Showing posts with label ISA. Show all posts
Showing posts with label ISA. Show all posts

Tuesday, May 26, 2009

Ringankan beban kanak-kanak, keluarga mangsa ISA

Ringankan beban kanak-kanak, keluarga mangsa ISA
Azamin Amin
Tue | May 26, 09 | 11:00:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Harakah dan Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (GMI) sedang giat mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada keluarga mangsa ISA yang ditahan di Kamunting sejak bertahun lamanya.

"Ayah dikurung di Kamunting, ibu terpaksa mencari nafkah, lebih malang anak-anak tercicir dari sekolah malah ada yang tidak mengenal huruf."

Begitulah antara 'rangkap' keperitan yang dilalui oleh mereka khususnya kanak-kanak tidak berdosa yang tidak mengerti apa-apa tentang kezaliman akta tersebut terhadap ayah mereka.

Justeru, Ketua Pengarang Harakah dan Harakahdaily Ahmad Lutfi Othman memohon jasa baik dan simpati orang ramai untuk sama-sama membantu, paling tidak sedikit untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan kanak-kanak ini yang perlu diberi perhatian oleh seluruh masyarakat di negara ini yang prihatin terhadap tanggungjawab meneruskan pelajaran demi masa depan mereka.

"Yuran, buku sekolah, pakaian dan bayaran pengangkutan menjadi beban besar kepada keluarga mangsa ISA kerana ketua keluarga, ayah mereka tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu. Ada yang tiada sumber pendapatan malah, terpaksa mencari sesuap nasi dengan pelbagai cara yang menyulitkan.

"Demi masa depan mereka, saya meminta jasa baik orang ramai supaya dapat menghulurkan bantuan dana untuk diagihkan kepada mereka yang tidak bernasib baik," kata Ahmad Lutfi yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Ahmad Lutfi berharap dengan sumbangan dana dan apa jua bantuan orang ramai itu dapat mengembalikan dan menyuntik semangat keluarga mangsa ISA untuk meneruskan persekolahan anak-anak mereka sekaligus matlamat untuk melihat kanak-kanak tidak berdosa ini berjaya dalam pelajaran dan mengubah masa depan keluarga tercapai.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan,bolehlah dimajukan dana tersebut ke HARAKAHDAILY DOT COM akaun Maybank 564070000336.

Segala simpati dan sumbangan diberi, hanya Allah yang membalasnya. - azm

Monday, May 11, 2009

Puisi Mohd Sabu, Samad Said, teater Dinsman di Melewar 16 Mei ini

Puisi Mohd Sabu, Samad Said, teater Dinsman di Melewar 16 Mei ini
Harakahdaily
Mon | May 11, 09 | 12:28:11 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said akan menyampaikan puisi mereka pada majlis Makan Malam Amal bersempena dengan penentangan terhadap kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 16 Mei ini di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar.

Akan turut memberi persembahan ialah Dinsman, Nasir Jani dan Sofie Jikan yang akan mempersembahkan Teater "Menunggu Kata Dari Tuhan."

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Bintang' Mohd Radzi Hashim berkata, pihaknya menganjurkan majlis tersebut untuk memberi peluang orang ramai seisi keluarga untuk menghadiri majlis tersebut, sambil beramal dan berhibur cara Islam.

Katanya, sesiapa yang berminat bolehlah membuat tempahan dan pertanyaan melalui sekretariat, Kassim Sabu di talian 013-3871946.

Tiket-tiket berharga RM25.00 seorang. - mr

Sunday, May 10, 2009

Bebas ISA: Tidak perlu ucap terima kasih pada kerajaan BN

Bebas ISA: Tidak perlu ucap terima kasih pada kerajaan BN
Mohd Sabri Said
Sun | May 10, 09 | 2:09:59 pm MYT

PERMATANG PAUH, 10 Mei (Hrkh) - Rakyat tidak perlu ucap terima kasih pada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana membebaskan 13 orang lagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka dizalimi sejak hari pertama ditahan sehingga memakan masa bertahun-tahun di Kem Tahanan Kemunting, Perak.

Jiwa raga mereka terseksa, anak pinak dan isteri menderita malah lebih malang lagi ada yang daif apabila mata pencarian keluarga terhalang disebabkan tangkapan suami.

"Rakyat usah berterima kasih pada BN semata-mata melepaskan 13 tahanan ISA beberapa hari lepas. Ia bukan tindakan hasil kesedaran kerajaan tetapi kerana terpaksa ekoran desakan rakyat yang tidak pernah merasai jemu," jelas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub ketika ditemui selepas berucap di program 'Jom Sertai PAS' anjuran PAS Cawangan Taman Guar Perahu semalam.

Menurut beliau lagi, tindakan pelepasan tahanan ISA itu dibuat secara tergesa-gera kerana BN mahu menutup kes pencabulan kuasa Speaker di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang menyaksikan lunturnya demokrasi dan peraturan dewan yang selama ini disanjung.

Maka, sebab itu rakyat jangan terpedaya dengan sikap tidak bertanggungjawab BN yang telah menzalimi bukan sahaja mangsa yang tidak dihakimi malahan juga orang ramai yang tiada kena mengena dengan akta berkenaan.

"Tindakan BN itu bukan kerana menghormati demokrasi tetapi kerana nak tutup kes pencabulan di Dun Perak maka dilepasnya 13 tahanan ISA dengan harapan rakyat lebih cenderong membincangkan topik pembebasan daripada mengusung Speaker Dun Perak, Sivakumar keluar dewan untuk memberi laluan kepada Speaker baru melaksanakan tugas," tambahnya.

Sewajarnya jika Malaysia sebuah negara yang tamadun, bebas bersuara dan tidak mengamalkan demokrasi rimba kerajaan harus membebaskan ke semua tahanan ISA yang sampai kini tidak tahu apa kesalahan mereka sehingga ditangkap dan dikurung.

PAS berharap Kerajaan BN jangan lagi menggunakan akta tersebut untuk kepentingan mereka apabila merasai kuasa yang ada tidak lagi stabil.

Sementara itu, Setiausaha PAS Cawangan Taman Guar Perahu, Wan Johari Wan Abdullah berkata, program Jom Sertai PAS dirancang untuk menarik seramai mungkin penduduk mendekati PAS menjelang pilihan raya umum depan.

Memandangkan Unit Peti Undi (UPU) ini merupakan kubu kuat Umno dan BN, PAS akan memperkasakan program terutamanya golongan muda supaya mereka memahami dan mendekati perjuangan Islam.

Ketua Pemuda PAS Cawangan Taman Guar Perahu, Mohd Yunus Zakaria menegaskan, walaupun sambutan pada program 'Jom Sertai PAS' yang diadakan di padang awam taman berkenaan agak muram namun ia tidak mematahkan semangat urusetia meneruskan aktiviti kemasyarakatan.

"Kita akan lakukan yang terbaik pada masa depan demi memastikan perjuangan yang dicintai tersebar luas dan diminati ramai," katanya.

Antara kepimpinan yang hadir sama dalam program semalam ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua Angkatan Muda Pemuda Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Shamsul Iskandar Mohd Akin dan calon Pakatan Rakyat Penanti, Dr Mansor Othman. - mns

Malaysia lebih aman damai tanpa ISA dan Akta Hasutan

Malaysia lebih aman damai tanpa ISA dan Akta Hasutan
Mohd Ezli Mashut
Sun | May 10, 09 | 2:30:47 pm MYT

Angkatan Muda Keadilan Selangor yakin Malaysia lebih aman damai dan dipandang tinggi di peringkat antarabangsa tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan Akta Hasutan 1948. Tindakan terbaru kerajaan dengan melepaskan tahanan ISA menjadi autoriti terkuat untuk membuktikan bahawa Malaysia akan lebih aman dan demokratik tanpa akta ISA ini.

AMK Selangor juga menyatakan harapan penutupan segera Kem Tahanan ISA di Kamunting akan dapat dilaksanakan segera. Semua tahanan yang masih ditahan juga digesa dibebaskan segera atau dibawa ke mahkamah untuk mendapat perbicaraan yang adil dan saksama. Penutupan Kem Kamunting akan menaikkan nama dan imej negara di peringkat antarabangsa. Selagi ia tidak ditutup ia akan terus menerima kecaman keras dan negatif daripada masyarakat antarabangsa dan pertubuhan dunia.

AMK Selangor juga mendesak agar ruang lingkup dan perbincangan yang baik dan berhemah dapat berjalan di negara ini. Justeru Akta Hasutan 1948 tidak wajar menjadi alternatif kepada pihak tertentu mutakhir kini untuk terus menakut-nakutkan rakyat dan menekan pihak-pihak yang menuntut keadilan dan kebebasan.

Akta Hasutan 1948 merupakan suatu akta undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta ini sebenarnya digubal oleh penjajah British pada tahun 1948. Akta ini menjadikan ucapan yang "mempunyai kecenderungan menghasut" sebagai suatu kesalahan jenayah.

AMK Selangor melihat kecenderungan pihak-pihak tertentu menggunakan Akta Hasutan 1948 ini untuk hanya bertujuan menutup suara-suara rakyat dan perbincangan yang baik untuk negara ini. Justeru AMK menggesa semua pihak membuat desakan kuat kepada pihak kerajaan agar akta yang sudah lagi tidak relevan masa kini dimansuhkan sahaja.

AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi segala isu-isu yang sensitif ini dapat dibincangkan dengan suasana kasih sayang, ilmiah dan berfikiran terbuka. Malahan dengan wujudnya suasana ini negara akan lebih aman sentosa. Penggunaan ISA dan Akta Hasutan 1948 hanya akan menjadikan suasana siasah dan perbincangan isu-isu sensitif semakin sukar diselesaikan dan dirungkaikan. Ianya juga akan menjadi 'api dalam sekam' dalam masyarakat Malaysia untuk membina suasana siasah negara ini yang lebih kepada sifat berkasih sayang dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.

AMK Selangor juga menggesa agar kita semua mempelajari kebangkitan tamadun-tamadun besar dunia masa silam dalam melaksanakan dan membawa negara yang hebat. Kita perlu mempelajari suasana Tamadun Andalusia yang menangani dengan baik serta berhemah suasana perbezaan masyarakat pelbagai agama, bangsa dan ras pada ketika itu. Akhirnya tamadun Andalusia menjadi obor sinar kepada masyarakat di benua Eropah yang berada dalam suasana gelap-gelita pada ketika itu.

AMK Selangor menaruh keyakinan ini kerana masyarakat Malaysia yang mendapat didikan tinggi semakin meningkat dan jumlahnya amat besar. Revolusi maklumat dan informasi yang bergerak pantas juga menjadi pemangkin kesedaran ilmiah yang semakin tinggi di kalangan masyarakat di negara ini.

AMK Selangor berkeyakinan segala isu-isu sensitif yang timbul di negara ini mampu diselesaikan dalam semua peringkat. Kita perlu mewujudkan suasana perbincangan isu-isu sensitif ini dengan semangat kasih sayang, mesra dan berfikiran positif serta terbuka. Malaysia sudah mengecapi nikmat kemerdekaan lebih 50 tahun, justeru dengan umur yang matang ini menuntut juga semua lapisan kepimpinan dan masyarakat menuju perubahan minda yang lebih dinamik dan sejajar dengan perubahan besar dunia.

Akhirnya, AMK Selangor menaruh harapan dan sinar baru untuk Malaysia yang lebih aman damai tanpa ISA dan Akta Hasutan 1948 ini. Suasana perbincangan isu-isu sensitif yang tidak pernah selesai semenjak Malaysia merdeka akan menjadi lebih mudah dirungkaikan dan dimuktamadkan segera tanpa adanya lagi ISA dan Akta Hasutan 1948.

Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor