Showing posts with label Zambry Kadir. Show all posts
Showing posts with label Zambry Kadir. Show all posts

Saturday, May 16, 2009

Zambry hanya MB 'syok sendiri'

Zambry hanya MB 'syok sendiri'
Mohd Khalil Abdullah
Sat | May 16, 09 | 11:58:48 am MYT

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) -PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan tindakan Dato' Seri Dr Zambry Abd. Kadir kembali bertugas sebagai 'Menteri Besar' adalah kemuncak kepada penderhakaan terhadap seluruh rakyat Perak.

Menurut Penasihat Undang-undang PAS Wilayah Persekutuan,Ahmad Zamri Khuzaimi,sungguhpun Zambry telah mendapatkan perintah penggantungan daripada Mahkamah Rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur , tindakan Zambry kembali bertugas bersama barisan Exconya dilihat membelakangkan kehendak rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abdul Aziz Abd Rahim Isnin lalu telah mengesahkan lagi bahawa Dato' Seri Nizar sememangnya Menteri Besar Perak yang sah dan kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan pilihan rakyat Perak yang masih sah berkuasa.

"Apa yang dilakukan Zambry kini tidak lebih sebagai Menteri Besar yang 'syok sendiri' dengan menafikan kehendak majoriti rakyat,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, kedudukan Zambry kini hanya sebagai 'care taker' sahaja sementara menunggu selesainya proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan berkemungkinan juga akan berakhir di Mahkamah Persekutuan yg merupakan mahkamah tertinggi negara.

"Justeru itu, beliau dan barisan Exconya tidak boleh membuat apa-apa keputusan yang bersifat dasar ataupun yang melibatkan kewangan negeri.

"Walaupun dari segi perundangannya, Zambry berhak untuk merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari, tetapi secara moralnya, Mahkamah Tinggi telahpun membuat keputusan yang jelas mencerminkan hasrat majoriti rakyat Perak yang mahukan kerajaan Pakatan Rakyat kembali menerajui negeri Perak,"katanya yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Titiwangsa.

Ahmad turut mengulas bahawa,keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dicapai selepas Hakim meneliti dan mendengar keterangan saksi-saksi dan hujahan-hujahan peguam kedua belah pihak dalam perbicaraan yang mengambil masa empat hari untuk diselesaikan.

"Zambry sepatutnya akur dengan keputusan tersebut demi menamatkan kemelut perebutan kuasa yang sudah berlanjutan lebih tiga bulan ini.

"PAS Wilayah Persekutuan juga melahirkan rasa kagum yang amat sangat di atas keputusan Mahkamah Rayuan pada hari Selasa lalu yang disifatkan 'extra' efisyen dengan kelajuan yang sangat luar biasa.

Menurutnya, difahamkan bahawa permohonan untuk penggantungan penghakiman tersebut telah dibuat oleh peguam Zambry pada pagi tersebut dan ia didengar dan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali secara berseorangan dalam masa kurang tiga jam selepas permohonan tersebut difailkan.

"Ini merupakan satu rekod baru dalam sejarah kehakiman negara dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"PAS Wilayah Persekutuan amat berharap agar kecekapan mahkamah dalam melupuskan kes sepantas ini dapat diteruskan ke mahkamah-mahkamah lain terutamanya yang melibatkan kes-kes jenayah,"jelasnya lagi.

Sementara itu menurut Ahmad,sehingga hari ini masih terdapat tahanan-tahanan reman yang sudah menunggu bertahun-tahun lamanya untuk dibicarakan dan masih belum diselesaikan.

"Setiap rakyat sepatutnya mendapat keadilan yang sama rata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan doktrin hak asasi manusia dan tidak sepatutnya ada layanan istimewa diberikan kepada pihak-pihak tertentu.

"PAS Wilayah Persekutuan mengulangi dan menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak ini ialah dengan cara membubarkan DUN dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapakah yang layak untuk mewakili mereka dan menerajui kerajaan Negeri Perak.

"Selagi isu ini dibiarkan berlegar di mahkamah perundangan dengan mengheret insitusi istana, maka selagi itulah rakyat Perak akan terus berhadapan dengan konflik politik ini dengan tidak ada kesudahannya,"tegasnya. - mks. _

Wednesday, May 13, 2009

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak
Irwan Muhammad Zain
Wed | May 13, 09 | 12:18:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Dato' Dr Zambry Abd Kadir diminta supaya tidak menambahkan lagi kebuntuan dan kekalutan yang dihadapi rakyat Perak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masih sah dan tidak seharusnya Zambry bertindak berlawanan dengan keputusan tersebut.

"Mahkamah Rayuan hanya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi bukannya membatalkan.

"Kerana itu Zambry harus ingat bahawa dia bukanlah Menteri Besar yang sah dan untuk itu beliau tidak boleh bertindak di luar dari apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi," tegas Mahfuz.

Zambry, tegas Mahfuz dalam keadaan sekarang tidak boleh meluluskan sebarang projek dan hanya boleh mempengerusikan mesyuarat exco untuk berbincang soal pentadbiran semata-mata.

Mahfuz dalam masa yang sama berpendapat Mahkamah Rayuan sepatutnya memberikan syarat tertentu kepada Zambry bila memutuskan untuk menerima permohonan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara syarat yang boleh diberikan tegas Mahfuz, Zambry tidak dibenarkan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan, PAS bimbang jika syarat seperti itu tidak diberikan, Zambry akan membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada kewangan Perak.

Semalam Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mei lepas yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. - mks.

Monday, May 11, 2009

Zambry Kadir peragut politik

Zambry Kadir peragut politik
Dato' Mahfuz Omar
Mon | May 11, 09 | 12:33:34 pm MYT

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah bunyinya tajuk utama Utusan Melayu hari Khamis, 7 Mei 2009 yang menyiarkan kisah bagaimana tiga orang mangsa ragut yang terbunuh kerana perbuatan kejam tersebut.

Cerita ragut sudah begitu lama kedengaran, cuma ditakdirkan Allah ia berlaku kali ini ketika polis sedang berkubu di Ipoh dan Penanti. Nampaknya hari ini polis lebih banyak digunakan untuk mempertahankan kuasa politik BN daripada menjaga keselamatan awam. Jika keadaan ini berterusan, suatu hari nanti, Malaysia akan betul-betul menjadi 'negara polis'.

Keadaan politik di Perak sebenarnya tidak serumit di Terengganu kerana kedua-dua menteri besarnya mempunyai kumpulan penyokong yang ramai. Yang menjadi masalah besar di Perak ialah kedegilan Zambry Kadir untuk tidak mengikut undang-undang dan peraturan dalam setiap tindakannya.

Dulu dia bersekongkol dengan Najib Razak untuk menculik dan merasuah tiga Adun Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan, kemudian dia mengangkat sumpah sebelum sempat Menteri Besar Nizar meletak jawatan atau dikenakan undi tidak percaya. Mahkamah dijadikan alat untuk mereka mengesahkan tindakan haram itu. SPR dan SPRM pula menjadi kuda tunggangan untuk menjayakan rancangan jahat yang bertentangan dengan undang-undang.

Mungkin Zambry Kadir belum sedar apabila rakyat Bukit Gantang menyampaikan mesej untuk menolak perbuatan tidak bertamadun BN pada 7 April 2009 yang lalu. Dia mahu 'diajar' dengan cara yang lebih jelas lagi. Kita tunggu tindakan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah yang terjadi pada Khamis, 7 Mei 2009 di Ipoh, Perak. Kali ini bukannya mat rempit yang meragut. Tetapi pemimpin politik BN yang tidak bertamadun dan tidak menghormati demokrasi meragut setiap hak dan keadilan demi kepentingan politik rakus mereka.

Dahulu mereka meragut kerajaan daripada rakyat cara menculik dan merasuah, kemudian mereka meragut jawatan menteri besar melalui cara tidak berperlembagaan. Hari ini mereka melakukan lagi apabila jawatan Speaker Dun Perak diragut dengan cara yang lebih hina daripada binatang. Mereka tidak mengiktiraf Sidang Dun Perak di bawah pokok atas bermacam-macam alasan walaupun ia berlaku mengikut lunas undang-undang. Tetapi mereka bertindak persis binatang buas di dalam dewan yang mulia itu apabila bersidang sendiri dengan membelakangkan Speaker Dun yang berada di kerusinya.

Walau apapun yang dilaporkan oleh media arus perdana, rakyat mengetahui keadaan yang sebenar. Dahulu mereka menipu rakyat kononnya Nizar telah menderhaka, tetapi rakyat memberikan mesej sebaliknya di pilihan raya Kuala Terangganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Saya percaya rakyat menyedari keadaan sebenar yang berlaku walaupun media memberikan gambaran sebaliknya. Sebagai Ahli Parlimen, saya memahami peraturan yang menghendaki setiap ahli YB menghormati speaker yang mengendalikan persidangan. Saya bersetuju dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang berkata apa gunanya ada Speaker jika keputusannya tidak dihormati.

Sebagai Ketua Dun, Speaker berkuasa penuh di atas semua urusan di dewan itu. Beliau yang menentukan kedudukan Adun, usul-usul dan semua urusan perjalanan dewan tersebut. Bahkan, tidak ada Adun yang boleh bercakap tanpa kebenaran Speaker. Jika semua orang ingin bertindak sesuka hati, bercakap, membuat usul dan mengusung keluar Speaker... maka jadilah sidang itu seumpama satu sidang di Zoo Negara!

Sebenarnya isu ini cukup mudah diselesaikan. Semua pihak perlu memberi laluan kepada Speaker untuk mengendalikan mesyuarat mengikut peraturan mesyuarat. Tetapi malangnya, Zambry Kadir dan sembilan yang lain begitu degil dan keras kepala. Mereka bukan sahaja tidak mengikut arahan, bahkan cuba menjalankan sidang Dun secara haram.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana majlis perundangan di dunia, usul dikemukakan sebelum sidang bermula. Speaker telah memberitahu berkali-kali bahawa beliau tidak akan memulakan sidang selagi arahannya untuk 10 orang itu keluar dewan dipatuhi. Ini bermakna, ketika Zambry Kadir membuat usul, sidang belum bermula lagi. Yang paling saya kesalkan ialah Setiausaha DUN yang telah dipecat itu. Dia begitu biadap dan langsung tidak menghormati Speaker semata-mata kerana �ke-Umno-annya�.

Pada saya mudah sahaja, bahawa seluruh sidang itu adalah tidak sah kerana sidang belum bermula ketika prosiding dijalankan. Saya sangat percaya kekecohan ini tidak akan berlaku jika semua pihak menghormati peraturan. Mengapa Zambry Kadir begitu biadap dengan membawa satu usul tanpa mendapat kebenaran Speaker. Lebih-lebih lagi, Zambry Kadir sebagai seorang Adun yang digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun tidak berhak menghadiri sidang, apatah lagi membuat usul.

R Ganesan, 'Speaker haram' pula telah menceroboh Dun Perak secara sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan S Sivakumar yang berada di kerusi Speaker. Kemudian beratus-ratus polis yang sepatutnya menjadi keselamatan mangsa ragut, ditugaskan untuk �meragut� kerusi Speaker daripada Sivakumar.

Apa yang boleh kita rumuskan ialah sebuah kerajaan yang haram akan melakukan apa sahaja tanpa mengikut lunas undang-undang untuk mempertahankan kegiatan haram mereka. SPR, SPRM, mahkamah, polis, SUK, Setiausaha Dun, bahkan istana telah diperalatkan oleh mereka secara sempit sehingga kemuliaan Dun Perak tercemar.

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah dimalukan di hadapan khalayak dengan perbuatan yang biadab dan tidak bertamadun itu. Untuk menutup kekotoran itu, Zambry Kadir memberitahu bahawa Adun Pakatan Rakyat menyerang mereka dan bertindak menggunakan undang-undang rimba.

Saya tahu bahawa rakyat telah sedar siapakah Tarzan dalam krisis ini. Najib Razak dan Zambry Kadir patut berasa malu di atas perbuatan yang tidak demokratik ini, kerana Tun Mahathir sendiripun tidak dapat menerima apa yang berlaku di Perak.- tajdid