Saturday, May 23, 2009
Penanti: Pengundi Cina sokong calon Pakatan Rakyat
Mohd Sabri Said & Izwan Abd Halim
Sat | May 23, 09 | 8:24:26 am MYT
PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Pengundi cina di beberapa tempat Jentera Daerah Mengundi (JDM) di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti tetap pendirian mengundi calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil yang diadakan 31 Mei ini.
Mereka mengatakan ketetapan itu di hadapan calon N12, Dr Mansor Othman dalam satu pertemuan dan majlis minun teh di kedai minuman di Kubang Ulu petang semalam.
Rata-rata mereka berpandangan Umno dan Barisan Nasional (BN) takut rahsia orang nombor satu negara terus tercalar ekoran perbuatan kroni mereka sendiri.
Masyarakat cina dalam pilihan raya umum ke-12 dan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang diadakan pada Ogos tahun lalu jelas tidak memberikan peluang BN menang sebaliknya memberi undi pada PAS dan KeADILan.
JDM Sungai Lembu, Kubang Ulu, Sungai Semambu dan Jalan Berapit merupakan penempatan bukan Islam yang dulunya sukar ditembusi tambahan lagi belum ada Parti KeADILan yang dapat melonjakan semangat perjuangan mereka menentang penguasa yang zalim.
Chua Hong Tyen, 53, berkata, sepanjang pilhan raya umum dari tahun 1999 beliau dan keluarga tidak pernah memberi undi pada BN kerana tahu BN begitu zalim dan tidak bertimbang rasa. Beliau pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil Permatang Pauh turut berkempen bersama Pakatan Rakyat.
"Saya turut berkempen membantu memenangkan calon Pakatan Rakyat dan ini satu hadiah bererti bagi kami, " ujarnya. Lee Ah Ngor 70 berkata, BN langsung tidak pernah memajukan kawasan ini walhal Penanti dalam pilihan raya umum ke-11 dikuasai BN menerusi calonya Dato' Abdul Jalil Abdul Majid.
Tetapi, apa yang dijanjikan tinggal hampa dengan alasan yang berbagai.
"Kami sudah biasa dengan janji-janji kosong terutamanya BN yang sanggup menabur wang sedangkan pada hakikatnya marah pada pengundi tidak menyokong mereka akibat bencikan ketirisan dan rasuah, " katanya.
Sementara itu, Biro Masyarakat Pilihan raya kecil Penanti , Saudara Jordan sekali lagi mengulangi perasaan gembiranya bila mendapat tahu empat JDM yang majoriti bukan Islam menang dan pasti kali ini semangat yang sama diperolehi. - mks.
Manek Urai: Najib ditempelak cuba bohongi rakyat
Izwan Abdul Halim | izwan@harakah.net.my
Sat | May 23, 09 | 8:19:57 am MYT
PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Membazir wang rakyat yang menjadi alasan popular Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) N.12 Dun Penanti ternyata satu lagi pembohongan mereka kepada rakyat.
Belum pun proses PRK Penanti berlangsung bahkan belum juga tarikh PRK Dun Manek Urai ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahkan tanpa keputusan bersama anggota gabungan BN, Perdana Menteri, Dato� Seri Najib Razak segera memberi kenyataan bahawa BN akan menyertai PRK Dun Manek Urai.
Mengulas perkara tersebut, Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution menyifatkan perkara itu sebagai pendirian tidak konsisten BN terhadap penyertaan dalam pilihan raya.
"Secara kebetulan sambil kita membuat persiapan PRK Penanti, akan berlaku satu lagi PRK di Kelantan iaitu di Manek Urai. Najib telah membuat kenyataan beberapa jam tadi di Singapura bahawa BN akan bertanding di Manek Urai. Itu bermakna BN sebenarnya tidak konsisten dari segi tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya.
"Di Penanti dia tidak mahu mengambil bahagian sebab katanya pilihan raya ini membazir wang rakyat. Kalaulah membazir wang rakyat dijadikan alasan, dia mesti konsisten. Bagaimana pula pilihan raya di sini membazir wang rakyat, sementara pilihan raya di Manek Urai tidak membazir wang rakyat?
"Jadi ternyata BN tidak ada jalan keluar lagi, dia tiada pilihan. Di sini dia cuba 'twist' atau main sentimen seolah-olah ini sesuatu yang merugikan wang rakyat. Tetapi belum pun PRK Penanti bermula, Tuhan takdirkan satu lagi PRK dan sepantas kilat Perdana Menteri mengumumkan bahawa BN akan bertanding di Manek Urai," ujarnya dalam satu temubual bersama Harakahdaily di Pejabat Yayasan Aman, di sini lewat petang semalam.
Katanya, sama ada BN bertanding atau tidak, BN sudah tentu tidak dapat menjadi pemenang di Penanti kerana tidak menyertai PRK itu, manakala Manek Urai pula merupakan kubu kuat tradisi PAS.
"Bayangkan ketika BN menang semua kerusi di Kelantan melainkan dua kerusi, satu darinya adalah Manek Urai yang PAS menang. 'So' demikianlah ketika kekuatan BN begitu hebat pun dia tidak tawan Manek Urai, apatah lagi dalam keadaan sekarang PAS menguasai 40 kerusi bersama KeADILan. 'So', Manek Urai akan jadi kekalahan yang kelima berturut-turut bagi BN, saya yakin!" ujar Saifuddin tersenyum. - mks.
Hakim luar biasa, kebolehan luar biasa
Abdul Aziz Mustafa
Sat | May 23, 09 | 12:28:40 am MYT
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) Kita mempunyai hakim-hakim yang luar biasa yang mempunyai kebolehan yang luar biasa.
Demikian ulasan spontan Haji Sulaiman Abdullah, salah seorang dari lapan hakim yang mewakili Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam perbicaraan di Mahkamah Rayuan semalam.
Seorang lagi peguam Mohammad Nizar, Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.
Mahkamah tersebut mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
"Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat," katanya.
Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan, katanya lagi, maka sebarang keputusan mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan itu sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.
Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.
Tiga hakim Mahkamah Rayuan itu, Datuk Md Raus Shariff, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop, hanya mengambil lima minit untuk mengumumkan Zambry Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Mereka juga mendakwa bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa penuh untuk melantik Zambry tanpa perlu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengemukakan undi tidak percaya terhadap Nizar.
Bagaimanapun, tidak memberikan hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka.
Selepas keputusan mereka diumumkan, Sulaiman memohon mendapatkan penghakiman bertulis daripada mahkamah untuk tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Md Raus menjawab: "Saya telah cuba menulisnya malam tadi. Saya akan usahakan dalam masa seminggu ini."
Beliau juga menolak permohon untuk mengetepikan perintah penangguhan Mahkamah Rayuan sebelum itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah._
Walau kalah 3-0, Nizar mahu penyokong bersabar
Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Sat | May 23, 09 | 12:22:49 am MYT
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin meminta agar penyokongnya bertenang meskipun Mahkamah Rayuan tidak menyebelahinya.
Semasa diminta mengulas kekalahan beliau itu, Nizar yang nyata kecewa dengan keputusan tersebut bagaimanapun berkata terpaksa menerima keputusan itu. "Walaupun kalah, saya pasti saya tetap menang di hati rakyat, dan kemenangan BN ini hanya akan membuatkan rakyat semakin membenci BN," ujarnya.
Begitupun, Nizar tidak mahu penyokong Pakatan Rakyat membuat tindakan yang membelakangi undang-undang.
"Saya harap penyokong bersabar.Kita akan berusaha dan saya akan membuat rayuan pula di mahkamah persekutuan kerana ruang itu masih ada untuk saya berbuat demikian," ujarnya. 
Beliau juga menyeru Zambry untuk mencadangkan kepada Sultan membubarkan Dun Perak bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang benar-benar sah.
Sementara itu Adun PAS Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah pula turut meminta penyokong bertenang
Beliau mahu penyokong dapat menerima hakikat keputusan yang telah diumumkan hari ini walaupun ia satu keputusan yang berat untuk diterima.
"Saya minta mereka bertenang dengan apa yang telah diumumkan oleh hakim walaupun tidak memihak kepada pakatan rakyat, kita yakin kebenaran akan dicapai," katanya.
"Sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini.. walaupun BN menang tetapi politik di Perak tidak akan tenteram dan aman melainkan diadakan pembubaran Dun," tegasnya.
Bagi Khalil Idham, majoriti tipis yang memihak kepada BN dengan jumlah wakil rakyat yang dibeli sebanyak tiga orang dari Pakatan Rakyat menggambarkan betapa rapuh kerajaan yang ada di Perak.
Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.
Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.
Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.
Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.
Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN. - wann/mks. _
BN tidak minat wujud Kementerian Hal Ehwal Agama Islam
Muhammad Yusri Amin
Fri | May 22, 09 | 6:39:55 pm MYT
KOTA BHARU, 22 Mei (Hrkh) - Biar pun perdana menteri silih berganti, namun tiada seorang pun yang berminat mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Agama Islam seperti diamalkan di negara-negara lain.
Di negara ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri sahaja yang dipertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam.
Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sedangkan kementerian lain sering bertukar ganti, namun kementerian khusus untuk menjaga agama Islam tidak ada.
"Sedangkan kementerian yang mampu menangani hal ehwal pengurusan Islam khususnya aspek moral dan akhlak umat Islam cukup penting.
"Sebaliknya pemimpin Umno sering menukar nama kementerian, misalnya Kementerian Kebudayaan kini menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.
Menurutnya dengan ada kementerian khusus mengenai hal ehwal Islam pelbagai perkara dapat dirancang bagi memartabatkan lagi agama Islam, sebagai agama rasmi negara.
Beliau juga berkata, Kelantan agak bernasib baik apabila wujud banyak pusat pengajian pondok sejak berpuluh tahun lalu yang menjadi penggerak perjuangan Islam.
Pada kuliah itu beliau turut mengambil kesempatan membaca al-Fatihah dan berdoa kepada Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakob yang baru meninggal dunia. - mj
Adakah wujud unsur diatur dalam keputusan mahkamah?
Abdul Aziz Mustafa
Fri | May 22, 09 | 6:26:51 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) Dengan mengemukakan maklumat yang diterimanya sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan adakah wujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
Mahkamah rayuan petang ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Menurut Husam, posting beliau dalam blognya tiga hari lalu telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini.
"Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis Barisan Nasional (BN) sekali lagi Isnin atau Selasa ini.
"Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini?
"Ia bukan tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa. Sudah tentu kita tidak dapat mengharapkan apa-apa pada hari ini," katanya.
Kepada Husam, keputusan mahkamah rayuan hari ini memberi kesan besar.
"Baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, Agong atau Sultan boleh melantik Perdana Menteri atau Menteri Besar yang baru tanpa Perdana Menteri atau Menteri Besar berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya.
"Adakah negara kita sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses tabung uji di luar rahim iatu Dewan Rakyat atau DUN seperti yang difahami sebelum ini?
"Khususnya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik Perdana Menteri yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?"
Ahli Exco Kerajaan Kelantan itu seterusnya menyatakan,tiga atau lima atau tujuh hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman kita, melainkan keputusan mereka dilihat wajar.
"Apa lagi keputusan Mahkamah ke atas krisis politik, memerlukan lebih ketelitian dan kebebasan".
Husam seterusnya "meramalkan" Majlis BN akan bersidang dan kemudian Zambry kononnya bersetuju menyerahkan mandat kepada rakyat dengan mengadap Sultan Perak untuk pembubaran.
Memang itu yang dihasratkan oleh Pakatan Rakyat (PR), katanya, "tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak".
Kematian Ismail kehilangan besar pada kerajaan negeri,PAS
Wartawan Kita | Foto Rizal Tahir
Fri | May 22, 09 | 5:15:40 pm MYT
KUALA KRAI, 22 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai,Haji Ismail Yaacob,60, sebagai kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan PAS.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata Ismail, yang meninggal di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu di sini kira-kira 5.50 pagi tadi sebagai antara wakil rakyat PAS yang paling lama berkhidmat di Kelantan.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud berkata Ismail menunjukkan prestasi yang sangat baik sebagai seorang wakil rakyat.
Petang tadi, ribuan penduduk menunaikan solat jenazah ke atas Allahyarham Ismail di Masjid Kampung Manek Urai Lama sebaik sahaja selepas solat Jumaat.
Tuan Guru Nik Aziz mengimamkan solat tersebut yang melimpah sehingga ke luar masjid.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan.
Selain itu turut hadir wakil-wakil rakyat, pemimpin PAS kawasan, KeADIlan dan pegawai kerajaan.
Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan khutbah Jumaat dan sempat bertakzirah ringkas mengenai kematian.
Ramai melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekali sekala sebak mengenangkan Paksu Mail, seorang pemimpin yang begitu rapat dengan masyarakat.
Selain itu jenazah Paksu Mail, terdapat satu lagi jenazah iaitu wanita yang juga meninggal dunia hari ini turut disembahyangkan serentak.
Kehadiran orang ramai menyebabkan Kampung Manek Urai Lama menjadi sendat dan berlaku kesesakan luar biasa di jambatan memandangkan ia hanya boleh dilalui sehala sahaja.
Kedua-dua jenazah kemudian diusung ke tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumah Paksu Mail. Jenazahnya dibawa turun ke liang lahad kira-kira jam 2.05 petang.- mks._



