Showing posts with label PRK Dun Manek Urai. Show all posts
Showing posts with label PRK Dun Manek Urai. Show all posts

Saturday, May 23, 2009

Manek Urai: Najib ditempelak cuba bohongi rakyat

Manek Urai: Najib ditempelak cuba bohongi rakyat
Izwan Abdul Halim | izwan@harakah.net.my
Sat | May 23, 09 | 8:19:57 am MYT

PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Membazir wang rakyat yang menjadi alasan popular Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) N.12 Dun Penanti ternyata satu lagi pembohongan mereka kepada rakyat.

Belum pun proses PRK Penanti berlangsung bahkan belum juga tarikh PRK Dun Manek Urai ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahkan tanpa keputusan bersama anggota gabungan BN, Perdana Menteri, Dato� Seri Najib Razak segera memberi kenyataan bahawa BN akan menyertai PRK Dun Manek Urai.

Mengulas perkara tersebut, Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution menyifatkan perkara itu sebagai pendirian tidak konsisten BN terhadap penyertaan dalam pilihan raya.

"Secara kebetulan sambil kita membuat persiapan PRK Penanti, akan berlaku satu lagi PRK di Kelantan iaitu di Manek Urai. Najib telah membuat kenyataan beberapa jam tadi di Singapura bahawa BN akan bertanding di Manek Urai. Itu bermakna BN sebenarnya tidak konsisten dari segi tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya.

"Di Penanti dia tidak mahu mengambil bahagian sebab katanya pilihan raya ini membazir wang rakyat. Kalaulah membazir wang rakyat dijadikan alasan, dia mesti konsisten. Bagaimana pula pilihan raya di sini membazir wang rakyat, sementara pilihan raya di Manek Urai tidak membazir wang rakyat?

"Jadi ternyata BN tidak ada jalan keluar lagi, dia tiada pilihan. Di sini dia cuba 'twist' atau main sentimen seolah-olah ini sesuatu yang merugikan wang rakyat. Tetapi belum pun PRK Penanti bermula, Tuhan takdirkan satu lagi PRK dan sepantas kilat Perdana Menteri mengumumkan bahawa BN akan bertanding di Manek Urai," ujarnya dalam satu temubual bersama Harakahdaily di Pejabat Yayasan Aman, di sini lewat petang semalam.

Katanya, sama ada BN bertanding atau tidak, BN sudah tentu tidak dapat menjadi pemenang di Penanti kerana tidak menyertai PRK itu, manakala Manek Urai pula merupakan kubu kuat tradisi PAS.

"Bayangkan ketika BN menang semua kerusi di Kelantan melainkan dua kerusi, satu darinya adalah Manek Urai yang PAS menang. 'So' demikianlah ketika kekuatan BN begitu hebat pun dia tidak tawan Manek Urai, apatah lagi dalam keadaan sekarang PAS menguasai 40 kerusi bersama KeADILan. 'So', Manek Urai akan jadi kekalahan yang kelima berturut-turut bagi BN, saya yakin!" ujar Saifuddin tersenyum. - mks.

Friday, May 22, 2009

SPR tentukan PRK DUN Manik Urai Khamis depan

SPR tentukan PRK DUN Manik Urai Khamis depan
Harakahdaily
Fri | May 22, 09 | 5:09:15 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada Khamis depan untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manik Urai, Kelantan, yang kosong berikutan kematian penyandangnya Haji Ismail Yaacob,60, pagi tadi.

Menurut laporan Bernama,Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi berkata mesyuarat akan diadakan pada hari berkenaan sekiranya surat pemakluman mengenai kekosongan dihantar pada Isnin.

"Mesyuarat dijangka bermula pada 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian," katanya.

Speaker DUN Kelantan Mohd Nassuruddin Daud hari ini berkata kekosongan kerusi DUN Manik Urai akan dimaklumkan kepada SPR, Isnin ini.

Ismail meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu kira-kira 5.50 pagi selepas dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan sejak bulan lepas.

Beliau, yang mewakii PAS, mula memenangi DUN Manik Urai pada pilihan raya umum 1985.

Sementara itu, ribuan penduduk menunaikan solat jenazah ke atas Allahyarham Ismail di Masjid Kampung Manek Urai Lama sebaik sahaja selepas solat Jumaat tadi.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat tersebut yang melimpah sehingga ke luar masjid.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan.

Selain itu turut hadir wakil-wakil rakyat, pemimpin PAS kawasan, KeADIlan dan pegawai kerajaan.

Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan khutbah Jumaat dan sempat bertakzirah ringkas mengenai kematian.

Ramai melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekali sekala sebak mengenangkan Paksu Mail, seorang pemimpin yang begitu rapat dengan masyarakat.

Selain itu jenazah Paksu Mail, terdapat satu lagi jenazah iaitu wanita yang juga meninggal dunia hari ini turut disembahyangkan serentak.

Kehadiran orang ramai menyebabkan Kampung Manek Urai Lama menjadi sendat dan berlaku kesesakan luar biasa di jambatan memandangkan ia hanya boleh dilalui sehala sahaja.

Kedua-dua jenazah kemudian diusung ke tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumah Paksu Mail. Jenazahnya dibawa turun ke liang lahad kira-kira jam 2.05 petang.- mks._

Malu kalah PRK, BN dinasihat tidak letak calon

Malu kalah PRK, BN dinasihat tidak letak calon
Salmiyah Harun
Fri | May 22, 09 | 2:12:26 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) dari terus malu dengan siri kekalahan pilihan raya kecil, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali mencadangkan parti itu tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manik Urai nanti.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Agung tengah hari tadi berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai, Ismail Yaacob pagi tadi.

Mustafa juga berkata, sekalipun BN menyertai pilihan raya kecil itu dan ditakdirkan menang ianya tidak boleh mengubah kerajaan PAS Kelantan.

" Oleh kerana senario BN yang kini berfikir soal duit yang tidak ada dan membazir (jika buat pilihan raya). Saya cadangkan Umno tak payah masuk dalam pilihan raya kecil. Saya yakin BN akan kalah. Duit habis, malu lagi," katanya.

Jelasnya, PAS akan mengikut perlembagaan yang ditetapkan, dengan meletakkan calon dalam pilihan raya Dun Manik Urai nanti.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Mail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas dirawat sejak 26 April.

Seminggu selepas dimasukkan ke wad beliau dipotong sebelah kakinya memandangkan keadaan penyakitnya semakin menular.

Beliau menderita penyakit gaot sejak kembali dari Makkah setahun lalu. - mks.

Dun Manek Urai kosong diberitahu SPR Isnin ini - Speaker

Dun Manek Urai kosong diberitahu SPR Isnin ini - Speaker
Wartawan Kita
Fri | May 22, 09 | 12:45:53 pm MYT

KOTA BHARU, 22 Mei (Hrkh) - Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud akan memaklumkan secara rasmi kekosongan kerusi di Dun Manek Urai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Isnin ini.

Beliau berkata, pemakluman secara rasmi akan dihantar pada tarikh terbabit disebabkan hari ini dan esok cuti mingguan di Kelantan. Manakala Ahad pula cuti mingguan di Kuala Lumpur.

Perkara 46 (5) Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan menyatakan sesuatu kekosongan luar jangka kerusi di Dun perlu diisi dalam tempoh 60 hari selepas tarikh dipastikan kekosongan oleh SPR.

"Saya akan kempilkan bersama surat kematian Adun terbabit bagi memaklumkan kekosongan tersebut. Surat rasmi akan dihantar kepada Pengarah SPR Kelantan dan ibu pejabat SPR," katanya di sini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Ismail mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi. Ismail mendapat 5,746 undi, manakala Zulkifli (4,394 undi).

Pada pilihan raya ke-11 tahun 2004, Zulkifli menang dengan majoriti tipis sebanyak 53 undi mengatasi calon PAS ketika itu, Ustaz Zamzuri Mat Lazim. - mj