Friday, May 15, 2009

Umno serba salah di Penanti

Umno serba salah di Penanti
Mohd Sabri Said
Fri | May 15, 09 | 3:14:08 pm MYT

Umno kelihatan masih kabur sama ada untuk bertanding atau tidak di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti yang dikosongkan oleh penyandangnya merangkap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin pertengahan bulan Mac lepas.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak seakan membisu isu di Penanti mungkin memberi sepenuh perhatian pada kemelut di Perak yang telah jadi 'bubur' diperlakukan oleh Najib bersama kuncu-kuncunya setelah mengambil alih sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak mengantikan Tajul Rosli yang melepaskan jawatan ekoran tidak tahan dengan karenah berpuak-puak dalaman Umno.

Penanti merupakan salah satu Dun daripada dua Dun lagi yang ada dalam Parlimen Permatang Pauh yang menjadi milik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila dijulang sebagai Ahli Parlimen baru mengantikan isteri tercinta beliau, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya sejak pilihan raya ke-10 lagi.

Dua Dun lagi ialah Seberang Jaya yang masih menjadi kubu bagi Umno dan Barisan Nasional (BN). Ia di wakil Dato' Arif Shah manakala Dun Permatang Pasir merupakan kerusi PAS ia milik Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Namun begitu, dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang diadakan pada bulan Ogos tahun lalu manyaksikan Dun Seberang Jaya tewas kepada Pakatan Rakyat di mana calon yang fasih berbahasa Cina agak kecewa kerana jentera Umno dan BN tidak membantunya sedangkan peruntukan turun mencurah-curah.

Pernah satu ketika kemarahan beliau hampir mencetuskan kontroversi apabila beliau dikatakan di pancing untuk bersama KeADILan untuk mengisi kekosongan Exco jika berlaku percaturan baru oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kerusi Penanti sering bertukar tangan antara BN dan Pakatan Rakyat. Pada Pilihan raya Umum tahun 1999 Haji Abdul Rahman Kader menang atas tiket KeADILan waktu itu Pakatan Rakyat di kenali dengan nama Barisan Alternatif (BA) iaitu nama yang diabadikan oleh Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Dato' Fadhil Noor.

Pada pilihan raya ke-11 tahun 2004 iaitu tahun peralihan kuasa antara Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahamad Badawi atau lebih dekat dikenali 'Cucu Tok Guru' berjaya merampas kembali kerusi berkenaan kali ini di menangi oleh BN menerusi calonnya, Dato' Abdul Jalil Abdul Majid.

Empat tahun kemudian kerusi itu kembali kepada Pakatan Rakyat apabila tokoh muda iaitu seorang pejuang dan pengemar seni silat, Mohamad Fairus Khairudin memenangi dengan mudah menewaskan penyandangnya yang sekali lagi menjadi pilihan BN.

Tetapi, hari ini tiba-tiba Umno menjadi pengecut bagaikan 'Pondan Mengkuang Road' kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu setiap kali berucap di khalayak ramai dalam siri ceramahnya di awal kenyataan Najib yang tidak mahu meletakkan calon di Penanti kerana dikatakan merugikan wang rakyat dan tenaga.

Hakikatnya, bukan kerana merugikan wang rakyat atau tenaga sebaliknya untuk tidak memalukan lagi Umno dan BN setelah kalah 4-1 di tangan Pakatan Rakyat melalui pilhanraya kecil di Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. BN cuma mempertahankan Batang Ai di Sarawak sahaja.

BN sebenarnya tiada calon lain melainkan meletakkan Ketua Bahagian, Dato' Abdul Jalil tetapi bimbang tewas sekali lagi ekoran sikapnya tidak turun padang semasa menjadi Wakil Rakyat dahulunya.

Hendak memandatkan Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian pun masalah kerana beliau pernah mencemarkan emej pergerakan itu sendiri dengan skandal tidak bermoral.

Cuma dikhabarkan BN akan meletakkan calon muda mungkin seorang peguam namun bimbang di saman oleh veteran Umno sebelum bertapak di arena politik tanahair khususnya di Pulau Pinang. Melihatkan senario ini Umno dan BN masih kabur untuk meletakan calon atau sebaliknya.

Jika Najib bertegas tidak meletakan calon di situ maka Umno akan di perlekehkan selama-lamanya bukan sahaja oleh orang luar Umno malahan dalaman mereka sendiri.

Jika meletakkan calon siapa pula nama yang hendak dipamerkan untuk mengalas amanah parti kerana yang ada dikatakan bermasalah dan tidak berupaya menonjolkan emej terbaik untuk baik pulih kemelut yang dimainkan oleh BN di Perak.

Dengar kata, BN akan mengumumkan nama calon mereka pada minggu depan. Kita tunggu siapakah nama yang hendak dipertaruhkan.

Hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila dikatakan kelibat Khairy Jamaludin akan kelihatan di Guar Perahu tempat yang didakwa kubu kuat Umno dulunya.

Kini, semuanya telah berubah apabila Pakatan Rakyat hanya kalah di saluran satu di situ serta saluran satu di Jentera Daerah Mengundi (JDM) Kuala Mengkuang berbanding 10 JDM lain.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato' Sharizat Jalil telah merayau ke Sungai Lembu dan sekitarnya pagi tagi.

Semua itu dilakukan untuk menilai sendiri sokongan pengundi terutamanya ahli Umno bagaimana reaksi mereka setelah kenyataan Najib yang dianggap dayus bila berhadapan Pakatan Rakyat sekali lagi dalam pilihan raya kecil Penanti sebelum membuat keputusan bertanding atau menyerah bendera putih tanda kalah kepada Pakatan Rakyat. - mks.

Tiada politik wang dalam pemilihan PAS

Tiada politik wang dalam pemilihan PAS
Irwan Muhammad Zain
Fri | May 15, 09 | 3:09:29 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali menafikan berlakunya politik wang dalam pemilihan pimpinan PAS Jun nanti.

Mustafa menegaskan tidak ada sebarang aduan mengenai politik wang diterima.

Isu politik wang, tegas beliau, ditimbulkan hanya bertujuan untuk memecahbelahkan parti.

"Perkara mengenai politik wang ini tidak berbangkit menjelang pemilihan dalam Muktamar PAS Jun nanti.

"Aduan mengenai politik wang juga tidak diterima jadi ia jelas hanya mainan media untuk memecahbelahkan parti," tegas Mustafa.

Mustafa juga meminta ahli-ahli PAS agar tidak terpengaruh dengan mainan media arus perdana yang berniat jahat itu.

Justeru itu, beliau mendesak agar semua pihak berhenti membangkitkan isu politik wang dan tidak membuat kenyataan berdasarkan andaian sahaja.

Isu politik wang menjelang pemilihan pucuk pimpinan PAS menjadi perbualan bila media arus perdana cuba memberikan gambaran PAS turut dijangkiti kegiatan rendah moral itu sama seperti apa yang berlaku dalam Umno. - mks.

VK Linggam sebut Hakim yang benarkan permohonan Zambry

VK Linggam sebut Hakim yang benarkan permohonan Zambry
Azamin Amin
Fri | May 15, 09 | 2:59:02 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Hakim Dato' Ramly Mohd Ali yang membenarkan permohonan rayuan Dato' Zambry Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung status Menteri Besar Perak, pernah disebut dalam rakaman video Hakim VK Lingam yang mencetuskan kontroversi tidak lama dahulu.

Demikian pendedahan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Badrul Hisham tentang Hakim Mahkamah Rayuan itu yang dilantik 15 April lalu iaitu 27 hari sebelum Zambry merayu kes itu di mahkamah.

Mengikut perbualan itu kata Badrul, VK Linggam telah menyebut nama tiga orang yang sepatutnya hendak dilantik sebagai hakim.

"Mereka adalah Dato' Heliliah Mohd Yusof, Dato' Ramly Ali dan Dato Ahmad Maarof. Ketiga-tiga nama ini telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Yang Dipertuan Agung pada 1 February 2002," katanya dalam blog peribadi beliau.

Sepatutnya hakim-hakim yang dinamakan oleh Linggam ini disiasat atau diberhentikan kontrak mereka, bukannya dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan dan tidak sepatutnya mereka mendengar kes yang begitu serius dan besar seperti ini, katanya.

Beliau membangkitkan persoalan betapa mudahnya Ramly ini mendengar kes rayuan dari Zambry sedangkan Nizar terpaksa menunggu lima hari untuk berhadapan dengan tiga panel hakim.

"Kes sebesar ini seharusnya didengari oleh sebuah panel hakim yang tidak kurang dari tiga orang dan mestilah dari kalangan hakim yang tidak terpalit skandal dan mempunyai pengalaman yang lama.

"Kes ini melibatkan pemerintahan sebuah negeri yang mempunyai 1.5 juta jiwa. Ianya adalah kes yang bersangkutan dengan kepentingan awam yang amat besar.

"Malangnya, kes rayuan Zambry ini telah di dengari oleh hakim yang paling "junior" serta hakim yang sama terpalit dalam skandal VK Linggam," katanya. - azm

Speaker yang sah: Sivakumar lwn Ganesan

Speaker yang sah: Sivakumar lwn Ganesan
Harakahdaily
Fri | May 15, 09 | 2:32:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hari ini memfailkan saman terhadap Speaker yang baru dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) R Ganesan kerana tindakan yang dikatakan menghina beliau dan ekoran dikurung semasa sidang DUN Perak minggu lalu.

Beliau memfailkan saman itu pada pukul 11.45 pagi tadi di Mahkamah Tinggi Ipoh dan dalam kenyataan tuntutannya ialah memohon perintah mahkamah terhadap Ganesan, daripada mengganggu beliau menjalankan tugas.

Sivakumar juga memohon gantirugi terhadap tindakan kekerasan terhadapnya sewaktu sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu, di mana beliau diheret keluar dari dewan secara kekerasan oleh anggota polis atas arahan Ganesan.

Sehubungan itu, Sivakumar juga memohon perintah mahkamah terhadap Ganesan untuk menghalangnya daripada terus bertindak secara kekerasan oleh (Ganesan) dan ejen atau pesuruhnya.

Jika kesemua perintah mahkamah itu berjaya diperolehi, maka Pakatan Rakyat akan dapat menghalang sidang khas yang dijangka dipanggil oleh BN untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar. - azm

Nizar 'gentleman', tidak gila kuasa - Speaker

Nizar 'gentleman', tidak gila kuasa - Speaker
Azamin Amin
Fri | May 15, 09 | 2:27:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Tanpa lengah dan berhajat lama untuk mempertahankan kuasa Menteri Besar, Dato' Seri Nizar Jamaluddin dengan segera melafazkan janji untuk mengadap Sultan bagi mencadangkan pembubaran DUN Perak bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan mereka sendiri.

Ini merupakan sikap seorang yang tidak tamakkan kuasa dan berpegang janji kepada rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Speaker Dun V. Sivakumar dalam laman blog peribadinya tentang kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nizar yang sangat dihormatri oleh rakyat.

"Beliau terbukti seorang 'gentleman'. Inilah janji yang diberikan oleh Pakatan Rakyat. Pakatan rakyat mahu kuasa dikembalikan kepada rakyat. Kata telah dikotakan oleh DS Nizar.

"Beliau telah menunjukkan sikap jujur dan berani dalam menghadapi pilihanraya. Beliau berpegang kepada prinsip-prinsip perjuangannya. Beliau percaya kepada kuasa rakyat dan sistem demokrasi yang tulen," katanya.

Ini jelas katanya membuktikan bahawa beliau tidak gilakan kuasa dan sebab itulah rakyat Perak semakin menyayangi dan menghormati beliau kerana mempunyai semua ciri murni untuk menjadi seorang pemimpin yang paling berkarismatik di negara ini. - azm

Kes pertama selsema babi di Malaysia

Kes pertama selsema babi di Malaysia
Harakahdaily
Fri | May 15, 09 | 2:13:05 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa seorang pelajar berusia 21 tahun menjadi mangsa pertama dijangkiti wabak influenza A (H1N1) atau selesema babi di negara ini

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pada 15 Mei 2009," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican yang dipetik daripada laman web.

"Ini merupakan kes yang pertama influenza A (H1N1) dikesan diMalaysia."

Pelajar itu, dipercayai dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau telah diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.

Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarga beliau dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Kementerian juga meminta semua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut supaya menghubungi talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk tindakan susulan.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut: batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, selain kes di atas, Pusat Tindakan dan Persiapan Krisis (CPRC) kementerian menerima 11 lagi notifikasi kes - enam kes dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, dua di hospital Seremban dan masing-masing satu kes di hospital Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan hospital Kota Bharu bagi tujuan siasatan dan pemerhatian. - azm

Anak KP Harakah di ICU, masih kritikal

Anak KP Harakah di ICU, masih kritikal
Azamin Amin
Fri | May 15, 09 | 8:49:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - "Tak banyak berubah. Masih kritikal. Kami mohon semua moga sudi doakan Syafiq sembuh."

Demikian kata Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman kepada Harakahdaily sebentar tadi berhubung keadaan kesihatan anak ketiga beliau, Ahmad Ikmal Syafiq, 13 yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang, dekat sini.

Shafiq, telah dimasukkan ke Hospital Ampang pada malam 11 Mei akibat demam denggi berdarah yang berlarutan selama lebih lima hari dan dipindahkan ke ICU kerana kritikal sejak tiga hari lalu.

"Kami risau keadaannya yang sudah lapan hari tidak mahu makan. Tubuhnya tak bermaya. Doakanlah dia pulih semula," kata Lutfi melalui sistem pesanan ringkas kepada Harakahdaily pagi ini.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh adalah antara yang turut hadir bersama warga kerja Harakah menziarahi anak beliau baru-baru ini.

Harakahdaily meminta jasa baik semua pihak yang turut bersimpati untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan anak Lutfi agar pulih sedia kala. - azm