Showing posts with label Penanti. Show all posts
Showing posts with label Penanti. Show all posts

Saturday, May 23, 2009

Penanti: Pakatan Rakyat menang 1-0 sebelum penamaan

Penanti: Pakatan Rakyat menang 1-0 sebelum penamaan

Mohd Sabri Said & Izwan Abd Halim
Sat | May 23, 09 | 8:36:16 am MYT

PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Pakatan Rakyat telah mendahului Barisan Nasional (BN) satu kosong di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti sebelum hari penamaan calon yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBM) di Jalan Berapit, Bukit Mertajam pagi ini.

Demikian kata, Timbalan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Faris Musa ketika berucap merasmikan Bilik Gerakan Utama AMK Pusat di Guar Jering semalam.

Jelasnya, satu kosong sudah cukup memberi kesan mendalam pada jentera BN yang selama ini berdendam dengan jentera Pakatan Rakyat setelah mengalami kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

"Pakatan Rakyat sudah menang satu kosong dengan BN bila mana parti itu tidak meletakkan calon di Penanti. Kita mahu kalahkan mereka dengan agregat tiga kosong baru keadaan agak selesa bagi Pakatan Rakyat, Kita tengah berusaha keras agar mencapai hasrat itu, " katanya.

Kedatangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin ke Penanti baru-baru ini bersama Ketua Wanita Umno, Dato' Sharizat Abdul Jalil meninjau akhirnya mendapati sokongan pada Umno dan BN tidak ke mana malah makin meruncing.

Tambahnya lagi, rakyat telah membuat pilihan terbaik pada pilhan raya umum ke 12 lalu serta pilihan raya kecil Permatang Pauh apabila menyaksikan kemenangan terus berpihak pada Pakatan Rakyat.

Cuma apa yang penting sekarang ialah perkemaskan gaya pendekatan, pertautan antara parti gabungan dan mengatur strategi berbentuk penerangan bukan lagi serangan memandangkan BN tidak bertanding.

"Memandangkan BN tidak bertanding kita akan tukar taknik pendekatan sepertimana yang diberitahu oleh Pengarah Pilihan raya Kecil Penanti, Saifudin Nasution Ismail, " jelas beliau yang juga Pengarah Pilihan raya AMK di Penanti.

Justeru itu, Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) dikehendaki tidak mengikut telunjuk Umno dan BN tetapi mesti bersikap telus, adil dan saksama dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan supaya hak rakyat di Penanti tidak teraniaya.

Kemenangan satu kosong itu, menandakan teori RAHMAN menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Rakyat mengakhiri penguasaan BN di Malaysia.

"Generasi Tunku Rahman, Abdul Razak, Hussein Onn, Mahathir dan Abdullah hanya dalam kenangan maka sekarang merupakan era Najib berkuasa. Insya-Allah penguasaannya tidak ke mana apabila terdapat skandal yang bakal meruntuhkan pengaruhnya, " ujar beliau. - mks.

Penanti: Pengundi Cina sokong calon Pakatan Rakyat

Penanti: Pengundi Cina sokong calon Pakatan Rakyat
Mohd Sabri Said & Izwan Abd Halim
Sat | May 23, 09 | 8:24:26 am MYT

PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Pengundi cina di beberapa tempat Jentera Daerah Mengundi (JDM) di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti tetap pendirian mengundi calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil yang diadakan 31 Mei ini.

Mereka mengatakan ketetapan itu di hadapan calon N12, Dr Mansor Othman dalam satu pertemuan dan majlis minun teh di kedai minuman di Kubang Ulu petang semalam.

Rata-rata mereka berpandangan Umno dan Barisan Nasional (BN) takut rahsia orang nombor satu negara terus tercalar ekoran perbuatan kroni mereka sendiri.

Masyarakat cina dalam pilihan raya umum ke-12 dan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang diadakan pada Ogos tahun lalu jelas tidak memberikan peluang BN menang sebaliknya memberi undi pada PAS dan KeADILan.

JDM Sungai Lembu, Kubang Ulu, Sungai Semambu dan Jalan Berapit merupakan penempatan bukan Islam yang dulunya sukar ditembusi tambahan lagi belum ada Parti KeADILan yang dapat melonjakan semangat perjuangan mereka menentang penguasa yang zalim.

Chua Hong Tyen, 53, berkata, sepanjang pilhan raya umum dari tahun 1999 beliau dan keluarga tidak pernah memberi undi pada BN kerana tahu BN begitu zalim dan tidak bertimbang rasa. Beliau pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil Permatang Pauh turut berkempen bersama Pakatan Rakyat.

"Saya turut berkempen membantu memenangkan calon Pakatan Rakyat dan ini satu hadiah bererti bagi kami, " ujarnya. Lee Ah Ngor 70 berkata, BN langsung tidak pernah memajukan kawasan ini walhal Penanti dalam pilihan raya umum ke-11 dikuasai BN menerusi calonya Dato' Abdul Jalil Abdul Majid.

Tetapi, apa yang dijanjikan tinggal hampa dengan alasan yang berbagai.

"Kami sudah biasa dengan janji-janji kosong terutamanya BN yang sanggup menabur wang sedangkan pada hakikatnya marah pada pengundi tidak menyokong mereka akibat bencikan ketirisan dan rasuah, " katanya.

Sementara itu, Biro Masyarakat Pilihan raya kecil Penanti , Saudara Jordan sekali lagi mengulangi perasaan gembiranya bila mendapat tahu empat JDM yang majoriti bukan Islam menang dan pasti kali ini semangat yang sama diperolehi. - mks.

Tuesday, May 19, 2009

Elak imej PM baru tercalar, BN tolak tanding di Penanti

Elak imej PM baru tercalar, BN tolak tanding di Penanti
Lanjusoh
Tue | May 19, 09 | 5:53:04 pm MYT

KOTA BHARU, 19 Mei (Hrkh) - Mengejutkan apabila presiden baru Umno, Dato' Seri Najib Razak tiba-tiba mengumumkan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil Dun Penanti, 31 Mei ini.

Ini satu sejarah yang tidak pernah berlaku dalam Umno. Mungkin satu petanda kehadiran Najib melengkapkan teori RAHMAN.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat juga meluahkan rasa terkejut apabila pemimpin Umno tiba-tiba sekarang bercakap mahu mengikut perlembagaan.

"Apakah Umno mengisytiharkan darurat di Kelantan (Mageran) ketika merampas negeri ini pada 1978 adakah ia mengikut perlembagaan.

"Begitu juga menahan seseorang dalam tahanan ISA adakah mengikut perlembagaan sedangkan kita ada mahkamah," kata Mursyidul Am PAS ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Begitu juga katanya dengan tindakan Umno merampas kuasa di Perak adakah ia mengikut perlembagaan.

Kata beliau rakyat Perak telah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri itu mengapa tiba-tiba pemimpin Umno memerangkap tiga wakil rakyat Pakatan untuk menubuh pula kerajaan lain.

"Adakah semuanya itu Umno lakukan mengikut perlembagaan. Apa yang jelas usia Umno sudah berada di penghujung sekarang," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Semalam Najib mengumumkan keputusan BN tidak bertanding di Penanti dengan mengemukakan alasan iaitu kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan.

Kerusi Dun Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Umno boleh berdalih bermacam-macam seumpama budak-budak dadah berdalih ketika polis cekup mereka, biar pun ada dadah dalam poket semasa ditangkap.

"Alasan Umno itu cakap seperti budak dadah memberi alasan. Sekarang bukan sahaja pemimpin Umno yang tidak mahu letak calon, pengundi pun tiada lagi selera hendak mengundi BN.

"Bala menimpa Umno akhir-akhir ini. Dia sendiri yang menggali lubang. Pertama Umno tolak Islam. Sedangkan Allah telah menjelaskan dalam al Quran Islam itu cahaya iaitu jalan ke akhirat," katanya.

Menurutnya seperti budak dadah kerana mereka tidak terfikir hari tua ketika kulit badan sudah koyak dan buah pinggang tebus baru hendak insaf.

Kata beliau sepatutnya orang yang tolak Islam ialah mereka belum lagi Islam.

Umno umpama orang buta

Beliau berkata, orang Melayu dikurniakan Islam tiba-tiba menolaknya seumpama orang buta yang diberi tongkat tetapi menempisnya dengan sombong.

"Dia mahu bercakap hendak jaga Islam, demokrasi pun dia tidak boleh jaga. Kacau bilau di Perak sekarang kerana angkara mereka.

"Masalah yang berlaku sekarang kerana Umno membuangkan konsep takwa kepada Allah Taala, kita kena jaga Islam dan bukan jaga nasionalis," ujarnya.

Pengerusi KeADILan Kelantan, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, langkah BN tidak meletak calon di Penanti semata-mata bagi menggelirukan rakyat.

Menurutnya BN cuba meraihkan simpati dengan cuba memberi gambaran kononnya mereka sekarang lebih mengutamakan rakyat.

"Yang pasti setelah kajian dibuat, peluang BN menang adalah tipis menyebabkan Umno tidak mahu meletak calon pada pilihanraya kecil Penanti," ujarnya.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, Umno telah mencipta sejarah dunia apabila parti pemerintah tidak mahu menyertai pilihan raya.

Angkat bendera putih sebelum bertempur

Kata beliau parti pemerintah lebih awal mengangkat bendera putih sebelum bertempur.

Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, keputusan BN tidak meletak calon di Penanti menggambarkan Najib lebih lemah berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, alasan Umno tidak mahu membazirkan duit rakyat tidak betul kerana perbelanjaan tetap dikeluarkan kerajaan untuk membolehkan SPR mengendalikan pilihan raya tersebut.

"Apa yang dimaksudkan membazir duit rakyat. Bagi saya BN sudah serasi dengan budaya politik wang membeli undi setiap kali pilihan raya diadakan," katanya yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan.

Selain itu mereka juga menggunakan jentera kerajaan sewenang-wenangnya.

"Mungkin itukah yang dimaksudkan tidak mahu membazir duit rakyat," tambahnya.

Biar apa alasan sekali pun Zaki berkata, Najib takut kepada bayangan kekalahan dalam pilihan raya kecil Penanti seperti yang berlaku di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebelum ini.

Kata beliau Najib lebih takut imejnya tercalar lagi kerana baru mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, Umno dan BN kini semakin takut kepada demokrasi rakyat. - mj

Umno/BN takut pada bayang-bayang

Umno/BN takut pada bayang-bayang
Mohd Sabri Said
Tue | May 19, 09 | 3:21:04 pm MYT

PERMATANG PAUH, 19 Mei (Hrkh) - Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Pulau Pinang, Mustaffa Kamal Mohd Yusuf menegaskan, Umno jelas takut bayang-bayang sendiri apabila tidak mengambil peluang dalam sistem demokrasi di Malaysia.

Umno dan Barisan Nasional (BN) katanya, boleh dianggap 'bodoh' tidak mahu mengukur kekuatan di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti yang dikuasai Pakatan Rakyat sejak 8 Mac 2008 lalu.

"Sebenarnya Umno takut pada bayang-bayang sendiri bukan kerana tidak mahu terjerums dalam mainan politik pembangkang dan kekosongan tidak berasaskan perlembagaan. Mereka sudah terjerat dengan berbagai isu yang tidak menyebelahi mereka membuatkan keputusan itu di ambil," ujarnya ketika diminta mengulas pengumuman Presiden BN, Dato' Seri Najib Tun Razak semalam.

Ujar beliau, menang atau kalah mesti dihadapi oleh semua pihak yang terlibat dengan pertandingan maka alasan Umno dan BN mengambarkan mereka bimbang rakyat terus menghukum kerajaan setelah berbuat demikian dalam pilhan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Menyentuh mengenai kenyataan Najib, tindakan BN tidak menyertai pilihan raya kecil pada 31 Mei depan kerana tidak mahu terlibat dengan penggunaan perbelanjaan yang besar beliau mengatakan, alasan itu tidak kuat malahan mengambarkan kebodohan kepimpinan parti itu.

Siapa sebenarnya menggunakan perbelanjaan besar melainkan Umno dan BN kerana pembinaan pos polis pun memerlukan jutaan ringgit walhal kedatangan polis yang begitu ramai bukan diundang sebaliknya kerana undangan BN untuk menakutkan rakyat sepanjang kempen di Penanti nanti.

"Kita tahu sangat apa yang Umno dan BN buat. Mereka kata tidak mahu belanja besar sebaliknya mahu menumpukan pada khidmat pada masyarakat. Itu semuanya bohong kerana di Penanti pos polis telah dibina di belakang pekan," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan raya PAS Pulau Pinang, Omar Hasan pula menyifatkan, pendirian Umno dan BN terhadap N12 nyata dayus dan lemah.

Mereka sepatutnya beradu kekuatan di situ jika mahu mengukur sokongan akar umbi. Sikap kalah awal sebenarnya memberi tamparan pada parti yang sudah lemah.

"Umno dan BN sebenarnya takut kalah kerana kekalahan bagi mereka satu benda yang tidak boleh diterima," ujarnya. - mns

BN tidak bertanding bukti Najib akur kekuatan Pakatan Rakyat

BN tidak bertanding bukti Najib akur kekuatan Pakatan Rakyat
Saidah Hairan
Tue | May 19, 09 | 1:25:47 pm MYT

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Keputusan BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dun Penanti membuktikan bahawa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak akur dengan kejayaan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Pulau Pinang.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, keengganan BN bertanding itu menunjukkan bahawa mereka mengakui bahawa Pakatan Rakyat telah berjaya mentadbir Pulau Pinang dengan baik.

Justeru katanya, BN tidak perlu mengganggu gugat pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat dan seharusnya semua pihak perlu memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Adalah wajar tidak ada pertandingan berlaku di Dun Penanti, semua pihak diharap dapat mengurangkan politiking dan marilah bersama-sama kita menjalankan amanah dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat," tegasnya.

Beliau berkata, mandat dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat telah dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat dikecapi oleh rakyat.

"Terutamanya kepada warga Pulau Pinang dalam tempoh setahun setengah pentadbiran perlu dipertingkatkan," jelasnya.

Menurut beliau, sudah sepatutnya parti-parti dari Pakatan Rakyat, terutamanya KeADILan memberikan tumpuan terhadap pentadbiran dan permasalahan rakyat, khususnya warga Penanti.

"Biarlah kewarasan kita diutamakan dengan terus memberikan tumpuan terhadap menangani segala permasalahan rakyat," tegas beliau.

Tambah beliau, jika ditakdirkan salah satu calon bebas tersebut mendapat kemenangan, ianya tidak akan merubah status quo kerajaan Pulau Pinang sekarang. - mns

Elak Penanti - Najib takut imej tercalar lebih teruk

Elak Penanti - Najib takut imej tercalar lebih teruk
Irwan Muhammad Zain
Tue | May 19, 09 | 11:52:45 am MYT

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menyelar keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang enggan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti dengan alasan enggan membazirkan wang rakyat.

Beliau juga menganggap keputusan yang dibuat oleh Dato' Seri Najib itu dilakukan semata-mata kerana mahu menyelamatkan imej dari terus teruk tercalar jika mengalami satu lagi kekalahan dalam pilihanraya kecil.

Mahfuz menegaskan jika Najib serius mahu menyelamatkan wang rakyat, beliau sepatutnya menghalang pembaziran yang selama ini banyak dilakukan oleh pemimpin Umno dan BN.

Tegas beliau lagi, pilihanraya kecil Dun Penanti akan tetap diadakan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan tetap mengeluarkan peruntukan untuk mengadakan pilihanraya tersebut.

"Najib sebenarnya dibayangi ketakutan kekalahan dan ini akan menjejaskan imej beliau dan juga kerajaan di mata rakyat.

"Alasan enggan membazirkan wang rakyat tidak masuk akal kerana pilihanraya kecil itu tetap akan diadakan dan tentunya SPR akan mengeluarkan belanja bagi menjalankan pilihanraya kecil itu.

"Jika Najib serius mahu menyelamatkan wang rakyat beli sepatutnya menghalang segala bentuk pembaziran yang dilakukan oleh pemimpin Umno dan BN sebelum ini lagi," tegas Mahfuz.

Semalam Najib mengumumkan BN tidak akan bertanding dalam Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti.

Antara alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri itu tidak mahu membazirkan wang rakyat.

Kerusi Dun Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Mohammad Fairus Khairuddin. - mr

Enggan bertanding di Penanti bukti Najib pengecut

Enggan bertanding di Penanti bukti Najib pengecut
Irwan Muhammad Zain
Tue | May 19, 09 | 11:42:41 am MYT

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) - Keengganan Barisan Nasional (BN) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti membuktikan Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Tun Razak seorang pengecut tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.

Salahuddin menegaskan, alasan yang diberikan oleh Najib terlalu dangkal dan tidak boleh diterima oleh banyak pihak termasuk ahli-ahli Umno dan penyokong BN.

Keputusan tidak bertanding di Penanti juga, tegas beliau membuktikan Najib lebih lemah berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Alasan Najib tidak mahu membazirkan wang rakyat itu terlalu dangkal kerana selama ini BN tidak pernah peduli dengan pembaziran wang rakyat.

"Jika benar Najib peka dengan wang rakyat kenapa banyak projek-projek BN sebelum ini yang jelas membazirkan wang rakyat seperti pembelian kapal selam tidak beliau bantah?

"Ahli-ahli Umno dan penyokong BN kecewa dengan keputusan ini kerana ia membuktikan Najib seorang pengecut dan lebih lemah berbanding Abdullah," tegas Salahuddin.

Justeru itu beliau menyeru agar rakyat menolak BN yang kini diketuai oleh seorang pemimpin yang lemah dan pengecut.

Semalam Najib mengumumkan kepada media keputusan untuk tidak bertanding di Penanti.

Beliau memberikan tiga alasan kenapa BN tidak bersedia untuk menghadapi Pakatan rakyat yang diwakili KeADILan di Penanti.

Pertama, kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh Perlembagaan tetapi satu usaha KeADILan untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

Kedua, pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Ketiga, BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.

Najib juga memberikan alasan "tidak mahu menari mengikut rentak pembangkang" bila memutuskan BN tidak bertanding di Penanti.

Kerusi Dun Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Mohammad Fairus Khairuddin. - mr_

Sunday, May 17, 2009

Petugas PAS diajak berkampung di Penanti

Petugas PAS diajak berkampung di Penanti
Mohd Sabri Said
Sun | May 17, 09 | 10:48:10 am MYT

PERMATANG PAUH, 17 Mei (Hrkh) -Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menyeru semua jentera PAS seluruh negara berkampung di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti untuk membantu calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman selepas hari penamaan calon pada 23 Mei ini.

Beliau ketika berceramah bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kampung Pak Elong semalam menambah, semangat juang yang tinggi amat penting diterjemahkan oleh semua gabungan parti dalam Pakatan Rakyat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat tidak mustahil boleh jadi pemerintah lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

BN diamanahkan memerintah Malaysia selama 50 tahun lebih nyata bukan membawa kecemerlangan bahkan memeritkan rakyat dengan berbagai kenaikan yang tidak sewajarnya.

"Datanglah beramai-ramai ke Dun Penanti untuk memberikan tenaga dan buah fikiran untuk memastikan calon Pakatan Rakyat berjaya di situ. Kejayaanya kelak bukan kejayaan KeADILan sahaja malahan PAS dan DAP, " tambahnya.

PAS dengan bantuan PAS Pulau Pinang akan memberitahu di mana lokasi negeri-negeri akan ditempatkan bersama jentera KeADILan termasuk DAP.

Tambahnya, setelah bersama melaksanakan tugasan yang diberikan semua gabungan Pakatan Rakyat akan merancang strateji bagaimana untuk menjatuhkan pengaruh BN yang telah hampir punah.

BN dan Umno sebenarnya kata Dr Hatta, berada di garisan penamat untuk terjun ke lautan dalam maka menjadi tugas Pakatan Rakyat menolak parti itu bersama rakyat yang sudah muak dengan telatah mereka.

"Pilihan raya kecil Penanti merupakan satu lagi peluang untuk menolak Umno maka laksanakan tugas dengan sempurna tanpa ada perasaan tidak puas hati. Yang penting Umno kalah dan terus menderita, " tegasnya lagi. - mks.

Friday, May 15, 2009

Umno serba salah di Penanti

Umno serba salah di Penanti
Mohd Sabri Said
Fri | May 15, 09 | 3:14:08 pm MYT

Umno kelihatan masih kabur sama ada untuk bertanding atau tidak di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti yang dikosongkan oleh penyandangnya merangkap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin pertengahan bulan Mac lepas.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak seakan membisu isu di Penanti mungkin memberi sepenuh perhatian pada kemelut di Perak yang telah jadi 'bubur' diperlakukan oleh Najib bersama kuncu-kuncunya setelah mengambil alih sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak mengantikan Tajul Rosli yang melepaskan jawatan ekoran tidak tahan dengan karenah berpuak-puak dalaman Umno.

Penanti merupakan salah satu Dun daripada dua Dun lagi yang ada dalam Parlimen Permatang Pauh yang menjadi milik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila dijulang sebagai Ahli Parlimen baru mengantikan isteri tercinta beliau, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya sejak pilihan raya ke-10 lagi.

Dua Dun lagi ialah Seberang Jaya yang masih menjadi kubu bagi Umno dan Barisan Nasional (BN). Ia di wakil Dato' Arif Shah manakala Dun Permatang Pasir merupakan kerusi PAS ia milik Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Namun begitu, dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang diadakan pada bulan Ogos tahun lalu manyaksikan Dun Seberang Jaya tewas kepada Pakatan Rakyat di mana calon yang fasih berbahasa Cina agak kecewa kerana jentera Umno dan BN tidak membantunya sedangkan peruntukan turun mencurah-curah.

Pernah satu ketika kemarahan beliau hampir mencetuskan kontroversi apabila beliau dikatakan di pancing untuk bersama KeADILan untuk mengisi kekosongan Exco jika berlaku percaturan baru oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kerusi Penanti sering bertukar tangan antara BN dan Pakatan Rakyat. Pada Pilihan raya Umum tahun 1999 Haji Abdul Rahman Kader menang atas tiket KeADILan waktu itu Pakatan Rakyat di kenali dengan nama Barisan Alternatif (BA) iaitu nama yang diabadikan oleh Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Dato' Fadhil Noor.

Pada pilihan raya ke-11 tahun 2004 iaitu tahun peralihan kuasa antara Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahamad Badawi atau lebih dekat dikenali 'Cucu Tok Guru' berjaya merampas kembali kerusi berkenaan kali ini di menangi oleh BN menerusi calonnya, Dato' Abdul Jalil Abdul Majid.

Empat tahun kemudian kerusi itu kembali kepada Pakatan Rakyat apabila tokoh muda iaitu seorang pejuang dan pengemar seni silat, Mohamad Fairus Khairudin memenangi dengan mudah menewaskan penyandangnya yang sekali lagi menjadi pilihan BN.

Tetapi, hari ini tiba-tiba Umno menjadi pengecut bagaikan 'Pondan Mengkuang Road' kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu setiap kali berucap di khalayak ramai dalam siri ceramahnya di awal kenyataan Najib yang tidak mahu meletakkan calon di Penanti kerana dikatakan merugikan wang rakyat dan tenaga.

Hakikatnya, bukan kerana merugikan wang rakyat atau tenaga sebaliknya untuk tidak memalukan lagi Umno dan BN setelah kalah 4-1 di tangan Pakatan Rakyat melalui pilhanraya kecil di Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. BN cuma mempertahankan Batang Ai di Sarawak sahaja.

BN sebenarnya tiada calon lain melainkan meletakkan Ketua Bahagian, Dato' Abdul Jalil tetapi bimbang tewas sekali lagi ekoran sikapnya tidak turun padang semasa menjadi Wakil Rakyat dahulunya.

Hendak memandatkan Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian pun masalah kerana beliau pernah mencemarkan emej pergerakan itu sendiri dengan skandal tidak bermoral.

Cuma dikhabarkan BN akan meletakkan calon muda mungkin seorang peguam namun bimbang di saman oleh veteran Umno sebelum bertapak di arena politik tanahair khususnya di Pulau Pinang. Melihatkan senario ini Umno dan BN masih kabur untuk meletakan calon atau sebaliknya.

Jika Najib bertegas tidak meletakan calon di situ maka Umno akan di perlekehkan selama-lamanya bukan sahaja oleh orang luar Umno malahan dalaman mereka sendiri.

Jika meletakkan calon siapa pula nama yang hendak dipamerkan untuk mengalas amanah parti kerana yang ada dikatakan bermasalah dan tidak berupaya menonjolkan emej terbaik untuk baik pulih kemelut yang dimainkan oleh BN di Perak.

Dengar kata, BN akan mengumumkan nama calon mereka pada minggu depan. Kita tunggu siapakah nama yang hendak dipertaruhkan.

Hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila dikatakan kelibat Khairy Jamaludin akan kelihatan di Guar Perahu tempat yang didakwa kubu kuat Umno dulunya.

Kini, semuanya telah berubah apabila Pakatan Rakyat hanya kalah di saluran satu di situ serta saluran satu di Jentera Daerah Mengundi (JDM) Kuala Mengkuang berbanding 10 JDM lain.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato' Sharizat Jalil telah merayau ke Sungai Lembu dan sekitarnya pagi tagi.

Semua itu dilakukan untuk menilai sendiri sokongan pengundi terutamanya ahli Umno bagaimana reaksi mereka setelah kenyataan Najib yang dianggap dayus bila berhadapan Pakatan Rakyat sekali lagi dalam pilihan raya kecil Penanti sebelum membuat keputusan bertanding atau menyerah bendera putih tanda kalah kepada Pakatan Rakyat. - mks.

Tuesday, May 12, 2009

Aminah Abdullah calon Bebas di Dun Penanti

Aminah Abdullah calon Bebas di Dun Penanti
Mohd Sabri Said
Mon | May 11, 09 | 4:35:47 pm MYT

PULAU PINANG, 11 Mei (Hrkh) - Puan Aminah Abdullah 56 tahun merupakan orang pertama mengambil borang pencalonan sebagai calon bebas untuk bertanding di N12 Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti pada 31 Mei ini.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Bukit Bendera dari tahun 1999 sehingga 2007, Exco Wanita KeADILan Pusat 2000-2007, Timbalan Ketua Wanita KeADILan Negeri pada tahun 2000-2004 dan seterusnya sebagai Ketua Wanita KeADILan Negeri Pulau Pinang dari 2004-2007 sebelum meletakan jawatan pada 13 Julai 2007 ekoran krisis dalam parti berkenaan.

Aminah yang mempunyai empat orang anak kesemuanya perempuan di temani suaminya, Mohd Rofi Osman yang juga bekas Ketua KeADILan Bahagian Bukit Bendera mengambil borang di Pejabat Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) Pulau Pinang di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) pukul 10.30 pagi tadi.

Semasa ditanya apakah tujuan kemasukan beliau sebagai calon bebas pada pilhan raya kecil itu nanti beliau menegaskan, semata-mata mahu menegakan kebenaran dan keadilan yang sudah mulai hilang daripada parti tersebut.

Menurutnya, tindakan beberapa individu dalam KeADILan sendiri menyebabkan beliau meletakan jawatan dan bergerak atas Badan Bukan Kerajaan (NGO) Gerak yang dipolopori oleh bekas Angkatan Muda KeADILan, Ezzam Mohd Noor.

Walaupun Ezzam tidak lagi mengetuai Gerak namun beliau tetap bersama NGO berkenaan sebagai Penyelaras Gerak Pulau Pinang sehingga hari ini.

"Saya tidak pernah sertai Umno dari dulu sampai sekarang. Perjuangan saya tetap untuk mengembalikan keadilan yang sejati demi memansuhkan perjuangan yang tidak ikhlas," ujarnya.

Menyentuh adakah kemasukan beliau merupakan tajaan Umno atau di dalangi oleh Ezzam beliau berkata, ia tiada kaitan sama sekali semuanya menggunakan wang sendiri. - mns