Monday, May 18, 2009

Najib tiada kekuatan untuk buat perubahan politik

Najib tiada kekuatan untuk buat perubahan politik
Basiron Abdul Wahab
Mon | May 18, 09 | 1:56:16 pm MYT

BERA 18 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan Parti KeAdilan Rakyat Pahang, Ahmad Nizam Hamid mengatakan, Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Razak tidak mempunyai kekuatan politik untuk membuat perubahan politik.

Berucap pada majlis penerangan Pakatan Rakyat dekat sini beliau menegaskan apa yang dilakukan oleh perdana menteri hanyalah sekadar membuat slogan kosong yang tidak bermakna.

Menurutnya, slogan 'Satu Malaysia' tidak membawa apa-apa makna kerana pada ketika sama, amalan kerajaan Pusat masih tidak memperlihatkan suatu perubahan kepada konsep satu Malaysia. Kerajaan Pusat masih terus mengamalkan dasar mendiskriminsikan kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat melalui penubuhan agensi pusat bagi mengganggu pentadbiran kerajaan negeri atau menubuhkan �kerajaan dalam kerajaan�.

Dasar lama diteruskan dan tidak ada tanda-tanda ia akan dihapuskan walaupun perdana menteri telah mengumumkan dasar 'Satu Malaysia'nya.

Ahmad Nizam yang juga Ketua KeADILan bahagian Temerloh dalam ucapan sama turut mendedahkan kepincangan urus tadbir kerajaan Barisan Nasional Pahang yang terbabit dalam skandal pembalakan.

Katanya, isu saman RM63 juta terhadap kerajaan negeri oleh syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn BHd (SGMSB) adalah sebahagian daripada rentetan kes saman membabitkan kerajaan negeri Pahang.

Beliau mendakwa, akan ada lagi saman terhadap kerajaan akan muncul selepas ini dalam jumlah yang jauh lebih besar.

Jelas beliau, isu saman SGMSB berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang baik berlandaskan undang-undang sedia ada. Ini kerana kes berkenaan berpunca daripada salahguna kuasa menteri besar Pahang terdahulu yang telah meluluskan tanah seluas 10,000 ekar kepada Umno Bahagian Pekan.

Katanya, pada tahun 1998, Menteri Besar Pahang serta sebahagian besar barisan anggota exconya adalah ahli Umno. Mereka hadir dan aktif dalam mesyuarat Exco yang meluluskan tanah kepada Umno. Ini merupakan suatu kesalahan tetapi gagal diambil tindakan oleh pihak berkuasa walaupun banyak laporan telah dibuat kepada Suruhan Jaya Pencegah Rasuah (SPRM) dan Polis.

Ahmad Nizam mendakwa, setelah memperolehi tanah berkenaan, Umno tidak menjelaskan bayaran premium berjumlah RM4.8 juta kepada kerajaan negeri menyebabkan kerajaan kehilangan hasil bagi tanah berkenaan sebaliknya tanah tersebut dijual kepada SGMSB dengan harga hanya RM50,000 sahaja.

Tambahnya, sehingga kehari ini Umno masih tidak membayar premium tanah berkenaan kepada kerajaan negeri tetapi pihak berkuasa tidak juga mengambil tindakan kepada Umno.

Beliau mempersoalkan keberkesanan agensi kerajaan menjalankan tugas dengan berkesan apabila membabitkan Umno.

"Bila membabit Umno agensi kerajaan gagal menjalankan penguakuasaan berbeza apabila rakyat biasa gagal membayar cukai kepada pihak berkuasa tempatan umpamanya, segera tindakan diambil," katanya. - mns

Apabila yang haram jadi Menteri Besar

Apabila yang haram jadi Menteri Besar
Dato' Mahfuz Omar
Mon | May 18, 09 | 1:43:43 pm MYT

MINGGU lepas suasana politik negara kita agak aneh. Dalam suasana tegang kerana penyalahgunaan pasukan keselamatan untuk menjaga 'keselamatan' kuasa politik Umno/BN, tiba-tiba 13 tahanan ISA dibebaskan.

Saya amat kesal sekali dengan kejadian pencerobohan oleh satu kumpulan yang dikatakan 'pasukan keselamatan' ke atas Dun Perak, sedangkan di luar pejabat SUK Perak, sejumlah polis sedang menyekat kebebasan rakyat untuk bergerak, berhimpun dan berpendirian politik.

Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah negara kita sidang Dun dicemari oleh penceroboh yang bersenjata. Hal ini tidak akan berlaku sekiranya BN tidak melakukan rampasan kuasa pada Februari 2009 lalu. Rampasan kuasa ini walaupun kelihatan seperti mendapat restu istana, tetapi rakyat telah membuat penghakiman bahawa ia adalah sesuatu yang tidak baik.

Kerana pendirian tegas rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang menolak politik ugut, culik, paksa dan rasuah yang diamalkan oleh Umno/BN, maka ketika bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti, pemimpin BN mempertikaikannya. Bahkan, Najib Razak awal-awal sudah membayangkan kemungkinan BN tidak bertanding. Sebabnya hanya satu... takut kalah lagi.

Dalam keadaan politik ketakutan ini, nampaknya M Manoharan, Adun Kota Alam Shah lebih licik apabila beliau membuat ugutan untuk meletakkan jawatan jika tidak dibebaskan daripada tahanan ISA. Kerana terlalu takutkan pilihan raya kecil, Najib Razak tidak ada pilihan melain membebaskan Manoharan. Duabelas yang lain mendapat �durian runtuh� daripada pembebasan ini. Cerita tentang Penanti dan ISA ini menyinggung hidup saya kerana saya pernah ditahan ISA dan pernah juga bertanding di Parlimen Permatang Pauh yang Dun Penanti terletak di dalamnya.

Kerana sindrom takutkan pilihan raya atau lebih tepat lagi takutkan penghakiman rakyat, BN melakukan taktik kotor untuk mendapatkan kuasa. Dulu mereka merampas kerajaan Perak, baru-baru ini mereka melakukan rampasan jawatan Speaker Dun Perak secara tidak berperlembagaan. Keadaan sudah menjadi kecoh kerana Dun Perak tidak dapat bersidang dengan baik dan sempurna, bahkan dianggap tidak sah.

Umno/BN terpaksa mengadakan sidang tegesa-gesa ini untuk mengelakkan Dun terbubar dengan sendiri kerana sudah hampir enam bulan tidak bersidang. Dan mereka berusaha dengan cara yang jahat untuk menlantik Speaker haram, R Ganesan dengan tujuan membolehkan mereka mengemukakan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Telahan mereka memang tepat kerana selepas sidang tersebut, mahkamah telah mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar yang sah. Maknanya Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar haram!

Kini Umno tidak ada jalan lain kecuali memperalatkan mahkamah untuk menjatuhkan Nizar. Masalahnya kedudukan Speaker Dun masih tidak jelas. Jika Dun brsidang juga, ia akan menimbulkan keadaan politik yang lebih kecoh terutama sekiranya undi tidak percaya dibuat. Bukan soal Speaker, tetapi tentang kedudukan Zambry Abdul Kadir.

Jika BN membuat usul undi tidak percaya kepada Nizar, maka dengan sendirinya mereka memperakui bahawa tindakan mereka merampas kuasa dan melantik Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah dan haram di sisi undang-undang. Kerja buat Zambry sebagai Menteri Besar semenjak 6 Februari 2009 adalah haram juga. Gaji yang diambil oleh Zambry juga haram. Di mana maruah dan air muka Zambry sebagai Menteri Besar haram dalam isu ini. Ia bukan soal pandangan rakyat atau pendirian mahkamah, tetapi pengakuan Umno/BN sendiri yang akan dibuat melalui undi tidak percaya itu.

Undi tidak percaya hanya dibuat kepada Menteri Besar yang sah. Tidak pernah berlaku undi tidak percaya dikemukakan kepada bekas Menteri Besar atau kepada orang lain yang bukan Menteri Besar. Ini bermakna usul undi tidak percaya jika berlaku adalah satu pengiktirafan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sebenar.

Dan sekiranya Nizar berjaya disingkirkan melalui undi tidak percaya, ini bermakna Zambry kena mengangkat sumpah semula kerana sumpah yang lama itu tidak sah hukumnya. Mana mungkin seseorang Menteri Besar itu dikenakan undi tidak percaya selepas Menteri Besar baru dilantik, melainkan dilantik Menteri Besar baru sesudah Menteri Besar lama dijatuhkan. Sumpah yang lama itu tidak laku, tidak sah dan haram. Walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, namun kedudukan Zambry tetap haram.

Sekiranya Zambry memilih untuk menjatuhkan Nizar melalui undi tidak percaya dan dia mengangkat sumpah semula, ini bermakna Zambry memilih untuk memalukan Tuanku Sultan Perak. Baginda sudah tentu berasa malu kerana tindakan baginda memanggil Zambry mengangkat sumpah dahulu dianggap tidak sah, sedangkan baginda adalah bekas Ketua Hakim Negara.

Proses mengenakan undi tidak percaya ini dalam apa keadaan pun akan memalukan Sultan Perak. Pertama, baginda akan tercemar kerana telah melantik Zambry secara haram; kedua, baginda mendapat malu kerana mahkamah telah memutuskan Nizar yang dipecat oleh baginda sebagai Menteri Besar yang sah; dan ketiga baginda akan dimalukan lagi apabila Dun tidak mengiktiraf keputusan baginda dengan membuat usul tidak percaya kepada Nizar.

Dalam apa keadaan pun, baginda akan tercemar kerana permainan politik kotor BN yang didalangi sendiri oleh Najib Razak.

Tuanku Sultan Perak hanya ada satu pilihan untuk membersihkan nama baginda dan memulihkan keyakinan rakyat kepada istana, sekali gus menamatkan krisis politik ini iaitu dengan memperkenankan permohonan membubarkan Dun.

Semua pihak sudah sepakat supaya Dun dibubarkan. Pemimpin MCA dan Gerakan sudah membuat pendirian, Tengku Razaliegh juga telah memberi pandangan. Suhakam dan pengamal undang-undang juga mahukan Dun dibubarkan sebagai jalan keluar. Yang tidak mahu kerana percaya BN akan kalah hanyalah Tun Dr Mahathir.

Pemangku Sultan Perak sudah memberitahu bahawa istana berada di atas politik. Maknanya baginda tidak memihak. Sebagai ketua negeri, sudah tentu baginda mengutamakan rakyat Perak. BN berkata mereka mendahulukan rakyat juga dan inilah masa untuk membuktikannya. Jika Sultan Perak mengikut pendapat Mahathir yang tidak mahu pilihan raya, baginda akan dilihat memihak. Tetapi jika baginda membubarkan Dun semua rakyat akan berpuas hati kerana hak memilihkan kerajaan dikembalikan kepada rakyat, bukannya dengan membeli wakil rakyat.- tajdid

KSN digesa 'ambil balik' SU Perak

KSN digesa 'ambil balik' SU Perak
Faiz Abdullah
Mon | May 18, 09 | 10:24:24 am MYT

SEREMBAN, 18 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya 'mengambil balik' Setiausaha Kerajaan Negeri (SU) Perak iaitu Dato' Abdul Rahman Hashim kerana gagal mengikut peraturan dan tidak bertanggungjawab.

Zulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Mohd Sidek yang mengatakan Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Nizar Jamaluddin tiada kuasa untuk mengantung SKN Perak, Abdul Rahman baru-baru ini.

Menurut Zulkefly, Menteri Besar ibarat seorang Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) dan adalah menjadi peraturan 'standard' setiap SU harus bertanggungjawab pada kerajaan negeri dan seterusnya melapor diri pada menteri besar.

Malah Abdul Rahman tidak boleh membuat tindakan sesuka hati dan mendahului menteri besar berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri, katanya.

"Apa berlaku di Perak adalah jelas bahawa Abdul Rahman telah melakukan beberapa perkara yang bertentangan dan melanggar undang-undang.

"Antaranya menghalau Nizar dari pejabat, berpihak kepada Umno- BN, terlibat dalam kemelut Sidang DUN dan menghalang Nizar dari jalankan tugas sebagai menteri besar," jelas Zulkefly.

Berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh Abdul Rahman, maka adalah tidak sesuai untuk Abdul Rahman memegang jawatan SU Perak.

"Jika Mohd Sidek berkata bahawa menteri besar tiada kuasa, jadi sebagai ketua kerajaan negeri, apakah kuasa yang Nizar ada jika pegawai kerajaan melangkaui undang-undang dan langgar peraturan?

" Oleh yang demikian saya meminta agar Mohd Sidek mengambil balik Abdul Rahman kerana gagal laksanakan peraturan, tidak bertanggungjawab dan maka tidak layak menjadi SKN Perak," katanya lagi.

Zulkefly turut mengulas bahawa tindakan Abdul Rahman memberi notis Sidang DUN dan kenyataan media adalah tindakan menafikan kuasa Speaker V.Sivakumar.

Maka oleh kerana terlalu banyak salah laku yang dilakukan oleh Abdul Rahman, maka adalah wajar Mohd Sidek 'mengambil semula' Abdul Rahman dari pentadbiran kerajaan Negeri Perak. - azm _

Kempen sejuta tandatangan, wanita desak bubar DUN Perak

Kempen sejuta tandatangan, wanita desak bubar DUN Perak
Harakahdaily
Mon | May 18, 09 | 9:58:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh)- Wanita Pakatan Rakyat akan turun padang untuk bertemu rakyat bagi mengumpul sejuta tandatangan sebagai gambaran suara hati sebenar rakyat untuk mendesak supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri Perakdengan segera bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan.

Kempen tersebut dilancarkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, 15 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Wanita KeADILan Zuraida Kamaruddin.

Memorandum berkenaan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak secepat mungkin bersama sejuta tandatangan rakyat Perak yang melambangkan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk melihat pilihan raya diadakan bagi mengatasi kemelut politik di negeri itu.

Dalam ucapannya Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kempen untuk mendesak pembubaran Dewan akan menjadi kenyataan jika semua pihak terutama golongan wanita di negeri ini memainkan peranan masing-masing.

Tambah beliau golongan wanita merupakan 52% daripada jumlah pengundi berdaftar di negeri Perak dan mampu menjadi satu kuasa pendesak yang berkesan untuk mencapai objektif pembubaran Dun dalam masa terdekat.

"Kempen untuk mendesak agar Dun Perak dibubar memerlukan peranan wanita kerana mereka memainkan peranan penting dalam kempen ini," kata Zuraida yang dipetik daripada Suara KeADILan

Sementara itu Ketua Wanita DAP Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata sudah sampai masanya golongan wanita tampil ke depan untuk meniupkan semangat juang agar kempen mendesak pembubaran Dun menjadi kenyataan.

"Saya berasa kempen ini sangat bermakna kerana ianya pertama kali diadakan yang diterajui oleh wanita. Sudah sampai masa untuk wanita bangkit dan mengambil bahagian dalam perkara yang penting seperti ini," tegas beliau.

Kempen ini juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung di seluruh negeri Perak bagi mendapatkan tandatangan penduduk kampung yang kemudiannya akan diserahkan kepada wakil rakyat masing-masing.

Turut hadir pada pelancaran kempen mengumpul tandatangan ini ialah Ketua Muslimat Pas Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Perak. - azm _

Zahid juga bertanggungjawab atas kemelut Perak

Zahid juga bertanggungjawab atas kemelut Perak
Azamin Amin
Mon | May 18, 09 | 9:46:13 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh) - Sebagai Timbalan Pengerusi Umno Perak ketika berlakunya kerajaan kudeta 5 Februari lalu, Dato' Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab atas kemelut yang yang terjadi di negeri Perak.

Adun Titi Serong, Drs Idham Lim berkata kenyataan Naib Presiden Umno itu bahawa kekecohan politik akan berlaku bila diadakan pilihanraya adalah alasan kebudak-budakan dan alasan terdesak Zahid.

Katanya lagi pandangan Zahid itu dilihat melawan arus dan menunjukkan sikap yang sebenar Zahid dalam menghadaqpi kemelut yang berlaku di negeri kelahirannya sendiri.

"Sepatutnya dia lebih bertanggung jawab kerana dialah Timbalan Pengerusi Umno Perak dalam masa kudeta berlaku pada 5 Februari 2009 yang lepas.

"Walaupun kes (Menteri Besar Perak) telah dibawa ke Mahkamah Rayuan tetapi rakyat pada keseluruhannya tidak mahu ada kekecohan politik di negeri Perak ini sekiranya pilihan raya diadakan.

"Sepatutnya dia kena bertanggung jawab kepada situsi politik di Perak , bukan main lepas cakap sahaja," katanya yang dipetik daripada laman blognya.

Kata Idham lagi desakan diadakan pilihan raya negeri dibuat oleh Pakatan Rakyat mestilah diambil kira oleh Naib Presiden Umno itu malah pelbagai pihak juga mengatakan langkah yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik di Perkat dengan cara pembubaran DUN. - azm _

Najib punca kemelut Perak!

Najib punca kemelut Perak!
Nyza Ayob
Sun | May 17, 09 | 10:35:44 am MYT

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak boleh menafikan bahawa beliau merupakan punca kemelut politik di Perak kerana seluruh dunia telah melihat bagaimana beliau mengetuai rampasan kuasa di Perak pada 5 Februari lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan sewaktu rampasan kuasa itu dilakukan, Najib merupakan Pengerusi Umno Perak yang mana pada waktu itu juga beliau masih Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad dalam kenyataanya sebelum ini menegaskan kecamukan serta kemelut politik yang berlaku hari ini di Perak berpunca daripada tindakan Najib .

Bagaimanapun Najib dalam kenyataannya pada 15 Mei lalu menafikan beliau punca kemelut politik di Perak dan meminta rakyat tidak menyalahkan Sultan Perak kerana pelantikan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar mematuhi undang-undang.

"Krisis perlembagaan di Perak berpunca apabila Najib sendiri mengenepikan undang-undang. Jika betul beliau mengatakan Barisan Nasional berhak berkuasa di Perak dan mempunyai majoriti, sidang Dun harus diadakan dan perkara tersebut harus dibawa ke dewan dan adakan undi tidak percaya.

"Namun beliau menyembunyikan tiga orang Adun tersebut. Sebab itu saya mengatakan Najib seorang yang rakus dan tamak. Beliau tidak boleh menafikan penyebab krisis di Perak kerana berlaku pengambilan kuasa di Perak yang dipilih oleh rakyat,"tegasnya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Jelas Ahmad, Najib cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan tiga orang Adun yang telah keluar daripada Pakatan Rakyat yang berstatus sebagai Adun Bebas adalah Adun BN.

"Apabila diadakan undi tidak percaya di dalam dewan nanti, kita boleh tunjukkan surat janji ketiga-tiga mereka yang menyokong kerajaan campuran tiga parti ini dan menyokong Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar. Perjanjian ini secara bertulis. Dan sudah tentu ketiga-tiga mereka tidak berani mengangkat tangan menyokong pada pihak BN.

"Ini kerana jelas mereka akan mungkir janji kepada Sultan. Dan dengan sendiri mereka boleh dikaitkan menderhaka kepada Sultan. Jadi implikasinya banyak," katanya.

Sehubungan itu beliau tetap berpendirian Najib yang memulakan serta punca kemelut yang berlaku di negeri Perak itu. - mks.

Sunday, May 17, 2009

Tiada lagi budaya suapan projek di Selangor

Tiada lagi budaya suapan projek di Selangor
Zuharman MN
Sun | May 17, 09 | 7:27:09 pm MYT

KETEREH, 17 Mei (Hrkh) - Kerajaan Selangor mendedahkan ada pihak mengadu sukar melaksanakan projek di negeri terbabit kerana tidak ada budaya suapan sejak diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.

Anggota Exco, Elizabeth Wong berkata, ketelusan yang diamalkan menyebabkan budaya suapan yang berleluasa di bawah kerajaan terdahulu tidak lagi berlaku sekarang.

Katanya, budaya suapan tidak berlaku kerana pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menggunakan wang rakyat untuk tujuan peribadi seperti makan angin ke Disneyland atau jumpa Mickey Mouse dan Donald Duck.

"Tapi wang rakyat digunakan untuk rakyat. Contohnya kerajaan negeri mengadakan skim Takaful untuk warga emas seperti dilaksanakan di Kelantan.

"Kerajaan Selangor juga akan menubuh tabung khas bayi baru lahir. Dan apabila usianya meningkat 18 tahun mereka boleh keluarkan tidak kurang dari RM1,500," katanya pada ceramah di Taman Puspa, Kok Lanas, malam semalam.

Oleh itu Elizabeth mendedahkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor banyak menerima tekanan pelbagai pihak termasuk Umno dan golongan kapitalis sejak memerintah negeri terbabit.Image

Bagaimanapun katanya, tekanan itu tidak mematahkan semangat kerajaan yang sentiasa menyedari mendapat sokongan padu rakyat.

"Kita tidak takut kepada sebarang tekanan. Kita dipilih oleh rakyat. Maka amanah rakyat menjadi kewajipan kita. Tidak ada sebab untuk takutkan kepada tekanan," jelasnya.

Menurutnya juga keseluruhan rakyat Selangor menerima baik kerajaan sekarang kerana banyak membawa pembaharuan kepada kestabilan tanpa mengira kaum.

Pada ceramah itu beliau melahirkan rasa terharu di atas nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika beliau berdepan dengan peristiwa mengaibkan peribadinya sebelum ini.
Image "Nasihat Tuan Guru membuatkan saya merasa tenang menghadapi segala dugaan dan cabaran. Tuan Guru adalah the best and the great.

"Saya akan ingatkan nasihat Tuan Guru selama-lamanya. Benar kata Tuan Guru, sabar itu separuh daripada iman. Saya terima hakikat itu dengan penuh keyakinan," ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua PAS Ketereh, Senator Dato' Ahmad Rusli Ibrahim dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw. - mj