Wednesday, May 20, 2009

Nyalakan lilin bantah krisis Perak : Dua wakil rakyat ditahan polis

Nyalakan lilin bantah krisis Perak : Dua wakil rakyat ditahan polis
Harakahdaily
Wed | May 20, 09 | 9:45:52 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Sebelas orang termasuk dua wakil rakyat Pakatan Rakyat telah ditahan oleh pihak polis kerana menyertai demonstrasi menyalakan lilin dipercayai sebagai bantahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak.

Mereka ditahan ketika menyertai nyalaan lilin di Seputeh pada pukul 8.20 malam tadi dan difahamkan dua wakil rakyat itu ialah anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Chin dan ADUN Teratai Jenice Lee.

Menurut agensi berita nyalaan lilin itu diadakan di luar pejabat anggota Parlimen DAP, Teresa Kok dan disertai berpuluh-puluh mereka yang memakai bajuT hitam.

Menurut penganjur, nyalaan lilin itu sebagai menandakan apa yang mereka dakwa "pembunuhan demokrasi di Perak".

Sementara itu Ketua Polis Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan penahanan sebelas orang termasuk wakil rakyat berkenaan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai identiti sebenar dua wakil rakyat dan tarikh mereka akan dibebaskan. - azm

Slogan Utamakan Rakyat, Najib dicabar bubar Dun Perak !

Slogan Utamakan Rakyat, Najib dicabar bubar Dun Perak !
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 20, 09 | 9:31:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Dato' Kamarul Baharin Abbas mencabar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengotakan janji mengutamakan rakyat.

Najib sebelum ini menyatakan bahawa akan mengutamakan rakyat dalam pemerintahannya, walhal kata Kamarul kenyataan itu tidakpun diaplikasikan dengan tindakan.

"Kalau itulah sebagai prinsip Najib, maka saya menyeru supaya DUN Perak dibubarkan segera kerana rakyat Perak mahukan suara mereka didengari.

"Rakyat mahu kemelut politik di Perak ditamatkan 'once and for all'. Rakyat Perak mahu menentukan semula kuasa mereka dapat menentukan halatuju negeri Perak mengikut fahaman, selera dan kepentingan mereka," katanya.

Rakyat telah melihat bagaimana protes penyelesaian politik di Perak dibuat mahupun melalui proses legislatif atau kehakiman tidak mampu menamatkan krisis, katanya.

"Rakyat juga telah melihat bagaimana pihak BN telah mengeksploitasikan kuasa-kuasanya yang kebetulan masih menguasai kerajaan pusat. Rakyat cukup faham dengan situasi ini," katanya.

"Jalan mudah yang paling mulia dan paling dihormati oleh rakyat adalah dengan membubarkan DUN dan biarkan rakyat Perak membuat pilihan mereka sendiri.

Najib harus membuktikan kebenaran apa yang dikatakan dengan mengotakan kehendak rakyat, katanya.

Najib juga katanya mesti mengenepikan ego dan kesombongan BN dengan menyahut seruan rakyat, katanya.

"Najib wajib melakukan sesuatu yang mencerminkan bahawa beliau bersungguh-sungguh merasai setiap denyutan nadi rakyat!," tegasnya. - azm

BN rancang konspirasi jahat buang Speaker - Sivakumar

BN rancang konspirasi jahat buang Speaker - Sivakumar
Khairul Azlam Mohamad
Wed | May 20, 09 | 9:22:55 am MYT

KEMAMAN, 20 Mei (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, V Sivakumar mendedahkan 'tragedi hitam' pada 7 Mei 2009 lalu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak merupakan satu konspirasi jahat yang dirancang bagi 'menjatuhkan' Speaker Dun tersebut.

Katanya, kekecohan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menempatkan pejabat dan Dun Perak itu berpunca dari Adun-adun Barisan Nasional (BN) Perak sendiri.

"Pada hari 7 Mei 2009 itu, saya katakana satu konspirasi jahat diatur oleh pihak-pihak tertentu untuk 'menjatuhkan' (buang) Speaker Dun Perak yang sah.

"Mereka (Adun BN) rancang satu konspirasi mahu 'menjatuhkan' saya dari jawatan kerusi Speaker Dun.

"Kekecohan yang berlaku itu (Dun Perak) kerana Adun-adun BN tidak ikut peraturan dan ingkar arahan Speaker," jelasnya di hadapan lebih 3,000 hadirin dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa tindakan pelik dan luar biasa telah dilakukan oleh pihak BN sebelum hari Persidangan Dewan Dun Perak lagi.

Antara lain, katanya pihak 'tertentu' yang memanggil Sidang Dun Perak tanpa pengetahuan Speaker, cuba menghadkan kepada wartawan tertentu sahaja boleh membuat liputan Sidang Dun Perak, tidak membenarkan tetamu pemerhati masuk walau pun dengan kebenaran Speaker serta pengeluaran pas masuk oleh pihak SUK.

Menurutnya, kawalan keselamatan yang ketat dan jumlah anggota polis yang ramai dipergunakan dalam konspirasi tersebut.

Katanya, semua kuasa-kuasa Speaker Dun Perak telah 'dirampas' awal-awal lagi sebelum berlaku hari yang memalukan itu.

Malah, menurut Sivakumar pada hari tersebut (7 Mei) sebenarnya tidak berlaku Persidangan Dun Perak kerana Dewan belum dimulakan lagi.

"Saya masuk dewan (Dun Perak) dan sebelum pemangku Sultan (Raja Nazrin) masuk untuk merasmikan dewan, saya sebagai Speaker Dun akan pastikan dewan teratur dan selamat.

"Saya masuk untuk menguruskan dewan dan bukan untuk memulakan persidangan dewan sebelum berlaku kekecohan yang memalukan itu,"ujarnya.

Beliau turut menyifatkan kekecohan yang berlaku kerana Adun-adun 'monyet' (BN) tidak mengikut peraturan dan undang-undang.

Akhirnya, kata Sivakumar Speaker Dun Perak yang sah dan halal telah diangkut dan dibawa keluar oleh anggota polis.

Menurutnya, rakyat Perak dan seluruh negara akan 'mengajar' pemimpin Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing, bekas Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Awang Dagang dan Naib Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Hazeri Jusoh. - azm _

Omar Hasan nafi kandungan blog, keluar arahan

Omar Hasan nafi kandungan blog, keluar arahan
Mohd Sabri Said
Wed | May 20, 09 | 9:14:29 am MYT

PERMATANG PAUH, 20 Mei (Hrkh)- Yang Dipertua PAS Permatang Pauh merangkap Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri (JPN), Omar Hasan menafikan telah mengeluarkan kenyataan melarang ahli PAS mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Mansor Othman pada pilihan raya kecil N12 Penanti pada 31 Mei ini.

Ujarnya, dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Permatang Pauh baru-baru ini tiada agenda perbincangan berkaitan isu tersebut dan beliau hairan bagaimana tiba-tiba kenyataanya ada dalam blog yang sengaja dicipta untuk memperkecilkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Mohamad Fairus Khairudin.

"Saya tidak tahu menahu tentang isu itu melainkan setelah diberitahu oleh rakan tengahari tadi.

Saya terus menghubungi rakan AJK adakah saya tercakap isu berkenaan mereka kata kita tidak pun bincang perkara jentera pilihanraya kecil Penanti, " tegasnya.

Menurut sumber blog berkenaan Omar berkata, bukan sahaja melarang ahli PAS tidak mengundi calon KeADILan malahan turut mengarahkan ahli PAS tidak keluar mengundi atau jika keluar mereka diminta tidak mengundi calon Pakatan Rakyat atau merosakan undi.

Sementara itu ketika berceramah bersama Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiga hari lalu, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menyeru semua jentera PAS berkampung di Penanti bermula 23 Me ini iaitu selepas hari penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam.

Sebelum itu juga Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Mustaffa Ali dan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man sepakat dalam kenyataan akhbar bahawa kerusi Penanti adalah milik KeADILan berikutan perjanjian yang termaktub dalam Majlis Presiden kesemua parti gabungan Pakatan Rakyat. - azm _

Kerajaan Selangor hargai peranan media

Kerajaan Selangor hargai peranan media
Muhammad Arif Ismail
Wed | May 20, 09 | 8:58:11 am MYT

PETALING JAYA, 20 Mei (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri Selangor memberikan pengiktirafan rasmi terhadap peranan yang dimainkan oleh media massa dalam memberi pendidikan kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam Sambutan Hari Kebebasan Ahkbar 2009 Peringkat Negeri Selangor yang disambut seluruh dunia pada 3 Mei lalu yang diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, tugas yang digalas oleh wartawan dan editor merupakan bukan kerja yang mudah, sebaliknya golongan ini selayaknya digelar sebagai hamba moden yang berkerja mencari, menapis dan memilih peristiwa atau kejadian yang mempunyai nilai berita untuk disiarkan kepada pembaca mahupun pendengar.

"Kita menyedari betapa sebilangan wartawan dan editor tidak menikmati bayaran yang setimpal dengan tugas yang dilakukan seharian suntuk. Itulah pengorbanan orang media massa termasuklah penjual surat khabar," tegas beliau.

Katanya lagi, kerja pencarian peristiwa dan penulisan cerita hari demi hari, di samping memastikan kualiti terus terpelihara, sememangnya meletihkan, malah membosankan.

"Peranan anda sangat bererti lantaran itulah sewajarnya ia perlu diingati dan dihargai

"Bagi negara yang kekurangan maklumat yang benar dan ketika pihak berkuasa melanggar prinsip demokrasi dan membiarkan negara porak peranda.

Disinilah peranan media menerusi kewartawanan penyiasatan dengan berusaha memberikan penjelasan terhadap situasi tertentu dalam usaha menyelamatkan keadaan agar kerajaan dilihat bertanggungjawab," kata Khalid.

Katanya tanpa kebebasan media di Malaysia, mustahil kita dapat melakukan perkara ini.

"Bagaimana mungkin media dapat mempertahankan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab sekiranya media tidak dibenarkan menyiarkan berita dengan bebas," soalnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa tahap kebebasan media massa di Malaysia terus merudum sejak tahun demi tahun.

"Indeks Kebebasan Akhbar Antarabangsa yang dikelolakan oleh Kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan setiap tahun menunjukkan tahap kebebasan akhbar media massa di Malaysia terus menurun.

"Dari kedudukan ke 92 pada tahun 2006 turun ke 124, pada tahun 2007 dan turun lagi ke 132 pada tahun lepas. Ini adalah berpunca daripada negara kita masih lagi menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang sudah ketinggalan zaman.

"Budaya mengklasifikasikan setiap dokumen sebagai rahsia dianggap melampau kerana tidak semua dokumen mendatangkan mudarat kepada keselamatan negara dan justeru itu, tidak wajar disimpan daripada pengetahuan awam," katanya. - azm

Mengisi Hari Ibu, Jururawat di Hospital Ampang

Mengisi Hari Ibu, Jururawat di Hospital Ampang
Ahmad Lutfi Othman
Wed | May 20, 09 | 5:01:29 am MYT

SEMINGGU menemani anak lelaki saya, Ahmad Ikmal Syafiq, 12, yang dimasukkan ke wad Hospital Ampang bermula jam 4 pagi Selasa, 12 Mei lalu, meninggalkan pelbagai kisah debar dan 1001 cerita kemanusiaan.

Bagi kami sekeluarga, yang pernah kehilangan secara tiba-tiba, puteri jantung hati, Nurul Syafiqah, ketika itu berusia 11 tahun, pada 1 Ramadan bersamaan 5 Oktober 2005, serangan denggi tidak boleh diambil mudah. Sewaktu pelbagai wabak baru menjelma, nyamuk aedes tetap mengintai peluang.

Semasa meninggalkan Ikmal Syafiq untuk ke pejabat, jam 1 pagi Rabu 13 Mei, bagi menyemak kandungan Harakah sebelum dicetak esok, demamnya nampak makin kebah. Ibunya, Siti Hawa, memberitahu, walaupun masih lemah, muntah-muntah, dan hilang selera makan-minum, dia seakan mulai pulih.

Selepas subuh baru saya sampai ke rumah. Rasanya, jam 10 pagi, belum pun sempat untuk lelapkan mata sekejap, telefon bimbit saya bergetar. Mendengar nada cemas Siti, alunan nafas saya jadi tidak menentu. "Syafiq bang ...," suara Siti terputus-putus.

Menyimpan sesuatu

Sebaik tiba di tingkat 6, saya dapati sekumpulan doktor sedang mengerumuni Ikmal Syafiq yang merintih kesakitan. Saya tercari-cari siapa saja yang boleh menjelaskan kedudukan anak ketiga kami itu.

Seorang doktor muda mulanya agak keberatan tapi kemudiannya meminta saya masuk ke sebuah bilik dalam wad 6B itu. Penjelasannya hanya menambahkan kecelaruan dalam minda saya. Saya syak beliau seperti menyimpan sesuatu yang tidak diluahkan secara terus-terang.

Ikmal Syafiq harus segera dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Saya mendengar perbualan jururawat dan doktor bahawa ICU Hospital Ampang penuh tetapi untuk mengejarkannya ke hospital berdekatan, ia mengundang risiko yang cukup tinggi. Degup jantung makin kencang.

Saya saling berpandangan dengan Siti, sambil tidak putus-putus mengharapkan keajaiban, dan pastinya pertolongan Allah. Terbayang wajah kudus Nurul Syafiqah, masya-Allah.

Ikmal Syafiq rupanya diserang "dengue shock syndrome". (Lima hari selepas itu, apabila kami berkemas untuk membawa Ikmal Syafiq pulang, doktor memberitahu, ramai meninggal dunia akibat sindrom ini). Tekanan darahnya menurun mendadak ke paras 100/90. Platlet di bawah 10. Tanda tangan saya diperlukan sebelum bekalan darah dimasukkan. Muka dan badannya "bengkak air". Drip terpaksa dihentikan sebab ada kesan pada paru-paru.

Alhamdulillah, tanpa perlu menunggu lama, ada satu kekosongan di ICU, di tingkat tiga, bangunan sama.

Berteleku di atas sejadah di surau ICU seperti menyuntik pengalaman baru walaupun sudah berkali-kali saya berdepan suasana seperti itu.

Seorang kawan pernah menulis, suasana di mana-mana masjid atau surau hospital terasa kelainannya, sunyi, hening dan syahdu. Pergantungan langsung terus tembus kepada Allah.

Saat-saat genting dan kritikal itu sebenarnya menumbuhkan rasa khusyuk yang "cukup membahagiakan". Ya ... terasa kerdil dan hinanya diri, tiada upaya melawan takdir, saat bagai menanti hakim menjatuhkan hukuman, yang tiada proses rayuan lagi.

Malangnya, rasa kudus itu tidak lama berbekas, ia selalunya cepat hilang sebaik suasana bertukar. Begitu lalai dan lekanya insan sehinggalah direntap kematian, walhal tika itu tiada lagi gunanya sebarang peringatan!

13 Mei, hari Ikmal Syafiq dimasukkan ke wad adalah Hari Jururawat. Sebelum itu, 10 Mei adalah Hari Ibu. Ia berkait rapat dengan wanita, termasuk 16 Mei Hari Guru.

Di hospital anda pasti menemui wanita-wanita berhati mulia, berjiwa besar, sabar menunggu, reda menemani suami dan anak-anak yang terlantar sakit.

Tiada keluhan di wajah

Ada kalanya mereka sudah bertahun-tahun setia membelai, menanggung keperitan, terpaksa mengagihkan masa di wad dan berkejar pula menyiapkan keperluan di rumah, tanpa sebarang keluhan.

Yang pasti, tiada tanda kesal di wajah mereka, walaupun nampak letih-lesu tidur berbantalkan lengan sambil melayani pelbagai karenah suami atau anak-anak.

Begitu juga dengan para jururawat yang menunjukkan dedikasi tinggi. Saya melihat sendiri, 'misi' dari pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India yang sabar menyantuni anak kami, dengan senyuman manis dan pujukan mesra walaupun berdepan wajah mencuka Ikmal Syafiq.

Memang selayaknya mereka mendapat penghormatan luar biasa di atas kerja-kerja mulia itu.

Begitu juga dengan para doktor yang ringan tulang, faham dengan keresahan kami, cepat dan tangkas menangani situasi sulit, serta tidak lokek menasihati dan sempat memberi "kuliah pendek" tentang kesihatan. Tidak terkecuali pengawal keselamatan yang bijaksana menggunakan budibicara mereka.

Jutaan terima kasih buat semua, termasuk yang tidak putus-putus mendoakan, solat hajat, serta menawarkan rawatan alternatif, di samping petua-petua bermanfaat.

Syukur, penyakit yang tidak diundang membawa bersamanya rahmat, mengeratkan persaudaraan, memaknakan kehidupan._

MB minta rakyat doakan kesejahteraan Sultan Kelantan

MB minta rakyat doakan kesejahteraan Sultan Kelantan
Wartawan Kita
Tue | May 19, 09 | 7:12:01 pm MYT

KOTA BHARU, 19 Mei (Hrkh) - Rakyat Kelantan diminta bertenang dan mendoakan semoga Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Al Marhum Sultan Yahya Petra berada dalam kesejahteraan.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, semua rakyat hendaklah berdoa semoga baginda cepat sembuh kerana tiada ubat lebih mujarab melainkan doa kepada Allah Taala.

"Bagi saya ubat perkara kedua. Dan perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah berdoa. Saya berdoa dan meminta rakyat turut berdoa semoga Tuanku cepat sembuh.

"Saya tahu masalah sakit kerana saya sendiri pernah menjalani rawatan di hospital. Berdoa seramai yang boleh kerana Allah pilih mana doa yang mustajab," katanya di sini, hari ini.

Sultan Kelantan menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sejak Khamis lalu. Difahamkan keadaan baginda sekarang stabil.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, apabila berdoa beramai-ramai mungkin ada seorang dua yang dekat dengan Tuhan membolehkan doa cepat diterima.

"Saya hari-hari pergi melawat baginda kalau tidak ada keuzuran. Lagi pun saya sendiri selalu keuzuran.

"Oleh itu saya berharap rakyat bertenang dan hendaklah sering berdoa kepada baginda di mana sahaja berada," katanya.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berangkat menziarahi baginda di HUSM.

Baginda berdua meluangkan masa kira-kira setengah jam berada di Wad Diraja bagi mengikuti perkembangan kesihatan Sultan Kelantan.

Keberangkatan baginda disambut Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakry Petra serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Sebelum itu Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga melawat Sultan Kelantan.

Ahad lalu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tuanku Ampuan Besar, Tengku Aisyah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud turut melawat baginda. - mj _