Tuesday, May 12, 2009
PAS curiga keputusan Mahkamah Rayuan
Irwan Muhammad Zain
Tue | May 12, 09 | 3:04:17 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dikhuatiri dipengaruhi kepentingan politik Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi menegaskan, PAS sentiasa menghormati keputusan mahkamah namun dalam masa yang sama juga khuatir keputusan tersebut dipengaruhi pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.
Mahfuz menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan itu dibimbangi diputuskan bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan di bawah pemerintahan BN.
"Kita melihat keputusan ini dibuat bagi membolehkan Zambry kembali menjadi Menteri Besar dan seterusnya mereka akan memohon untuk dibubarkan Dun.
"Jika Dun dibubarkan, BN akan menjadi kerajaan sementara dalam tempoh tersebut dan inilah yang dimahukan oleh mereka supaya sebarang keputusan atau peruntukan dapat dikawal oleh mereka," tegas Mahfuz.
Beliau juga menegaskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu tidak menyelesaikan kemelut di Perak sebaliknya menambahkan kerumitan dan kebuntuan serta keresahan rakyat Perak.
Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali tegas Mahfuz sepatutnya mempertimbangkan situasi persekitaran dan tidak hanya membuat keputusan berdasarkan undang-undang semata-mata.
"Hakim sepatutnya mengambil kira keresahan rakyat Perak yang mengharapkan penyelesaian total dapat segera dilaksanakan," tegas beliau.
Justeru, PAS tegas Mahfuz mendesak jika pembubaran Dun dilakukan dalam tmpoh terdekat, kerajaan sementara yang mentadbir Perak dalam tempoh tersebut hendaklah diwakili oleh Pakatan Rakyat dan BN.
Hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.
Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.
Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.
Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengah hari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.
Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.
Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.
Hakim Dato' Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.
Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun.
Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan Kerajaan Pusat. - mns
Rayuan Zambry : PR Perak bermesyuarat bincang langkah seterusnya
Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | May 12, 09 | 5:03:16 pm MYT
IPOH, 12 Mei (Hrkh) - Pakatan Rakyat Perak kini sedang bermesyuarat bagi membincangkan langkah seterusnya berikutan tindakan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pagi tadi.
Kini pimpinan Pakatan Rakyat Perak sedang mendengar taklimat dan perkembangan daripada peguam antaranya, Hanipa Maiden yang terlibat secara langsung dalam perbicaraan.
Antara yang hadir dalam mesyuarat di Badan Perhubungan PAS Perak petang ini ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang; Menteri Besar, Dato'Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan saf kepimpinan pakatan yang lain.
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.
Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.
Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.
Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.
Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.
Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. /wann
Bubar DUN - Peluang Sultan Azlan Shah muncul terhormat
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Tue | May 12, 09 | 9:35:38 am MYT
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mengharapkan Sultan Azlan Shah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, bagi membolehkan rakyat negeri itu membuat pilihan secara demokratik selepas Mahkamah Tinggi semalam memberikan kemenangan dari segi undang-undang kepada Pakatan Rakyat.
Katanya, inilah masa yang terbaik bagi institusi Di Raja Perak yang amat dihormati sebelum ini, untuk membuktikan bahawa mereka adil dan saksama.
"Institusi ini tidak harus dilihat bertindak memihak kepada satu golongan tetapi bertindak berteraskan peraturan dan undang-undang. Prinsip-prinsip demokrasi harus dihormati.
"Peluang institusi Diraja Perak keluar dari kemelut ini dengan tahap imej yang lebih tinggi adalah terbuka luas. Bubarkan saja DUN Perak dan biarkan rakyat memutuskan penghakiman mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Husam, bagi PAS dan Pakatan Rakyat, pembubaran Dun tidak semestinya memberikan keuntungan kepada Pakatan Rakyat kerana, rakyat Perak bebas membuat pilihan mereka sendiri.
Katanya, pembubaran Dun merupakan tetap langkah terpuji yang membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat adalah pemain demokrasi yang jujur dan pruden serta berani meletakkan rakyat di tempat teratas.
"Kuasa bukan segala-galanya tetapi prinsip-prinsip utama lebih didahulukan," tegas beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
Naib Presiden PAS itu juga menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengembalikan jawatan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah mengejutkan.
Katanya, keberanian Hakim Abdul Aziz Rahim membawa Mahkamah Malaysia keluar sebagai institusi yang bebas dan berintegriti adalah amat mengejutkan.
"Beliau adalah seorang hero baru," kata Husam.
Husam juga menempelak Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana beliau sepatutnya tidak lagi menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan krisis Perak yang beliau sendiri mulakan.
Tegasnya, walaupun keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu, tetapi, rakyat tetap beranggapan bahawa pemecatan Nizar adalah tidak sah, dan ianya telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,
Menurutnya, Najib harus berani menerima realiti dan berani menyelesaikan kemelut ini mengikut saluran politik adalah langkah yang paling baik.
"Jika rayuan itu nanti masih memihak kepada Nizar, Najib dan Umno akan menanggung malu yang lebih besar. Jika keputusan itu atas apa sebab pun memihak kepada BN, rasa euphoria rakyat atas bebasnya kehakiman negara ini kembali menjadi negatif.
"Jika Najib berani bertindak bersama Pakatan Rakyat untuk memujuk Sultan Perak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, BN mendapat dua markah iaitu bebasnya kehakiman di bawah pentadbiran Najib dan yang kedua, kerana berani mencari jalan penyelesaian kepada krisis atas prinsip kembalikan kuasa penentuan kepada rakyat," ujar Husam.
Katanya, Umno dan BN mungkin tewas dalam pilihanraya itu nanti, tetapi maruah politik dan integriti BN akan dapat dihindarkan dari terus koyak.
"Ia telah pun koyak dengan parah sebelum ini. Umno-BN mendapat kuasa di Perak, tetapi ia meranapkan imej BN di seluruh negara, bahkan dunia. Harganya terlalu mahal.
"Samada Najib ingin terus bermandi dalam lumpur politik yang tidak mungkin dibersihkan selagi ia menggonggong kuasa di Perak melalui jalan di luar batas undang-undang dan amalan demokrasi yang terpuji atau kembali ke pangkal jalan," tegasnya.
Umno 'bermatian' halang pilihan raya kecil di Perak
Lanjusoh
Tue | May 12, 09 | 2:59:15 pm MYT
KOTA BHARU, 12 Mei (Hrkh) - Kini hanya tinggal satu pilihan, bubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi menyelesaikan segala kemelut politik di Perak.
Tanpa tindakan tersebut rakyat negeri terbabit akan terus menjadi mangsa.
Ketidakstabilan politik boleh menjejaskan segala-galanya.
Ini kerana hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Sedangkan Hakim Mahkamah Tinggi semalam mengisytiharkan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pembubaran Dun sahaja satu-satunya jalan keluar yang ada di Perak sekarang.
"Kejayaan Zambry menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam menambah lagi kerumitan isu tersebut.
"Polemik ini tidak ada kesudahannya dan sudah pasti kehidupan harian rakyat akan terjejas," katanya di sini.
Hari ini Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam selepas mendengar permohonan Zambry.
Peguam Zambry berhujah penangguhan keputusan mahkamah semalam bertujuan menghalang Nizar mendapatkan perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dun.
Penangguhan keputusan mahkamah itu turut mendapat sokongan Peguam Negara.
Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, Umno dan BN tidak perlu gusar bagi mendapatkan semula mandat rakyat kerana mereka sering kali mendakwa parti itu kuat di bawah Perdana Menteri baru.
"Umno tidak perlu gusar untuk menghadapi pilihan raya semula. Namun tindakan Zambry mengemukakan rayuan segera secara jelas menggambarkan mereka begitu takut berdepan gelombang rakyat," katanya.
Menurutnya Umno kelihatan bekerja bermati-matian bagi menghalang pilihan raya diadakan sehingga terpaksa mendapat bantuan Mahkamah Rayuan.
Beliau juga berkata, sekiranya pilihan raya diadakan lagi di Perak, Dewan Pemuda PAS Kelantan bersedia menghantar lebih ramai lagi petugas membantu jentera kempen. - mj
Mahkamah Rayuan tangguh keputusan Mahkamah Tinggi
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 2:13:16 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.
Menurut laporan penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.
Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.
Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas, demikian lapor Malaysiakini.
Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.
Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.
Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat. - azm
KeADILan Perak buat laporan polis kes hina Speaker
Ekmal Yusof
Tue | May 12, 09 | 1:36:57 pm MYT
SUNGAI SIPUT, 12 Mei (Hrkh) - Parti KeADILan Rakyat Negeri Perak telah membuat laporan polis serentak semalam mengenai penghinaan dan kekerasan yang dilakukan terhadap Speaker V. Sivakumar oleh Umno/BN di pembukaan DUN Perak 7 Mei lalu.
Dalam kejadian tersebut V. Sivakumar yang masih kekal jawatan Speaker Dun Perak yang sah telah diusir dan diheret keluar oleh pihak Umno/BN yang tiada memakai lencana pengenalan diri ketika Sidang Dewan Negeri Perak sedang berjalan.
Malah dilaporkan juga tragedi ditanggalkan jubah pakaian rasmi Speaker secara paksa oleh anggota polis yang dikatakan tiada pakaian seragam dan tanpa memakai tanda pengenalan diri.
Semalam tepat jam 3.30 petang pimpinan PKR yang diketuai oleh Timbalannya Haji Ahmad Zainal telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut di Balai Polis di sini.
Menurut Ketua KeADILan di sini Haji Mohd Aun Mansor partinya juga akan membuat aduan polis mengenai pemecatan tugas Ketua Kampung dan AJKKK Kerajaan Pakatan Rakyat oleh Umno/BN baru-baru ini. - mns_
Penghargaan kepada ibu tidak harus dibuat secara bermusim
Roy Rasul
Tue | May 12, 09 | 1:25:03 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Penghargaan terhadap segala pengorbanan ibu kepada anak-anaknya yang tidak ternilai tidak harus bersifat 'bermusim' atau hanya sekadar satu hari, ujar Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh.
Dedikasi agung sepanjang masa katanya, perlu diberikan kepada seluruh kaum ibu sejajar dengan pengorbanan melahirkan dan mendidik generasi sehingga ke hari ini,
Katanya, wanita yang bergelar seorang ibu berhak mendapat penghormatan, pengiktirafan, penghargaan dan ihsan atau kebaikan daripada anak-anak.
Malah katanya, Allah S.W.T menyuruh manusia mengabdikan diri kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mensyukuri Allah.
Dengan itu katanya, tidak selayaknya perit seorang ibu hanya dikenang dengan memberi anugerah dan penghormatan pada satu hari dalam setahun.
"Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendapat para ibu sewajarnya sentiasa didekati dengan kasih sayang, perhatian, penghormatan oleh anak-anak dan keluarga.
"Biarlah dekat seorang ibu dengan perhatian, rahmat dan kasih sayang Allah atas ketulusan budi dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi," katanya dalam satu perutusan hari ibu baru-baru ini.
Katanya, seorang ibu tidak mengharapkan kepada balasan atas pengorbanan mereka tetapi kerana ibu memiliki sekeping hati yang diselaputi rasa kasih sayang sehingga segala kesukaran dan kesulitan semasa mengandung sehingga anak-anak membesar tidak membekas di sanubarinya.
Ujarnya, institusi keluarga yang berjaya adalah keluarga yang di dalamnya wujud 'rasa mahabbah' atau kasih sayang yang didasari oleh pemupukan dan penerapan nilai-nilai Islam yang murni.
Asas penting pembinaan keluarga ujarnya, untuk membajai 'fahaman Islam' sehingga nukleus kecil dalam pembentukan keluarga akan berkembang kepada proses pembentukan masyarakat yang harmoni.
Oleh yang demikian katanya peranan ibu sebagai 'mahaguru alam' tidak dapat dinafikan. Mahaguru inilah yang memainkan peranan paling awal untuk mendidik generasi.
"Wanita, tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya bisa menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang," katanya.
Sebagai pendidik alam ini katanya, kaum ibu perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan melalui proses tarbiyah supaya mampu memberi didikan yang seimbang kepada anak-anak dalam semua aspek kehidupan.
Didikan tersebut katanya, dalam membentuk aspek pembinaan material semata-mata, tetapi bermula dari membentuk jati diri seorang individu dengan akhlak yang mulia.
Katanya, pengurniaan taraf seorang ibu banyak tercatit dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w..
"Berbuat baiklah kepada ibu kita..ingati dengan segar terhadap segala budi baik mereka semasa mengandungkan kita selama sembilan bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, malah mendidik kita...temanilah ibu dikala senang dan susah, hargailah mereka, sayangilah mereka, doakanlah ibu sentiasa dilindungi dan dipermudahkan dalam segala perkara," katanya. - mns
Mangsa tsunami tuntut janji Tun Abdullah
Mohd Sabri Said
Tue | May 12, 09 | 1:17:42 pm MYT
KUALA MUDA, KEDAH, 12 Mei (Hrkh) - Janji bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalanya waktu itu, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk membina rumah tsunami dengan peruntukan Kerajaan Pusat masih belum tertunai sepenuhnya di Permatang Katong, Kuala Muda, Kedah.
Pembinaan 120 buah rumah mangsa tsunami yang ada sekarang tidak memadai kerana terdapat ramai lagi mangsa yang dijanjikan masih terpinga-pinga kerana mereka juga berhak mendapatkan rumah di situ memandangkan 61 relong telah di gezet untuk pembangunan rumah tsunami fasa kedua.
Wakil penduduk, Ismail Othman memaklumkan, sepatutnya Kerajaan mengutamakan pembinaan perumahan di Permatang Katong bukan di Kuala Muda, Seberang Perai.
Ini kerana, di kawasan berkenaan hanya sebahagian kecil sahaja yang terlibat dengan tsunami berbanding di Kuala Muda, Kedah.
"Penduduk tak puas hati dengan janji Kerajaan yang mahu membantu mangsa tsunami di Kuala Muda, Kedah. Yang dibina di Kuala Muda, Seberang Perai walhal mereka bukan mangsa teruk," ujarnya mengulas laporan akhbar 53 keluarga mangsa akhir tsunami di Kuala Muda Seberang Perai terima kunci rumah daripada Tun Abdullah di Dewan Mellinium baru-baru ini.
Katanya, pemberian itu mendukacitakan 300 keluarga lagi yang perlu dipindahkan di sepanjang Kampung Tepi Sungai sehingga ke Pulau Sayak.
Pengambilan tanah di Permatang Katong telah dibayar kepada pemilik tanah asal tetapi sebahagian besar masih kosong.
Bukti jelas kawasan ini dilanda tsunami pada 26 Disember 2004 itu ialah pembinaan ' Memorial Tsunami' di Kampung Kepala Jalan manakala di Kuala Muda, Seberang Perai tiada tanda-tanda teruk kejadian.
"Kenapa peruntukan yang sepatutnya dihantar ke Permatang Katong tidak ditunaikan. Kita bimbang Tun Abdullah mahu mengambil hati pengundinya di Penaga," katanya. - mns
Ceramah 'Krisis Perak' di Stadium Melawati, 16 Mei
Saidah Hairan
Tue | May 12, 09 | 1:09:24 pm MYT
SHAH ALAM, 12 Mei (Hrkh) - Jabatan Pilihan raya PAS Negeri Selangor akan mengadakan ceraman perdana 'Krisis Perak, Demokrasi Tercabar' di Stadium Melawati pada Sabtu 16 Mei ini.
Ceramah besar-besaran itu bertujuan memberi penerangan mutakhir berhubung situasi di Perak terutama selepas rampasan kuasa di Perak.
Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhamad Nizar Jamaluddin, Speaker Sivakumar merupakan penceramah istemewa pada malam itu. Turut berceramah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Gobala Khrishnan (KeADILan) dan Ronnie Liu (DAP).
JPN Selangor mengharapkan kupasan krisis Perak ini mampu memberi iktibar serta pengajaran kepada seluruh pendukong Pakatan Rakyat untuk tidak alpa dengan setiap permainan musuh BN, serta diberi kekuatan mental dan strategi yang amat kukuh di dalam memerintah 5 negeri pada masa ini.
Sebarang pertanyaan untuk tempahan gerai pada malam itu hubungi Firdaus 019-3885792 atau Khairul 012-6519014. - mns
Maruah Presiden Umno tergadai di Perak
Zuharman MN
Tue | May 12, 09 | 11:55:15 am MYT
KOTA BHARU, 12 Mei (Hrkh) - "Mana hendak letak maruah Umno dan presidennya sekarang," kata seorang pakcik sambil minum pagi di sebuah kedai roti canai di pinggir bandar pagi tadi.
Tiada topik hangat melainkan isu Dato' Seri Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco kerajaan kudeta terpaksa meninggalkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri, selepas hanya lebih tiga bulan bergelar Menteri Besar.
"Segalanya bermula dengan rampasan kuasa secara haram 5 Febuari lalu. Zambry hanya menjadi kambing hitam kepada Dato' Seri Najib Razak yang menjadi dalang dalam isu di Perak," kata pakcik tadi.
Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Konflik politik di Perak dibawa ke mahkamah selepas Umno yang diketuai Najib merampas kuasa pada 5 Febuari lalu, selepas berjaya mempengaruhi tiga bekas Adun Pakatan Rakyat.
Mengulas isu yang sama, bekas Naib Ketua Umno Kubang Kerian, Dato' Mohamad Ghani berkata, Umno Perak telah dinasihati barisan peguam secara salah sehingga sanggup merampas kuasa rakyat di Perak.
"Penasihat yang mempunyai sifat bodek atau suka mengampu tidak layak untuk duduk kerusi itu kerana ia boleh menyebabkan huru hara seperti berlaku di Perak sekarang.
"Umno perlu terima hakikat keputusan mahkamah memihak kepada Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah," katanya di sini tanpa mendedahkan siapa peguam Umno terbabit.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia berkata, Umno perlu melantik penasihat yang jujur dan berkemampuan menasihat perkara sebenar dan bukannya menangguk di air keruh.
Malam tadi Menteri Besar Perak menggantungkan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang, Dato' Ahmad Kamal Shahid.
Tindakan tersebut adalah antara enam langkah segera yang diumumkan Nizar sebaik sahaja Mahkamah Tinggi memutuskan yang beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah. - mj _
Aduan salahlaku SUK Perak kepada KSN
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 10:03:32 am MYT
SURAT TERBUKA KEPADA TAN SRI KETUA SETIAUSAHA NEGARA MALAYSIA
Semoga Tan Sri dalam peliharaan Allah dan sihat walafiat bagi memimpin perkhidmatan awam Negara Malaysia.
Tan Sri rajin-rajinlah turun padang melawat Negeri Perak kerana Pegawai-Pegawai Kerajaan Perak sekarang berada dalam keadaan serba salah dan menghadapi tekanan kerja yang sengaja diada-adakan.
Professionalisme meraka tercabar, kesetiaan mereka dipersoal dan semangat kerja mereka rendah. Puncanya hanya kerana mereka berketuakan seorang Pegawai Kerajaan yang bernama Abdul Rahman bin Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri.
Tan Sri timbang-timbangkan aduan-aduan berikut demi memulihkan kembali semangat kerja berpasukan anaknanak buah Tan Sri di Perak. Semua aduan-aduan ini adalah dari sumber-sumber Pegawai Kerajaan sendiri.
i) Di awal-awal pemerintahan Pakatan Rakyat beliau dilaporkan memberitahu secara tertutup kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan Kanan supaya hanya memberikan kerjasama yang minima kepada Kerajaan Negeri Perak ketika itu.
ii) Dato� Seri Nizar, MB Perak di bawah Pakatan Rakyat sering mengeluh tentang agenda licik Abdul Rahman Hashim yang enggan memberikan kerjasama yang baik kepada Menteri Besar.
iii) Pernah dikesan Abdul Rahman Hashim menghadiri program bersama pimpinan Umno di bangunan Umno Perak walaupun pada masa yang sama Menteri Besar berada bersama DYTM Raja Muda dalam acara rasmi Kerajaan Negeri. Hebatkan anak buah Tan Sri ini.
iv) Tindakan biadap beliau kepada Y.A.B Dato� Seri Nizar, Exco-Exco Kerajaan dan wartawan pada pagi 6 Februari 2009 walaupun secara sah mereka masih lagi memegang jawatan kerana MB baru masih belum mengangkat sumpah jawatan. Peristiwa ini dirakam oleh media-media tempatan dan antarabangsa.
v) Tindakan beliau yang menganaktirikan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri (PTN) dan memberikan layanan emas kepada Pegawai-Pegawai tadbir diplomatik (PTD). PTN khususnya di majlis-majlis Kerajaan tempatan dan Jabatan Agama Islam sangat sukar untuk naik pangkat walaupun mereka sangat layak. Jika ada jawatan-jawatan baru yang diwujudkan cepat-cepat di isi dengan PTD dengan cara-cara teknikal memanipulasi gred dan klasifikasikan jawatan. Kumpulan PTN di Negeri Perak mempunyai moral kerja yang sangat rendah tetapi gigih membangunkan Negeri Perak.
vi) Dalam menangani kemelut politik Perak Abdul Rahman Hashim adalah perancang politik yang mengenepikan professionalisme beliau. Benar Pegawai Kerajaan mesti patuh kepada 'government of the day' tetapi yang beliau lakukan adalah melampau :
a) Merelakan Setiausaha Dewan DUN Perak hadir dibangunan Umno Perak dalam mesyuarat konspirasi menjatuhkan Speaker DUN Perak. Mesyuarat tersebut adalah dihadiri oleh ahli-ahli politik BN dan bukan mesyuarat berkaitan pentadbiran.
b) Merancang supaya semasa sidang DUN 7 Mei 2009 dimasukkan ramai Pegawai-Pegawai Polis Cawangan Khas sebagai tetamu yang menyamar. Dapat dikesan Pegawai-Pegawai Khas tersebut membawa senjata api ke dalam bilik persidangan. Siapa yang nak ditembak?
c) Mengarahkan kerja-kerja jahat supaya sistem pembesar suara dalam DUN dimanipulasikan. Pembesar suara Speaker tidak berfungsi. Satu penghinaan kepada Dewan yang Mulia.
d) Sangat cuai tentang keselamatan Dewan persidangan sehinggakan dapat diceroboh masuk oleh bomoh kurafat pada 30 April 2009. Dewan tersebut adalah dibawah tanggungjawab beliau sepenuhnya.
vii) Abdul Rahman Hashim juga pernah terlibat dalam pembaziran melampau kerana memberi cenderamata yang sangat mahal (RM8,000-10,000) kepada beberapa individu tertentu. Bertentangan dengan dasar jimat cermat Kerajaan.
Banyak lagi sikap dan tindakan beliau yang hanya dapat dibongkar jika Tan Sri berusaha turun padang dan minta Pegawai-Pegawai di Perak beri maklumat secara telus. Cuma pastikan mereka tidak dianiaya akibat keberanian mereka memberi maklumat - demi keadilan dan kebaikan bersama.
Yang penting bukan individu tapi perkhidmatan awam. Ahli perkhidmatan awam mesti bebas daripada politik parti kerana gaji mereka rakyat yang membayar. Semoga Perak akan maju dengan professionalisma Pegawai-Pegawai yang bertugas kerana Allah. Manusia adalah hamba Allah semata-mata dan bukan hamba manusia yang lain.
Semoga Allah memberkati hidup kita bersama.
Daripada,
Dr Khairuddin Bin Dato' Abd Malik Hasibuan
Pengerusi JAMAIY (Jaringan Muafakat NGO Islam Perak). - mr_
Nizar masuk pejabat MB pagi ini menuju Istana Iskandariah
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 8:56:57 am MYT
IPOH, 12 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama lapan exconya memasuki bangunan SUK jam 7.31 pagi tadi selepas mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.
Turut bersama rombongan itu ialah V. Sivakumar yang Khamis lalu disingkirkan oleh Barisan Nasional (BN) daripada kedudukan Speaker DUN.
Difahamkan seorang pegawai pejabat SUK menghalang rombongan Nizar dengan meminta makluman pelaksanaan keputusan mahkamah semalam. Untuk itu hanya Nizar dan lapan Exconya dibenarkan masuk ke bangunan SUK.
Kira-kira jam 7.45 pagi, Nizar dilaporkan meninggalkan bangunan SUK menuju ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar dan mengemukakan surat minta perkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang dihantar oleh pembantu Nizar sendiri kepada pihak istana. - azm _
Nizar gantung tugas SU, Penasihat Undang-undang
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 9:07:43 am MYT
IPOH, 12 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim dan Setiausaha Kewangan Negeri, Dato' Jamalludin Al Amini Ahmad berkuatkuasa serta-merta.
Tugas mereka itu akan dipangku oleh timbalan masing-masing dan ia merupakan beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco pimpinan beliau di ibu pejabat PAS negeri, tengah malam tadi, demikian menurut sebuah akhbar online.
Petang semalam, Nizar turut menggantung tugas Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Ahmad Kamal Md Shahid berkuat kuasa serta merta sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Pada pagi esok, Mohammad Nizar berkata, beliau akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Sultan Azlan Shah.
"Bukan menghadap, kami hanya mengemukakan permohonann untuk menghadap," katanya kira-kira pukul 12.30 malam tadi.
Mohammad Nizar berkata, beliau dan kesemua Exconya akan memulakan tugas seperti biasa pada pukul 7.15 pagi ini.- azm
Nizar MB Perak, permohonan tangguh keputusan oleh Zambry ditolak
Harakahdaily | Foto Nasir Sudin
Mon | May 11, 09 | 4:10:57 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah.
Keputusan yang dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh seluruh rakyat Malaysia diumumkan Hakim Abdul Aziz Abd Rahim.
Menurut Abdul Aziz, Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri dan beliau merujuk keputusan mahkamah terhadap kes Dato' Stephen Kalong Ningkan.
Sementara itu permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan tersebut bagi mengemukakan rayuan ditolak mahkamah.
Hakim Abdul Aziz dalam penghakiman yang dibacakan mulai jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 2.50 petang tadi berpendapat, Sultan Perak sepatutnya menitahkan Dewan Undangan Negeri Perak bersidang bagi mengemukakan undi tidak percaya kepada Nizar selaku Menteri Besar.
Sambil merujuk kepada kes duluan (precedent) membabitkan Ketua Menteri Sarawak, Dato' Stephen Kalong Ningkan pada 1966, beliau berpendapat Menteri Besar baru tidak wajar dilantik selagi Menteri Besar sedia ada belum meletakkan jawatan.
Beliau juga berpuashati bahawa Nizar tidak pernah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah seperti didakwa para peguam Zambry.
Para peguam Nizar dalam penghujahan mereka sebelum ini menegaskan bahawa jika Nizar diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah, beliau akan mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Pakatan Rakyat dan BN kini masing-masing mempunyai 28 kerusi di Dun Perak.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, PAS, DAP dan KeADILan yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat memenangi 31 daripada 59 kerusi Dun Perak.
Bagaimanapun tiga Adun Pakatan Rakyat pada 4 Februari lalu telah mengisytiharkan diri sebagai calon Bebas dan menyokong BN selepas hilang secara misteri selama lima hari.
Nizar ketika ditemui pemberita berkata akan segera memohon menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan membubarkan Dun Perak dan membuka laluan kepada pilihan raya negeri bagi mendapatkan mandat baru rakyat.
Nizar memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.
Beliau dilantik Menteri Besar pada 17 Mac 2008.
Bagaimanapun ekoran tindakan khianat tiga Adun Pakatan Rakyat itu, BN yang mendakwa mendapat majoriti di Dun Perak telah menghadap Sultan bagi membentuk kerajaan negeri.
Tidak memperkenankan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun, Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.
Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dun dan beliau juga tidak meletak jawatan.
Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.
Nizar diwakili Sulaiman Abdullah, Mohamed Hanipa Maidin dan beberapa peguam kanan.- tajdid _
Keputusan Mahkamah Tinggi perkasakan demokrasi
Tarmizi Mohd Jam
Tue | May 12, 09 | 3:19:58 am MYT
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menghukumkan bahawa Dato Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar yang sah memperkasa demokrasi di Perak khususnya dan di Malaysia umumnya.
Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari malam ini ketika diminta mengulas keputusan Hakim Dato Abdul Aziz Abdul Rahim petang semalam.
Aziz mengakui yang beliau sendiri terperanjat dengan keputusan tersebut. "Kita harap keputusan ini memberi petanda bahawa ada harapan untuk kemunculan kehakiman yang bebas. Dan mudah-mudah ia fajar sadiq dan bukan fajar kazib," ujar pakar perlembagaan itu lagi. Beliau bagaimanapun mengakui ada banyak kesan politik yang belum tentu semuanya positif.
Tambahnya, "kebebasan kehakiman adalah sesuatu yang turun naik dan pasang surut, hatta di negara-negara maju."
Meskipun begitu keputusan mahkamah tersebut "tetap memperkasa demokrasi kerana ia akan menjadi rujukan penting di seluruh dunia Komanwel dan saya tidak nampak bagaimana mahkamah atasan - kalau BN benar-benar membuat rayuan - boleh mengubah keputusan tersebut."
Lagipun, tambahnya, prinsip yang digunakan oleh mahkamah sebenarnya telah pun wujud lama. Ia juga, kata Aziz, lebih selaras dengan semangat dan peruntukan perlembagaan.
"Keputusan itu sebenarnya adalah nadi kepada kerajaan kabinet yang nyawanya ialah sokongan majoriti dalam dewan," tegasnya. Beliau berkata keputusan mahkamah itu selaras dengan kedudukan kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen atau Westminster.
Aziz berkata apa yang menarik ialah meskipun kes itu bukan kes saman ke atas sultan ia bagaimanapun sebenarnya menyentuh kuasa sultan. "Dari sudut ini ia adalah kes yang terpenting di seluruh Komanwel dan ia menjadi isyarat bahawa istana harus berhati-hati dalam melaksanakan apa yang umumnya dilihat sebagai prerogatif itu," kata Aziz.
Dua kes sebelum ini, yakni Stephen Kalong Ningkan (1966) dan Tun Datu Mustapha (1986) menangani kuasa perlantikan dan pemecatan oleh Yang diPertua Negeri dan bukan sultan. "Kuasa sultan ini bagaimanapun sama dengan kuasa Yang diPertua Negeri dan Yang diPertuan Agong di peringkat persekutuan," jelasnya.
Ditanya apakah kes itu akan membakar semangat 31 ADUN Barisan dalam untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Nizar beliau berkata, "Kes ini menyatakan Nizar masih menteri besar dan ini memberi beliau alasan untuk memohon pembubaran. Dan kita harus ingat tiga ADUN itu masih digantung dan kedudukan speaker baru - meskipun tidak disentuh oleh mahkamah - tidak sah kerana sidang Khamis lalu dipanggil dan dijalankan dengan mengetepikan speaker yang sah.
Penggulingan Sivakumar tidak betul. Sekiranya kita tidak mengatakan begitu pun selama tiga bulan lebih ini kita lihat begitu banyak isu yang kabur yang penyelesaian terbaiknya ialah dengan meminta rakyat membuat keputusan melalui pembubaran."
Aziz berkata keputusan mahkamah tinggi ini memberi kesempatan baik untuk semua pihak membetulkan apa yang silap dan terlanjur. "Selama ini memang kita mengatakan bahawa sultan masih boleh membubar dewan tetapi ia tidak berlaku dan hari ini mahkamah memberi isyarat tersebut."
Ditanya apakah tidak memadai jika Nizar kembali bertugas seperti biasa Aziz berkata: "Dalam sistem demokrasi jawatan dan kuasa sebegitu perlu mandat. Ini hak rakyat; istana atau mahkamah sekadar membantu jika berlaku kebuntuan. Takkanlah menteri besar hendak bergantung kepada istana atau mahkamah; tentulah ganjil dan tidak demokratik."
Ditanya mengenai kedudukan kuasa membubar yang merupakan kuasa sultan Aziz berkata: "Ia memang kuasa sultan tetapi ia tidak bermaksud dijadikan kuasa mutlak atau kuasa milik peribadi. Kalau kita baca Laporan Suruhanjaya Reid dan amalan di seluruh Komanwel ia jelas untuk membantu; dan bukan membantut demokrasi." - TMJ
Kemenangan Nizar hadiah sempena hari ibu
Saidah Hairan
Mon | May 11, 09 | 10:12:17 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersyukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Beliau yang berada di Mahkamah Tinggi Jalan Duta itu sejak awal pagi berkata, tidak sia-sia segala pengorbanan yang dilakukan oleh ahli dan pimpinan PAS bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Nizar.
Keputusan itu juga katanya, sebagai satu pengajaran kepada Umno-BN yang melakukan perbuatan tidak sopan dan zalim terutama dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) pada 7 Mei lalu.
Menurut beliau, Umno-BN telah menggunakan kuasa dan kekuatan pihak polis untuk menghalang Speaker DUN yang sah serta Adun Pakatan Rakyat bersidang.
"Hari ini Allah telah memberi kemenangan kepada kita dan ini juga hadiah kepada ibu-ibu sempena sambutan hari Ibu," katanya yang dihubungi Harakahdaily.
Tambah beliau, tidak sia-sia pengorbanan kaum wanita dan ahli Parlimen serta Adun wanita yang ditangkap oleh pihak polis ketika berada berhampiran dengan bangunan SUK pada 7 Mei lalu.
Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan perkara itu selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan dan tiada sebarang usul undi tidak percaya yang dilakukan terhadapnya dalam sidang DUN.
Mahkamah telah menolak permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai MB Perak. Bagaimanapun, Zambry boleh mengemukakan rayuan rasmi. - mns
Kemenangan Nizar, signal rakyat tolak rancangan jahat Najib
Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Nasir Sudin
Mon | May 11, 09 | 7:17:24 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah keputusan yang menyebelahi rakyat.
Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kepada Harakh semasa mengulas kemenangan Nizar.Beliau turut bersama di mahkamah ketika keputusan kes itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi pada 11 Mei.
Nizar kembali ke jawatannya secara sah dan diputuskan mahkamah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang MB hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.
Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.
"Ini adalah satu kemenangan rakyat, dan ini juga adalah signal kepada Najib yang kita ketahui menjadi dalang dibelakang rampasana kuasa di perak bahawa rakyat mahukan perlembagaan tertegak," ujar Mahfuz menambah kenyataanya.
Menurut Mahfuz, kemenangan ini memberi gambaran bahawa apa sahaja yang dilakukan Najib dan Menteri Besar BN yang haram, Zambru Abdul Kadir ialah bertentangan kepada perlembagaan dan Undang Tubuh kerajaan Perak.
Dengan keputusan ini juga, menjawab segala fitnah yang dilontarkan BN kepada Pakatan Rakyat, katanya.
Malah dengan kemenangan ini nyata apa yang dilakukan Najib dan Zambry sebelum ini hanyalah mempermainkan undang tubuh kerajaan negeri selain mempersenda Sultan Perak.
Justeru Mahfuz menyeru Najib dan Zambry memohon maaf kepada rakyat Perak dan Pakatan Rakyat atas fitnah besar yang dilakukan ini hingga menyebabkan Perak 'kucar-kacir' selama tiga bulan.
"Ini satu kesalahan dan aib yang besar, malah apa yang berlaku dalam sidang dun pada 7 Mei lalu juga berpunca daripada rampasan kuasa Februari lalu," katanya.
Ahli dan rakyat diseru bersabar
Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar pula mengucapkan syukur ke atas kemenangan Nizar itu.
Kemenangan itu katanya adalah kemenangan perjuangan rakyat yang mahukan perlembagaan dihormati selain signal jelas kepada BN bahawa apa yang mereka lakukan sebelum ini bertentangan dengan undang-undang.
Beliau juga menyeru ahli Pakatan Rakyat di Perak khasnya bertenang sementara ini dan tidak melakukan apa-apa tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
Ahli juga diminta agar bersabar dan hanya bertindak dengan arahan dan perancangan teliti pimpinan buat sementara waktu ini.
Dalam penghakiman, permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.
Mengulas kemenangannya, Nizar berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.
Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.
Mohamad Nizar, Adun Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar.
Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:
(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak;
(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan
(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.
"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.
"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu.
Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang.
Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri ituSelepas Zambry tersingkir, bubar Dun langkah terbaik
Mohd Nor Yahya
Mon | May 11, 09 | 6:55:24 pm MYT
KOTA BHARU, 11 Mei (Hrkh) - Kemelut politik di Perak hanya akan berakhir apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan.
Lebih-lebih lagi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengembalikan jawatan Menteri Besar Perak kepada Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan menyingkirkan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir selepas hanya berkuasa tiga bulan.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, rakyat perlu diberi hak membuat keputusan memilih kerajaan baru setelah kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti awal Febuari lalu.
"Saya akan menghantar surat secepat mungkin kepada Pemangku Sultan Perak, Dr Raja Nazrin Shah supaya mengambil keputusan sebaik mungkin dengan membubarkan Dun Perak," katanya selepas satu majlis di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengumumkan Nizar sebagai menteri besar sah Perak biar pun digugurkan jawatan tersebut melalui rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN), awal Februari lalu.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya dalam persidangan Dun seperti kes Stephen Kalong Ningkan.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri turut menyokong pendirian pemimpin Hindraf, P Uthayakumr yang enggan berterima kasih kepada kerajaan selepas dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Uthayakumar semalam dilaporkan berkata, beliau tidak akan berterima kasih kepada kerajaan selepas ditahan sejak Disember 2007 kerana tidak melakukan sebarang kesalahan.
Turut dibebaskan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan. Kesemua 13 tahanan dibebaskan.
Husam berkata, setiap rakyat yang ditahan perlu melalui proses siasatan dan bukan menahan tanpa bicara dalam tempoh begitu lama.
"Orang ramai juga sebelum ini digegerkan dengan berita Adun terbabit mahu meletak jawatan kerana kecewa tidak dapat berkhidmat kepada rakyat di kawasan diwakilinya.
"Mungkin juga sebagai salah satu punca pembebasan dilakukan kerajaan BN sekarang," katanya.
Bagaimanapun beliau kecewa kerana masih ramai lagi ditahan kerajaan BN sehinggakan ada mangsa ditahan ISA lebihi lapan tahun antaranya Ahmad Shah Shakri.
Menurutnya juga mereka yang dibebas daripada tahanan kali ini hanya kaum India sahaja, sedangkan masih ramai lagi orang Melayu yang ditahankan di bawah ISA.
Ditanyai tindakan pemimpin BN yang mengusung secara paksa Speaker Dun Perak, V Sivakumar keluar dewan Khamis lalu, katanya adegan tersebut amat memalukan dewan yang mulia.
"Pakatan Rakyat akan menyediakan video terhadap kejadian sebenar yang berlaku dalam dewan 7 Mei lalu dan akan diedarkan kepada umum," katanya. - mj
Keputusan kes Nizar pulihkan institusi kehakiman
Lanjusoh
Mon | May 11, 09 | 5:04:47 pm MYT
KOTA BHARU, 11 Mei (Hrkh) - "Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini boleh menampung kecacatan yang berlaku dalam institusi kehakiman di negara ini," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berharap kewibawaan institusi kehakiman yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini kembali pulih semula.
"Saya sangat bersyukur dengan perkembangan yang berlaku hari ini. Sebaik sahaja mendengar berita itu saya telah menunaikan sujud syukur," katanya dihubungi di sini, petang ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Abdul Aziz Abdul Rahim petang tadi mengembalikan semula kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Pada 5 Febuari lalu jawatan Nizar dirampas kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak yang diketuai Dato' Dr Zambry Abdul Kadir selepas tiga bekas Adun Pakatan Rakyat meninggalkan parti lama.
Mahkamah juga memutuskan Zambry dan enam anggota Exconya mengosongkan segera pejabat mereka di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.
Pada penghakiman itu Abdul Aziz berkata, seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) seperti kes Stephen Kalong Ningkan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap dengan keputusan mahkamah tersebut akan menyelesaikan konflik yang berpanjangan di Perak sejak Febuari lalu.
Ditanya kemungkinan Dr Zambry akan memohon membubarkan Dun katanya, ia terpulang kepada pihak terbabit bagi menentukannya bagi memastikan politik di Perak kembali stabil.
"Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Saya juga berharap semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan dalam isu ini.
"Biarlah isu ini berakhir dalam suasana aman dan diterima semua pihak," katanya. - mj
Aminah Abdullah calon Bebas di Dun Penanti
Mohd Sabri Said
Mon | May 11, 09 | 4:35:47 pm MYT
PULAU PINANG, 11 Mei (Hrkh) - Puan Aminah Abdullah 56 tahun merupakan orang pertama mengambil borang pencalonan sebagai calon bebas untuk bertanding di N12 Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti pada 31 Mei ini.
Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Bukit Bendera dari tahun 1999 sehingga 2007, Exco Wanita KeADILan Pusat 2000-2007, Timbalan Ketua Wanita KeADILan Negeri pada tahun 2000-2004 dan seterusnya sebagai Ketua Wanita KeADILan Negeri Pulau Pinang dari 2004-2007 sebelum meletakan jawatan pada 13 Julai 2007 ekoran krisis dalam parti berkenaan.
Aminah yang mempunyai empat orang anak kesemuanya perempuan di temani suaminya, Mohd Rofi Osman yang juga bekas Ketua KeADILan Bahagian Bukit Bendera mengambil borang di Pejabat Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) Pulau Pinang di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) pukul 10.30 pagi tadi.
Semasa ditanya apakah tujuan kemasukan beliau sebagai calon bebas pada pilhan raya kecil itu nanti beliau menegaskan, semata-mata mahu menegakan kebenaran dan keadilan yang sudah mulai hilang daripada parti tersebut.
Menurutnya, tindakan beberapa individu dalam KeADILan sendiri menyebabkan beliau meletakan jawatan dan bergerak atas Badan Bukan Kerajaan (NGO) Gerak yang dipolopori oleh bekas Angkatan Muda KeADILan, Ezzam Mohd Noor.
Walaupun Ezzam tidak lagi mengetuai Gerak namun beliau tetap bersama NGO berkenaan sebagai Penyelaras Gerak Pulau Pinang sehingga hari ini.
"Saya tidak pernah sertai Umno dari dulu sampai sekarang. Perjuangan saya tetap untuk mengembalikan keadilan yang sejati demi memansuhkan perjuangan yang tidak ikhlas," ujarnya.
Menyentuh adakah kemasukan beliau merupakan tajaan Umno atau di dalangi oleh Ezzam beliau berkata, ia tiada kaitan sama sekali semuanya menggunakan wang sendiri. - mns