Sunday, May 24, 2009

Keputusan mahkamah satu skrip dan matinya demokrasi

Keputusan mahkamah satu skrip dan matinya demokrasi
Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | May 24, 09 | 7:58:47 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kemenangan 3-0 kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir pada 22 Mei lalu adalah satu keputusan yang telah diskripkan.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa diminta mengulas keputusan kes rayuan Dr Zambry bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Dato' Seri Ir NIzar Jamaluddin selaku MB yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mengulas lanjut Mohamad Sabu berkata, keputusan yang telah diskripkan itu menandakan matinya demokrasi di negara ini.

"Keputusan ini sangat pelik kerana ia telah bocor dahulu, seluruh media BN telah menanti hanya untuk umumkan sahaja, satu lagi tanda sebelum keputusan dibuat ramai Adun dan pemimpin BN hadir, tak macam semasa keputusan di Mahkamah Tinggi,"ujarnya.

Meskipun begitu Mohamad Sabu masih mengharapkan akan berlakunya pembubaran Dun oleh pihak BN.

Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Dato' Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN. - mks.

Tidak bertanding di Penanti, bukti BN makin parah

Tidak bertanding di Penanti, bukti BN makin parah
Mohd Sabri Said
Sun | May 24, 09 | 10:35:56 am MYT

PENANTI, 24 Mei (Hrkh) - "Terima kasih Barisan Nasional (BN) kerana tidak bertanding di Penanti kerana ia memberi laluan mudah untuk Parti keadilan Rakyat (KeADILan) mempertahankan kerusi di situ, " ujar Ketua Perhubungan KeADILan Pulau Pinang, Dato' Zahrin Hashim.

Beliau ketika ditemui di hari penamaan calon pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBM), Penanti menambah, pengunduran diri Barisan Nasional (BN) bukan sahaja memudahkan kempen bahkan terbukti kegawatan BN makin parah.

Jelasnya lagi, namun walaupun laluan agak mudah tetapi penerangan kepada rakyat tetap di teruskan ke kampung-kampung atau taman bagi tujuan menyedarkan mereka tentang kepentingan pilihan raya yang diadakan.

Katanya,Pakatan Rakyat mahukan rakyat dilatih dengan sistem demokrasi yang sah maka kemasukan dalam pilihanraya boleh meningkatkan lagi pengaruh parti yang menyertainya.

"Insya-Allah bila menang nanti kita akan teruskan kerja kerajaan yang kian banyak maklumlah kita mempunyai kerajaan yang seimbang dan telus, " jelasnya.

Tambahnya, untuk mencapai hasrat itu bukan sahaja memerlukan gabungan tenaga bersama bahkan memerlukan kesatuan fikiran. - mks.

Kerajaan, OIC digesa selamatkan Masjid al-Aqsa

Kerajaan, OIC digesa selamatkan Masjid al-Aqsa
Harakahdaily
Sun | May 24, 09 | 8:27:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) -Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK) merasakan keprihatinan dan kebimbangan yang tinggi kepada nasib Masjid Al-Aqsa yang kini semakin terancam dan diambang kemusnahan akibat aktiviti bawah tanah oleh Zionis Israel.

Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor,Mohd Ezli Mashut, berita-berita terbaru yang terpampang di media-media utama negara ini dan antarabangsa memberikan satu gambaran tragis bakal berlaku kepada Masjid Al-Aqsa jika tiada usaha pantas dan bersepadu digerakkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

"AMK Selangor menggesa agar Kerajaan Malaysia dapat memainkan peranan yang aktif dan berani untuk mengusulkan isu ini di peringkat dunia Islam dan antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia juga disaran menggerakkan usaha bersepadu di peringkat antarabangsa bagi memastikan Zionis Israel tidak meneruskan aktiviti-aktiviti penggalian terowong bawah tanah yang merancang untuk memusnahkan terus Masjid Al-Aqsa tersebut secara semulajadi jika berlaku gegaran gempa bumi atau seumpamanya,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya,AMK Selangor berharap agar desakan untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam ini mendapat sokongan dan dokongan kuat semua pihak di negara ini daripada semua parti politik, NGO, kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

"Isu ini diketengahkan kerana ianya adalah satu isu antarabangsa dan kemanusiaan yang melangkau batas sempadan bangsa, agama dan negara. Tindakan biadap Zionist Israel adalah satu ancaman yang berbahaya kepada seluruh umat manusia di dunia ini,"katanya.

Selain itu beliau berharap,Perdana Menteri Malaysia akan memanjangkan isu keselamatan dan nasib Masjid Al-Aqsa di peringkat antarabangsa semasa kunjungan beliau ke luar negara.

"Kita juga berharap semasa lawatannya ke China kelak, Perdana Menteri dapat mengemukakan isu ini agar China selaku salah satu kuasa besar dunia baru juga dapat memberikan tekanan kepada pihak Israel agar serius dan serta merta menghentikan apa jua aktiviti yang boleh mengancam dan menjejaskan struktur Masjid Al-Aqsa ini,"jelasnya lagi.

Di samping itu,katanya,"AMK Selangor juga berharap semua pertubuhan politik di negara ini juga dapat menjadikan isu ini sebagai satu isu serius antarabangsa yang utama ketika ini."

Menurutnya, perbezaan fahaman dan politik yang berlaku di negara ini tidak wajar dijadikan penghalang dan tembok untuk bersama-sama bergerak dalam satu suara rakyat Malaysia untuk menghentikan rancangan jahat pihak Zionis Israel yang memang jelas merancang untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa ini bila-bila masa sahaja ketika umat Islam dan masyarakat dunia difokuskan kepada masalah ekonomi dan kewangan dunia.

"AMK Selangor berkeyakinan bahawa semua rakyat Malaysia boleh bersama-sama dalam mendesak kerajaan Malaysia agar aktif dan berperanan besar dalam menggerakkan kesedaran global kepada nasib Masjid Al-Aqsa ini,"katanya lagi.

Ujarnya, dunia pastinya tidak mahu melihat peristiwa tragis kemusnahan Masjid Al-Aqsa angkara konspirasi jahat Zionis Israel ini daripada berlaku.

Tambahnya, resolusi PBB tidak akan lagi mempunyai erti dan makna lagi jika perancangan konspirasi Zionis Israel ini mencapai kejayaan.

"AMK Selangor mengajak semua pimpinan parti politik, NGO dan pihak kerajaan menjadikan isu antarabangsa nasib kemusnahan Masjid Al-Aqsa mendapat liputan dan perhatian dunia antarabanga.

"Sudah tiba masa dan ketikanya sekali lagi di waktu kita berbeza pandangan dan pendapat di negara ini, kita seiringan dan senada satu suara menggerakkan dan menyedarkan dunia mengenai satu lagi kezaliman dan perancangan konspirasi jahat Zionis Israel,"tegasnya. - mks.

Jumlah undi, indikator pada sokongan Pakatan Rakyat

Jumlah undi, indikator pada sokongan Pakatan Rakyat
Izwan Abdul Halim
Sun | May 24, 09 | 8:16:00 am MYT

Buat pertama kali tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN), tentunya Pilihan Raya Kecil (PRK) N.12 Dun Penanti tidak akan memperlihatkan 'pertembungan' sebenar kekuatan politik yang menjadi kelaziman sepertimana setiap PRK sebelum ini.

Bersama 'suasana baru' tersebut, pembawaan serta analisis pihak terlibat juga pastinya berubah. Sehubungan itu, Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM mendapatkan Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution mengulas mengenai perkara tersebut.

HARAKAH: Dalam keadaan BN tidak bertanding, apakah mesej yang akan dibawa pada PRK ini?

SAIFUDDIN: PRK Penanti kali ini bakal menyaksikan KeADILan akan hanya bertembung dengan calon-calon Bebas, sekaligus pendekatan kempen akan sedikit berubah.

Yang akan kita tekanan ialah pertama, kita akan lebih memberi tumpuan memperkenalkan calon Dr Mansor Othman. Yang kedua kita akan menerangkan kepada pengundi Penanti, dasar-dasar Kerajaan Pakatan rakyat Pulau Pinang yang dilihat lebih memberikan kebajikan dan kebaikan kepada rakyat Pulau Pinang.

Yang ketiga kita akan terangkan kepada pengundi di Penanti supaya mereka akan keluar mengundi seperti biasa walaupun pertandingan kali tidak melibatkan BN akan ada kedapatan di kalangan segmen pengundi itu nanti yang barangkali memikirkan bahawa keputusan itu sebagai sesuatu yang dianggap 'a gone conclusion'.

Tetapi jentera kempen KeADILan akan memujuk supaya pengundi-pengundi ini 'clear' seperti biasa. Jadi strategi kempen penerangan akan melebihkan kepada memperkenalkan calon, kedua menerangkan polisi-polisi kerajaan negeri yang dianggap popular dan memberikan kebaikan kepada rakyat dan ketiga ialah memberikan penekanan kepada memujuk pengundi supaya keluar mengundi.

Tentunya peluang untuk menang lebih mudah tanpa BN. Jadi pada PRK ini, apakah indikator yang boleh menunjukkan bahawa rakyat sebenarnya kekal menyokong Pakatan Rakyat dan terus menolak BN?

Indikatornya hanya akan kita lihat apabila kita mendapat nantinya jumlah sebenar yang memberikan undi kepada Pakatan Rakyat melalui calon KeADILan.

Indikator akan kita perolehi apabila pada hari pengumuman keputusan PRK ini jika didapati jumlah undi sebenar yang diperolehi calon KeADILan melebihi daripada jumlah undi yang diperolehi pada 8 Mac 2008.

Itu sekaligus memberikan isyarat bahawa biarpun pertembungan itu tidak melibatkan BN, tetapi sokongan rakyat kepada calon KeADILan terus meningkat. Meningkatnya undi kepada calon KeADILan itu bolehlah dibaca bertambah lagi penolakan rakyat kepada BN.

Apakah dengan Umno/BN tidak menyertai PRK bermula di Penanti, ianya akan menjadi 'trend' mereka selepas ini hingga Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Saya tidak menjangkakan begitu. Secara kebetulan sambil kita membuat persiapan PRK Penanti, akan berlaku satu lagi PRK di Kelantan iaitu di Manek Urai.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat pada 28 Mei nanti. Dato' Najib telah membuat kenyataan beberapa jam tadi di Singapura bahawa BN akan bertanding di Manek Urai. Itu bermakna BN sebenarnya tidak konsisten dari segi tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Di Penanti dia tidak mahu mengambil bahagian sebab katanya pilihan raya ini membazir wang rakyat. Kalaulah membazir wang rakyat dijadikan alasan, dia mesti konsisten. Bagaimana pula pilihan raya di sini membazir wang rakyat, sementara pilihan raya di Manek Urai tidak membazir wang rakyat? Jadi ternyata BN tidak ada jalan keluar lagi, dia tiada pilihan.

Di sini dia cuba 'twist' atau main sentimen seolah-olah ini sesuatu yang merugikan wang rakyat. Tetapi belum pun PRK Penanti bermula, Tuhan takdirkan satu lagi PRK dan sepantas kilat Perdana Menteri mengumumkan bahawa BN akan bertanding di Manek Urai.

Jadi saya fikir, sama ada dia bertanding atau tidak, dia sudah tentu tidak dapat menjadi pemenang di Penanti sebab tidak menyertai, manakala Manek Urai ini pula kubu kuat tradisi PAS! Bayangkan ketika BN menang semua kerusi di Kelantan melainkan dua kerusi, satu darinya adalah Manek Urai yang PAS menang.

So demikianlah ketika kekuatan BN begitu hebat pun dia tidak tawan Manek Urai, apatah lagi dalam keadaan sekarang PAS menguasai 40 kerusi bersama KeADILan. So, Manek Urai akan jadi kekalahan yang kelima berturut-turut bagi BN, saya yakin!

Di Dun Penanti juga terdapat pengundi Umno/BN, jadi apakah seruan saudara kepada mereka?

Seruan saya sangat mudah, agar mereka memberi peluang kepada Dr Mansor Othman calon KeADILan untuk mewakili Penanti. Dr Mansor sudah tentu akan menikmati tambahan undi sekiranya rakan-rakan daripada Umno yang tidak berpeluang mengundi calon BN, maka mereka boleh sebenarnya memberikan undi kepada Pakatan Rakyat.

Sebenarnya itulah peluang yang terhidang kepada mereka. Mereka tidak perlu lagi untuk teragak-agak atau berbelah bagi antara tidak mengundi BN sebab BN sudah tidak bertanding. Jadi undi mereka itu saya rayu dapat diberikan kepada calon KeADILan. - mks

Tiada pemisah antara profesional-ulama

Tiada pemisah antara profesional-ulama
Intan Abdullah |intan@harakah.net.my
Sun | May 24, 09 | 7:54:28 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) - Tiada pemisahan di antara golongan ulama dan profesional di dalam PAS.

Demikian tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika perasmian penutup Sambutan Jubli Perak Ulama' di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Gombak semalam.

"Semua pihak harus berusaha untuk memastikan usaha ke arah menggembelengkan tenaga ulama' dan profesional bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan ALlah kepada kita," katanya.

Baliau yang juga ahli parlimen Marang mengingatkan para peserta yang hadir agar mengelakkan hubungan antara kedua-dua golongan ini agar tiada pihak boleh mengambil kesempatan untuk mewujudkan kekacauan.

"Jika hubungan ini renggang, ianya akan dikacau oleh pihak tertentu sepertimana pihak media yang sering cuba untuk memperdayakan kita dengan maklumat yang salah," ujarnya.

Ustaz Hadi juga mengharapkan agar para perwakilan yang mengundi pada pemilihan nanti dapat

Sementara itu, program sehari anjuran Dewan Ulama PAS Pusat itu turut menggariskan beberapa resolusi.

Antaranya ialah berusaha untuk memperkukuhkan kepimpinan ulama serta memastikan kesinambungannya terpelihara.

Di samping itu, turut digariskan juga adalah kepimpinan secara jamaie juga merangkumi kepelbagaian tokoh dan bidang bagi menerajui parti selain memperteguhkan prinsip syura dalam membuat keputusan.

Dalam majlis yang sama, empat orang dianugerahkan sebagai tokoh sempena sambutan jubli perak dewan ulama PAS.

Mereka terdiri daripada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, DAto' Mustafa Ali; bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hasan Shukri dan kolumnis Harakah, Subky Latif.

Kira-kira empat kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari yang dihadiri kepimpinan di peringkat tertinggi sehingga ke kawasan. - mks. _

Dr Hasan Mohamad Ali : Warga Selangor kian selesa di bawah Pakatan

Warga Selangor kian selesa di bawah Pakatan
Saidah Hairan
Sun | May 24, 09 | 7:51:27 am MYT

SELEPAS setahun dua bulan kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri Selangor, rakyat dapat menilai prestasi Exco dan Adun menjalankan khidmat masing-masing. Ikuti penjelasan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali ketika ditemu bual wartawan SAIDAH HAIRAN di pejabatnya, di Tingkat 2, Bangunan SUK, Shah Alam.

HARAKAH: Dato' selepas setahun lebih pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat, bagaimana Dato' melihat pencapaian Exco PAS dalam potfolio masing-masing?

DR HASAN: Pada saya pencapaian kalau dibandingkan di kalangan Exco, saya sebagai ketua daripada PAS merasakan pencapaian kita peringkat A dengan kesungguhan yang ditunjukkan. Kedua, kebolehan menguasai portfolio mereka, sokongan daripada tenaga bantu. Misalnya peringkat Exco, di pejabat SUK dan di Pusat Khidmat Masyarakat yang ditubuhkan para Exco dan Adun-Adun, saya merasakan sambutan begitu baik. Sehingga kini saya tidak menerima komplain mengenai prestasi Exco Iskandar (Abdul Samad), Dr Halimah (Ali) dan saya sendiri.

Saya merasakan Menteri Besar sendiri pun nampak gayanya berpuas hati setakat ini tentang prestasi yang ditunjukkan oleh Exco-exco PAS.

Selain itu, kita tahu Exco-exco PAS diberikan portfolio yang agak berat, portfolio yang penting, macam pendidikan (Dr Halimah) itu 'kan penting, perumahan (Iskandar) itu 'kan penting bagi, saya pula ... memanglah Islam itu penting, begitu juga infrastruktur.

Kita mengetuai berbagai-bagai jawatankuasa di peringkat negeri. Saya jawatankuasa Perancangan Negeri, jawatankuasa yang melibatkan hasil sungai dan sebagainya. Kita duduk dalam jawatankuasa tersebut.

Dato' dalam pilihan raya umum ke-13, rakyat Selangor khususnya orang Melayu menaruh harapan tinggi kepada PAS supaya dapat menguasai Parlimen dan Dun di kawasan Melayu seperti di Sabak Bernam dan Sungai Besar, malangnya kita kalah.

Itu yang sedang kita perhatikan. Dun yang kita menang lapan yang kita kalah di bawah 1,000 undi rasanya ada enam. Kalau kita pertahankan yang sekarang dengan menang yang kalah di bawah 1,000 undi, kita sudah ada 14. Yang kalah di bawah 1,500 undi mungkin ada dua lagi. Jadi 14 campur dua sudah 16 kalau kita dapat 16 dalam pilihan raya ke-13, saya rasa kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat bertambah kuat.

Kedudukan PAS bertambah disegani, kedudukan PAS menyebabkan nanti Exco dan juga penyertaan PAS dalam kerajaan negeri bertambah mantap. Saya tidak menyatakan kita sekarang ini dihambat oleh kerana kita hanya lapan kerusi, 13 DAP dan 15 KeADILan.

Kalau misalnya kita boleh mencapai setara dengan teman-teman Pakatan Rakyat yang lain kenapa kita tidak boleh mencapai kesetaraan itu. Saya merasakan insya-Allah, dalam pilihan raya ke-13 ini, saya yakin gambaran sokongan rakyat melalui pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Dengan deretan kekalahan Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Umno-BN. Jadi Umno-BN tidak mahu itu terus berlaku, hingga Perdana Menteri mengambil keputusan tidak mahu bertanding di Dun Penanti.

Insya-Allah dalam pilihan raya ke-13, persediaan kita lebih mantap.

Dulu kita tidak boleh menggunakan kemudahan bangunan misalnya, yang berada di sekolah sudah boleh. Kalau dulu tidak boleh datang ke masjid, dulu tidak boleh bagi khutbah sekarang sudah boleh. Jika dulu kita tidak ada Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sekarang sudah ada.

Kalau dulu kita tidak menguasai masjid, sekarang mulai 1 Jun akan datang kita sudah boleh menguasai masjid. Jika dulu kita tidak mempunyai pusat khidmat masyarakat sekarang semua Adun kita sudah mempunyai pusat khidmat masing-masing.

Insya-Allah dengan usaha berlipat ganda, tidak mustahil kita boleh dapatkan 16 kerusi.

Tentu PAS sudah merangka strategi tertentu untuk menawan kawasan majoriti Melayu?

Kita sudah mendapat sokongan kuat daripada masyarakat India dan Cina. Cuma sokongan yang tidak setara ialah daripada masyarakat Melayu sendiri. Dalam kawasan aliran daripada Melayu Sabak Bernam sampai Kapar kita cuba. Bahkan melalui kerajaan Negeri kita jalankan satu projek yang melibatkan penanam padi.

Di mana penghasilan padi kalau sekarang 4.5 tan satu ekar kita naikkan pada 7 atau 8 tan satu ekar. Ini menyeluruh. Menteri Besar dan Exco-exco akan turun ke kawasan ini bagi meyakinkan rakyat bahawa satu proses reformasi dari segi pertanian sedang berlaku di kawasan Sabak Bernam sampai Kapar.

Kita harap dengan meningkatnya pendapatan rakyat, rakyat bertambah selesa di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat dengan bantuan-bantuan yang dinamakam MES - 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' yang ada tujuh hingga lapan program. Bagi saya ini satu strategi yang paling ampuh untuk kita melebar-luaskan lagi punya pencapaian politik kita.

Kita kena faham Dato' Seri Najib Tun Razak menjaga Umno Selangor. Sudah tentu ada dalam kepala Najib, sesuatu dalam Perhubungan Umno Selangor untuk merampas kembali negeri ini.

Saya rasa letak siapa pun dalam keadaan Umno sudah menurun, Umno sudah tidak ada kepercayaan lagi. Pergolakan dalam Umno tidak habis-habis, rasuah dalam Umno tak habis, plan untuk menggantikan generasi pengganti dalam pimpinan pun tidak habis-habis. Saya rasa sukar bagi Umno untuk kembali seperti zaman Tun Razak, Tun Hussein Onn bahkan pada zaman awal Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kita juga galakkan pendaftaran pengundi. Jadi kita akan gunakan sepenuhnya, PAS dapat 22 Penolong Pendaftar jadi kita akan lantik mereka, beri keyakinan kepada mereka supaya melakukan pendaftaran sehebat-hebatnya.

Kita juga membanyakkan cawangan meramaikan ahli. Alhamdulillah saya kalau tengok diari ada saja merasmikan cawangan PAS baru. Ada saja pembubaran cawangan Umno masuk PAS. Kita tahu Dato' Zahar Hashim masuk PAS; banyak lagi seperti Dato' Zahar itu, hanya kita tidak mengumumkan atas beberapa sebab.

Saya sendiri terlibat secara langsung menerima kedatangan ahli baru daripada Umno masuk PAS. Jadi, yang lain kita hendak mengekalkan hubungan baik dengan masyarakat Cina dan India. Masyarakat Cina dan India sudah nampak parti yang bersih, jujur yang boleh digantung harapan ialah PAS.

Selama setahun tiga bulan ini orang-orang PAS, Exco PAS tidak terlibat pun dengan perkara yang saya rasa menghambat orang lain. Kita tidak terlibat dengan lompat parti, salah guna kuasa, hal-hal mengenai moral. Rakyat melihat dan rakyat cerdik. Penilaian mereka lebih objektif berbanding 10 tahun lalu.

Ada orang mendakwa apabila PAS sudah banyak kerusi yang menang, mereka hanya menjaga kebajikan masyarakat Cina, India dan orang atas pagar. Manakala ahli PAS dibiarkan ...

Oh ... tak betul, tak betul. Kena tengoklah. Orang kita, saya selalu ingatkan turun padang. Pergi surau, masjid, majlis keraian, kematian dan sebagainya. Memanglah saya sebagai Exco kadang-kadang kematian itu kebetulan mesyuarat Exco tapi saya pastikan esok saya pergi. Saya dekati mereka, saya tengok lelehan air mata suami dan anak-anak yang kehilangan isteri, suami dan sebagainya.

Kita pergi. Kita ada hubungan dengan rakyat. Turun padang, turun padang inilah slogan kita. Dari segi rakyat saya rasa turun padang kita ini nampak lebih asli daripada turun padang orang Umno. Orang Umno tinggalkan kereta mewah di rumah dan turun padang dengan kereta buruk di kampung-kampung.

Kita itulah kereta kita yang mewahnya itu dan yang buruknya itu. Jadi nampak orang Umno apabila turun padang lima enam kereta ikut mereka. Ini saya rasa lakonan yang dimainkan oleh Umno. Orang PAS turun ke masjid bagi kuliah, berceramah, ikut basuh pinggan.

Apakah Dato' sudah mengecapi kejayaan melaksanakan portfolio Dato' selama setahun tiga bulan ini?

Saya ambil yang infrastruktur ya. Saya jaga JKR, JPS, Jais dan sebagainya. Memang nampak banyak benda yang perlu dibaiki terutama daripada segi perkhidmatan. Ini bukan salah sesiapa. Perkhidmatan ini jika banyak diguna banyak kerosakan. Jika terlalu banyak tempat rosak jadi JKR pun tidak mampu hendak pergi betulkan, ada lubang-lubang jalan tidak mampu dengan tenaga yang ada. Kalau ada 20 jalan di Sabak Bernam serentak berlubang dengan sebab banjir jadi kita tidak mampu untuk menyelesaikan semua masalah.

Ok. Kemudahan awam saya rasakan tinggal perkhidmatan sajalah dengan telefon awam gangang jatuh tidak dipasang. Kita mengatakan sudah berlaku perubahan. Pengguna kita sudah ada kesedaran sivik. Walaupun tidak sampai peringkat orang Eropah, Korea, Australia tetapi sudah ada pergerakan ke arah itu. Hanya kebersihan masjid, bangunan awam yang ini masih lagi saya nampak. Kita mungkin dekat 20 tahun tertinggal daripada Australia, Amerika dan sebagainya.

Ini kita kena usaha sebab Selangor sudah pun jadi negeri maju. Selain itu tentang agama. Saya rasa terlalu banyak yang kita lakukan. Perubahan jawatankuasa yang mentadbir masjid dan kariah. Saya rasa kita gunakan 8,000 orang yang akan dilantik ini untuk menggerakkan pembangunan semangat keagamaan sama ada di bandar dan luar bandar.

Kita sudah ada JKKK yang diberi taklimat khas untuk menggerakkan surau dan masjid. Kita hendak menjadikan masjid dan surau betul-betul sebagai institusi yang berfungsi. Saban masa hijau, mengerlip, berapi semangatnya begitu, diimarahkan.

Masjid negeri setiap bulan minggu kedua hari Sabtu malam Ahad kita ada forum perdana Ehwal Islam. Ada Dato' Haron Din, Dato' Ismail Kamus, Dr Roslan Mohamad, Dr Sharifah Hayati. Orang-orang ini memang diminati. Dua puluh tahun dulu diminati dan seterusnya diminati.

Mereka diberikan ruang dan peluang untuk pergi masjid negeri. Ustaz Haron Din setiap bulan minggu pertama hari Jumaat malam Sabtu ada kuliah Tasawur Islami iaitu tentang hal-hal Islam.

Yang ini kita hendak kembangkan di tempat-tempat lain. Saya minta ada teman saya Ustaz Osman Ibrahim turun sebulan sekali buat qiamulail di kawasan yang akan ditentukan. Kita hendak 'beranak-pinakkan' idea qiamulail ini. Semoga subur orang tua, orang muda. Subur rohnya.

Kalau dulu Maahad Tahfiz ada satu pelajar 45 orang saja. Sekarang dalam masa setahun kita sudah ambil 300 orang. Kita ada dua Maahad Tahfiz satu di Jugra (Banting) dan Kampung Jawa (Klang). Mungkin tahun depan jika tidak ada aral melintang akan ada satu lagi Maahad Tahfiz.

Inilah sekolah-sekolah agama biasiswa dulu tertahan-tahan. Sekarang ini kita perluaskan, kita bagi kepada mereka yang cemerlang.

Satu lagi yang kita hendak bangunkan Sekolah Agama Rakyat yang Pak Kiyai buat. Di kampung di pinggir bandar ini yang tidak pernah dijenguk. Ini yang kita hendak bina. - mks.

Mahkamah diperolok, kes Penanti dan rompakan di Islamic City!

Mahkamah diperolok, kes Penanti dan rompakan di Islamic City!
Ahmad Lutfi Othman
Sun | May 24, 09 | 6:59:28 am MYT

Bukannya mahu merendah-rendahkan keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang memihak Dr Zamry Abdul Kadir. Apatah lagi untuk memperlekehkan penghakiman yang membatalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abd Aziz Abd Rahim yang mengesahkan kedudukan asal Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Namun yang lebih penting, apakah persepsi rakyat terhadap peristiwa rampasan kuasa oleh BN, yang didalangi Najib Razak, bagi menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat, awal Februari lalu, dapat diubah?

Mampukah keputusan panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut, iaitu Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop, dapat meredakan ketegangan politik yang semakin membahang di sana, terutama selepas Dun Perak bersidang secara tidak sah sehingga Speaker V Sivakumar dicekik, dihumban keluar, dikurung dalam stor dan "dilucutkan jawatan"?

Bukankah sejak awal beberapa penganalisis dan tokoh akademik terkemuka menyifatkan krisis di Perak tidak mampu diselesaikan melalui proses undang-undang, malah ia menyebabkan martabat mahkamah semakin dipersenda? Situasi rumit dan sulit menjadi makin berserabut.

Tanggapan rakyat bahawa BN telah melakukan aksi tidak bertamadun, mencemar institusi demokrasi dan secara gopoh-gapah serta terburu-buru meragut kuasa daripada Pakatan Rakyat terus tertanam kukuh.

Sementara Zamry dianggap wakil mahkamah, selain diperolok-olokkan melalui jenaka SMS tentang "lelongan Zamry, bukan Camry", Nizar pula menempah populariti lebih tinggi di kalangan rakyat. Hanya mengharapkan dokongan pasukan keselamatan dan mahkamah bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Menteri Besar boleh mengundang padah dari segi demokrasi.

Rakyat yang kian celik politik tentunya tidak mudah untuk dipaksa dan disumbat dengan keputusan mahkamah yang dilihat umum sebagai tidak mencerminkan keadilan dan kesaksamaan.

"Biar kalah hari ini, tapi pada pilihan raya umum akan datang, yang tidak dapat tidak mesti diadakan juga nanti, Nizar dan Pakatan Rakyat, insya-Allah beroleh kejayaan lebih gemilang," kata seorang profesor sains politik. "Saya yakin, persepsi rakyat tidak akan berubah dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Mereka masih beranggapan tindakan BN merampas kuasa sebagai tidak sah dan salah menurut peraturan dan undang-undang."

"Kenapa mahkamah seperti histeria lagaknya, nampak terlalu obses dengan kes ini, walhal bagi saya, inti kepada krisis politik di Perak adalah bermula dengan tuduhan rasuah kepada dua Adun KeADILan ketika itu, yang kini melompat jadi Adun bebas yang menyokong kuat BN? Bagaimana kedudukan kes berkenaan, apa sudah jadi? Orang ramai juga nak tahu di mana perginya penyiasat bebas P Balasubramaniam dalam kes liwat terbaru Anwar Ibrahim?" ujar profesor yang tidak mahu disebut namanya itu.

Selagi BN terus berdegil untuk tidak menasihatkan Sultan Perak membubarkan Dun, datanglah apa juga penghakiman pun, ia pasti tidak berupaya untuk merongkai konflik yang bertambah parah ini. Hakikat ini bukan sahaja diakui pimpinan Pakatan Rakyat malah dituntut oleh Suhakam dan juga pemimpin komponen BN sendiri, selain tokoh-tokoh ternama politik, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah.

Semakin BN menolak cadangan pembubaran Dun, maka makin tergambar jelas bahawa mereka begitu takut dan gentar untuk berdepan suara rakyat bagi mendapat mandat baru. Mana mungkin sebuah parti politik yang mengaku gagah-perkasa tiba-tiba menikus dan takut untuk mendapat mandat baru daripada rakyat?

Walaupun 3 hakim memihak BN, Najib pasti akan kalah dalam mahkamah rakyat, dan inilah yang paling digeruninya. Hasilnya, integriti dan kewibawaan badan kehakiman kita akan terus dipersoalkan, manakala keyakinan dunia terhadap proses keadilan di Malaysia terus merudum.

II.

Keputusan BN untuk tidak menyertai pilihan raya kecil Penanti memang pelik. Dalihnya langsung tidak masuk akal. Bersusah payah pemimpin Umno dan media di bawah kawalan mutlaknya memberi penjelasan mengapa BN tidak meletakkan calon. Alasan rapuh itu pula sukar untuk dipertahankan konsistensinya apabila tiba-tiba sahaja berlaku kematian Adun PAS di Manik Urai, Kelanatan.

Pemimpin Umno tidak segan-silu mendakwa mereka tidak mahu lagi, untuk kali ketiga, terjerumus ke dalam perangkap Pakatan Rakyat. Bila pula perangkap itu dipasang, ya? Namun lebih menyerlah, begitu lemahnya semangat Umno untuk berdepan Pakatan di kawasan yang pada anggapannya sendiri ia akan kalah "siang-siang" lagi.

Sedangkan selama ini pembangkang, misalnya PAS, tidak pernah gentar untuk terus berdada dengan Umno-BN di mana-mana sahaja, biarpun risiko hilang pertarungan adalah cerah!

Tertarik saya dengan ungkapan Winston Churchill, yang dinukilkan kembali oleh wartawan terkemuka, A Kadir Jasin: "Seorang pesimis nampak kesukaran di dalam setiap peluang, seorang optimis nampak peluang di dalam setiap kesukaran."

Kadir yang juga blogger terkenal mengutip kata-kata Mahatma Ghandi: "Ketakutan ada kegunaannya tetapi penakut tidak ada sebarang guna". Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu mengaitkan untaian kata-kata hikmah tadi dengan keputusan BN tidak bertanding di Penanti.

III.

Hati mana tidak sebak dan dihiris pilu dengan laporan berita dan gambar tragedi pembunuhan dua beranak bersama seorang pembantu rumah di Taman Pinji Seni, Ipoh, 20 Mei lalu.

Saya cuba membayangkan kedudukan suami mangsa, Jafri Tajul Aripin, 47, yang sedang berbual dengan isterinya, Wah Yah Mat Zi, 42, melalui telefon. Tiba-tiba Jafri terdengar jeritan ketakutan isterinya dan talian terputus. Beliau segera berkejar ke rumah.

Di depan matanya, terbujur kaku mayat isteri tercinta, Wah Yah dan pembantu rumah, berlumuran darah. Mayat anak bongsu kesayangannya, Ezmin Denish, 5, pula ditemui di dalam bilik air. Dan dia terserempak suspek yang membunuh orang kesayangannya yang cuba melarikan diri dengan melompat pagar rumahnya.

Cuba anda letakkan diri sekejap dalam posisi Tajul Arifin ketika itu. Dalam keadaan biasa, berdepan mayat isteri dan anak pun sudah cukup mengharukan, ini pula menghadapi jenazah keluarga tercinta yang dibunuh kejam tanpa rasa perikemanusiaan, dan anda baru sahaja bercakap-cakap dengan mereka melalui telefon!

Peristiwa berdarah itu bukan lagi episod yang memeranjatkan meskipun ia cukup menyayat hati. Kita belum lupa dengan adegan ragut yang juga menyebabkan kehilangan nyawa, membabitkan insan biasa, yang sebahagiannya hidup dalam kesusahan. Kita seolah-olah hidup dengan ihsan penjenayah. Di mana-mana sahaja anda boleh terperangkap dalam situasi sebagai mangsa penjenayah kejam.

Malah, kedai serbanika 7-Eleven, betul-betul di sebelah pejabat Harakah, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur tidak lagi membenarkan pelanggannya masuk ke dalam, selepas jam 9 malam, dan mereka hanya sekadar boleh membuat pesanan melalui tingkap kecil kerana serik dengan kes rompakan yang berulang kali berlaku kepadanya! Lebih sedih apabila rompakan itu sering terjadi di siang hari, berjiran rapat dengan Harakah, di sebuah lokasi yang dulunya dikenali sebagai Islamic City.

Ribuan hadiri ceramah Anwar dan Nizar sempena PRK Penanti

Ribuan hadiri ceramah Anwar dan Nizar sempena PRK Penanti
Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | May 24, 09 | 6:36:05 am MYT

PENANTI, 24 Mei (Hrkh) - Biarpun Umno/BN tidak bertanding menentang Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Dun Penanti, namun kaedah kempen yang dijalankan Pakatan Rakyat tetap bersemangat.

Ceramah sulung (pertama) yang diadakan malam tadi di Kubang Semang mendapat sambutan ribuan penyokong Pakatan Rakyat meskipun kempen sebenarnya baharu sahaja bermula.

Ceramah yang diadakakan di Kubang Semang itu membariskan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan Saifuddin Nasution.

Sejak jam 8.00 malam, kenderaan bertali arus masuk ke perkarangan kawasan ceramah dan keadaan semakin sesak apabila ceramah dimulakan sekitar jam 9.00 malam.

Kehadiran Anwar, Nizar dan beberapa tokoh lain nyata mendapat sambutan hangat bagaikan suasana tersebut seolah-olah kempen yang berjalan itu adalah kempen tatkala Pakatan Rakyat menentang Umno/BN.

Anwar dan Nizar dalam ceramahnya menyentuh isu rampasan kiasa di Perak dan isu mengapa Umno/BN takut untuk menyertai pilihan raya Penanti.

Anwar secara sinis menyebut, "Umno/BN kata mereka tak mahu masuk PRK Penanti kerana membazirkan wang dan ia lebih bersifat menyelesaikan masalah dalam KeADILan, saya nak tanya apa pula alasan Umno/BN yang dilihat bersungguh-sungguh mahu menyertai PRK Dun Manik Urai (Kelantan) yang juga bakal diadakan.

"Apakah Umno/BN tidak merasakan menyertai PRK Manik Urai nanti satu pembaziran?," katanya.

Sementara itu Nizar pula dalam ceramahnya menyentuh krisis politik Perak yang baginya adalah berpuncari dari tindakan rampasan kuasa yang dilakukan BN.

Nizar menyelar tindakan BN itu yang baginya membelakangi demokrasi, memalukan negara dan satu penzaliman ke atas hak rakyat.

Justeru sebagai penyelesaiannya, Nizar menggesa Dato' Dr Zambry Abdul Kadir memohon perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dun segera bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang sah.

Ceramah tersebut berakhir pada jam 12.30 malam dalam keadaan yang cukup aman tanpa gangguan.

Hanya rakyat berhak tentukan MB, bukannya mahkamah Intan Abdullah |

Hanya rakyat berhak tentukan MB, bukannya mahkamah Intan Abdullah | intan@harakah.net.my | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Sat | May 23, 09 | 4:25:22 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa kesemua Menteri Besar yang dilantik di negeri-negeri adalah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

ImageMenurutnya, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar adalah membuktikan bahawa ianya tidak berpandukan kepada mana-mana sistem iaitu Islam ataupun demokrasi.

"Kesemua Menteri Besar di Malaysia ini memegang jawatan ini kerana undi yang diberikan rakyat kepada kami, bukan keputusan mahkamah yang memutuskannya," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan sambutan jubli perak kepimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Gombak dekat sini.






ImageBeliau juga mendakwa bahawa sekiranya kaedah 'rampas kuasa' yang dilakukan Umno-BN ke atas kerajaan Perak 'dihalalkan', maka ini bermakna ia mungkin akan dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini.

"Selepas berjaya dibuat di Perak, maka ia akan dibuat di negeri-negeri lain pula selepas ini.

"Cara apakah ini? Islam pun tidak, demokrasi pun tidak," tegasnya.

Malah menurutnya, Menteri Besar Perak sebelum ini, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin mengambil jalan yang betul dengan mengadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang berpihak kepada BN, beliau menyifatkan parti itu sebagai satu gerombolan dan bukan sebuah parti politik.

"Umno sekarang bukan lagi sebuah parti politik sebaliknya ia sebuah gerombolan pemikiran sahaja," katanya lagi.

Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mengenai hasrat BN untuk bertanding di Manek Urai, pihaknya menyifatkan kenyataan tersebut mencerminkan parti itu sebuah parti bertaraf parti Bebas.

Image"Bila dia tidak mahu bertanding di Penanti, maka ia jadi taraf sebuah parti Bebas, tetapi selepas timbalan dia menyatakan bahawa dia akan bertanding di Manek Urai bermakna dia telah sedar akan taraf sebenar parti itu.

"Kenyataan yang dibuat Najib dan pemimpin BN sebelum itu membuktikan rendahnya moral dan maruah parti tersebut apatah lagi dengan keengganan mereka untuk bertanding di Penanti," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa PAS mempunyai senarai calon yang ramai untuk mengisi kekosongan pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai nanti.

"Kita mempunyai senarai yang panjang kerana terdapat calon yang ramai dan insya-Allah ia adalah orang tempatan," demikian ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din. - mks._

Dr Mansor ada harapan cerah menang besar - Mat Sabu

Dr Mansor ada harapan cerah menang besar - Mat Sabu
Wan Nordin, Sabri Said, Azamin dan Izwan
Sat | May 23, 09 | 2:23:15 pm MYT

PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu menjangkakan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Mansor Othman akan menang besar mengalahkan tiga calon bebas lain bagi pilihan raya kecil Dun Penanti.

Image"Saya jangkakan Pakatan Rakyat akan menang, calon bebas mungkin akan hilang deposit dengan keadaan ini apabila sokongan kepada PR amat baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyatakan pandangan terhadap peluang calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang telahpun selesai proses penamaan calonnya pagi tadi.


Mohamad Sabu turut meluangkan masa pagi tadi bagi menyertai perarakan calon yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti dekat sini.

Mengulas mengenai keengganan Umno/BN meletakkan calon di Penanti beliau menyatakan, Umno takut akan kebangkitan rakyat menolak idealisme parti itu.

Sambil menyatakan hari penamaan calon hanya didominasi penyokong Pakatan Rakyat, beliau menyifatkan ia sebagai 'satu hari yang suram'.

Namun beliau yakin kemenangan akan bersama dengan calon Pakatan Rakyat yang hanya akan menjadikan calon bebas hilang deposit.

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang bermula sejak jam 8.00 pagi agak suram berikutan calon Pakatan Rakyat hanya ditentang tiga calon bebas.

Meskipun kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dalam jumlah yang ramai, namun suasana tidak pun menggambarkan satu pertempuran hebat bakal berlaku sepertimana penamaan calon beberapa PRK yang lalu.

Hanya kedengaran laungan reformasi dan takbir di satu sudut, di sebelah kiri hadapan bangunan IKBN Penanti, sementara sudut kanan yang disediakan bagi pihak bertentangan Pakatan Rakyat tiada kedengaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya mengesahkan bahawa PRK Dun Penanti akan ditandingi oleh 4 calon.

Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman akan menentang calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.

Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.

Sementara itu, calon-calon Bebas akan menggunakan simbol 'Kunci' untuk Aminah, Nai (Wau) dan Kamarul (Payung) sepanjang pilihan raya ini. - wann/mks. _