Wednesday, May 13, 2009

13 Mei 2009: Kelantan cetus deklarasi perpaduan nasional

13 Mei 2009: Kelantan cetus deklarasi perpaduan nasional
Lanjusoh | Foto Md Yusri Amin
Wed | May 13, 09 | 1:30:18 pm MYT

KOTA BHARU, 13 Mei (Hrkh) - Tanggal 13 Mei 1969, sejarah hitam negara tercatat. Ramai penduduk menjadi mangsa rusuhan antara kaum. Ia masih diingati sehingga ke hari ini.

Mungkinkah peristiwa seumpama itu berulang kembali, seperti yang pernah berlaku di Kampung Medan beberapa tahun lalu.

Ekoran peristiwa itulah kerajaan mengubal Dasar Ekonomi Baru (1970 - 1990). Dan paling menarik apabila PAS dipelawa Tun Abdul Razak Hussien berada dalam kerajaan Barisan Nasional pada 1974.

Mengingatkan peristiwa itu buat julungkali kerajaan PAS di Kelantan mencetus deklarasi perpaduan nasional dan keamanan sejagat 13 Mei 2009 pada satu sidang akhbar yang agak luar biasa hari ini.

Sidang akhbar itu dihadiri hampir kesemua anggota Exco kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, sebahagian wakil rakyat, penjawat awam dan pemimpin PAS yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara ini.
Image
"Maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.

"Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahu pun dalam negeri sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan.

"Saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidaktentuan dan serba salah. Mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi," katanya.

Menurutnya apa yang ada dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara kini hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana berkecamuk.

Kata beliau sekarang banyak berlaku ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang memegang amanah, namun telah mengkhianatinya.
Image
"Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan

"Maka hari ini 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu," katanya.

Oleh itu beliau mengajak rakyat di negara ini kembali kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah SWT sebagai premis kebahagiaan yang pertama.

Dan keduanya rakyat negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat. - mj/mks.

Nik Aziz tolak kerajaan perpaduan bersama Umno

Nik Aziz tolak kerajaan perpaduan bersama Umno
Muhammad Yusri Amin & Mohd Nor Yahya
Wed | May 13, 09 | 6:23:57 pm MYT

KOTA BHARU, 13 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sama sekali tidak bersetuju cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Beliau berkata, PAS sudah hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana penipuan yang dilakukan semasa PAS berada dalam kerajaan Perikatan pada 1974.

"Kerajaan perpaduan di antara PAS dan BN tidak mungkin berlaku walau pun ada dakwaan kononnya saya akan bersetuju sekiranya PAS ditawarkan jawatan penting termasuk Menteri Pelajaran atau Menteri Kewangan.

"Saya sudah tidak percaya kepada keikhlasan mereka yang pernah menipu PAS. Mereka pernah menendang PAS keluar daripada kerajaan Perikatan pada 1978.

"Oleh itu sekiranya berlaku lagi kerajaan perpaduan di antara PAS dan Umno, apa jaminan Umno tidak akan menendang kami keluar lagi," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009 di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau sekali lagi mengulangi analoginya diibarat PAS menolak kereta lama Umno-BN, setelah enjin kereta itu hidup, kereta itu berjalan meninggalkan PAS di belakang yang sudah terpalit asap dan lumpur.

Mengenai deklarasi Perpaduan Nasional yang baru dicetusnya, beliau berkata PAS ada penawarnya bagi menjalin hubungan dengan Umno dengan syarat dasar parti itu ditukar daripada kebangsaan kepada Islam.

"Sekiranya Umno menukar dasarnya dengan persetujuan daripada cawangan dan negeri-negeri kepada Islam maka PAS akan menyokong.

"Tidak ada sebab kita hendak melawan dasar dan perjuangan Islam. Kami melawan sekarang kerana Umno membawa jalan sesat," katanya.

Beliau juga berkata, Umnolah punca kekalutan dalam politik di negara ini kerana mereka hanya mementingkan bangsa, sedangkan Islam milik sejagat.

Menyentuh suasana politik di Perak yang semakin kalut katanya, biarlah rakyat yang menjadi hakim bagi memilih seseorang Menteri Besar.

Namun katanya kini sudah terbalik pula apabila mahkamah yang menjadi hakim memilih ketua kerajaan.

"Saya hairan di Malaysia nampaknya ada pihak-pihak tertentu yang menjadi dalang kepada wujudnya suasana kalut ini," ujar beliau.

Ditanya mengenai konsep 1 Malaysian yang diuar-uarkan Perdana Menteri sekarang katanya, BN hanya mencedok apa yang telah dilaksanakan PAS.

Menurutnya PAS membawa dasar perjuangan Islam sehingga masyarakat Cina dan India sudah menerima konsep tersebut seperti yang berlaku di Kelantan sekarang.

"Di Kelantan, kita ada wakil masyarakat bukan Melayu dalam kerajaan bagi menghubungkan mereka dengan bukan kaum Islam," ujarnya.

Sementara itu, seorang usahawan Kenny Chua, 53 berkata, keluarganya mendapat perlindungan di kediaman Menteri Besar Kelantan, Dato' Asri Muda semasa berlaku peristiwa 13 Mei 1969.

Menurut beliau bapanya Chua Say Paw pernah memberitahu PAS satu hari nanti akan berjaya memerintah Kelantan sekiranya mereka mengambil berat masyarakat bukan Islam seperti yang berlaku sekarang. - mj

Anak KP Harakah kritikal

Anak KP Harakah kritikal
Azamin Amin
Wed | May 13, 09 | 2:30:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Anak Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman kini berada dalam keadaan kritikal setelah dimasukkan ke hospital dua hari lalu.

Ahmad Shafiq, 13 telah dimasukkan ke Hospital Ampang pada malam 11 Mei akibat demam denggi yang berlarutan selama lebih lima hari.

Melalui sistem pesanan ringkas Lutfi kepada Harakahdaily jam 2.00 petang tadi memaklumkan keadaan kesihatan anaknya itu.

"Anak saya kritikal. Mohon doakan kesejahteraan anak saya semoga dia sembuh," katanya melalui sms.

Syafiq, anak ketiga daripada lima adik beradik ini kini ditempatkan di Wad 6B, bilik dan nombor katil 24 di hospital tersebut.

Harakahdaily meminta jasa baik orang ramai dan sesiapa yang turut bersimpati untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan anak Lutfi agar pulih sedia kala. - azm_

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak
Irwan Muhammad Zain
Wed | May 13, 09 | 12:18:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Dato' Dr Zambry Abd Kadir diminta supaya tidak menambahkan lagi kebuntuan dan kekalutan yang dihadapi rakyat Perak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masih sah dan tidak seharusnya Zambry bertindak berlawanan dengan keputusan tersebut.

"Mahkamah Rayuan hanya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi bukannya membatalkan.

"Kerana itu Zambry harus ingat bahawa dia bukanlah Menteri Besar yang sah dan untuk itu beliau tidak boleh bertindak di luar dari apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi," tegas Mahfuz.

Zambry, tegas Mahfuz dalam keadaan sekarang tidak boleh meluluskan sebarang projek dan hanya boleh mempengerusikan mesyuarat exco untuk berbincang soal pentadbiran semata-mata.

Mahfuz dalam masa yang sama berpendapat Mahkamah Rayuan sepatutnya memberikan syarat tertentu kepada Zambry bila memutuskan untuk menerima permohonan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara syarat yang boleh diberikan tegas Mahfuz, Zambry tidak dibenarkan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan, PAS bimbang jika syarat seperti itu tidak diberikan, Zambry akan membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada kewangan Perak.

Semalam Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mei lepas yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. - mks.

Nizar dijadual ke KL, DAP akan buat laporan polis berhubung insiden Dun Perak

Nizar dijadual ke KL, DAP akan buat laporan polis berhubung insiden Dun Perak
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 13, 09 | 11:59:51 am MYT

IPOH, 13 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin dijadualkan ke Kuala Lumpur petang ini bagi menghadiri forum di Petaling Jaya malam ini.

Menurut Setiausaha Politiknya, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Nizar akan menyertai forum itu bersama beberapa panelis lain bagi membincangkan pergolakan politik di Perak.

Sementara esok, Nizar juga akan menghadiri mesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja Laut difahamkan berhubung strategi terkini selepas isu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam mesyuarat Pakatan Rakyat Perak semalam, langkah seterusnya masih belum diputuskan memandangkan peguam Nizar masih memperhalusi tindakan seterusnya.

Setakat ini kata Pesuruhjaya PAS Perak,Ustaz Ahmad Awang Pakatan Rakyat masih menunggu 'signal' dari peguam dan perkembangan seterusnya.

Sementara di pihak DAP pula, dikhabarkan akan membuat laporan polis terhadap insiden di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Namun, isu spesifik yang dilaporkan masih belum diketahui.

Sementara di Perak, situasi seperti biasa rakyat mula bekerja dan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan pejabat Menteri Besar terus dikawal rapi oleh pasukan simpanan persekutuan (FRU).

Semalam, Mahkamah Rayuan pada 12 Mei membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Sementara sehari sebelumnya, ( 11 Mei), Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai menteri besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Pada 13 Februari, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan yang beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugasnya sebagai menteri besar.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihanraya umum ke-12, juga memohon diisytiharkan bahawa Zambry tidak berhak memegang jawatan menteri besar.

Pembangkang dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan 59 kerusi itu selepas tiga ADUN pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas dan yang keempat keluar dari PKR dan menyertai semula Umno.

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan melantik Dr Zambry selepas mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam Dewan.

Zambry memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan dan notis rayuan, 16 jam selepas Mohammad Nizar kembali menjadi Menteri Besar.

Berikutan keputusan itu, tokoh DAP Lim Kit Siang berkata Pakatan Rakyat akan memfailkan segera rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan perintah penangguhan.- wann/mks.

Kerajaan Najib mahu naikkan harga minyak

Kerajaan Najib mahu naikkan harga minyak
Abdul Aziz Mustafa
Wed | May 13, 09 | 11:36:29 am MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) Satu Malaysia akan menanggung beban apabila alasan tidak munasabah didahulukan dan kenaikan harga minyak diutamakan.

Apa yang menghairankan, kenaikan hara minyak itu disebabkan minyak petrol RON97 yang digunakan oleh sebahagian besar pemilik kenderaan di negara ini akan dijadikan produk premium dengan harganya dinaikkan kepada RM2 seliter berbanding RM1.80 seliter sekarang.

Atas alasan apa minyak kegunaan majoriti rakyat itu dijadikan produk premium tidak pula dinyatakan dengan munasabah dan meyakinkan.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, langkah itu berkuat kuasa 1 September ini serentak dengan pelancaran minyak baru RON95 berharga RM1.75 seliter di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilik kenderaan termasuk yang berkuasa tinggi tidak perlu risau dengan kenaikan RON97 kerana mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan minyak RON95.

''Kelebihannya RON95 adalah lebih baik daripada RON92 dengan harganya tidak jauh berbeza.

''Tujuannya ialah untuk menyediakan rakyat dengan minyak yang dari segi prestasi serta kualitinya lebih tinggi dan semua kenderaan termasuk yang selama ini menggunakan RON97 boleh mendapatkan minyak dengan harga lebih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan minyak petrol RON95 di stesen minyak Petronas di Presint 9D di Putrajaya semalam.

Petronas Dagangan Berhad berjaya merealisasikan pengeluaran RON95 apabila mulai hari ini dan esok, dua stesen minyak Petronas di Presint 9 di sini mula menjual minyak jenis itu atau dikenali Primax95.

Berkuat kuasa 1 September ini, semua stesen minyak di seluruh negara akan menjual minyak RON95 termasuk pelaksanaan spesifikasi EURO2M bagi petrol dan diesel dalam pasaran.

Sebelum ini, penjualan RON92 adalah lebih rendah iaitu lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol di negara ini sejak tahun 2000.

Spesifikasi minimum bagi kebanyakan enjin kenderaan yang digunakan di negara ini adalah RON91.

Menurut Ismail Sabri, penggunaan petrol RON97 yang besar selama ini adalah satu bentuk pembaziran kerana kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Eropah menggunakan RON yang lebih rendah.

''Keadaan ini menggambarkan bahawa pengguna di negara ini tidak mendapat maklumat yang lebih tepat mengenai produk petrol yang sesuai untuk enjin kenderaan mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, kerajaan sebenarnya tetap memberikan subsidi bagi minyak RON95 iaitu tiga sen seliter sebagaimana sekarang RON97 yang diberikan subsidi sebanyak enam sen seliter.

''Kita tidak boleh kata apabila RON97 dijual dengan harga RM2, kerajaan akan membuat keuntungan kerana trend harga minyak dunia sekarang sedang naik.

''Apa yang penting, harga minyak yang kita tentukan itu tetap akan kekal meskipun harga minyak dunia mungkin mengalami peningkatan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri enggan mengulas ketika ditanya adakah kerajaan mengalami tekanan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bagi menaikkan harga petrol RON97 sebanyak 20 sen.

Sebaliknya, beliau mahu orang ramai memberikan tumpuan kepada pengenalan RON95 yang lebih murah berbanding RON97 atau produk petrol premium yang lain.

''Sebenarnya sebelum ini sudah ada produk premium seperti V-Power yang dijual oleh Shell dengan harganya lebih tinggi dan ia tidak dikawal oleh kerajaan.

''Biarpun tidak dikawal tetapi setiap kali ada cadangan untuk menaikkan harga, syarikat minyak perlu membincangkannya dengan kerajaan," katanya. - mks.

Beri hak rakyat pilih kerajaan Perak - Suhakam

Beri hak rakyat pilih kerajaan Perak - Suhakam
Harakahdaily
Wed | May 13, 09 | 10:29:02 am MYT

KUALA LUMPUR 13 Mei (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpendapat bahawa krisis politik di Perak mungkin tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Osman yang dipetik daripada agensi berita.

Hanya sebuah kerajaan yang stabil akan mampu memastikan hak untuk keamanan dan pembangunan, kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Artikel 21 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 memperuntukkan bahawa kesungguhan seseorang hendaklah menjadi asas kuasa kerajaan.

"Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, insiden pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei dan keputusan Mahkamah yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, adalah sangat sukar isu Perak akan ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat,"kata beliau.

"Tindakan Mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak,"kata Abu Talib.- azm _

Memperingati 13 Mei, Nik Aziz sampaikan amanat pagi ini

Memperingati 13 Mei, Nik Aziz sampaikan amanat pagi ini
Azamin Amin
Wed | May 13, 09 | 9:10:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat akan menyampaikan amanatnya kepada seluruh rakyat Malaysia, jam 11.30 pagi ini.

Menurut laman web Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan beberapa blog yang lain, intipati amanat Menteri Besar Kelantan itu ialah mengenai peristiwa 13 Mei dari perspektif baru termasuk kegagalan Umno yang menerajui negara sehingga tercetusnya peristiwa hitam itu.

Difahamkan Pejabat Menteri Besar Kelantan turut menjemput semua wakil media dan media online termasuk bloggers untuk mendengar amanat penting itu di Dewan Teratai, Kompleks SUK Kota Darul Naim pagi ini.

Di dalam sidang media penting ini, Tuan Guru Nik Aziz, yang sudah menjadi Menteri Besar Kelantan selama hampir 19 tahun dijangka akan mengumumkan suatu penawarannya kepada rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

Sidang media tersebut juga akan disiarkan secara live menerusi www.kelantan.tv

Sementara itu menurut laporan agensi berita Nik Aziz mahu kerajaan menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai satu hari bersejarah yang diingati setiap tahun supaya tragedi hitam berhubung isu perkauman itu tidak berulang.

Katanya, peristiwa yang berlaku 39 tahun lalu itu perlu dijadikan iktibar oleh generasi akan datang untuk mengelakkan peristiwa yang boleh menimbulkan kegelisahan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Sambutan bagi mengingati Peristiwa 13 Mei bukannya berasaskan agenda tertentu sebaliknya sebagai peringatan atau pedoman kepada masyarakat untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang," katanya kepada pemberita semalam.

Nik Aziz berkata, rakyat sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah hitam itu dengan meninggalkan perkara-perkara yang boleh mengulangi peristiwa sedemikian.

"Jangan sesekali bangkitkan masalah bangsa kerana keadaan ini akan menyebabkan timbul perasaan cemburu kaum lain sehingga menyebabkan orang Melayu dihina," katanya.

Sehubungan itu, Nik Aziz mengajak masyarakat negara memilih sistem Islam sebagai cara hidup iaitu titik perpaduan yang dianjurkan Nabi Muhammad s.a.w. yang bukan sahaja boleh diamalkan orang Melayu tetapi juga kaum lain. - azm/mks.

Mahkamah umpama 'gelanggang sarkas', diperguna BN sesuka hati

Mahkamah umpama 'gelanggang sarkas', diperguna BN sesuka hati
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 13, 09 | 7:08:18 am MYT

IPOH, 13 Mei (Hrkh) - Keputusan yang berubah hanya dalam jangkamasa sehari menunjukkan mahkamah kini umpama gelanggang 'sarkas' yang menjadi pentas untuk Umno/BN terus menyalahgunakan kuasa mereka.

Demikian telahan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dan Adun Titi Serong, Dr Khalil Idham Lim Abdullah ketika ditemui selepas mesyuarat Pakatan Rakyat Perak di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak.

"Taklimat tadi kita bincangkan tentang keputusan terkini yang memeranjatkan dan marah kerana dalam masa sekejap sahaja mahkamah boleh terima rayuan Zambry, sedangkan di pihak kita tidak diberitahu,"kata Ahmad Awang yang ditemui selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di sini.

Antara yang hadir dalam mesyuarat di Badan Perhubungan PAS Perak petang ini ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang; Menteri Besar, Dato'Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin; Pengerusi KeADILan Perak, Usaili Alias; Ahli Parlimen Bagan Serai, Mokhsin Fadzil; peguam Asmuni Awi, adun-adun Pakatan Rakyat dan saf kepimpinan pakatan yang lain.

Beliau memaklumkan bahawa Nizar melahirkan rasa terkejut dengan permainan BN ini yang mana kini MahkamahRayuan menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemngesahan MB dipihak Nizar hanya dalam masa singkat.

Ujar Ahmad Awang, adalam proses rayuan afidavit sepatutnya dalam masa 40 hari namun mereka luluskan cepat hingga peguam Pakatan Rakyat tidak tahu dan terkejut dengan keadaan ini.

Keputusan ini tak kalau sebegini menjadikan rakyat marah dan mempunyai persepsi bahawa mahkamah suka-suka boleh buat keputusan,katanya.

"Benda ini tak pernah berlaku, gantung dengan cepat.Saya tidak nafikan bahawa rayuan boleh dibuat tetapi bukan kepoutusan dalam masa yangamat singkat ini mengejutkan,"katanya.

Sementara Khalil pula yang berang dengan permainan BN ini menyatakan bahawa kini rakyat mula sangsi dan bingung akan mudahnya mahkamah diperguna BN sewenangnya.

Malah keputusan mahkamah pada 11 Mei hanya diskripkan untuk sengaja memperlihatkan Nizar dan Adun-adun Pakatan Rakyat ini 'gila kuasa' mahu masuk sesegera mungkin ke pejabat MB, katanya.

Walhal,Nizar sudahj tahu akan perkembangan ini kerana BN pastinya melakukan tindakan yang akan hanya menguntungkan politik mereka walau melanggar batas undang-undang.

Khalil juga menyatakan, rakyat hari ini sudah mula berang dengan tindakan BN yang sekali lagi memperolok hak rakyat dalam memilih kerajaan yang sah.

Sifirnya mudah kata Khalil, ia terletak di tangan Sultan Perak yang seharusnya mendengar denyut nadi suara rakyat yang mahukan pembubaran Dun untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan secepat mungkin.

Mengulas isu yang sama, Adun Teja, Chang Lih Kang pula menyatakan keputusan Mahkamah Rayuan membenar dan meluluskan permohonan rayuan adalah 'tidak masuk akal'.

Bagi Adun Teja, beliau memaksudkan 'tidak masul akal' keputusan itu dibuat dalam masa yang amat singkat dan hanya merumitkan keadaan dimana Nizar tidak boleh bertugas kerana halangan 'stay order'.

Sementara Zambry pula sebenarnya terikat juga dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak mengesahkan Zambry selaku MB yang sah,katanya.

Secara keseluruhannya, usaha melalui Mahkamah Rayuan ini hanyalah tindakan Umno/BN dalam menghalang Nizar bertemu Sultan Perak bagi membuka jalan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, katanya.

Sambil menyifatkan keputusan ini dipengaruhi dalang yang juga memprojekkan rampasan kuasa di Perak Februari lalu, Lih Kang menambah tindakan tidak demokratik ini akan hanya menambah benci rakyat kepada BN./wann

Runding krisis Perak: Syarat Najib tak waras

Runding krisis Perak: Syarat Najib tak waras
Abdul Aziz Mustafa
Wed | May 13, 09 | 3:22:25 am MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyelar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak kerana meletakkan syarat yang tidak waras sebelum berunding dengan Pakatan Rakyat (PR) bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

"Najib kata, kita (PR) seharusnya tidak meletakkan sebarang terma dan syarat bagi apa-apa jua perundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

"Suruh kita jangan letak syarat sebenarnya adalah satu syarat, iaitu syarat yang tidak waras," kata beliau.

Mohamad berkata, orang gila pun tidak berani melakukan apa yang dikehendaki Najib itu.

"Orang berunding kerana dia ada sesuatu yang dikehendaki atau ingin dipertahankan. Apa yang dikehendaki atau ingin dipertahankan itulah yang menjadi syaratnya.

"Kalau terkam meja perundingan tanpa syarat, itu bukan berunding. Itu serah tengkuk untuk disembelih namanya. Orang gila pun tak berani serah tengkuk untuk disembelih," tegas beliau.

Ditanya mengenai penyelesaian krisis di Perak, Naib Presiden PAS itu berkata, satu-satunya jalan penyelesaian ialah dengan mengadakan semula pilihan raya di negeri itu bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang mereka mahu.

Mohamad seterusnya mengecam kenyataan Najib yang membayangkan ketidaksediaannya mengadakan pilihan raya baru di negeri itu.

"Najib lebih suka budak-budaknya yang gila kuasa merempit dengan kuasa yang melanggar undang-undang di Perak.

"(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata pengambilalihan kuasa oleh BN di Perak bertentangan dengan undang-undang. Maknanya apa sahaja yang lahir dari pengambilalihan kuasa yang bertentangan dengan undang-undang itu adalah bertentangan dengan undang-undang juga.

"Tengku Razaleigh (Hamzah) pula kata kerajaan yang diketuai (Dato' Seri Dr) Zambry (Abdul Kadir) adalah haram sejak dari awal lagi dan kesemua keputusan dan kontrak yang dibuat oleh kerajaan itu tidak sah di sisi undang-undang," katanya.

Mengambilkira pandangan-pandangan itu, Mohamad menyeru rakyat "memberikan isyarat yang lebih jelas menurut lunas undang-undang negara ini untuk menghentikan kedegilan mat-mat rempit gila kuasa itu dari terus merempit dengan kuasa haram mereka".

"Selagi mat-mat rempit gila kuasa itu terus merempit dengan kuasa haram mereka, rakyat Perak khususnya patut mempertimbangkan tindakan menurut lunas undang-undang negara ini contohnya terus memakai baju hitam sebagai tanda bantahan terhadap apa yang disebut oleh Tengku Razaleigh sebagai kerajaan haram Perak itu," katanya. - mks.

"Saya masih MB yang sah - Nizar

"Saya masih MB yang sah - Nizar
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 11:45:32 pm MYT

IPOH, 13 Mei (Hrkh) - Dato' Seri ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin mengekalkan pendiriannya bahawa beliau masih menjadi Menteri Besar yang sah, kerana penangguhan perisytiharan oleh Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan beliau sebagai MB tidak terjejas.

Sambil menyatakan bahawa penangguhan itu lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan, Nizar berkata secara logiknya beliau masih Menteri Besar.

Pada satu sidang akhbar, Dato'Dr Zambry Abd Kadir memperakukan dirinya sebagai Menteri Besar yang sah apabila Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan perisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Nizar memberitahu sidang media bahawa,walaupun ditangguhkan perisytiharan itu, kerajaan Pakatan Rakyat tetap kerajaan yang sah.

Nizar berkata, ia hanya penangguhan perisytiharan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi, yang mengesahkan bahawa beliau adalah MB yang sah, yang secara langsung membawa pengertian bahawa Zambry adalah MB yang tidak sah.

Malahan penangguhan persiytiharan juga bukan bererti ia telah mengesahkan Zambry sebagai MB yang sah, atau tiada siapa yang selayaknya menjadi MB, maka pilihan yang ada hanyalah beliau sebagai MB yang sah./wann _

Krisis Perak : Isi hati rakyat Perak hanya mahukan pembubaran Dun!

Krisis Perak : Isi hati rakyat Perak hanya mahukan pembubaran Dun!
Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | May 12, 09 | 11:34:34 pm MYT

(Analisis) : Krisis di Perak kembali rumit dan sempit, keputusan mahkamah yang umpama di 'remote' oleh Umno/BN mempermainkan semula jiwa dan denyut nadi rakyat.

Dalam masa sehari, mahkamah mudah diskripkan dengan memutar semula wajah demokrasi yang sebenar, rayuan Dr Zambry Kadir dengan pantas diproses dan diterima Mahkamah Rayuan dalam masa satu jam sahaja.

Walhal,secara amalan biasanya rayuan itu juga perlu tempoh tertentu untuk diputuskan perihal lulusnya dengan prosedur yang kepada 'orang biasa' akan menjafdi rumit.

Namun bagi Zambry yang juga proksi kepada Najib Tun Razak di Perak dalam 'program realiti bertajuk rampasan kuasa di Perak' mahkamah akan memudahkan rayuannya tidak seperti rakyat biasa yang lain.

Hanya sejam sahaja diperlukan Zambry yang menerima mandat Presiden Umno untuk mengemudi Umno di Perak untuk memutarkan semula skrip yang sedang bergelandangan di Perak.

Tindakan itu menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang mengesahkan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah 'tergantung' sementara, dan Zambry pula selaku MB 'perampas' kembali mahu duduk dikerusi empuknya dengan bantuan 'jalan pintas'.

Nizar hanya duduk di kerusi MB pada 12 Mei setakat beberapa jam dan sempat hadir dalam Majlis Pengurniaan Pingat di Istana Iskandariah bersama Sultan Perak.

Namun, ketokohan Nizar selaku pejuang rakyat terserlah, tanpa ada rasa 'lokek' kepada kuasa, beliau dengan rendah diri mengosongkan semula pejabat MB yang baharu sahaja dimasuki semula 12 Mei.

Benar kata Adun Titi Serong, Dr Khalil Idham Lim Abdullah bahawa rakyat Perak kini mula curiga dan sangsi mahkamah hanya diperguna untuk kepentingan kuasa BN.

Mahkamah hanya menjadi ladang kepada kerakusan nafsu BN untuk melakukan apa sahaja walau ianya sah bertentangan dengan perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

Ketegangan kini hanya boleh diselesaikan dengan kembali kepada rakyat, bak kata Nizar dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang bahawa pembubaran Dun adalah jalan terbaik.

Hal ini juga dipertegaskan Ahli Parlimen BN Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman

Usah dibodohkan kenyataan Ku Li dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan "selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan."

Ku Li berpendirian sidang DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.

"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN," kata Ku Li.

Pastinya dalam kemelut ini, Sultan Perak adalah jawapan yang paling dekat kepada konflik ini untuk segera ditamatkan.Kuasa yang ada di tangan baginda adalah jalan penyudah, cadangan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mudah, dua MB ini dipanggil mengadap Sultan Perak.

Tumpuan hanya satu, dua dua perlu akur akan penyelesaian hanya di gelanggang pilihan raya semula dan bukannya intepretasi undang-undang yang berbeza.

Kini rakyat menanti keazaman Sultan Perak untuk menamatkan segera sengketa ini dengan memperkenankan pembubaran Dun bagi membolehkan rakyat memilih semula wakil rakyat dan kerajaan secara sah./wann

Dr M patut ketuk Najib - Husam

Dr M patut ketuk Najib - Husam
Abdul Aziz Mustafa
Tue | May 12, 09 | 9:27:19 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) -Sudah sampai masanya untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuk Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tukul besinya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengulas Keputusan Mahkamah Rayuan tengahari tadi yang menyebelahi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau juga menyeru Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin, mengambil pendirian yang berbeza dari Najib dan jangan sesekali berada dalam bakul kemusnahan yang sama.

Menurut Husam, keutamaan Najib bukan lagi masa depan Umno dan Barisan Nasional (BN) "tetapi memilih untuk melayari tempoh honeymoon sebagai Perdana Menteri baru dengan agendanya sendiri tanpa menoleh kepada realiti yang berlaku".

Walaupun BN memperolehi perintah mahkamah yang menyebelahi mereka, kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu, tetapi keyakinan rakyat terhadap kesucian doktrin pengasingan kuasa di bawah BN semakin luluh.

"Keputusan Mahkamah Rayuan tengahari tadi yang menyebelahi Zambry tidak mengejutkan. Itulah sistem kehakiman Malaysia," katanya.

Najib, katanya, "telah kehilangan peluang keemasan untuk muncul mendapat political mileage dari keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

"Beban ke atas Najib semakin berat. Hari ini, empat kenyataan penting meminta pilihanraya semula di Perak dibuat".

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyatakan penyelesaian terbaik bagi krisis di Perak ialah dengan mengadakan pilihan raya yang baru di negeri itu.

Pandangan yang sama juga datang Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow dan Ahli Jawatankuasa Kerjanya, Dr Hsu Dar Ren.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula berpendapat bahawa krisis politik di Perak mungkin tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat.

�Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia,� kata Pengerusinya Tan Sri Abu Talib Osman.

Mengulas desakan-desakan itu, Husam berkata: "Kalau sekutu Umno sendiri sudah bersuara dari dalam kelambu BN, menunjukkan mereka bukan sahaja mempunyai mimpi yang berbeza dalam isu ini, malah mungkin tilam yang juga berbeza".

Keputusan Mahkamah Rayuan itu, katanya, tidak dapat membeli keyakinan anggota BN sendiri, apatah lagi membeli keyakinan rakyat.

MCA dan Gerakan, katanya lagi, lebih jujur mengenai ketakutan mereka terhadap hukuman rakyat yang lebih dahsyat akibat tingkah laku Umno di Perak.

"Jika sikap keras kepala Umno berterusan, bermakna pilihanraya umum akan datang adalah masa gelap bagi BN.

"Namun, Umno masih dilamun mimpi. Jalan undang-undang yang menjerut diri walaupun kehilangan rasa hormat rakyat kepada mereka masih pilihan mereka," katanya.

Beliau menyeru Dr Chua, Teng Chang Yeow dan Dr Hsu bertindak lebih lanjut dan menggesa Najib supaya bersetuju dengan pembubaran disuarakan dalam forum BN yang lebih efektif.

Krisis di Perak sudah jadi politik kartun

Krisis di Perak sudah jadi politik kartun
Zuharman MN
Tue | May 12, 09 | 7:19:51 pm MYT

PASIR PUTEH, 12 Mei (Hrkh) - Petang semalam Dato' Seri Nizar Jamaluddin disahkan Menteri Besar Perak. Tiba-tiba petang ini pula Dato' Dr Zambry Abdul Kadir diberi semula jawatan itu.

Tidakkah situasi ini memeningkan. Rakyat di bawah lebih bercelaru lagi apabila mengikuti perkembangan kes di Perak sekarang.

Apakah babak-babak kartun sudah mulai meresap ke dalam politik Malaysia.

Anggota parlimen Pasir Puteh, Mohamad Hussin berkata, krisis politik di Perak tidak akan selesai selagi mandat tidak dikembalikan kepada rakyat.

"Mahkamah bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan konflik politik yang berlaku di Perak sekarang. Tengoklah apa yang berlaku hari ini. Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengesahkan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar.

"Tetapi hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi. Tidakkah ini seperti kartun yang ditertawakan orang luar," katanya ketika ditemui di sini.

Hari ini Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali yang mendengar permohonan Zambry menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah penangguhan keputusan mahkamah semalam penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mohamad berkata, mahkamah bukan lagi jalan terbaik bagi menyelesaikan isu yang berbangkit di Perak sekarang.

"Ini kerana dari awal lagi krisis di Perak berpunca daripada sikap rakus pemimpin Umno selepas hilang kuasa pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, BN terlalu takut kehilangan kuasa yang dirampas Febuari lalu apabila segera membuat rayuan bagi menghalang keputusan dibuat Mahkamah Tinggi.

"BN perlu menyedari keangkuhan dan kerakusan akan membawa padah. Sepatutnya mereka lebih profesional sebelum bertindak merampas Perak dahulu," ujarnya.

Menurutnya impak daripada rampasan kuasa tersebut secara jelas menyebabkan suasana di Perak tidak lagi tenteram.

Bagaimanapun kata beliau peluang untuk kembali landasan asal masih ada sekiranya diberi semula kepada rakyat bagi menentukan hak mereka sebagai pemilih. - mj

Mahkamah dengar rayuan Nizar 18 Mei

Mahkamah dengar rayuan Nizar 18 Mei
Harakahdaily
Wed | May 13, 09 | 9:47:27 pm MYT

KUALA LUMPUR,13 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar rayuan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi. Iklan




Tarikh itu ditetapkan selepas Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan.

Kelmarin Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Turut disertakan bersama notis usul itu ialah sijil supaya kes itu disegerakan.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Ali membenarkan Dato' Seri Dr. Zamry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam afidavit sokongannya, Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam untuk memberikan perintah penggantungan itu kepada Zambry adalah salah dan beliau (Nizar) mengemukakan permohonan untuk membetulkan perkara itu.

Nizar berkata Mahkamah Tinggi telah membuat takrif yang betul terhadap Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Beliau berkata sekiranya perintah pelaksanaan itu diberikan ia akan merampas haknya serta membuat keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya menteri besar Perak sebagai sia-sia.

Menurutnya perintah yang diperoleh Zambry itu akan mengganggu pelaksanaan secara lancar dan baik pentadbiran kerajaan negeri Perak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Nizar juga berkata perintah berkenaan akan mengelirukan rakyat negeri itu mengenai siapakah menteri besar yang sah serta menjadikan keadaan politik lebih tegang dan krisis perlembagaan lebih mendalam. - mks.