Showing posts with label Anak KP Harakah. Show all posts
Showing posts with label Anak KP Harakah. Show all posts

Monday, May 18, 2009

Lutfi, isteri ucap terima kasih atas keprihatinan pembaca

Lutfi, isteri ucap terima kasih atas keprihatinan pembaca
Atriza Umar
Mon | May 18, 09 | 5:05:57 pm MYT

Allahmdulillahi Rabbil 'alamin. Dengan limpahan Rahmat-Nya, yang memberi sesuatu ujian dan menyelesaikan dengan timbunan Maghfirah dan Mawaddah. Pada petang Ahad, anak ketiga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Ikmal Syafiq Ahmad Lutfi dibenarkan keluar dari wad setelah seminggu terlantar akibat demam denggi di wad 6B, Hospital Ampang, Selangor.

Ujian yang ditempuhi dengan bergunung usaha, kesabaran, doa dan tawakal oleh keluarga Ahmad Lutfi Othman dan Siti Hawa Samsam dibalasi dengan sebaik-baik balasan. Alhamdulillah.

Dengan ini, saya mewakili beliau dan isterinya, Siti Hawa merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu terutama di waktu Ikmal Syafiq dalam keadaan kritikal pada pagi Rabu lalu, iaitu hari ketiga ditempatkan di wad, sebelum dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU), khususnya buat para doktor, jururawat, termasuk pelatih dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau terharu

Lutfi cukup terharu dengan sikap warga Hospital Ampang yang terbabit bertungkus-lumus menyelamatkan anaknya. "Mereka bertugas dengan begitu cemerlang sekali. Hanya Allah dapat membalas jasa baik mereka, kami pasti tidak akan dapat melupakan mereka," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya ke atas keprihatinan pembaca Harakahdaily yang tidak putus-putus memberi dorongan, kata perangsang, selain petua-petua bermanfaat untuk merawat demam denggi yang dihidapi anaknya. Ada juga yang mengirim air penawar dan rawatan alternatif.

Beliau juga memohon maaf kerana tidak sempat membalas begitu banyak SMS yang memberi dorongan dan kata-kata nasihat daripada pembaca Harakahdaily di seluruh negara.

Difahamkan ramai juga pimpinan PAS yang turut menziarahi Ikmal Syafiq. Begitu juga banyak majlis doa selamat dan solat hajat, terutama yang diadakan selepas solat Jumaat lepas.

"Doktor mengesahkan Ikmal diserang dengue shock syndrome. Saya difahamkan ia sering mengakibatkan kematian secara tiba-tiba jika tidak mendapat rawatan sewajarnya dalam waktu kritikal itu," kata Lutfi yang pernah kehilangan anak perempuannya, Nurul Syafiqah yang disyaki diserang penyakit sama, pada hari pertama Ramadan, Oktober 2005.

Sepanjang tujuh hari di wad Hospital Ampang, Lutfi dan isteri berasa cukup puas hati dengan layanan yang diberikan, termasuk oleh para pengawal keselamatan di situ. "Terutama jururawat di ICU tingkat tiga, mereka memberikan khidmat penuh cemerlang, terutama dalam menghadapi karenah anak saya di waktu genting itu," tambahnya.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja di Harakah dan sahabat taulan yang bertali arus menziarahi anaknya.

Sesungguhnya hanya Allah yang dapat membalas kebaikan dan doa kalian. Insya-Allah perjuangan ini akan diteruskan._

Friday, May 15, 2009

Anak KP Harakah di ICU, masih kritikal

Anak KP Harakah di ICU, masih kritikal
Azamin Amin
Fri | May 15, 09 | 8:49:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - "Tak banyak berubah. Masih kritikal. Kami mohon semua moga sudi doakan Syafiq sembuh."

Demikian kata Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman kepada Harakahdaily sebentar tadi berhubung keadaan kesihatan anak ketiga beliau, Ahmad Ikmal Syafiq, 13 yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang, dekat sini.

Shafiq, telah dimasukkan ke Hospital Ampang pada malam 11 Mei akibat demam denggi berdarah yang berlarutan selama lebih lima hari dan dipindahkan ke ICU kerana kritikal sejak tiga hari lalu.

"Kami risau keadaannya yang sudah lapan hari tidak mahu makan. Tubuhnya tak bermaya. Doakanlah dia pulih semula," kata Lutfi melalui sistem pesanan ringkas kepada Harakahdaily pagi ini.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh adalah antara yang turut hadir bersama warga kerja Harakah menziarahi anak beliau baru-baru ini.

Harakahdaily meminta jasa baik semua pihak yang turut bersimpati untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan anak Lutfi agar pulih sedia kala. - azm

Wednesday, May 13, 2009

Anak KP Harakah kritikal

Anak KP Harakah kritikal
Azamin Amin
Wed | May 13, 09 | 2:30:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Anak Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman kini berada dalam keadaan kritikal setelah dimasukkan ke hospital dua hari lalu.

Ahmad Shafiq, 13 telah dimasukkan ke Hospital Ampang pada malam 11 Mei akibat demam denggi yang berlarutan selama lebih lima hari.

Melalui sistem pesanan ringkas Lutfi kepada Harakahdaily jam 2.00 petang tadi memaklumkan keadaan kesihatan anaknya itu.

"Anak saya kritikal. Mohon doakan kesejahteraan anak saya semoga dia sembuh," katanya melalui sms.

Syafiq, anak ketiga daripada lima adik beradik ini kini ditempatkan di Wad 6B, bilik dan nombor katil 24 di hospital tersebut.

Harakahdaily meminta jasa baik orang ramai dan sesiapa yang turut bersimpati untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan anak Lutfi agar pulih sedia kala. - azm_