai pemimpin ghairah memberikan pandangan kepada media arus perdana yang menyebabkan timbul persepsi berlaku perpecahan dalam parti.

Beliau menegaskan, perbincangan terbuka bahawa hak beberapa jawatan dalam PAS hanya perlu diisi oleh kumpulan ulama dan profesional perlu dihentikan kerana ia memberikan imej buruk wujudnya konsep kasta dalam parti.

�Perbincangan seperti ini akan menimbulkan persepsi adanya perpecahan dalam parti dan ia boleh melemahkan, bukan menguatkan.

Ia juga boleh menyebabkan ahli parti lain yang bukan daripada golongan ulama dan profesional berkecil hati dan akhirnya akan menjauhkan diri daripada parti, katanya.

�Saya minta hentikan kerana ia memberi mesej dan imej salah mengenai parti kepada akar umbi, seolah-olah PAS hanya dianggotai oleh dua kumpulan ini sahaja,� katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena seterusnya menegaskan Jawatan dalam PAS bukannya hak eksklusif untuk mana-mana kumpulan sahaja tetapi terbuka kepada setiap ahli parti yang layak berdasarkan kepada meritokrasi.

Beliau berkata, apabila seseorang pemimpin itu dipilih berdasarkan kepada meritokrasi yang mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli, maka ia akan memperkukuhkan lagi kekuatan dan kesinambungan PAS. - mns

Krisis Perak: Nizar, Sivakumar di Markas Tarbiah malam ini

Krisis Perak: Nizar, Sivakumar di Markas Tarbiah malam ini
Harakahdaily
Mon | May 11, 09 | 1:03:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dan Speaker Dun Perak, V Sivakumar akan berucap dalam satu majlis ceramah umum mengulas kemelut politik Perak di Markas Tarbiah PAS, Taman Melewar, dekat sini, malam ini.

Ceramah yang bermula jam 9.30 malam itu dianjurkan Lajnah Penerangan PAS Pusat.

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Setiausaha Dun Perak, Misbahul Munir Masduki akan turut berucap.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin pula akan mengulas krisis politik negeri itu dari perspektif undang-undang.

Jurucakap program, Mohd Zain Hashim menasihati orang ramai supaya datang awal bagi mengelak kesesakan.- tajdid

Umno lakar sembilan sejarah hitam di Perak

Umno lakar sembilan sejarah hitam di Perak
Mohamed Hanipa Maidin
Mon | May 11, 09 | 12:47:34 pm MYT

Krisis yang Umno cetuskan di Perak bakal menjadi sejarah hitam yang tidak akan dilupakan oleh generasi sekarang dan akan datang.

Sejarah hitam pertama adalah serangan ke atas institusi Raja. Semua orang tahu rakyat Malaysia menerima sistem raja berperlembagaan di negara ini. Namun disebabkan krisis di Perak, kita menyaksikan betapa ada rakyat yang tidak dapat mengawal kemarahan mereka. Maka berlakulah siri 'menyerang' laman web Istana Perak dengan kalimah-kalimah yang tidak sampai hati untuk kita luahkan di sini. Ia akhirnya membawa kepada pendakwaan beberapa individu di bawah Akta Hasutan 1948. Umno tidak boleh lari dari sejarah hitam ini.

Sejarah hitam kedua dari krisis Perak ciptaan Umno adalah buat kali pertamanya di dalam negara ini institusi Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilibatkan sama bagi menyiasat kuasa seorang Speaker Dewan Undangan Negeri. Ianya tidak pernah berlaku dan tidak pernah diimpikan akan berlaku. Namun kerana ketamakan kuasa apa yang dulu hanya sebuah mimpi kini sudah menjadi realiti. Selamat menyambut sejarah hitam ini.

Sejarah hitam yang ketiga dari krisis Perak ini adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan yang sepatutnya hanya bertanggungjawab menerima keputusan Speaker yang memutuskan sesuatu kerusi Dun sebagai kosong tidak lagi berminat menjalankan kerja suci tersebut. Sebaliknya SPR lebih seronok untuk terus menerus menjadi parti komponen BN yang tidak rasmi apabila enggan mengadakan pilihan raya kecil bagi Dun-Dun yang telah diisytiharkan kosong oleh V Sivakumar.

Sejarah hitam yang keempat dari krisis Perak ini adalah buat pertama kalinya Mahkamah sendiri sanggup membocorkan maklumat kepada akhbar bahawa saman yang difailkan oleh Sivakumar mengandungi kecacatan sedangkan saman tersebut belum didengar lagi oleh pihak Mahkamah.

Pembocoran maklumat tersebut sengaja dilakukan dan dipercayai dilakukan oleh seorang yang berpangkat tinggi di Mahkamah Tinggi Ipoh semata-mata untuk mengaibkan Sivakumar dan Pakatan Rakyat. Ini adalah satu sikap paling tidak profesional yang ditunjukkan oleh sebuah institusi kehakiman namun apabila Umno terlibat tiada lagi perkara yang pelik dan ajaib.

Sejarah hitam yang kelima dari krisis Perak ini adalah buat pertama kalinya seorang Speaker Dun dilarang untuk diwakili oleh peguam pilihannya sendiri semasa beliau di saman oleh Zambry. Sivakumar telah dipaksa oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh untuk diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Perak. Apa yang mendukacitakan lagi hasrat speaker untuk mewakili dirinya sendiri pun tidak dibenarkan oleh Hakim yang sama.

Agak baik sedikit sejarah hitam tersebut dapat diselamatkan dari diarkibkan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan yang paling tidak masuk akal tersebut. Untuk makluman, Speaker tidak mahu diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri kerana penasihat yang sama juga telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk beliau dibenarkan mewakili Zambry. Jadi bagaimana beliau boleh bertindak secara bebas dan menjaga kepentingan Sivakumar?

Sejarah hitam yang keenam adalah Speaker dan Adun Pakatan Rakyat yang sah dan dipilih oleh rakyat tidak dibenarkan untuk mengadakan sidang di dalam dewan persidangan kerana dewan telah dikunci dan dirantai serta dikepung oleh polis. Akhirnya sejarah hitam mencatatkan buat pertama kalinya sidang Dun Perak berlangsung di bawah pokok.

Takutnya Umno pada sidang Dun di bawah pokok sehinggakan apabila Pakatan Rakyat membina tugu dan plak bagi mengimbau kisah manis tersebut, Umno menggunakan (baca salahguna) Majlis Perbandaran Ipoh untuk memusnahkan tugu tersebut.

Sejarah hitam yang ketujuh dari krisis Perak ini adalah Umno yang terkenal sebagai penderhaka Agung kepada institusi Raja dengan tanpa segan silu sanggup memfitnah Dato� Seri Nizar sebagai penderhaka hanya kerana ungkapan mahsyur Dato Seri Nizar kepada Tuanku Sultan iaitu "patik memohon sembah derhaka".

Meskipun Umno berhempas pulas mengeksploitasi isu tersebut ia tidak langsung menjejaskan kemenangan Nizar di Bukit Gantang. Jika pun isu derhaka itu berkesan ia hanyalah berkesan bagi pengundi di saluran satu yang boleh kita sifatkan sebagai 'pengundi saluran derhaka'.

Sejarah hitam yang kelapan adalah 'bapa kepada segala sejarah hitam'. Sejarah ini hanya boleh wujud jika di dalam sesebuah negara tersebut wujudnya parti politik gila seperti Umno yang dah sampai ke tahap ketagihan kuasa tahap kritikal.

Mabuk dan ketagih dengan kuasa Umno sanggup mengundang Mahkamah yang paling tinggi di negara ini iaitu Mahkamah Persekutuan untuk membunuh doktrin pengasingan kuasa (separation of powers).

Jika selama ini Mahkamah di negara ini masih menahan dirinya dari campur tangan atau mengganggu urusan Parlimen atau Dun kerana menghormati doktrin pengasingan kuasa, kini doktrin tersebut telah pun disemadikan oleh lima orang hakim Mahkamah Persekutuan tersebut.

Ingatlah sejarah hitam ini berlaku ketika mana Ketua Hakim bagi negara ini masih dipegang oleh bekas pemimpin yang pernah berkhidmat dengan Umno.

Apa yang berlaku pada 7 Mei 2009 lalu adalah sejarah hitam yang kesembilan. Sama-sama kita saksikan kesudahannya.- tajdid

Zambry Kadir peragut politik

Zambry Kadir peragut politik
Dato' Mahfuz Omar
Mon | May 11, 09 | 12:33:34 pm MYT

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah bunyinya tajuk utama Utusan Melayu hari Khamis, 7 Mei 2009 yang menyiarkan kisah bagaimana tiga orang mangsa ragut yang terbunuh kerana perbuatan kejam tersebut.

Cerita ragut sudah begitu lama kedengaran, cuma ditakdirkan Allah ia berlaku kali ini ketika polis sedang berkubu di Ipoh dan Penanti. Nampaknya hari ini polis lebih banyak digunakan untuk mempertahankan kuasa politik BN daripada menjaga keselamatan awam. Jika keadaan ini berterusan, suatu hari nanti, Malaysia akan betul-betul menjadi 'negara polis'.

Keadaan politik di Perak sebenarnya tidak serumit di Terengganu kerana kedua-dua menteri besarnya mempunyai kumpulan penyokong yang ramai. Yang menjadi masalah besar di Perak ialah kedegilan Zambry Kadir untuk tidak mengikut undang-undang dan peraturan dalam setiap tindakannya.

Dulu dia bersekongkol dengan Najib Razak untuk menculik dan merasuah tiga Adun Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan, kemudian dia mengangkat sumpah sebelum sempat Menteri Besar Nizar meletak jawatan atau dikenakan undi tidak percaya. Mahkamah dijadikan alat untuk mereka mengesahkan tindakan haram itu. SPR dan SPRM pula menjadi kuda tunggangan untuk menjayakan rancangan jahat yang bertentangan dengan undang-undang.

Mungkin Zambry Kadir belum sedar apabila rakyat Bukit Gantang menyampaikan mesej untuk menolak perbuatan tidak bertamadun BN pada 7 April 2009 yang lalu. Dia mahu 'diajar' dengan cara yang lebih jelas lagi. Kita tunggu tindakan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah yang terjadi pada Khamis, 7 Mei 2009 di Ipoh, Perak. Kali ini bukannya mat rempit yang meragut. Tetapi pemimpin politik BN yang tidak bertamadun dan tidak menghormati demokrasi meragut setiap hak dan keadilan demi kepentingan politik rakus mereka.

Dahulu mereka meragut kerajaan daripada rakyat cara menculik dan merasuah, kemudian mereka meragut jawatan menteri besar melalui cara tidak berperlembagaan. Hari ini mereka melakukan lagi apabila jawatan Speaker Dun Perak diragut dengan cara yang lebih hina daripada binatang. Mereka tidak mengiktiraf Sidang Dun Perak di bawah pokok atas bermacam-macam alasan walaupun ia berlaku mengikut lunas undang-undang. Tetapi mereka bertindak persis binatang buas di dalam dewan yang mulia itu apabila bersidang sendiri dengan membelakangkan Speaker Dun yang berada di kerusinya.

Walau apapun yang dilaporkan oleh media arus perdana, rakyat mengetahui keadaan yang sebenar. Dahulu mereka menipu rakyat kononnya Nizar telah menderhaka, tetapi rakyat memberikan mesej sebaliknya di pilihan raya Kuala Terangganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Saya percaya rakyat menyedari keadaan sebenar yang berlaku walaupun media memberikan gambaran sebaliknya. Sebagai Ahli Parlimen, saya memahami peraturan yang menghendaki setiap ahli YB menghormati speaker yang mengendalikan persidangan. Saya bersetuju dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang berkata apa gunanya ada Speaker jika keputusannya tidak dihormati.

Sebagai Ketua Dun, Speaker berkuasa penuh di atas semua urusan di dewan itu. Beliau yang menentukan kedudukan Adun, usul-usul dan semua urusan perjalanan dewan tersebut. Bahkan, tidak ada Adun yang boleh bercakap tanpa kebenaran Speaker. Jika semua orang ingin bertindak sesuka hati, bercakap, membuat usul dan mengusung keluar Speaker... maka jadilah sidang itu seumpama satu sidang di Zoo Negara!

Sebenarnya isu ini cukup mudah diselesaikan. Semua pihak perlu memberi laluan kepada Speaker untuk mengendalikan mesyuarat mengikut peraturan mesyuarat. Tetapi malangnya, Zambry Kadir dan sembilan yang lain begitu degil dan keras kepala. Mereka bukan sahaja tidak mengikut arahan, bahkan cuba menjalankan sidang Dun secara haram.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana majlis perundangan di dunia, usul dikemukakan sebelum sidang bermula. Speaker telah memberitahu berkali-kali bahawa beliau tidak akan memulakan sidang selagi arahannya untuk 10 orang itu keluar dewan dipatuhi. Ini bermakna, ketika Zambry Kadir membuat usul, sidang belum bermula lagi. Yang paling saya kesalkan ialah Setiausaha DUN yang telah dipecat itu. Dia begitu biadap dan langsung tidak menghormati Speaker semata-mata kerana �ke-Umno-annya�.

Pada saya mudah sahaja, bahawa seluruh sidang itu adalah tidak sah kerana sidang belum bermula ketika prosiding dijalankan. Saya sangat percaya kekecohan ini tidak akan berlaku jika semua pihak menghormati peraturan. Mengapa Zambry Kadir begitu biadap dengan membawa satu usul tanpa mendapat kebenaran Speaker. Lebih-lebih lagi, Zambry Kadir sebagai seorang Adun yang digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun tidak berhak menghadiri sidang, apatah lagi membuat usul.

R Ganesan, 'Speaker haram' pula telah menceroboh Dun Perak secara sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan S Sivakumar yang berada di kerusi Speaker. Kemudian beratus-ratus polis yang sepatutnya menjadi keselamatan mangsa ragut, ditugaskan untuk �meragut� kerusi Speaker daripada Sivakumar.

Apa yang boleh kita rumuskan ialah sebuah kerajaan yang haram akan melakukan apa sahaja tanpa mengikut lunas undang-undang untuk mempertahankan kegiatan haram mereka. SPR, SPRM, mahkamah, polis, SUK, Setiausaha Dun, bahkan istana telah diperalatkan oleh mereka secara sempit sehingga kemuliaan Dun Perak tercemar.

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah dimalukan di hadapan khalayak dengan perbuatan yang biadab dan tidak bertamadun itu. Untuk menutup kekotoran itu, Zambry Kadir memberitahu bahawa Adun Pakatan Rakyat menyerang mereka dan bertindak menggunakan undang-undang rimba.

Saya tahu bahawa rakyat telah sedar siapakah Tarzan dalam krisis ini. Najib Razak dan Zambry Kadir patut berasa malu di atas perbuatan yang tidak demokratik ini, kerana Tun Mahathir sendiripun tidak dapat menerima apa yang berlaku di Perak.- tajdid

Puisi Mohd Sabu, Samad Said, teater Dinsman di Melewar 16 Mei ini

Puisi Mohd Sabu, Samad Said, teater Dinsman di Melewar 16 Mei ini
Harakahdaily
Mon | May 11, 09 | 12:28:11 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said akan menyampaikan puisi mereka pada majlis Makan Malam Amal bersempena dengan penentangan terhadap kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 16 Mei ini di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar.

Akan turut memberi persembahan ialah Dinsman, Nasir Jani dan Sofie Jikan yang akan mempersembahkan Teater "Menunggu Kata Dari Tuhan."

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Bintang' Mohd Radzi Hashim berkata, pihaknya menganjurkan majlis tersebut untuk memberi peluang orang ramai seisi keluarga untuk menghadiri majlis tersebut, sambil beramal dan berhibur cara Islam.

Katanya, sesiapa yang berminat bolehlah membuat tempahan dan pertanyaan melalui sekretariat, Kassim Sabu di talian 013-3871946.

Tiket-tiket berharga RM25.00 seorang. - mr

Muslimat PAS Muar bina rumah ibu tunggal

Muslimat PAS Muar bina rumah ibu tunggal
Salman Hussin
Mon | May 11, 09 | 12:26:01 pm MYT

MUAR, 11 Mei (Hrkh) - Warga emas ibu tunggal di Parit Penyengat Parit Jawa, dekat sini, bakal menduduki rumah baru sumbangan Dewan Muslimat PAS Muar bagi menggantikan rumah lama beliau yang sudah tidak selamat untuk diduduki.

Sebelum ini Misah Mohamad 66, yang tidak mempunyai anak tinggal di warung yang sekaligus dijadikan tempat tinggal beliau.

Bagaimanapun pondok yang sudah begitu uzur itu sering kali dimasuki pencuri mengakibatkan beliau kerap mengalami kerugian.

Sehubungan itu, Muslimat PAS Muar yang begitu prihatin dengan nasib Misah mengambil inisiatif menubuhkan tabung khas bagi membantu beliau.

Usaha murni Muslimat PAS kawasan ini membuktikan keperihatinan PAS terhadap rakyat daif yang memerlukan bantuan.

Menurut Ketuanya, Fatimah Ismail, selain sumbangan dari PAS kawasan, Muslimat PAS Muar juga menerima sumbangan daripada kalangan ahli-ahli Umno setempat selain individu muslimat kawasan tersebut.

"Kos untuk membina rumah ini dianggarkan berjumlah RM20,000 dan sekarang ini jumlah kutipan yang sudah terkumpul sekitar RM15,000; dan dengan wang yang ada ini pembinaan rumah warga emas ini sudah boleh dimulakan," jelasnya.

Menurut Fatimah, kerja-kerja membina rumah itu sudah dimulakan 1 Mac lalu oleh Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Sungai Balang yang diketuai Penyelianya, Malik Md Diah dengan dibantu Unit Amal serta sukarelawan PAR Zon tersebut.

"Pembinaan rumah ibu tunggal ini adalah sebahagian daripada kegiatan kemasyarakatan Muslimat PAS Muar dan insya Allah berbagai kegiatan lain akan diteruskan untuk membantu golongan kurang berkemampuan di kawasan ini," ujarnya.

Sementara itu Misah ketika ditemui memberitahu, sebelum ini Ketua Umno kampung itu telah memberi borang bantuan rumah dan berjanji mengambil semula borang itu seminggu kemudian.

Setelah tidak muncul seperti yang dijanjikan, Ketua Umno itu ujar Misah, datang menemuinya setelah mendapat tahu PAS akan membina rumah dan warung baru untuk beliau.

"Bila dia tengok Malik (Penyelia PAR Zon Sungai Balang) dengan beberapa kawannya sedang mengukur dan memeriksa rumah mak cik beberapa hari lalu, dia pun datang dan bertanya kepada mak cik siapa yang nak buat rumah dan warung mak cik ini.

"Mak cik beritahu PAS yang akan buatkan rumah mak cik; bila dia dapat tahu sudah ada pihak yang nak buatkan rumah mak cik, dia pun berlalu tanpa berkata apa-apa," katanya.

Misah yang telah ditinggalkan suami sejak lebih 40 tahun lalu turut mengucapkan terima kasih kepada Muslimat PAS Muar dan PAR Zon Sungai Balang kerana sudi membantu.

"Selama ini mak cik sentiasa tinggal dalam kebimbangan kerana rumah dan warung mak cik sering dimasuki pencuri, hasil pendapatan berniaga sarapan pagi yang tidak seberapa ini selalu saja kena curi.

"Mudah-mudahan bila rumah dan warung yang baru ini siap kelak, mak cik boleh tinggal dengan lebih selesa dan selamat; mak cik ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada PAS yang sudi membantu mak cik," ucapnya lagi.- tajdid

20,000 ahli Kelab Penyokong PAS, ancaman buat BN

20,000 ahli Kelab Penyokong PAS, ancaman buat BN
Mohd Sabri Said
Mon | May 11, 09 | 12:10:31 pm MYT

TASEK GELUGOR, 11 Mei (Hrkh) - Penyertaan 20,000 masyarakat bukan Islam ke dalam Kelab Penyokong PAS sejak ia ditubuhkan pastinya 'mengancam' kestabilan politik Barisan Nasional (BN) pada masa depan kata, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Justeru itu katanya secara tidak langsung membuatkan Umno dan BN terasa bahang kemerosotan sokongan makin menghampiri politik sempit yang diamalkan sejak 50 tahun lalu.

"Ahli Kelab Penyokong PAS kini mencecah 20,000 orang seluruh negara dan perkembangan itu menggugat pengaruh Umno dan BN.

Kerajaan tahu sekiranya masyarakat bukan Islam berpaling tadah dari menyokong BN hayat parti itu semakin pendek, " tegasnya dalam sidang media bersama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa selepas merasmikan 'Konvensyen Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang' di Dewan Besar Sungai Dua, Butterworth semalam.

Kata beliau lagi, kemasukan itu berikutan terpengaruh dengan model yang ditunjukan oleh Kerajaan Kelantan yang bersih dari gejala rasuah dan tidak mengamalkan diskriminasi dalam pemerintahan.

Tambahan lagi, keaktifan lajnah yang diterajui oleh Dr Mujahid sendiri menjadi daya tarikan tersendiri kerana selama ini golongan terbabit beranggapan PAS sebuah parti ekstrim yang tidak mahu mendengar serta menerima pandangan atau budaya kaum lain, katanya.

"Dulu mereka nampak PAS jahat Umno dan BN baik. Tetapi, hasil pendekatan yang dilaksanakan rupa-rupanya PAS adalah parti yang terdiri daripada pejuang yang ikhlas dan jujur, " tambahnya.

Selain daripada faktor politik di Kelantan kata Mohammad Sabu, dialog yang ketara merupakan faktor mempengaruhi kecenderungan mereka untuk bersama PAS atas nama 'PAS For All'.

PAS Pusat juga bertekad akan meletakan status kelab ini ke satu tahap sesuai dengan peranan mereka dalam usaha membantu parti agar masyarakat mereka turut serta memperjuangkan keadilan, kesejahteraan dan kedamaian, katanya.

Sementara itu, Dr Mujahid yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri menambah, di Pulau Pinang sendiri mempunyai keahlian seramai 2,000 orang.

Paling ramai di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.Konvensyen ini katanya, untuk mencari kesepaduan di samping untuk mencari jawatankuasa yang akan memimpin Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang.

"Saya berterima kasih Dr Oii yang sanggup menjadi Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang sehingga hari ini. Untuk membantu beliau mesti ada jawatankuasa yang dapat bekerjasama mencari formula baru setiap masa, " kata Mujahid.

Dua MB, dua speaker : Mesti mohon restu rakyat - V. Sivakumar

Dua MB, dua speaker : Mesti mohon restu rakyat - V. Sivakumar
Azamin Amin
Mon | May 11, 09 | 11:26:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Perak kini dilihat mempunyai dua kerajaan, masing-masing daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) mestilah mendapatkan mandat daripada rakyat untuk menentukan masa depan negeri ini sekaligus menamatkan kemelut politik yang berlaku.

Demikian pendapat Speaker DUN Perak V. Sivakumar yang mahu krisis ini diselesaikan melalui pembubaran Dewan Negeri dan mengadakan Pilihan Raya dengan segera.

Katanya Barisan Nasional (BN) masih berdegil dan mahu meneruskan pemerintahan dengan kerajaan yang dirampas secara haram namaun dalam sistem demokrasi, rakyatlah menentukan segala-galanya.

"Biarlah rakyat membuat pilihan. Kedua-dua pihak harus bersedia untuk menerima keputusan rakyat. Kalau proses demokrasi ini tidak dihormati, maka yang akan menjadi mangsa adalah rakyat.

"Kita tidak patut membelakangkan rakyat dalam isu krisis politik Perak. Rakyat perlu diutamakan," katanya dalam blog peribadi beliau.

Kata Sivakumar ketamakan kuasa akan merugikan rakyat dan tidak boleh membiarkan satu kerajaan yang tidak sah memerintah negeri Perak malah memerlukan sebuah kerajaan yang diterima oleh semua.

Kemelut politik Perak telah mengakibatkan suasana yang amat mengelirukan dan ianya menjadi semakin kusut.

"Perak kini ada dua orang Menteri Besar, dua orang Speaker Dewan Negeri, dua barisan Exco, dua Setiausaha Dewan Negeri dan Dua Dewan Negeri (Sub Dewan dalam Dewan Negeri).

"Dalam kata lain, Perak mempunyai dua kerajaan. Satu kerajaan yang sah dan satu lagi yang haram. Politik Perak sudah sampai ke jalan buntu. Merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan atau taktik-taktik kotor tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah ," katanya. - azm

Anwar kesal pihak keselamatan 'ganggu' sambutan 10 tahun KeADILan

Anwar kesal pihak keselamatan 'ganggu' sambutan 10 tahun KeADILan
Harakahdaily
Mon | May 11, 09 | 10:59:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 MEI (Hrkh) - Sambutan 10 Tahun penubuhan KeADILan peringkat Bandar Tasik Puteri terpaksa bertukar lokasi apabila pihak polis menarik balik permit yang telah diperolehi semenjak 5 Mei lalu dibatalkan sejurus pada hari program berkenaan malam tadi.

Menurut Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim, beliau kesal dengan alasan polis mengikut arahan �politik atasan� yang meminta agar program sambutan 10 tahun berkenaan dibatalkan kerana penarikan permit berkenaan.

�Permit telahpun diperolehi sebelumnya oleh pihak penganjur pada 5 Mei 2009, tetapi dibatalkan pada saat akhir tanpa sebarang alasan munasabah. Pun begitu maklumat sahih mengesahkan ada arahan 'politik atasan' di sebalik tindakan rakus pihak keselamatan ini,� menurut Anwar yang dipetik daripada Suara KeADILan online.

Dalam kejadian 9 Mei lalu, polis telah menceroboh tapak sambutan berkenaan serta meletakan kira-kira lebih 50 anggota polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di kawasan berkenaan.

Tambah beliau anggota FRU yang muncul di tapak acara sambutan dengan diiringi anggota polis daripada IPD Gombak telah merampas bendera, kain rentang serta mengenakan sekatan jalan raya di kawasan sekitar Tasik Puteri menuju ke tempat di mana sambutan tersebut diadakan.

Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang juga turut terlibat membuat rampasan dan menggagalkan acara tersebut walaupun ia mendapat dokongan kerajaan negeri.

Menurut Anwar beliau kesal dengan instrumen kerajaan termasuklah FRU dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertindak menggagalkan sambutan program ini semenjak jam 2 petang.

Jelasnya lagi, beliau dan pimpinan KeADILan membantah keras tindakan pihak berkuasayang jelas bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rakyat untuk berhimpun dan bersuara

"Jika pihak berkuasa berterusan dimanipulasi sebegini rupa hanya demi melampiaskan nawaitu politik Umno-BN, janganlah sesekali kita pelik dan hairan kenapa jenayah ragut terus berleluasa, jenayah culik gagal dibanteras. Keselamatan politik Umno-BN nampaknya lebih penting daripada keselamatan rakyat terbanyak!" katanya lagi.

Walau bagaimanapun, sambutan berkenaan tetap terus diadakan walaupun terpaksa berpindah tempat ke Masjid Tasik Puteri, Rawang.

Majlis yang dimulakan dengan solat magrib berjemaah diikuti solat hajat dan tazkirah turut dihadiri hampir 700 jemaah walaupun terpaksa berpindah tempat- azm

Sidang Dun Perak, BN pilih jalan bertentangan demokrasi!

Sidang Dun Perak, BN pilih jalan bertentangan demokrasi!
Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | May 11, 09 | 10:23:07 am MYT

Jelas, kekalutan yang berlaku 7 Mei sebelum dan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak berlansung adalah idea yang sangat bertentangan dengan semangat demokrasi.

Malah kedegilan Umno/BN yang berkeras mahu sidang dun diadakan hanya mengundang satu lagi episod malang buat Dun Perak yang semakin rumit.

Kekusutan BN melalui Menteri Besarnya, Dato' Zambry Abdul Kadir dalam menyelesaikan kemelut rampasan kuasa hanya membungkam rasa benci rakyat yang meluap.

Akhirnya ia hanya memperlihatkan krisis politik yang tercetus awal Februari lalu terus berlarutan.

Di pihak BN sendiri seperti kata Ketua Penerangan BN Negeri, Dato' Hamdi Abu Bakar bahawa beliau percaya akan ada pihak yang akan membawa isu berkenaan ke mahkamah berdasarkan perkembangan semasa.

"Mahkamah akan menjadi penentu. Saya fikir berdasarkan apa yang telah berlaku selama ini, isu lantikan telah dibawa ke mahkamah, soal SPR dibawa ke mahkamah, saya pasti akan ada pihak yang akan membawa isu hari ini ke mahkamah," kata beliau.

Sidang Dun 7 Mei mencatatkan krisis yang lebih besar memandangkan BN mengemukakan usul pelantikan R.Ganesan selaku Speaker baru walaupun V.Sivakumar adalah Speaker yang sah menurut undang-undang.

Dalam pada itu BN turut meluluskan tiga lagi usul dalam 'sidang' yang diadakan dalam sidang Dun tersebut yang dibuat dengan pertindihan sidang dengan Speaker yang sah.

Malah Dun yang sepatutnya dirasmikan oleh Raja Muda Perak pada pukul 10 pagi tertanggguh beberapa jam dengan anggota Dewan bertikam lidah sehingga mencetuskan kekecohan.

Sivakumar yang memasuki DUN pada pukul 10 pagi terus menjalankan tugasnya dengan mengumumkan beberapa ketetapan mesyuarat sebelum sidang dirasmikan Raja Nazrin.

Antara ketetapan itu ialah memecat Zambry Abdul Kadir dan enam exconya yang telah digantung dari memasuki DUN.

Malah tiga Adun Bebas yang telah keluar parti masing-masing dan dikatakan telah meletakkan jawatan turut diarah keluar oleh Sivakumar.

Jelas seperti kata Adun Teja, Chang Lih Kang bahawa sikap yang diambil Adun BN tidak menghormati peraturan dewan dan mencemar nama baik dewan.

Jelas seperti kata beberapa penganalisisi politik dan pengamal undanbg-undang, rampasan kuasa di Perak hanya beban yang sangat besar kepada kemelut yang sudah lama berat dikandung negara ini.

Keputusan speaker hari ini boleh dipertikai dan dicabar hingga sudah tiada hak dan kebebasan Speaker lagi meskipun BN mengucapkan persoalan menghormati undang-undang.

Dalam kes Perak, suasana tegang di sini adalah jelas 'signal' rakyat yang sebenarnya bersetuju dengan cadangan Prof Aziz Bari bahawa DUN Perak perlu dibubarkan segera. - azm_