Friday, May 22, 2009

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob kembali kerahmatullah

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob kembali kerahmatullah
Harakahdaily
Fri | May 22, 09 | 9:28:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) -Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Manik Urai, Haji Ismail bin Yaacob, 60 meninggal dunia selepas subuh sebentar tadi.

Haji Ismail dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya (penyakit gout, kencing manis) sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Menurut laporan beliau akan dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Paksu Wel antara Adun yang paling lama di Kelantan.

Beliau memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986. Sehingga sekarang beliau sudah lima penggal mewakili Dun berkenaan.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak bertanding dan Dun Manek Urai diwakili Ustaz Zamzuri Mat Lazim, Tetapi tewas kepada calon BN. - azm

Thursday, May 21, 2009

Umno usah degil pertahan kubu rapuh di Perak

Umno usah degil pertahan kubu rapuh di Perak
Muhammad Yusri Amin
Thu | May 21, 09 | 5:16:43 pm MYT

KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) - Umno tidak seharusnya terus berdegil mempertahan kubu yang rapuh di Perak, memandangkan kedudukan Barisan Nasional (BN) belum selamat dengan bilangan Adun yang ada sekarang.

Ini kerana BN dan Pakatan Rakyat masing-masing ada 28 kerusi. Dan tiga kerusi lagi mewakili Bebas, selepas keluar daripada Pakatan.

Oleh itu banyak pihak tampil mendesak supaya Dun Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan.

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim berkata, pandangan pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Osman dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah amat jelas mengenai krisis di Perak.

Katanya, jalan penyelesaian paling sesuai dilakukan ialah membubarkan Dun bagi membolehkan rakyat diberi semula mandat bagi menentukan kerajaan yang lebih stabil.Image

Ditanya kemungkinan wujud kerajaan perpaduan di Perak beliau yang juga anggota Dewan Negara beliau berkata, tidak timbul soal penyatuan di antara dua parti.

"Perkara itu hanya timbul semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Memang pada masa itu ada cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

"Namun sekarang jelas isu tersebut sudah berakhir. Lagi pun Dato' Seri Najib Razak dari awal lagi menolak kerajaan campuran di Perak. Maka jalan yang ada sekarang ialah bubar Dun," ujarnya ketika ditemui di sini.

Mengenai pertandingan dalam PAS pada muktamar yang akan diadakan bulan depan katanya, demokrasi terus dipertahankan dalam parti itu.

Menurutnya pertandingan yang sihat bagi merebut jawatan timbalan dan naib presiden memperlihatkan sikap keterbukaan dalam usaha memantapkan lagi organisasi parti.

"Ini adalah menunjukkan sesuatu yang sihat dan baik. Pelaksanaan demokrasi sepenuhnya berlaku dalam PAS.

"Kita berharap semua pihak tidak memberikan gambaran yang negatif terhadap penyertaan beberapa tokoh yang menawarkan diri bagi membantu presiden," katanya. - mj

'Merampas kuasa' bukan budaya asing bagi Umno/BN

'Merampas kuasa' bukan budaya asing bagi Umno/BN
Sazali Mohd Nor
Thu | May 21, 09 | 4:20:55 pm MYT

KUALA NERUS, 21 Mei (Hrkh) - Berdasarkan rekod masa lampau dan beberapa pilihan raya kecil yang berlaku sebelum ini, Barisan Nasional (BN) merasakan bahawa parti itu akan kalah dalam Pilihan raya Kecil DUN (PRK) Penanti.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berkata Pakatan Rakyat yang diwakili Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) telah pun mengesahkan calonnya akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

"InsyaAllah, Pakatan Rakyat (PR) masuk, Pakatan Rakyat yang diwakili KeADILan akan meletakkan calon, calon pun sudah tahu, Dr. Mansor.

"Saya rasa BN ini menjadi sejarah BN tak masuk (tanding), masalah kalah menang kita tak tahu melainkan bertanding baru tahu.

"Tapi berdasarkan 'track-record' beberapa pilihan raya (kecil) di Semananjung ini, BN merasakan dia tak boleh menang," ujarnya yang ditemui media selepas merasmikan Pelancaran Gerak Kerja Sukarelawan Pendidikan Rakyat (Kawan Didik) disini, semalam.

Beliau berkata BN tidak menyertai pilihan raya kecil Penanti kerana tidak sanggup lagi menerima 'pukulan kekalahan' yang memalukan parti pemerintah itu.

Katanya, Perdana Menteri, Dato� Seri Najib Razak tidak mengikut arahan 'mentor'nya (Tun Dr Mahathir) dengan membuat keputusan tidak menyertai pilihan raya tersebut.

"Walaupun 'mentor' Najib kata masuk (bertanding) iaitu Tun Mahathir. Najib dia cerdik juga, dia tak buat keputusan seorang dia (Najib) panggil semua majlis BN (parti-parti komponen) untuk membuat keputusan, dia kata ini keputusan BN (untuk tidak bertanding)," jelasnya yang turut menafikan tuduhan Umno/ BN, bahawa pilihan raya di Penanti adalah mainan pembangkang.

Katanya, yang terkenal dengan mainan politik adalah Umno dan kemelut politik yang berlaku di negeri Perak adalah disebabkan mainan politik Umno dan BN.

Menurutnya, tidak ada alasan lain BN tidak menyertai pilihan raya kecil hanyalah semata-mata kerana takut menerima kekalahan,

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS mendedahkan, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib juga sudah tidak tahan mendengar isu Altantuya dimainkan pada setiap pilihan raya kecil.

"Dan satu lagi, saya juga dapat sumber yang mengatakan bila setiap kali pilihan raya kecil isu Altantuya timbul, katanya dia (PM) dah tak tahan mendengar isu Altantuya ini," ujarnya.

Sehubungan itu, ketika diminta mengulas kemelut politik negeri Perak, Dato' Mustafa berkata pimpinan BN tidak bersedia untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri yang baru.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dibuat oleh parti itu, BN tidak akan menang sekiranya pilihan raya baru negeri Perak diadakan.

Katanya, walaupun menguasai negeri Perak dengan satu rampasan kuasa, BN tidak sanggup kehilangan kuasa itu.

"Pimpinan BN khususnya Umno, kalau mengikut hati dia (pemimpin Umno-BN) melainkan terpaksa, tidak bersedia menghadapi pilihan raya (baru) di Perak.

"Sebab dia (Umno/BN) buat ukuran berdasarkan kajian dia pun, dia tak boleh menang, sebab itu tak ada pasal dia nak hilang kuasa, (walaupun) kuasa yang dia ambil secara rampas," ujarnya.

Katanya, amalan Umno/BN merampas kuasa bukan hanya berlaku di negeri Perak, namun pernah berlaku di Terengganu dan Kelantan serta percubaan merampas kuasa yang pernah berlaku di Sabah dan Sarawak.

"Merampas kuasa bukan budaya yang asing bagi Umno/BN dan sudah menjadi amalan UMNO/BN sejak sekian lama," ujarnya.

Sehubungan itu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mahu mengekalkan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said juga dianggap beliau sebagai satu sesuatu yang terpaksa.

Katanya, ia adalah untuk mengelakkan pembubaran Dun Terengganu kerana Ahmad Said pernah mengugut akan membubarkan Dun Terengganu sekiranya ada usaha menjatuhkan beliau.

"Kalau dia (Ahmad Said) jatuh, dia bubar Dewan, maknanya pilihan raya baru, belum tentu Idris naik ke, siapa naik ke," tambahnya. - mns

Mursyidul Am rasmi Konvensyen Kelab Penyokong PAS

Mursyidul Am rasmi Konvensyen Kelab Penyokong PAS
Ahmad Tajdid
Thu | May 21, 09 | 4:03:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Konvensyen Kelab Penyokong PAS Nasional akan berlangsung pada 30 Mei ini bertempat di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Klang bermula jam 9.00 pagi.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof berkata majlis itu akan dirasmikan Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu beliau memohon kerjasama Perhubungan PAS negeri-negeri supaya menghantar wakil dari Kelab Penyokong PAS seperti mana yang ditetapkan dalam surat Lujnah Perpaduan Nasional.

"Penyertaan semua negeri adalah penting bagi menjayakan program bersejarah ini kerana ia akan menunjukkan tahap sokongan orang bukan Islam kepada perjuangan PAS.

"Surat-surat telah dikirimkan dan diharap mendapat respon segera dari pihak negeri," katanya.

Konvensyen bertemakan "Berdiri Teguh Menempuh Cabaran" (Stand United, Brave the Challenges) itu, tambahnya adalah kemuncak siri Konvensyen yang telah diadakan di peringkat negeri.

"Selain daripada matlamat mengumpulkan semua ahli Kelab dari seluruh negara, konvensyen ini juga mengharapkan penstrukturan jawatankuasa di peringkat negeri-negeri dapat dilaksanakan segera bagi melicinkan lagi perjalanan Kelab Penyokong PAS di semua peringkat," jelas beliau.

Selain ucapan perasmian Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ucaptama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional yang menggariskan hala tuju kelab juga dinanti-nantikan peserta konvensyen.

"Pencapaian Kelab Penyokong PAS yang ahlinya kini di sekitar 20,000 orang telah membawa PAS ke persada politik berbagai kaum yang mula menjadi popular di kalangan masyarakat India dan Cina.

"Selain daripada itu, Selangor dipilih menjadi tuan rumah kerana menjadi antara negeri yang paling aktif kegiatan Kelab Penyokong PAS selain daripada Perak dan Kedah," kenyataan beliau dipetik.

Mujahid juga berharap konvensyen itu dapat dijayakan sebagai kemuncak kepada aktiviti Kelab yang akan turut hadir sebagai pemerhati dan tetamu khas Muktamar PAS Pusat yang bakal berlangsung awal bulan hadapan.

"Sekali lagi saya menyeru pihak negeri supaya mengambil serius penglibatan ahli kelab di negeri masing-masing dan membantu kami memudahkan urusan penyertaan konvensyen," katanya.

Sebarang masalah atau pertanyaan sila hubungi Sekretariat Konvensyen, Kamarisah Naris no tel 016 3226159 atau Khairul Faizi 019 7701830.- tajdid

'Hati rosak' punca politik gawat, organisasi lumpuh - Dr Azhar Yaakub

'Hati rosak' punca politik gawat, organisasi lumpuh - Dr Azhar Yaakub
Azamin Amin
Thu | May 21, 09 | 2:52:01 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Punca kerosakan di muka bumi, pergolakan politik dan sesebuah institusi serta organanisasi syarikat lumpuh adalah disebabkan oleh hati manusia yang telah rosak.

Pendakwah bebas Dr. Azhar Yaakub berkata baik buruk mana-mana sikap dan tindakan individu mahupun organisasi yang besar ditentukan oleh hati malah ianya diambil kira dan dinilai oleh Allah swt di akhirat kelak.

Beliau turut memberitahu bahawa dalam al-Quran dijelaskan bahawa tidak ada sesuatu yang bermanfaat pada akhirat kelak sama ada harta, kuasa, isteri dan anak-pinak melainkan hati yang baik semata-mata.

"Firaun telah ditulis dalam al-Quran sebagai pemimpin dan ahli politik paling jahat dalam sejarah. Dan kejahatannya berpunca daripada hati yang rosak.

"Oleh kerana hatinya rosak, dia telah memecah-belah masyarakatnya dengan mencipta puak-puak dan bangsa sekaligus menindas serta bertindak zalim. Dengan cara itu, dia fikir dapat memerintah lama dan tiada masyarakat yang bersatu -padu yang akan menentangnya di kemudian hari," katanya memberikan contoh.

Azhar berkata demikian ketika sesi kuliah agama di pejabat Harakah tengah hari tadi yang turut dihadiri oleh sebilangan besar warga kerja Harakah dan Siasah.

Kuliah beliau yang bertajuk "Mengenali Potensi Diri Melalui Hati" berlangsung selama sejam turut diselitkan sesi soal jawab antara hadirin.

Kata Azhar menurut catatan Ibnu Khatir, Firaun telah membunuh sejumlah 40,000 kanak-kanak lelaki demi memastikan surivival politiknya kerana bimbang ada generasi muda iaitu bakal pemimpin yang akan datang akan memberontak dan menggulingkannya.

"Tsunami politik yang berlaku seperti era reformasi 1999, krisis Perak dan lain-lain disebabkan oleh hati yang rosak, yang gila dan tamakkan kuasa tanpa berfikir secara terbuka dan melanggar batas undang-undang.

"Jika, pemimpin punya hati yang elok, boleh terima kekalahan dengan hati yang terbuka sudah pastilah tidak berlakunya kemelut di Perak sehingga membelakangkan undang-undang demi kepentingan kelangsungan politik masing-masing," katanya.

Sungguhpun begitu, beliau menyatakan perselisihan pendapat berbeza dengan perselisihan hati yang boleh membawa kerosakan yang parah.

"Hadis Nabi menyatakan bahawa perselisihan umat Muhammad membawa nikmat. Biar berselisih pendapat tetapi tidak 'khilaf' hati," katanya.

Ditanya persoalan hati yang berkaitan irihati dan 'Ghibtah' (persaingan sihat, berlumba-lumba bersaing) dalam masyarakat, beliau secara berseloroh menjelas makna 'SMOS' iaitu "Susah Melihat Orang Senang" dan "Suka Melihat Orang Susah" untuk membezakan antara keduanya.

"SMOS adalah iri hati tetapi persaingan sihat dan mengambil iktibar atas kejayaan orang dan berubah itu adalah Ghibtah

"Oleh itu 'check' hati masing-masing, atau buat 'team building motivation' sama ada dalam terdapat hati-hati yang bersih atau sebaliknya kerana itulah punca kejayaan ataupun kerosakan sesebuah organisasi," katanya. - azm

Keadilan Islam: Melayu Umno tolak, kaum lain terima

Keadilan Islam: Melayu Umno tolak, kaum lain terima

Zuharman MN
Thu | May 21, 09 | 2:47:51 pm MYT

KETEREH, 21 Mei (Hrkh) � Ketika orang Melayu dalam Umno memperlekehkan keadilan Islam, sebaliknya orang bukan Melayu pula kini semakin terpesona dengan kesyumulan Islam.

Tidakkah ia sesuatu yang ganjil. Namun ia menjadi tidak pelik apabila perjuangan berteras kebendaan berada di hadapan pemimpin Umno sekarang.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata, mungkin sesuatu yang agak jangal apabila orang Melayu dalam Umno kurang berminat bercakap tentang politik Islam.

"Tidakkah mereka merasa malu dengan perkembangan yang berlaku sekarang, sedangkan orang bukan Melayu semakin ramai yang berminat mendekati Islam.

"Hairan sungguh. Orang Cina, India dan kaum-kaum lain boleh sokong perjuangan Islam tetapi kenapa pemimpin Melayu dari Umno menolak pula," katanya pada satu program di sini, baru-baru ini. Image

Menurutnya orang bukan Melayu tidak takut lagi untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa PAS kerana keadilan pentadbiran di bawah ulama dibuktikan di Kelantan.

Katanya, PAS merupakan sebuah parti yang mendokong keadilan kepada semua kaum dan tidak mengutamakan orang Melayu semata-mata.

"Islam tidak membeza-bezakan antara bangsa kerana apa yang dinilaikan ialah tahap ketakwaan dan kejujuran seseorang itu.

"Sebab itulah konsep sebenarnya yang dimahukan rakyat ialah Satu Islam dan bukannya Satu Malaysia seperti yang menjadi citra kepada Perdana Menteri baru sekarang," katanya.

Oleh itu beliau berkeyakinan mesej perjuangan yang dibawa PAS akan terus mendapat sokongan semua pihak kerana keadilan yang diperjuangkan.

Beliau yang juga bekas pendidik dan wartawan berkata, di antara perjuangan dibawa pemimpin PAS dan Umno amat jauh berbeza.

"Bukankah Islam melarang perbuatan mungkar. Saya menyeru kepada Umno, MIC, MCA kembalilah ke pangkal jalan dengan penuh keinsafan bersama-sama memartabatkan keadilan.

"Kemungkaran adalah satu dosa dan balasannya neraka. Jangan sampai terhumbang ke dalam neraka dengan sebab memetingkan periuk nasi semata-mata," katanya.

Sementara itu, di PASIR PUTEH, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, Umno kini mengharapkan bantuan institusi kerajaan bagi meneruskan kelangsungan hidup parti tersebut.

Harapkan bantuan media

Katanya, sekarang mereka begitu mengharapkan bantuan media konvensional bagi menggelirukan rakyat terutamanya krisis politik yang berlaku di Perak sekarang.

"Umno juga menjadikan undang-undang alat tunggangan mereka. Krisis di Perak sudah cukup membuktikan kepada orang ramai wajah Umno di bawah presiden sekarang.

"Tapi peliknya biar pun mereka rempuh undang-undang, hari-hari dalam media, mereka menuduh Pakatan Rakyat tidak menghormati undang-undang. Saya tidak faham teori rimba mana yang dipakai.

"Malangnya mereka lupa rakyat tidak bodoh dengan tipu daya mereka," katanya pada majlis ceramah di padang Majlis Daerah Pasir Puteh malam tadi.

Hadir sama Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah, anggota Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Hussin dan pimpinan PAS kawasan terbabit.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, pemimpin Umno terpaksa mencipta pelbagai alasan bagi mengelakkan berdepan dengan hakim sebenar dalam sistem demokrasi iaitu rakyat pada pilihan raya kecil Dun Penanti, 31 Mei ini.

"Walaupun tidak bertanding namun proses pilihan raya tetap berjalan. Alasan membazir dan tidak menepati perlembagaan langsung tidak boleh diterima.

"Sedangkan penyelewengan wang rakyat yang berlaku di mana-mana oleh pemimpin Umno tidak pernah pula mereka mahu bercakap," katanya.

Khalil Idham berkata, krisis politik di Perak sekarang sudah menghampiri krisis perlembagaan yang hanya dapat diselesaikan melalui mahkamah rakyat. - mj

Perbicaraan masih diteruskan, giliran Peguam Nizar berhujah

Perbicaraan masih diteruskan, giliran Peguam Nizar berhujah

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | May 21, 09 | 12:43:57 pm MYT

PUTRAJAYA, 21 Mei (Hrkh) - Setelah Mahkamah berehat kira-kira 15 minit, kini giliran peguam Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengemukakan hujah setelah pihak peguam Dato' Dr Zambry Abdul Kadir melakukan yang sama pagi tadi sehingga tengah hari tadi.

Perbicaraan bermula jam 9.45 pagi, apabila peguam Zambry, Dato' Cecil Abraham memulakan hujah berhubung status Menteri Besar Perak.

Dijangkakan, tiada sebarang keputusan akan dibuat pada hari ini, memandangkan mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu hujah kedua-dua belah pihak.

Setakat ini, kira-kira 150 penyokong Nizar dan Pakatan Rakyat sudah mula memenuhi luar pekarangan kamar Mahkamah Rayuan 3 berbanding pagi tadi.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dibuat oleh peguam kedua-dua belah pihak biarpun diasak dan diaju soalan oleh puluhan wartawan yang mengikuti secara dekat perbicaraan ini.

Lebih menarik, para wartawan dan jurugambar mengekori sahaja mana-mana VVIP (orang kenamaan) yang keluar masuk ke kamar Mahkamah tersebut hatta menuju ke tandas sekalipun , menjadikan suasana begitu 'gamat' dengan aksi-aksi spontan mereka.

Baru-baru ini keputusan mahkamah tinggi itu ditangguhkan berikutan Mahkamah Rayuan melalui Hakim Dato' Ramly Ali membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu oleh Dato' Dr Zambry Abdul Kadir.

Isnin lalu, Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar telah menghantar surat melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan memohon panel lima hakim untuk mendengar kes tersebut

Alasan permohonan itu ialah membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Sungguhpun kawalan keselamatan di pekarangan Mahkamah tidak terlalu ketat namun bagi oarang ramai yang ingin mengikuti perbicaraan ini akan dilakukan pemerikasaan yang rapi oleh anggota polis.

Kelihatan puluhan wartawan luar dan dalam negara memenuhi kawasan sekitar kamar Mahakmah Rayuan 3, sejak awal pagi tadi, bagi membuat laporan dan liputan mutakhir kes ini.

Jam 9.00 pagi tadi, Peguam Sulaiman Abdullah dan Hanipa Maidin yang mewakili Nizar memasuki kamar mahkamah dengan diikuti pula oleh Peguam Umno Dato' Hafarizam. Turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail dan peguam Tun Majid. - azm