Thursday, May 14, 2009

MB minta rakyat doakan Sultan cepat sembuh

MB minta rakyat doakan Sultan cepat sembuh
Mohd Nor Yahya
Thu | May 14, 09 | 9:40:01 pm MYT

KOTA BHARU, 14 Mei (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat negeri ini mendoakan semoga Sultan Kelantan cepat sembuh.

Petang tadi beliau bersama beberapa anggota Exco menziarahi baginda di wad Diraja Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Baginda dimasukkan ke HUSM pada kira-kira jam 3 petang dipercayai terjatuh dan serangan lelah.

"Tuanku berada dalam keadaan stabil dan saya mendoakan semoga baginda cepat sembuh. Rakyat juga dminta mendoakan kesejahteraan tuanku," katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.

Sultan Kelantan tengahari tadi sepatutnya menghadiri satu program anjuran kerajaan di negeri di Balai Islam Lundang, namun baginda diwakili Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. - mj

Timbalan Menteri Thai temui Nik Aziz

Timbalan Menteri Thai temui Nik Aziz
Mohd Nor Yahya
Thu | May 14, 09 | 8:11:06 pm MYT

KOTA BHARU, 14 Mei (Hrkh) - Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Thavon Semiam hari ini mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat pandangan menyelesaikan konflik di selatan Thai.

Beliau berkata, pandangan Menteri Besar Kelantan supaya diadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat Islam di selatan Thailand akan digunapakai.

Malah katanya, sejak Thailand di bawah kerajaan baru diketua Abhisit Vejjajiva sudah berkurangan pertumpahan darah.

"Sepanjang empat bulan pertama tahun ini hanya lebih kurang 15 kali sahaja berlaku pertumpahan darah. Sedangkan sebelum ini berpuluh-puluh kejadian huru hara berlaku.

"Ini menunjukkan sudah ada persefahaman di antara kerajaan Thailand dengan umat Islam," katanya pada persidangan media selepas pertemuan tersebut yang diadakan di JKR 10.

Thavon juga berkata, konsep keadilan sejagat turut menjadi amalan kerajaan Thailand di mana tidak lagi memberi perhatian kepada satu kaum sahaja.

Katanya, kerajaan Thai di bawah pimpinan Abhisit amat mengambil berat keselamatan di selatan Thailand dan sentiasa berhubung dengan pimpinan masyarakat Islam di empat wilayah selatan.Image

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak layak menjadi orang tengah menyelesaikan konflik di selatan Thailand kerana jawatannya hanya Menteri Besar sebuah kerajaan kecil.

"Tetapi untuk memberi nasihat dan pandangan saya sanggup selagi rakyat Thailand ingin menerimanya," kata beliau.

Menurutnya, konsep PAS Untuk Semua yang diamalkan di Malaysia sebenarnya seakan sama dengan hasrat kerajaan Thailand yang berada di bawah Raja Siam.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakub dan seramai 62 delegasi yang terdiri daripada ahli parlimen, Gabenor Wilayah Selatan, pegawai kerajaan dan Jawatankuasa Keadilan Selatan Thai. Image
Menteri Besar Kelantan percaya penyelesaian masalah di selatan Thailand hanya dapat dibuat melalui meja rundingan.

Sebelum itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi peluang oleh media Thailand untuk memberi ucapan kepada umat Islam di Thailand.

Beliau menasihatkan umat Islam di Thailand menjadikan keamanan sebagai asas dalam kehidupan seharian dan sentiasa berbincang dalam menyelesaikan masalah umat Islam. - mj _

PAS lancar gerbang maklumat sempena Muktamar PAS ke-55

PAS lancar gerbang maklumat sempena Muktamar PAS ke-55
Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | May 14, 09 | 2:44:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Hrkh) - Muktamar PAS kali ke-55 yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Jun ini bakal dimeriahkan lagi dengan portal maklumat laman web Muktamar di http://muktamar55.pas.org.my/.

Laman web khas sempena muktamar ini telah dirasmikan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar pagi tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Turut hadir dalam perasmian itu ialah, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Semasa melancarkan portal itu, Kamarudin menyatakan gerbang muktamar yang dilancarkan itu berobjektifkan saluran maklumat kepada seluruh rakyat termasuk untuk masyarakat antarabangsa yang kini sudah mengenali dan kagum dengan PAS sebagai parti politik yang berjaya di negara ini.

Bahan-bahan yang akan mengisi gerbang maklumat itu antaranya siaran langsung terus menerus sidang muktamar bermula dengan muktamar dewan hinggalah muktamar penuh, katanya.

"Kita akan menyiarkan secara telus dan terbuka maklumat ucapan dasar, ucapan-ucapan perbahasan, maklumat keputusan pemilihan termasuk pemilihan di peringkat kawasan, negeri dan seterusnya yang sedang berlansung sejak beberapa minggu ini," katanya.

Laman web ini ujar Kamarudin diselia oleh Jabatan IT PAS Pusat dan telah pun beroperasi sejak beberapa minggu lalu.

"Saya mengharapkan dengan adanya laman ini, semua maklumat mengenai muktamar dapat kita sampaikan kepada seluruh rakyat.

"Kita bukan macam Umno yang ada televisyen dan media tetapi menyekat maklumat termasuk maklumat perbahasan sidang mereka kepada umum," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya semua perwakilan akan berbahas dengan penuh etika dan beradab seperti muktamar-muktamar yang lalu di samping mempersembahkan isi kandungan ucapan dan usul secara matang dan penuh tertib seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada kakitangan Unit IT yang terlibat secara langsung dan para penaja yang menjayakan operasi pengendalian laman web ini. - azm

Gabungan ulama dan profesional bentuk kestabilan ummah - Mat Iraq

Gabungan ulama dan profesional bentuk kestabilan ummah - Mat Iraq
Zuharman MN
Thu | May 14, 09 | 1:22:49 pm MYT

MACHANG, 14 Mei (Hrkh) - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud Iraqi tidak menolak gabungan ulama dan profesional mampu membentuk kestabilan ummah.

Beliau berkata, sebenarnya tidak ada jurang di antara ulama dan profesional.

"Mereka harus duduk bersama demi kekuatan sistem pemerintahan Islam. Bagaimanapun sejarah membuktikan gerakan Islam menjadi kaku sekiranya ulama dinafikan peranannya.

"Ulama menjadi tonggak kepada perjuangan Islam sejak dahulu dan ia tidak boleh dipertikai," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan kali ke-38 di Markaz Dewan Ulama di Labok, semalam.

Mohamed berkata, peranan ulama bermula sejak zaman Rasulullah saw kemudian diwarisi para sahabat sehingga diteruskan ulama sampai sekarang.

"Peranan ulama dalam institusi kepimpinan negara sangat besar, lebih-lebih lagi ketika menghadapi dunia global penuh cabaran dan rintangan.

"Meskipun begitu, syiar Islam harus diutamakan. Jadi ulama tidak terkecuali daripada tanggungjawab menghadapi sebarang situasi� katanya.

Pada muktamar tersebut semua jawatan utama Dewan Ulamak PAS Kelantan dikekalkan tanpa ada sebarang pertandingan.

Mohamed kekal menerajui dewan tersebut, timbalannya, Ustaz Hassan Mohamood dan naib ketua, Dato' Hassan Mohamad.

Manakala dua ulama muda dilantik sebagai anggota jawatankuasa baru iaitu Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Dewan Pemuda PAS Ketereh, Nik Mahadi Nik Mahmud.

Hassan ketika berucap sebelum itu berkata, ulama umpama kilang memproses manusia untuk menjadi bertakwa kepada Allah Taala.

Menurutnya sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin dengan syarat perlu ada ilmu agama dan arif dalam konteks perundangan Islam.

Beliau juga berharap ulama perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan hal ehwal semasa di samping mendalami ilmu keagamaan. - mj

Kubu Umno di Johor semakin retak!

Kubu Umno di Johor semakin retak!
Salmah Mat Husain
Thu | May 14, 09 | 1:04:29 pm MYT

KOTA BHARU, 14 Mei (Hrkh) - Umno kini hanya mampu berkubu di Johor bagi meneruskan kelangsungan politik di negara ini.

Apabila kubu itu berjaya diroboh bermakna Umno akan lenyap di semenanjung.

Namun kini ternyata Umno tidak lagi kebal di Johor apabila Pakatan Rakyat berjaya bertapak kukuh pada pilihan raya umum lalu.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, perubahan pola politik di Johor semakin jelas sekarang apabila rakyat mulai sedar terhadap perkembangan politik negara.

"Dianggarkan tidak kurang rakyat 29 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen di Johor sudah menampakkan riak perubahan.

"Kawasan itu sedang menunggu untuk merubah lanskap politik khususnya dalam pilihan raya umum akan datang," katanya pada majlis mesra bersama sukarelawan Tabung Amanah Tok Kenali baru-baru ini.

Menurut beliau sebelum ini Johor terkenal sebagai 'Darul Umno', namun pada pilihan raya umum lalu beberapa kubu Umno sudah berjaya dirobohkan.

"Saya ada menerima maklumat daripada penyokong Pakatan Rakyat kaum India di Johor yang mengatakan PAS kini sudah berada di hadapan kerana berjaya memecahkan benteng pertahanan Umno di negeri itu," ujarnya.

Menurutnya rakyat di negara ini sudah melihat PAS dan Pakatan Rakyat semakin hampir menguasai politik negara.

Oleh itu beliau berharap anggota parti di semua peringkat perlu menggerakkan jentera bagi mendekati masyarakat khususnya golongan bukan Melayu.

Pada majlis itu beliau berharap sukarelawan Tok Kenali melaksanakan tanggung jawab melaksanakan tugas dengan sistematik bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Kata beliau, Presiden Barrak Obama memenangi pilihan raya Amerika tahun lepas hasil usaha sukarelawan yang turun ke bawah sewaktu kempen pilihan raya.

"Untuk itu saya mencadangkan sukarelawan kita turun ke bawah bersama masyarakat dengan mengedarkan risalah kepada rakyat," ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan Timbalannya, Rosli Abdullah serta 200 sukarelawan. - mks.

DBP disaran anjur 'Perayaan Bulan Bahasa Melayu'

DBP disaran anjur 'Perayaan Bulan Bahasa Melayu'
Atiff Idris
Thu | May 14, 09 | 1:02:10 pm MYT

KOTA BHARU, 14 Mei (Hrkh) - Selepas berjaya mencetus pelbagai kelainan di Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan pula kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan perayaan Bulan Bahasa Melayu.

Katanya, perayaan itu boleh diadakan sempena kempen Bulan Bahasa yang diadakan setiap tahun.

"Ini penting bagi memberi kesedaran terhadap kepentingan penggunaan bahasa ibunda (Melayu) dalam setiap aspek kehidupan harian rakyat.

"Selain itu bahasa Melayu juga wajar diperkasakan di sekolah-sekolah bagi memastikan ia dapat diwarisi kepada generasi akan datang," katanya pada pertemuan dengan Ketua Pengarah DBP, Dato' Termuzi Abdul Aziz baru-baru ini.

Termuzi yang baru dilantik mengetuai DBP mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Guru Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar, di JKR 10, Sabtu lalu.

Hadir sama Pengarah DBP Wilayah Timur, Yussup Ishak, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Abdul Ghapur Abdullah dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakri Haron.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mencadangkan DBP mengkaji dan menterjemahkan nahu yang terlalu kaya dalam bahasa Arab ke bahasa Melayu bagi memperkasakan lagi penggunaan bahasa ibunda.

"Bahasa merupakan nikmat yang tidak terkira yang dianugerahkan Allah SWT ke atas seluruh manusia dan ia mesti digunakan sepenuhnya dalam berkomunikasi sesama manusia.

"Sebagai contoh, Thailand berjaya menghasilkan produk buah-buahan melalui teknologi terkini tanpa menggunakan bahasa asing," tambahnya.

Sementara itu, Termuzi berkata, sebagai Ketua Pengarah baru, beliau akan cuba memperkasakan semula bahasa Melayu melalui pelbagai program yang akan diperkenalkan.

Katanya kerajaan sentiasa memberi sokongan untuk mengadakan pelbagai program termasuk kempen Bulan Bahasa 2009 yang akan diadakan tidak lama lagi. - mks._

Kelab Penyokong PAS miliki 20,000 ahli

Kelab Penyokong PAS miliki 20,000 ahli
Mohd Sabri Said
Thu | May 14, 09 | 12:58:43 pm MYT

TASEK GELUGOR, 14 Mei (Hrkh) - Penyertaan 20,000 masyarakat bukan Islam ke dalam Kelab Penyokong PAS sejak ditubuhkan pasti mengancam kestabilan politik BN pada masa depan, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Ahli Kelab Penyokong PAS kini mencecah 20 ribu orang di seluruh negara dan perkembangan itu menggugat pengaruh Umno dan BN. BN tahu sekiranya masyarakat bukan Islam berpaling tadah dari menyokong BN hayat parti itu semakin pendek," tegasnya dalam sidang media bersama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Mohamad merasmikan Konvensyen Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua, Butterworth, baru-baru ini.

Menurutnya, masyarakat bukan Islam tertarik dengan model yang ditunjukan Kerajaan Kelantan yang bersih dari gejala rasuah dan tidak mengamalkan dikriminasi dalam pemerintahan.

Tambahan lagi, keaktifan lajnah yang diterajui Dr Mujahid menjadi daya tarikan tersendiri kerana selama ini golongan terbabit beranggapatan PAS sebuah parti ekstrem yang tidak mahu mendengar pandangan atau menghormati budaya kaum lain.

"Dulu mereka nampak PAS jahat Umno dan BN baik, tetapi hasil pendekatan yang dilaksanakan rupa-rupanya PAS adalah parti yang terdiri daripada pejuang yang ikhlas dan jujur," tambahnya. - mks.

Umno berpenyakit kanser kronik

Umno berpenyakit kanser kronik
Harakahdaily
Thu | May 14, 09 | 12:50:09 pm MYT

AMPANG, 14 Mei (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz, berkata Umno kini menghidapi penyakit kanser tahap empat yang tidak boleh diubati.

Yang Dipertua PAS Kawasan Ampang itu berkata demikian ketika mengulas penyertaan 50 ahli Umno kawasan terbabit kepada PAS, baru-baru ini.

Beliau juga yakin perjuangan berasaskan kaum tidak boleh diterima oleh masyarakat berbilang kaum seperti di negara ini.

"Perjuangan yang berdasarkan kaum iaitu Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina dan India dengan India sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang," katanya.

Katanya, slogan 'PAS Untuk Semua' telah menarik minat orang bukan Islam untuk mendekati Islam. - mks.

Najib, Umno dan BN patut malu!

Najib, Umno dan BN patut malu!
Bashir Ishak
Thu | May 14, 09 | 12:39:10 pm MYT

KANGAR, 14 Mei (Hrkh) - Pemimpin Umno dan BN harus memohon maaf dan bersifat malu dengan perbuatan mereka merampas kuasa pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak Februari lalu.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim berkata Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak yang bertanggungjawab ke atas peristiwa rampasan kuasa itu perlu menginsafi bahawa perbuatannya itu sebenarnya telah membelakangi undang-undang.

"Beliau menyatakan institusi perundangan itu adalah adil. Kenyataan ini hanyalah mahu membersihkan imejnya yang buruk kerana perbuatan merampas kuasa dulu berselindung di sebalik ugutan dan rasuah.

"Baru-baru ini semasa kekecohan di sidang Dun Perak, Najib mendakwa Adun Pakatan tidak hormati undang-undang, tapi perbuatan merekalah yang sebenarnya membelakangi undang-undang.

"Mereka haruslah malu dengan perbuatan itu kerana ternyata keputusan mahkamah berpihak kepada pihak yang benar," ujarnya.

Hairy berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengumumkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. - mks._

Kekuatan PAS gagal digugat Umno/BN - Tuan Ibrahim

Kekuatan PAS gagal digugat Umno/BN - Tuan Ibrahim
Basiron Abdul Wahab
Thu | May 14, 09 | 12:33:35 pm MYT

TEMERLOH 14 Mei (Hrkh) � Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan yakin kekuatan PAS gagal digugat melalui serangan media arus perdana, yang menjadi jentera propaganda Umno-BN.

Antaranya, termasuklah akhbar arus perdana, majalah, televisyen kerajaan dan swasta, pasukan keselamatan, Cawangan Khas, unit garak saraf Umno dan sebagainya.

"Semua agensi�agensi berkenaan telah dikenalpasti sebagai jentera propaganda Umno-BN dan ahli parti PAS tidak perlu melayan sebarang adu-domba musuh," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, media berkenaan menjalankan propaganda dengan pelbagai cara tetapi semuanya menjurus ke satu arah iaitu memecahkan PAS. Maka ditimbulkan isu kononya pertembungan profesional dengan ulama. Isu ini dipilih kerana Umno-BN tahu kekuatan PAS berpunca daripada jalinan pelbagai latar belakang para pemimpinnya.

"Untuk merealisasikan cita-citanya, Umno-BN mereka cipta istilah dan dimainkan melalui media setiap hari untuk meracuni pemikiran mana-mana ahli PAS," katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua dekad kepimpinan ulama, PAS sebenarnya telah berjaya melahirkan golongan 'profesional ulama dan ulama yang profesional' yang mempunyai kemahiran di dalam kedua-dua cabang ilmu.

Malah, katanya ada pemimpin PAS yang mempunyai kepakaran di dalam bidang agama tetapi pada masa sama merupakan seorang peguam sivil, begitu juga sebaliknya mahir di dalam bidang profesional dan mampu memperjelaskan isu-isu agama dengan berkesan.

"Ini adalah suatu kejayaan yang tidak terdapat di dalam Umno tetapi ada di dalam PAS," ujarnya.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berpendapat, PAS sedang mengalami perubahan besar apabila ia semakin dipercayai rakyat pelbagai kaum.

"Kita telah mengalami perubahan besar dan mendapat sokongan rakyat. Jika sokongan rakyat terus meningkat, tidak musthil PAS dan rakan-rakan didalam Pakatan Rakyat mampu memerintah negara," katanya. - mns_