Thursday, May 21, 2009

Haron Din tarik diri tanding Timbalan Presiden PAS

Haron Din tarik diri tanding Timbalan Presiden PAS
Harakahdaily
Thu | May 21, 09 | 9:44:42 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Calon Timbalan Presiden PAS, Dato' Dr Haron Din hari ini mengesahkan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan tersebut pada pemilihan muktamar Jun ini.

Dr Haron yang merupakan Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, beliau telah pun membuat keputusan itu sejak sebelum pencalonan bermula lagi, namun beliau tetap dicalonkan.

"Sebenarnya, daripada sebelum penamaaan calon lagi, saya sudah menarik diri.

"Pada saya, tidak ada keperluan untuk saya bertanding," katanya yang dipetik daripada laman akhbar online

Justeru katanya, beliau tidak akan menghantar borang jawapan pengesahan bertanding pada 25 Mei ini.

Katanya, kesemua calon jawatan itu telah pun mengetahui pendirian beliau itu sejak awal lagi.

Keputusan Dr Haron sekaligus mengikut jejak langkah seorang lagi calon jawatan itu iaitu Menteri Besar Kedah yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Seri Azizan Abd Razak yang mengumumkan untuk menarik diri Selasa lalu kerana mahu menumpukan kepada kerja pembangunan negeri dan parti di peringkat negeri.

Selain Dr Haron dan Azizan, tiga lagi yang dicalonkan untuk jawatan nombor dua itu adalah penyandang jawatan, Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Sementara itu, menurut laman web Muktamar55.pas.org.my ketiga-tiga jawatan utama kepimpinan Dewan Ulama PAS bakal dimenangi tanpa bertanding bilamana penyandang jawatan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Ustaz Hashim Jasin hari ini menarik diri daripada mempertahan jawatan tersebut.

Hashim yang juga pesuruhjaya PAS Perlis dan ADUN Sanglang mengesahkan perkara itu pagi ini sekaligus memberi laluan kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Beliau yang menyatakan kesediannya memberi peluang kepada Ahmad, berharap tiada penarikan dari Ahmad pada hematnya memang layak memegang jawatan tersebut.

Hashim berkata, keputusannya mengundurkan diri itu telah lama dibuat sekiranya terhadap calon yang lebih layak menggantikannya dan beliau akan memaklumkan keputusannya itu kepada jawatankuasa pemilihan secara rasmi.

Isnin lalu, Pengerusi jawatankuasa pemilihan Dato' Mustafa Ali mengumumkan jawatan Ketua Dewan Ulama', Dato' Harun Taib menang tanpa bertanding apabila penyandangnya, Dato' Mohammad Daud Iraqi tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala, tiada pencalonan lain bagi jawatan Naib Ketua Dewan itu memudahkan Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang juga Pesuruhjaya PAS Johor menduduki jawatan tersebut tanpa bertanding. - azm _

Nizar, isteri di Mahkamah Rayuan pagi ini

Nizar, isteri di Mahkamah Rayuan pagi ini
Wan Nordin Wan Yaccob
Thu | May 21, 09 | 9:35:29 am MYT

PUTRAJAYA, 21 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri, Datin Seri Fatimah Taat kini sedang berada di Mahkamah Rayuan, dekat sini pagi tadi bagi mendengar perbicaraan berhubung status beliau selaku Mneteri Besar yang sah yang telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi 11 Mei, lalu.

Bagaimanapun keputusan mahkamah tinggi itu ditangguhkan berikutan Mahkamah Rayuan melalui Hakim Dato' Ramly Ali membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu oleh Dato' Dr Zambry Abdul Kadir.

Difahamkan, surat permohonan Nizar untuk mendapat panel lima hakim bagi mendengar perbicaraan hari ini yang dihantar ke pejabat Timbalan Pendaftar Isnin lalu tidak diterima oleh Presiden Mahkamah Rayuan Alauddin Md Sheriff tepat pada masanya.

Justeru hanya tiga hakim yang mendengar perbicaraan hari ini iaitu, Hakim Md Raus Sharif, Hakim Zainun Ali dan Hakim Ahmad Maarop.

Isnin lalu, Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar telah menghantar surat melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan memohon panel lima hakim untuk mendengar kes tersebut

Alasan permohonan itu ialah membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Sungguhpun kawalan keselamatan di pekarangan Mahkamah tidak terlalu ketat namun bagi oarang ramai yang ingin mengikuti perbicaraan ini akan dilakukan pemerikasaan yang rapi oleh anggota polis.

Kelihatan puluhan wartawan luar dan dalam negara memenuhi kawasan sekitar kamar Mahakmah Rayuan 3, sejak awal pagi tadi, bagi membuat laporan dan liputan mutakhir kes ini.

Jam 9.00 pagi tadi, Peguam Sulaiman Abdullah dan Hanipa Maidin yang mewakili Nizar memasuki kamar mahkamah dengan diikuti pula oleh Peguam Umno Dato' Hafarizam. Turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail dan peguam Tun Majid. - azm

Satu Umno pun gagal, jangan cakap Satu Malaysia

Satu Umno pun gagal, jangan cakap Satu Malaysia
Abdul Aziz Mustafa
Thu | May 21, 09 | 2:56:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Penindasan sesama Umno sehingga menyebabkan ramai yang bertindak keluar dari parti itu adalah bukti awal yang jelas tentang kegagalan hasil mengelamun Perdana Menteri yang diriuh-riuhkan sebagai konsep Satu Malaysia, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Dalam Umno pun (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) gagal mewujudkan Satu Umno, tidak perlu cakaplah tentang Satu Malaysia," katanya mengulas tindakan ahli-ahli Umno di Perlis yang bertindak keluar dari parti itu dan menyertai menyertai pembangkang.

Dengan apa yang berlaku itu, Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa rakyat segera sedar tentang sifat sebenar Umno.

"Sesama Umno, sesama Melayu pun ditindas, dipecat dan dizalimi, tidak ada lagi keadilan yang boleh diharapkan dari Umno yang kelihatan semakin bersungguh-sungguh mempelopori penindasan ke atas sesiapa sahaja yang tidak disukainya," kata beliau.

Mahfuz mengalu-alukan kebijaksanaan ahli-ahli Umno yang keluar dari parti itu dan menyertai Pakatan Rakyat (PR).

"Dengan penuh ketulusan kita menghulurkan tangan kepada mereka dan saya yakin tindakan mereka itu pasti mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara sesama umat Islam dan rakyat Malaysia," kata beliau.

Mengulas apa yang berlaku itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka yang keluar Umno itu termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan parti itu di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Menurut beliau, pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri.

"Setakat ini 16 atau 17 ketua cawangan dan bekas ketua cawangan telah dibuang dari JKKK, menyebabkan mereka dan yang lainnya, tidak puas hati.

"Ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno dipinggir dan kerajaan negeri tidak mengambil kisah perkara tersebut.

"Pembangkang pula telah mengambil kesempatan daripada perkara tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan ahli Umno menyertai pembangkang bukan sahaja berlaku di bahagian Kangar tetapi juga di Padang Besar.

"Saya kenal mereka itu semua. Mereka adalah bekas pemimpin Umno di Kangar.

"Betullah angka itu," katanya ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam bahawa 1,000 ahli Umno di bahagian tersebut menyertai PKR.

Hashim juga sedang memikirkan sama ada akan kekal dalam Umno atau menyertai pembangkang.

"Saya sedang menilai hala tuju politik saya, ke manakah arah politik saya.

"Takkan saya hendak tunggu saya naik ke atas. Apa yang berlaku ini sedang menjadi perhatian saya.

"Bukan soal saya menunggu tawaran, jika keadaan sudah tidak sesuai, mahu tunggu apa lagi" katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Padang Besar, ketika dihubungi Malaysiakini, juga mengakui ramai ahli Umno di bahagian itu yang keluar parti.

Bagaimanapun pemimpin yang enggan namanya disiarkan itu tidak dapat memberi angka sebenar ahli Umno yang keluar parti.

Katanya, mereka bertindak demikian kerana marah kepada pemimpin MCA bahagian yang membuang ahli JKKK di beberapa tempat di Padang Besar.

"Mana boleh pemimpin MCA memecat ahli JKKK yang terdiri daripada ahli-ahli Umno," katanya. _

Obama diingat usah ulangi kerakusan George W Bush - Nik Aziz

Obama diingat usah ulangi kerakusan George W Bush - Nik Aziz
Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahir
Wed | May 20, 09 | 7:03:41 pm MYT

KOTA BHARU, 20 Mei (Hrkh) - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dicadangkan mengadakan hubungan yang lebih baik dengan negara-negara Islam sekiranya ingin memulihkan kembali imej negara tersebut.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, presiden negara kuasa besar itu diingatkan juga tidak mengulangi kerakusan kuasa seperti diamalkan George W Bush.

"George Bush dan pemimpin Amerika Syarikat sebelumnya telah melakukan banyak kesalahan kemanusiaan sehingga melakukan serangan ke atas negara Islam.

"Amerika telah menyerang beberapa negara termasuk Iraq, Palestin, Pakistan dan Afghanistan, bahkan isu di Palestin masih belum selesai sehingga sekarang," katanya ketika menerima kunjungan Duta Amerika ke Malaysia, James R Keith di pejabatnya hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Sulit Khas Menteri Besar, Rosdi Abdullah dan Setiausaha Politiknya, Haji Annual Bakri Harun.Image

Turut mengiringi duta berkenaan, Ravi Manickam. Duta terbabit semalam menemui Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said dalam rangka lawatan ke pantai timur.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sebagai sebuah negara maju serta dikenali seluruh dunia, Amerika seharusnya sedar kesilapan yang dilakukan sebelum ini sehingga memperlihatkan demokrasi kejam seperti Komunis.

Menurutnya George W Bush sebagai seorang penganut Kristian telah melakukan sesuatu yang menyimpang dari ajaran Jesus yang pentingkan perdamaian.

"Kalau ada sekali pun beberapa orang pengganas di Iraq, Palestin atau Pakistan, tetapi jumlah nyawa terkorban puluhan ribu. Ini sesuatu yang amat tidak adil.

"Saya berharap tuan dapat membawa mesej ini kepada Tuan Obama supaya beliau dapat menjaga kedamaian dunia dengan cara yang betul dan lebih bersifat perikemanusiaan," ujarnya.

Duta berkenaan kemudian berjanji menyampaikan hasrat berkenaan kepada Presiden Obama.

Beliau berkata, Obama telah cuba sedaya mengadakan hubungan baik dengan menganjurkan misi kemanusiaan melalui kerajaan kepada kerajaan.

"Tahun ini misalnya beliau telah memulakan lawatan kemanusiaan dan keamanan ke Turki.

"Bulan Jun depan Obama akan melawat Mesir bagi melihat konsep 'order baru' dunia yang membentuk kemanusiaan sejagat," katanya.

Beliau juga berkata, sebagai sebuah negara yang mempunyai pengaruh dalam Persidangan Negara Islam dan Gerakan Negara Berkecuali (NAM), Malaysia juga boleh memainkan peranannya. - mj _

Keputusan Dun tidak boleh dipersoal dalam Mahkamah

Keputusan Dun tidak boleh dipersoal dalam Mahkamah
Saidah Hairan
Wed | May 20, 09 | 7:02:01 pm MYT

SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - Keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor (JKHK) menggantung perkhidmatan serta elaun dan keistemewaan Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo selama setahun tidak boleh dipersoalkan di mana-mana Mahkamah kerana itu adalah peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan keputusan tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi JKHK, Teng Chang Khim dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat di bangunan Annex, SUK, Shah Alam 19 Mei lalu.

Beliau menegaskan, mengikut fasa 72 Perlembagaan Persekutuan jelas mengatakan bahawa urusan dalam sidang Dun tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

Chang Khim yang juga Speaker Dun berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khir yang akan membawa perkara tersebut ke mahkamah.

"Jawatankuasa tidak menghalang mana-mana orang termasuk Adun untuk membuat teguran terhadap Jawatankuasa atau Dewan, tetapi hendaklah mematuhi batasan," jelasnya.

Tambah beliau, mengutuk Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Dun sebagai alat politik untuk pihak tertentu adalah melampaui batas.

Dalam sidang media yang turut dihadiri Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dan Adun Rawang Gan Pei Nei, beliau berkata Jawatankuasa yang ditubuhkan Dewan itu bukan terdiri daripada satu parti sahaja tetapi Adun daripada pembangkang turut menyertainya.

"Setiap Jawatankuasa untuk sepenggal Dun mempunyai 1/3 daripada Adun pembangkang (BN). Jadi tidak munasabah Jawatankuasa yang ditubuhkan Dewan itu berat sebelah," tegasnya.

Dalam mesyuarat JKHK Teng Chang Khim sebagai pengerusi telah mencadangkan Khir Toyo digantung menghadiri persidangan Dun dan segala kemudahan serta elaun digantung selama setahun.

Hukuman tersebut dijalankan ekoran keengganan Khir menghadiri sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat) Mac lalu.

Adun Sungai Panjang (Khir) didapati bersalah terhadap tiga lagi tuduhan iaitu mengeluarkan kenyataan dalam blog dan akhbar mengutuk integriti Jawatankuasa Selcat dan menuduh sebagai alat politik untuk memburukkan dirinya.

Selcat ditubuhkan dengan kuasa Dun bagi membolehkan pendengaran awam dijalankan berhubung penggunaan wang yang disalurkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) pada Mac lalu.

Menurut Chang Khim, cadangan keputusan tersebut akan dibahaskan setelah dibawa usul dalam sidang Dun pada Julai nanti.

Katanya, Khir boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan sekiranya beliau dan mana-mana Adun dapat menyakinkan Dewan supaya tidak menerima usul tersebut.

Sebagai Pengerusi beliau tidak mengambil bahagian dalam memutuskan mana-mana ahli yang dituduh itu bersalah atau tidak bersalah kerana dalam peruntukkan Peraturan Tetap Pengerusi tidak boleh mengambil bahagian dalam memutuskan hukuman.

Ditanya adakah keputusan itu kerana berdendam, katanya; "Soal dendam tidak wujud langsung, tidak ada dendam kita kena kerja cara profesional."

Wednesday, May 20, 2009

Mustafa Ali sahkan tiada aduan politik wang dalam pemilihan PAS

Mustafa Ali sahkan tiada aduan politik wang dalam pemilihan PAS
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 20, 09 | 9:33:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali menegaskan pihaknya tidak menerima sebarang aduan samada rasmi atau tidak berhubung dakwaan politik wang dalam pemilihan PAS.

Malah Mustafa menafikan berlakunya amalan itu memandangkan PAS adalah sebuah parti yang tidak mengamalkan politik wang sejak dahulu.

Beliau juga menyatakan akan menolak aduan jika pengadu tidak mengemukakan bukti atau hanya membuat aduan secara 'hear say'.

Menyokong kenyataan itu bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri pula menegaskan tidak pernah berlaku dalam PAS amalan tersebut.

Malah isu itu katanya hanya sengaja disensasikan oleh media arus perdana bagi memberi persepsi negatif kepada PAS tatkala sokongan kepada parti semakin meningkat.

PAS juga katanya kini mendapat sokongan bukan setakat orang Islam, malah bukan Islam yang percaya PAS sebuah parti yang bersih.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin pula menyatakan KeADIlan tetap percaya dan yakin pemimpin PAS tidak akan memperjudikan maruah dan teras perjuangan dengan pengaruh wang untuk merebut jawatan.

Beliau percaya ahli serta perwakilan PAS bijak membezakan yang mana halal dan haram dalam perjuangan, begitu juga calon-calon yang bertanding.

Ujarnya, KeADIlan dan parti komponen Pakatan Rakyat tetap bersatu dalam memperjuangkan hak rakyat dan apa yang berlaku tidak akan menjejaskan persefahaman yang sedia terbina. - azm _

Penangkapan Ahli Parlimen dan Adun tidak munasabah

Penangkapan Ahli Parlimen dan Adun tidak munasabah
Muhammad Arif Ismail
Wed | May 20, 09 | 4:59:12 pm MYT

SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - Penangkapan Ahli Parlimen Serdang dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Teratai, Jenice Lee merupakan satu tindakan polis yang tidak munasabah.

Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Parlimen Seputeh yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Dewan Undangan Negeri Kinrara, Teresa Kok dalam sidang media yang diadakan di Bangunan SUK dekat sini petang tadi.

Menurut beliau penangkapan ini dilakukan pada jam 8.30 malam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Chin bersama sembilan orang yang lain telah ditangkap oleh polis di luar Pejabat Ahli Parlimen DAP seputeh, Teresa Kok.

"Hanya kerana mereka memakai baju hitam dan menyalakan lilin serta mengadakan kempen mengumpul tandatangan bagi mendesak Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan, mereka ditangkap.

"Oleh itu, mereka telah dibebaskan pada 3.00 pagi tadi," katanya.

Beliau yang berada di tempat kejadian semasa penangkapan dilakukan oleh OCPD Balai Polis Brickfields berkata perbuatan ini adalah tidak munasabah.

"Mereka yang hadir dalam kempen mengumpul tandatangan itu, hanya 11 orang sahaja. Tetapi sebelum majlis tersebut bermula, polis telah bertindak dengan menyerbu kempen itu.

"Saya rasa, cara polis tersebut merupakan cara yang tidak munasabah kerana tidak menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun bagi mengadakan kempen mengumpul tandatangan ini," tegas teresa.

Tindakan polis ini katanya, menunjukkan kepada rakyat bahawa pihak polis telah melakukan satu lagi penyalahgunaan kuasa dan sebenarnya memburukkan lagi imej kerajaan Barisan Nasional yang diketuai Umno di mana ruang untuk mengumpulkan tandatangan pun ditutup.

"Lebih memburukkan lagi tindakan ini melibatkan Ahli Parlimen dan Adun," ujar beliau. - mns_