Sunday, May 10, 2009
Bebas ISA: Tidak perlu ucap terima kasih pada kerajaan BN
Mohd Sabri Said
Sun | May 10, 09 | 2:09:59 pm MYT
PERMATANG PAUH, 10 Mei (Hrkh) - Rakyat tidak perlu ucap terima kasih pada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana membebaskan 13 orang lagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka dizalimi sejak hari pertama ditahan sehingga memakan masa bertahun-tahun di Kem Tahanan Kemunting, Perak.
Jiwa raga mereka terseksa, anak pinak dan isteri menderita malah lebih malang lagi ada yang daif apabila mata pencarian keluarga terhalang disebabkan tangkapan suami.
"Rakyat usah berterima kasih pada BN semata-mata melepaskan 13 tahanan ISA beberapa hari lepas. Ia bukan tindakan hasil kesedaran kerajaan tetapi kerana terpaksa ekoran desakan rakyat yang tidak pernah merasai jemu," jelas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub ketika ditemui selepas berucap di program 'Jom Sertai PAS' anjuran PAS Cawangan Taman Guar Perahu semalam.
Menurut beliau lagi, tindakan pelepasan tahanan ISA itu dibuat secara tergesa-gera kerana BN mahu menutup kes pencabulan kuasa Speaker di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang menyaksikan lunturnya demokrasi dan peraturan dewan yang selama ini disanjung.
Maka, sebab itu rakyat jangan terpedaya dengan sikap tidak bertanggungjawab BN yang telah menzalimi bukan sahaja mangsa yang tidak dihakimi malahan juga orang ramai yang tiada kena mengena dengan akta berkenaan.
"Tindakan BN itu bukan kerana menghormati demokrasi tetapi kerana nak tutup kes pencabulan di Dun Perak maka dilepasnya 13 tahanan ISA dengan harapan rakyat lebih cenderong membincangkan topik pembebasan daripada mengusung Speaker Dun Perak, Sivakumar keluar dewan untuk memberi laluan kepada Speaker baru melaksanakan tugas," tambahnya.
Sewajarnya jika Malaysia sebuah negara yang tamadun, bebas bersuara dan tidak mengamalkan demokrasi rimba kerajaan harus membebaskan ke semua tahanan ISA yang sampai kini tidak tahu apa kesalahan mereka sehingga ditangkap dan dikurung.
PAS berharap Kerajaan BN jangan lagi menggunakan akta tersebut untuk kepentingan mereka apabila merasai kuasa yang ada tidak lagi stabil.
Sementara itu, Setiausaha PAS Cawangan Taman Guar Perahu, Wan Johari Wan Abdullah berkata, program Jom Sertai PAS dirancang untuk menarik seramai mungkin penduduk mendekati PAS menjelang pilihan raya umum depan.
Memandangkan Unit Peti Undi (UPU) ini merupakan kubu kuat Umno dan BN, PAS akan memperkasakan program terutamanya golongan muda supaya mereka memahami dan mendekati perjuangan Islam.
Ketua Pemuda PAS Cawangan Taman Guar Perahu, Mohd Yunus Zakaria menegaskan, walaupun sambutan pada program 'Jom Sertai PAS' yang diadakan di padang awam taman berkenaan agak muram namun ia tidak mematahkan semangat urusetia meneruskan aktiviti kemasyarakatan.
"Kita akan lakukan yang terbaik pada masa depan demi memastikan perjuangan yang dicintai tersebar luas dan diminati ramai," katanya.
Antara kepimpinan yang hadir sama dalam program semalam ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua Angkatan Muda Pemuda Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Shamsul Iskandar Mohd Akin dan calon Pakatan Rakyat Penanti, Dr Mansor Othman. - mns
Nelayan terjerat bayar balik pinjaman dana tsunami
Mohd Sabri Said
Sun | May 10, 09 | 2:39:31 pm MYT
KUALA MUDA, KEDAH, 10 Mei (Hrkh) - Dana Khas Tsunami Nelayan yang diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LIKM) akhirnya menjerat nelayan Tepi Kuala Sungai, Kuala Muda, Kedah apabila ramai antaranya tidak dapat membayar balik pinjaman akibat bantuan yang diperolehi telah rosak.
Pemimpin masyarakat nelayan sekitar Kuala Tepi Sungai, Ismail Othman menegaskan, sepatutnya mereka yang benar-benar terlibat dengan bencana tsunami tidak dipelawa meminjam Dana Khas Tsunami sebaliknya diberikan borang Skim Pinjaman Kemesraan Rakyat (SPKR).
Sekarang ini mangsa seramai 44 orang yang secara langsung hilang mata pencarian sewaktu ancaman tsunami itu bimbang diheret ke mahkamah berikutan sudah dua ke tiga kali surat daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda diterima.
"Saya sendiri pun menerima surat kali ketiga untuk pergi berbincang dengan PNK cara pembayaran seterusnya. Tak apalah saya masih turun ke laut bagaimana pula kalau mangsa merupakan warga tua yang kini sedang sakit," ujarnya.
Semasa LKIM menerusi PNK memperkenalkan borang itu dulu para nelayan sudah terasa bahang pembayaran balik tetapi apa boleh buat waktu itu memang semua peralatan ke laut seperti perahu, pukat dan enjin rosak.
Nelayan tiada pilihan lain melainkan dana tersebut walaupun sedar ia boleh menimbulkan risiko jika gagal menjelaskan. Bila bantuan seperti bot, pukat atau enjin rosak nelayan terpaksa mencari dana lain untuk membeli peralatan kerana kerja ke laut adalah mata pencarian mereka seharian.
"Kita tahu waktu isi borang ramai yang berpusu-pusu memohon bantuan sehingga setengahnya berbohong kononnya hilang mata pencarian. Walhal dalam senarai yang ada pada saya hanyalah 44 orang. Sekarang ini 44 individu yang menjadi mangsa terperangkap dengan dana tersebut kerana ada yang sudah tua, sakit malahan yang telah mati pun ada," jelas beliau.
Lebih baik katanya, pinjaman itu dilupuskan daripada kalangan mangsa sebenar terutamanya golongan yang daif, tua dan sudah tidak ke laut daripada terus mencengkam hidup mereka.
Seorang mangsa, Roslan Awang 46 berkata, perahu yang diperolehi daripada bantuan dana itu telah rosak akibat terkena cerucuk besi yang dibina oleh sebuah syarikat pengorek pasir di persisiran pantai kampung berkenaan.
Malangnya, sampai hari ini syarikat berkenaan tidak membayar ganti rugi dengan alasan syarikat itu kini tidak lagi seaktif dulu melaksanakan projek besar.
"Sekarang saya nak bayar macamana perahu dah rosak. Saya pinjam RM35 ribu dan bayaran sebulan RM460.00. Buat masa ini saya pakai perahu pinjam daripada ayah saya yang sudah tidak ke laut," katanya sedih.
Dana Khas Tsunami diberikan kepada nelayan yang terlibat dengan trajedi tsunami pada 26 Disember 2004 lalu di mana bayaran balik dikenakan sebahagianya sahaja contohnya sesiapa yang meminjam RM15 ribu mereka dikehendaki membayar balik sejumlah RM750.00. - mns
Malaysia lebih aman damai tanpa ISA dan Akta Hasutan
Mohd Ezli Mashut
Sun | May 10, 09 | 2:30:47 pm MYT
Angkatan Muda Keadilan Selangor yakin Malaysia lebih aman damai dan dipandang tinggi di peringkat antarabangsa tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan Akta Hasutan 1948. Tindakan terbaru kerajaan dengan melepaskan tahanan ISA menjadi autoriti terkuat untuk membuktikan bahawa Malaysia akan lebih aman dan demokratik tanpa akta ISA ini.
AMK Selangor juga menyatakan harapan penutupan segera Kem Tahanan ISA di Kamunting akan dapat dilaksanakan segera. Semua tahanan yang masih ditahan juga digesa dibebaskan segera atau dibawa ke mahkamah untuk mendapat perbicaraan yang adil dan saksama. Penutupan Kem Kamunting akan menaikkan nama dan imej negara di peringkat antarabangsa. Selagi ia tidak ditutup ia akan terus menerima kecaman keras dan negatif daripada masyarakat antarabangsa dan pertubuhan dunia.
AMK Selangor juga mendesak agar ruang lingkup dan perbincangan yang baik dan berhemah dapat berjalan di negara ini. Justeru Akta Hasutan 1948 tidak wajar menjadi alternatif kepada pihak tertentu mutakhir kini untuk terus menakut-nakutkan rakyat dan menekan pihak-pihak yang menuntut keadilan dan kebebasan.
Akta Hasutan 1948 merupakan suatu akta undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta ini sebenarnya digubal oleh penjajah British pada tahun 1948. Akta ini menjadikan ucapan yang "mempunyai kecenderungan menghasut" sebagai suatu kesalahan jenayah.
AMK Selangor melihat kecenderungan pihak-pihak tertentu menggunakan Akta Hasutan 1948 ini untuk hanya bertujuan menutup suara-suara rakyat dan perbincangan yang baik untuk negara ini. Justeru AMK menggesa semua pihak membuat desakan kuat kepada pihak kerajaan agar akta yang sudah lagi tidak relevan masa kini dimansuhkan sahaja.
AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi segala isu-isu yang sensitif ini dapat dibincangkan dengan suasana kasih sayang, ilmiah dan berfikiran terbuka. Malahan dengan wujudnya suasana ini negara akan lebih aman sentosa. Penggunaan ISA dan Akta Hasutan 1948 hanya akan menjadikan suasana siasah dan perbincangan isu-isu sensitif semakin sukar diselesaikan dan dirungkaikan. Ianya juga akan menjadi 'api dalam sekam' dalam masyarakat Malaysia untuk membina suasana siasah negara ini yang lebih kepada sifat berkasih sayang dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.
AMK Selangor juga menggesa agar kita semua mempelajari kebangkitan tamadun-tamadun besar dunia masa silam dalam melaksanakan dan membawa negara yang hebat. Kita perlu mempelajari suasana Tamadun Andalusia yang menangani dengan baik serta berhemah suasana perbezaan masyarakat pelbagai agama, bangsa dan ras pada ketika itu. Akhirnya tamadun Andalusia menjadi obor sinar kepada masyarakat di benua Eropah yang berada dalam suasana gelap-gelita pada ketika itu.
AMK Selangor menaruh keyakinan ini kerana masyarakat Malaysia yang mendapat didikan tinggi semakin meningkat dan jumlahnya amat besar. Revolusi maklumat dan informasi yang bergerak pantas juga menjadi pemangkin kesedaran ilmiah yang semakin tinggi di kalangan masyarakat di negara ini.
AMK Selangor berkeyakinan segala isu-isu sensitif yang timbul di negara ini mampu diselesaikan dalam semua peringkat. Kita perlu mewujudkan suasana perbincangan isu-isu sensitif ini dengan semangat kasih sayang, mesra dan berfikiran positif serta terbuka. Malaysia sudah mengecapi nikmat kemerdekaan lebih 50 tahun, justeru dengan umur yang matang ini menuntut juga semua lapisan kepimpinan dan masyarakat menuju perubahan minda yang lebih dinamik dan sejajar dengan perubahan besar dunia.
Akhirnya, AMK Selangor menaruh harapan dan sinar baru untuk Malaysia yang lebih aman damai tanpa ISA dan Akta Hasutan 1948 ini. Suasana perbincangan isu-isu sensitif yang tidak pernah selesai semenjak Malaysia merdeka akan menjadi lebih mudah dirungkaikan dan dimuktamadkan segera tanpa adanya lagi ISA dan Akta Hasutan 1948.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor
Kesedaran terhadap bacaan al-Quran semakin meningkat
Muhammad Arif Ismail
Sun | May 10, 09 | 2:04:57 pm MYT
BATU CAVES, 10 Mei (Hrkh) - Kesedaran masyarakat Islam terhadap bacaan atau tilawah al-Quran semakin meningkat dengan sambutan daripada pihak media.
Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah al-Quran peringkat Negeri Selangor, Dato' Ramli Mahmud.
Menurut beliau, satu fenomena yang sangat menarik untuk dikongsi bersama ialah bagaimana kesedaran umat Islam terhadap bacaan dan tilawah al-Quran semakin mendapat sambutan.
"Semua peringkat usia dilihat bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran," katanya sempena Majlis Penutup dan Penyampaian Hadian Tilawah al Quran Peringkat Negeri Selangor 1430H/2009M di Masjid Jamek Amaniah, dekat sini, kelmarin.
Hadir sama dalam Majlis Penutup tersebut, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang juga ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato' Muhammed Khusrin Munawi; Ketua Hakim Syarie, Dato' Zohdi Toha dan Dato' Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid.
Menurut beliau, kesedaran ini turut disuburkan oleh pihak media khususnya media elektronik yang mula menerbitkan rancangan-rancangan yang berkaitan dengan bacaan tarannum dan tajwid al-Quran.
"Kemunculan program Akademi al-Quran dan Mari Bertarannum di TV 9, Tilawah Interaktif dan Qiraatul Quran di TV1 serta Kalam Suci di Astro Oasis menjadi penyubur jiwa keinginan umat Islam untuk mengenal kesucian kitab al-Quran.
"Kita mengharapkan peranan media dalam memartabatkan al-Quran untuk terus meningkat ketika umat Islam begitu dahaga dengan segala petunjuk dan ilmu yang terkandung dalamnya," katanya.
Kesedaran ini katanya, sewajarnya disambut oleh tokoh-tokoh dan pakar al-Quran dengan menghamparkan segala ilmu yang ada pada mereka.
"Pembacaan al-Quran yang baik lagi sempurna adalah secara tartil yakni tepat, jelas sebutan huruf serta menepati hukum hakam tajwid," ujar beliau.
Sementara itu, pada tahun ini, tempat pertama telah dimenangi qari dari Daerah Hulu Selangor, Ahmad Mustafa Mohd Sidin. Manakala, qariah pula dimenangi oleh johan menunggu dari daerah Sepang, Norfaizah Panut.
Mereka berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000, piala iringan, sepersalinan pakaian, sijil penghargaan dan hadian mengerjakan umrah serta akan menjadi wakil calon negeri Selangor ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada 6 hingga 10 Julai di Ipoh, Perak Darul Ridzwan.
Hadiah tersebut telah disampaikan oleh Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mewakili DYMM Sultan yang menjalani rawatan jantung di Amerika Syarikat. - mns
Polis cabul sidang Dun Perak , Sivakumar masih Speaker
Debra Chong
Sat | May 09, 09 | 5:00:15 am MYT
SEMAKIN banyak pihak menimbangkan kesahihan perlucutan V Sivakumar daripada jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan pengundian pengganti beliau, R Ganesan, bekas Adun Sungkai, dan juga dua lagi usul.
Peguam dan juga Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Malik Imtaz Sarwar tidak bersetuju dengan pandangan Dato' Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bahawa usul yang diluluskan 7 Mei adalah sah.
"Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hafarizam dan Shafee. Saya tak nampai bagaimana it boleh menjadi sah," jelas Malik Imtaz kepada Malaysian Insider.
Prosidur diragui
Dia mendapati terlalu banyak persoalan berhubung prosidur di dalam ruang dewan, mengakibatkan kesahihannya diragui.
"Pertama, bagaimanakah persidangan itu boleh sampai ke peringkat di mana Hee mengambil alih persidangan?" beliau mempersoalkan, merujuk kepada Hee Yit Foong, Adun Jelapang merangkap Timbalan Speaker.
"Sekiranya Sivakumar berada di situ secara sah, bagaimana dia (Hee) boleh mengambil alih (tugas Speaker)?" tambah beliau, merujuk kepada penjelasan Hafarizam yang membuat rujukan kepada Perkara 36A(1)(b) Peraturan Persidangan yang membenarkan Timbalan Speaker mengambil tempat menggantikan Speaker.
Versi bercanggah
Kata Imtaz, dia mendengar versi yang bercanggah-canggah mengenai peristiwa 7 Mei, termasuk dakwaan kononnya pada satu ketika Sivakumar tidak berada di dalam kamar dewan sewaktu persidangan berlangsung.
Beliau juga mempersoalkan kehadiran pegawai polis berpakaian biasa di dalam kamar dewan.
"Polis tidak sama sekali mempunyai kuasa dalam kamar dewan," kata Imtaz, dan merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara pada Mac lalu selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh dikasari di Parlimen.
Syed Hamid dan Musa Hassan menegaskan bahawa pihak polis tidak boleh campur tangan dalam kamar dewan walaupun sekiranya terdapat pergaduhan dan hanya petugas dewan (sergeant-at-arms) mempunyai kuasa menangkap.
Polis bukan agen parti politik
"Polis telah bertindak tanpa kuasa. Mereka sebenarnya menjadikan diri mereka sebagai agen kepada sebuah parti politik dan bukan sebagai pelaksana bebas undang-undang," kata Imtaz, sambil menekankan bahawa Sivakumar adalah masih Speaker yang sah ketika itu.
Sementara menekankan pandangannya bahawa tidak bermakna Adun Pakatan Rakyat bebas daripada apa-apa perlakuan salah, Imtaz menolak penjelasan Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil polis apabila keadaan menjadi semakin tegang.
"Mereka mengatakan mereka tidak ada pilihan tapi itu tidak benar. Mereka boleh sahaja memfail untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menyebut Sivakumar sebagai menghina mahkamah. Mereka tidak melakukan demikian tetapi memilih untuk membantu diri-sendiri tetapi membantu diri-sendiri tidak dibenarkan di bawah sistem perundangan kita," jelas Imtaz lagi dengan nada marah.
"Bahkan, cara paksaan terpaksa digunakan - dengan menggunakan polis untuk memaksa Sivakumar keluar dari kamar dewan tanpa sebarang alasan-� ini adalah merupakan penunjuk yang mencukupi bahawa BN tidak mempunyai penyelesaian politik mahupun perundangan terhadap kesulitan yang mereka sendiri mulakan."
Beliau juga mempersoalkan: "Pada saat manakan persidangan sebenarnya bermula?"
Bila sidang bermula?
"Sekiranya perasmian persidangan bermula selepas titah Raja Nazrin, bagaimanapula mereka menjalankan sebarang urusan sebelum itu?" tanya Imtaz.
Beliau menekankan, Raja Muda Perak yang sepatutnya membuka persidangan, memasuki kamar dewan hanya pada kira-kira jam 3.00 petang, setelah berlaku perebutan kerusi Speaker dan setelah tiga lagi usul - pemilihan Ganesan sebagai Speaker, anggota baru untuk jawatankuasa sampingan dan kelulusan pengisytiharan pembatalan sidang Pakatan Rakyat terdahulu yang diadakan di bawah sebatang pohon.
Imtaz juga menegaskan persidangan tersebut juga melanggar beberapa lagi konvensyen, termasuk tidak mengadakan upacara mengangkat sumpah untuk Ganesan selaku Speaker. Ini, tegasnya, biasanya diadakan dalam satu upacara di masa lain di hadapan raja.
Terus buntu
"Inilah antara perkara yang menyebabkan saya merasa ragu tentang kesahan usul yang diluluskan," kata peguam yang baru-baru ini menjadi penerima anugerah hak asasi manusia antarabangsa.
"Akhirnya, terdapat kebuntuan di sini," katanya, dan menambah sekiranya Perdana Menteri Najib Razak "ikhlas tentang Satu Malaysia, dia tidak boleh membenarkan BN melakukan tindakan tersebut."
Bagi pensyarah undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Abdul Aziz Bari, "semuanya begitu jelas dan terpampang."
Katanya, dia bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa persidangan 7 Mei adalah "haram dan tidak berperlembagaan".
Cara salah pilih Speaker
"Bagi saya, cara mereka memilih Speaker adalah salah. Speaker masih Sivakumar," jelas ahli akademik itu.
Beliau memerhatikan bahawa urutan peristiwa dari 5 Februari sehingga semalam - dari perbuatan melompat parti yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih sehinggalah kepada keputusan mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar untuk menggantung kehadiran Adun BN - membuatkan kesahihan usul cukup meragukan menurut pandangannya.
Seperti juga Malik Imtiaz, Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan bersetuju situasi di Perak sudah tiba pada titik di mana tidak ada jalan lain kecuali Sultan Perakmembubarkan dewan undangan dan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru bagi membersihkan kemelut yang berlaku.
Undang-undang tak boleh selesai masalah
"Bagi kita, cara perundangan tidak akan dapat menyelesaikannya kerana setiap peguam mempunyai pendapat berbeza," katanya.
"Secara peribadi, saya rasa terdapat hujah yang memihak kepada kedua-dua pihak. Satu daripadanya bilakah persidangan itu sebenarnya bermula? Satu lagi apakah Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul yang hendak dibentangkan?"
"Tapi kini Pakatan Rakyat adalah pihak minoriti dan BN mempunyai majoriti stabil dengan 28 campur tiga bebas," jelasnya.
Ragunath menekankan cara terbaik untuk keluar dari permasalahan tersebut ialah membenarkan pengundi membuat keputusan.
"Saya tak fakir dalam demokrasi, untuk kembali semula kepada rakyat setelah baru sahaja mengadakan pilihan raya umum merupakan satu masalah," katanya.
----
Tulisan dari The Malaysian Insider ini diterjemah oleh Shirzad Lifeboat _
Pemuda PAS Kelantan desak Dasar Membangun Bersama Islam dipertegaskan
Muhammad Yusri Amin
Sun | May 10, 09 | 1:59:12 pm MYT
KOTA BHARU, 10 Mei (Hrkh) - Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Kali Ke-50 yang berlangsung hari ini mendesak agar satu penegasan semula Dasar Membangun Bersama Islam dilakukan.
Penegasan semula itu membabitkan semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Penegasan itu hendaklah dilaksanakan dengan tegas, dan seterusnya mengawal masalah gejala sosial dan salah laku di kalangan semua generasi masyarakat Kelantan," adalah merupakan usul yang diterima sebulat suara setelah dibahaskan.
Usul tersebut dibawakan Dewan-Dewan Pemuda PAS Tanah Merah, Bachok dan Ketereh. Sementara usul kedua diterima sebulat suara setelah dibahaskan ialah usul mengenai Kebajikan yang dibawakan Dewan-Dewan Pemuda PAS Pasir Mas, Ketereh dan Tanah Merah.
"Memandangkan ramai tenaga pengajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) merupakan petugas dan ahli aktif parti, maka adalah didesak agar satu kajian permasalahan di kalangan golongan itu dibuat Dewan Pemuda PAS Negeri.
"Ini penting supaya ianya boleh ditangani secara cepat dan tepat khususnya berkaitan dengan bayaran elaun dan kenaikan pangkat," katanya.
Usul lain yang diterima tanpa bahas ialah usul mengenai disiplin dalam jamaah, usul pemerkasaan "PAS Untuk Semua" dan usul pemerkasaan program "Jom Sertai PAS".
Usul-usul tersebut dibawakan Dewan-Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu, Machang, Kubang Kerian dan Guma Musang.
Ketika mengemukakan usul mengenai disiplin dalam jamaah, Dewan-Dewan Pemuda PAS Pasir Mas dan Pasir Puteh mendesak agar pimpinan PAS mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap ahli-ahli parti yang melakukan apa-apa perbuatan yang boleh memburukkan imej parti.
"Tindakan juga dilakukan ke atas ahli-ahli parti yang memecah belahkan perpaduan ahli parti dan membawa elemen negatif dalam parti sehingga menyebabkan gejala negatif yang telah sekian lama wujud pada parti lawan mula menjangkiti PAS.
"Kami juga mendesak agar semua ahli parti memberi perhatian khusus dalam menjauhi perkara-perkara itu," katanya.
Mengenai usul pemerkasaan "PAS Untuk Semua", Dewan-Dewan Pemuda PAS Kota Bharu dan Machang mendesak agar digerakkan secara giat usaha mendekati masyarakat bukan Islam dengan membawa mesej memahami Islam hakiki melalui program dakwah yang lebih efisyen oleh parti khususnya dengan menghidupkan Kelab-Kelab Penyokong PAS di setiap Kawasan.
Pada usul pemerkasaan program "Jom Sertai PAS" pula, Dewan-Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian dan Gua Musang mendesak agar Dewan Pemuda PAS Negeri memperkasakan program "Jom Sertai PAS" secara khususnya untuk para pengundi muda melalui pakej-pakej program yang lebih menarik dan menyeluruh bagi mempastikan sokongan terhadap PAS daripada kalangan generasi muda akan terus berkembang.
Muktamar yang berlangsung di sebuah hotel dekat sini dirasmikan Setiausaha Dewan Permuda PAS Pusat Ahmad Sabki Yusof. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Abdul Fattah Mahmood. - mns
Ustaz Ahmad Yahya terajui Pemuda Kedah
Izwan Abdul Halim
Sun | May 10, 09 | 12:45:58 pm MYT
KUPANG, 10 Mei (Hrkh) - Pemilihan Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyaksikan Timbalan Ketua Pemuda sesi lalu, Ustaz Ahmad Yahya dipilih menerajui saf kepimpinan baru sesi 2009-2011 pada Muktamar Tahunan DPPNK Kali Ke-43 yang dilangsungkan di Kompleks Yayasan Al-Khairiah, Kampung Pisang, di sini.
Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula disandang Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor manakala Naib Ketua Pemuda disandang, Ustaz Ahmad I'zzat Mohamed Shauki yang juga Adun Bukit Lada.
Mereka yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa pula ialah Ustaz Mohd Azam Abd Samat, Ustaz Mohd Rosli Azmi, Ustaz Zelani Nik Chik, Ustaz Muhd Yusuf Awang, Ustaz Salim Mahmood, Azman Ahmad, Ustaz Mohamad Ismail, Yusrin Zakri Adnan, Fadzil Baharom dan Muhd Afif Abdullah.
Muktamar bertemakan "Memelihara Kemenangan" itu telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, malam semalam.- mns
Usul kerusi khas Naib Presiden muslimat ditolak
Saidah Hairan | Foto Nasir Sudin
Sun | May 10, 09 | 7:29:36 am MYT
KUALA LUMPUR, 10 Mei (Hrkh) - Perwakilan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan sepakat mengekalkan Ustazah Nuridah Mohd Salleh sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah manakala Timbalannya, Sakinah Awang bagi sesi 2009/2011.
sesi 2009/2011.
Seramai 76 perwakilan Dewan Muslimat telah mengadakan Muktamar dan pemilihan Naib serta 10 AJK dengan penuh bijaksana. Dalam unidan tersebut perwakilan telah memilih Ustazah Teh Izanuri Jamaluddin sebagai Naib Ketua Muslimat.
Dalam Muktamar tersebut Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa turut mengusulkan kepada PAS Pusat supaya diberikan peruntukkan satu kerusi tambahan bagi jawatan Naib Presiden PAS untuk diisi oleh muslimat.
Bagaimanapun, perwakilan daripada Wangsamaju mencadangkan supaya usul tersebut ditolak dan tiada sebarang bantahan daripada perwakilan dari kawasan lain.
Nuridah dalam ucaptama mengingatkan Muslimat supaya bersedia menyambut cabaran disekitar kota raya sesuai dengan tema Muktamar kali ke-26 `Muslimat Mendepani cabaran Kotaraya'.
Ini kerana katanya, perbuatan gejala sosial dan maksiat yang berpusat di Kotaraya bertambah kritikal melanda generasi muda khususnya bangsa Melayu.
"Apakah yang telah kita lakukan untuk sama-sama menangani masalah itu dan kita sebenarnya tidak mampu untuk membiarkan masyarakat terjerumus dalam maksiat," tegasnya.
Justeru beliau menyeru kepada seluruh perwakilan dan pemerhati supaya berganding bahu dan bekerjasama bagi memudahkan kerja-kerja menangani masalah maksiat di Kota Raya.
Beliau turut mengharapkan kepimpinan PAS khususnya di Pusat dalam memikirkan strategi untuk meraih sokongan rakyat lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang.
"Muslimat PAS Wilayah bersedia untuk menerima perubahan yang bakal diolah untuk dilaksanakan," tegas beliau.