Showing posts with label nyalaan lilin. Show all posts
Showing posts with label nyalaan lilin. Show all posts

Wednesday, May 20, 2009

Penangkapan Ahli Parlimen dan Adun tidak munasabah

Penangkapan Ahli Parlimen dan Adun tidak munasabah
Muhammad Arif Ismail
Wed | May 20, 09 | 4:59:12 pm MYT

SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - Penangkapan Ahli Parlimen Serdang dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Teratai, Jenice Lee merupakan satu tindakan polis yang tidak munasabah.

Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Parlimen Seputeh yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Dewan Undangan Negeri Kinrara, Teresa Kok dalam sidang media yang diadakan di Bangunan SUK dekat sini petang tadi.

Menurut beliau penangkapan ini dilakukan pada jam 8.30 malam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Chin bersama sembilan orang yang lain telah ditangkap oleh polis di luar Pejabat Ahli Parlimen DAP seputeh, Teresa Kok.

"Hanya kerana mereka memakai baju hitam dan menyalakan lilin serta mengadakan kempen mengumpul tandatangan bagi mendesak Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan, mereka ditangkap.

"Oleh itu, mereka telah dibebaskan pada 3.00 pagi tadi," katanya.

Beliau yang berada di tempat kejadian semasa penangkapan dilakukan oleh OCPD Balai Polis Brickfields berkata perbuatan ini adalah tidak munasabah.

"Mereka yang hadir dalam kempen mengumpul tandatangan itu, hanya 11 orang sahaja. Tetapi sebelum majlis tersebut bermula, polis telah bertindak dengan menyerbu kempen itu.

"Saya rasa, cara polis tersebut merupakan cara yang tidak munasabah kerana tidak menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun bagi mengadakan kempen mengumpul tandatangan ini," tegas teresa.

Tindakan polis ini katanya, menunjukkan kepada rakyat bahawa pihak polis telah melakukan satu lagi penyalahgunaan kuasa dan sebenarnya memburukkan lagi imej kerajaan Barisan Nasional yang diketuai Umno di mana ruang untuk mengumpulkan tandatangan pun ditutup.

"Lebih memburukkan lagi tindakan ini melibatkan Ahli Parlimen dan Adun," ujar beliau. - mns_

Nyalakan lilin bantah krisis Perak : Dua wakil rakyat ditahan polis

Nyalakan lilin bantah krisis Perak : Dua wakil rakyat ditahan polis
Harakahdaily
Wed | May 20, 09 | 9:45:52 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Sebelas orang termasuk dua wakil rakyat Pakatan Rakyat telah ditahan oleh pihak polis kerana menyertai demonstrasi menyalakan lilin dipercayai sebagai bantahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak.

Mereka ditahan ketika menyertai nyalaan lilin di Seputeh pada pukul 8.20 malam tadi dan difahamkan dua wakil rakyat itu ialah anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Chin dan ADUN Teratai Jenice Lee.

Menurut agensi berita nyalaan lilin itu diadakan di luar pejabat anggota Parlimen DAP, Teresa Kok dan disertai berpuluh-puluh mereka yang memakai bajuT hitam.

Menurut penganjur, nyalaan lilin itu sebagai menandakan apa yang mereka dakwa "pembunuhan demokrasi di Perak".

Sementara itu Ketua Polis Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan penahanan sebelas orang termasuk wakil rakyat berkenaan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai identiti sebenar dua wakil rakyat dan tarikh mereka akan dibebaskan. - azm