Monday, May 25, 2009
Pilihan Raya Kecil lebih aman tanpa BN - Nizar
Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | May 25, 09 | 1:06:30 pm MYT
PENANTI, 25 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, pilihan raya kecil Dun Penanti nyata aman terutamanya apabila Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Kubang Semang sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Penanti pada 23 Mei lalu.
Ceramah yang diadakakan di Kubang Semang itu membariskan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan Saifuddin Nasution.
Ini kerana katanya, polis tidak akan 'sibuk' untuk menjadi penggempur dan bekerja untuk BN bagi memastikan kedudukan BN selamat.
"Sejak pagi tadi semasa penamaan calon suasana cukup aman, polis pun tak ramai yang datang, tidak sama seperti prk Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebelum ini.
"Ketika di Kuala Terengganu polis dihantar seramai mungkin hingga mewujudkan suasana seolah-olah Kuala Terengganu berada sebagais ebuah daerah polis," katanya.
Namun kali ini, suasana aman kerana tidak ramai anggota polis yang ditugaskan bagi mengawal keadaan.
"Kita yakin sebenarnya jika pilihan raya ini tidak diganggu dengan kehadiran polis yang terlalu ramai, ia akan berada dalam keadaan aman," ujarnya.
Menyentuh isu di Perak, Nizar menyifatkan rampasan kuasa yang dilakukan Barisan Nasional (BN) di sana sebagai satu 'perbuatan zalim' di abad ini.
"Tiada perbuatan lain yang sezalim ini, merampas hak rakyat yang memilih kerajaan yang sah dan menggunakan kuasa menghalalkan t]indakan zalim mereka ini," katanya.
Lebih dahsyat lagi kata Nizar, BN menggunakan gelanggang mahkamah bagi mengesahkan lagi tindakan rampasan kuasa itu sebagai satu tindakan halal.
Nizar yang nyata kesal dengan rampasan kuasa oleh BN di Perak itu memberi amaran bahawa tindakan itu hanya akan membuatkan rakyat semakin benci dengan BN.
"Saya menyeru pengundi di Penanti ini agar memberikan undi kepada calon Pakatan Rakyat dalam masa yang sama sebagai singnal kepada kekejaman yang BN lakukan terhadap rakyat di Perak dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.
Inilah peluang kepada rakyat untuk terus menyatakan bantahan kepada kerajaan dengan memberi undi kepada Pakatan Rakyat, katanya lagi.- azm
PAS Kuala Krai mulai gerakkan jentera pilihan raya
Mohd Nor Yahya
Sun | May 24, 09 | 9:21:25 pm MYT
KUALA KRAI, 24 Mei (Hrkh) - PAS kawasan ini telah menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Haji Ismail Yaakub pagi Jumaat lalu.
Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, persiapan awal telah digerakkan bermula semalam dengan mengadakan beberapa pertemuan.
"Dan malam ini akan diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan di Dun Manek Urai.
"Kita membuat persiapan awal sebelum jentera peringkat negeri turun," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Ladang Pasir Gajah, petang tadi.
Malam semalam seorang pemuda India, Kumara Dewan, 32 mati akibat kemalangan jalan raya di Kampung Keroh. Sumbangan disampaikan kepada ayah mangsa, B Balakrishnan.
Mangsa dijangka melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan. Dia juga mengusahakan kedai runcit di ladang tersebut. Kumara merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.
Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, PAS Kuala Krai akur sepenuhnya mana-mana calon yang diketengahkan pimpinan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.
Beliau juga berharap mendapat kerjasama jentera pilihan raya Pakatan Rakyat dari seluruh negara seperti mana yang berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
"Saya yakin sepenuhnya seluruh jentera Pakatan Rakyat akan turut memberi sumbangan dalam pelbagai cara untuk mempertahankan Dun Manek Urai," katanya.
Beliau juga berharap Umno tidak meletakkan calon di Manek Urai memandangkan sebelum ini mereka tidak mahu membazirkan wang kerajaan.
"Sekarang kita akan lihat mereka akan bertanding atau tidak. Kalau di Penanti mereka menarik diri atas alasan tidak mahu membazir," katanya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krai, Ustaz Mahadi Mat Zin berkata, pemuda PAS kawasan itu akan bekerja keras mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tersebut. - mjBekas Adun tabur semula janji lama di Manek Urai
Lanjusoh & Zuharman MN
Sun | May 24, 09 | 8:42:28 pm MYT
KUALA KRAI, 24 Mei (Hrkh) - Umno Kelantan kini amat mengharapkan semangat Pengkalan Pasir pada 2005 berulang di Manek Urai, biar pun empat pilihan raya kecil pasca Mac 2008 nasib tidak menyebelahi mereka.
Lebih-lebih lagi Umno Kelantan di bawah Dato' Mustapa Mohamed, yang dianggap berjaya memulih kedudukan Umno pada pilihan raya umum 2004.
Maka tidak hairanlah sejak berita Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakub (Paksu Mail) jatuh sakit tersebar, Umno sudah melakukan gerak kerja keluar masuk kampung.
Difahamkan antara pemimpin Umno yang melobi untuk dicalonkan bekas Adun Manek Urai, Zulkifli Omar apabila dikatakan sudah menjelajah ke beberapa kampung di kawasan Dun terbabit.
Dan semalam beliau difahamkan mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Budi.
"Pertemuan tersebut diadakan di sebuah kedai kopi. Zuki berucap di depan beberapa penduduk yang ada di kedai kopi tersebut dengan menjanjikan mahu memberi pelbagai bantuan kepada penduduk.
"Kalau hendak zink dia sanggup beri. Seorang rakan yang hadir pada pertemuan itu memberitahu sudah acap kali dia mendengar bekas wakil rakyat menabur janji serupa," kata seorang penduduk Sidi Mamat, 42 di sini.
Bagaimanapun laluan Zulkifli untuk dicalonkan pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan sukar memandangkan beliau tewas merebut jawatan Naib Ketua Bahagian Kuala Krai pada pemilihan yang diadakan tahun lepas.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Kuala Krai tewas kepada Jalal Che Muda.
Sementara itu di Kampung Manek Urai Lama, orang ramai masih lagi menziarahi keluarga Paksu Mail untuk merakamkan ucapan takziah.
Manakala pada sebelah malam diadakan tahlil arwah di masjid yang terletak tidak jauh daripada rumah Adun terbabit.
Sementara itu, seorang ahli Umno di Kubang Kerian turut merasai kehilangan Paksu Mail kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersikap peramah dan mesra rakyat.
"Sebenarnya saya tidak rapat dengan arwah Paksu, tetapi sesekali bertemu kita dapat merasai bagaimana kemesraan beliau dengan orang ramai.
"Peribadinya luhur. Beliau berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin Umno. Sebab itulah saya juga merasai pemergian Paksu," katanya.
Paksu Mail kembali ke Rahmatullah pada pagi kelmarin di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu selepas hampir sebulan menjalani rawatan. Beliau menderita penyakit gaot, jantung dan darah tinggi.
Allahyarham berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Manek Urai selama lima penggal dan tidak pernah kalah dalam pilihan raya.
Seorang bekas pemimpin Parti Semangat 46 berkata, arwah Paksu Mail merupakan seorang wakil rakyat patut diteladani semua ahli politik. - mj _
BN dan politik, perkara biasa di Malaysia
Mohd Sabri Said
Sun | May 24, 09 | 5:31:05 pm MYT
PENANTI, 24 Mei (Hrkh) - Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) patut menganggap kejadian politik yang terjadi di Malaysia 'perkara biasa' yang tidak perlu dikelam-kabutkan.
Tetapi, apa boleh buat Barisan Nasional (BN) masih tidak boleh terima 'perkara biasa' yang ditentukan oleh rakyat apabila kalah pada lima buah negeri dalam pilihanraya umum ke 12 lalu.
Sebelum itu ujarnya, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Umno dan BN tidak pernah hirau apa yang berlaku terutamanya senario politik tetapi selepas mendapat tamparan hebat kalah banyak kerusi mereka bertukar kepada tidak dapat menerima hakikat.
"BN patut anggap perkara biasa apa yang terjadi di Malaysia, mereka kena anggap perkara biasa kalah di lima buah negeri, tidak bertanding di Penanti, hilang majoriti pun perkara biasa, setiap kali BN sertai pilihan raya kecil kalah pun perkara biasa dan BN patut adakah pilihan raya seluruh Perak pun satu perkara biasa yang patut diterima, " jelasnya ketika ditemui di pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBM) Penanti semalam.
Menyentuh mengenai keputusan kahakiman Mahkamah Rayuan Putrajaya beliau menambah, jika mahkamah memihak kepada Pakatan Rakyat pun jalan paling baik ialah bubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) serah pada rakyat menentukan kerajaan mana yang mereka inginkan.
Kuasa siapa yang berhak menerajui kepimpinan Perak sambungnya, bukan terletak pada dua atau tiga orang hakim sebaliknya terpulang pada rakyat yang telah memberi mandat pada pilihan raya umum lepas.
Jika Menteri Besar 'haram' Perak, Dr Zambry Abdul Kader menang beliau juga harus mengembalikan hak rakyat menentukan kerajaan BN atan Pakatan Rakyat yang akan jadi pilihan rakyat.
"Peliknya BN tidak boleh anggap semua kejadian politik perkara biasa sebaliknya mahukan mereka menang sahaja. Jika kalah mereka akan buat seriba macam usaha merampas kembali walaupun rakyat telah menolak mereka dalam semua aspek, " tegasnya. - mks
Sunday, May 24, 2009
Keputusan mahkamah satu skrip dan matinya demokrasi
Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | May 24, 09 | 7:58:47 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kemenangan 3-0 kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir pada 22 Mei lalu adalah satu keputusan yang telah diskripkan.
Demikian kata Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa diminta mengulas keputusan kes rayuan Dr Zambry bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Dato' Seri Ir NIzar Jamaluddin selaku MB yang sah.
Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Mohammad Nizar Jamaluddin.
Mengulas lanjut Mohamad Sabu berkata, keputusan yang telah diskripkan itu menandakan matinya demokrasi di negara ini.
"Keputusan ini sangat pelik kerana ia telah bocor dahulu, seluruh media BN telah menanti hanya untuk umumkan sahaja, satu lagi tanda sebelum keputusan dibuat ramai Adun dan pemimpin BN hadir, tak macam semasa keputusan di Mahkamah Tinggi,"ujarnya.
Meskipun begitu Mohamad Sabu masih mengharapkan akan berlakunya pembubaran Dun oleh pihak BN.
Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.
Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Dato' Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.
Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop.
Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.
Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN. - mks.
Tidak bertanding di Penanti, bukti BN makin parah
Mohd Sabri Said
Sun | May 24, 09 | 10:35:56 am MYT
PENANTI, 24 Mei (Hrkh) - "Terima kasih Barisan Nasional (BN) kerana tidak bertanding di Penanti kerana ia memberi laluan mudah untuk Parti keadilan Rakyat (KeADILan) mempertahankan kerusi di situ, " ujar Ketua Perhubungan KeADILan Pulau Pinang, Dato' Zahrin Hashim.
Beliau ketika ditemui di hari penamaan calon pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBM), Penanti menambah, pengunduran diri Barisan Nasional (BN) bukan sahaja memudahkan kempen bahkan terbukti kegawatan BN makin parah.
Jelasnya lagi, namun walaupun laluan agak mudah tetapi penerangan kepada rakyat tetap di teruskan ke kampung-kampung atau taman bagi tujuan menyedarkan mereka tentang kepentingan pilihan raya yang diadakan.
Katanya,Pakatan Rakyat mahukan rakyat dilatih dengan sistem demokrasi yang sah maka kemasukan dalam pilihanraya boleh meningkatkan lagi pengaruh parti yang menyertainya.
"Insya-Allah bila menang nanti kita akan teruskan kerja kerajaan yang kian banyak maklumlah kita mempunyai kerajaan yang seimbang dan telus, " jelasnya.
Tambahnya, untuk mencapai hasrat itu bukan sahaja memerlukan gabungan tenaga bersama bahkan memerlukan kesatuan fikiran. - mks.
Kerajaan, OIC digesa selamatkan Masjid al-Aqsa
Harakahdaily
Sun | May 24, 09 | 8:27:33 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) -Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK) merasakan keprihatinan dan kebimbangan yang tinggi kepada nasib Masjid Al-Aqsa yang kini semakin terancam dan diambang kemusnahan akibat aktiviti bawah tanah oleh Zionis Israel.
Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor,Mohd Ezli Mashut, berita-berita terbaru yang terpampang di media-media utama negara ini dan antarabangsa memberikan satu gambaran tragis bakal berlaku kepada Masjid Al-Aqsa jika tiada usaha pantas dan bersepadu digerakkan di peringkat nasional dan antarabangsa.
"AMK Selangor menggesa agar Kerajaan Malaysia dapat memainkan peranan yang aktif dan berani untuk mengusulkan isu ini di peringkat dunia Islam dan antarabangsa.
"Kerajaan Malaysia juga disaran menggerakkan usaha bersepadu di peringkat antarabangsa bagi memastikan Zionis Israel tidak meneruskan aktiviti-aktiviti penggalian terowong bawah tanah yang merancang untuk memusnahkan terus Masjid Al-Aqsa tersebut secara semulajadi jika berlaku gegaran gempa bumi atau seumpamanya,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahnya,AMK Selangor berharap agar desakan untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam ini mendapat sokongan dan dokongan kuat semua pihak di negara ini daripada semua parti politik, NGO, kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
"Isu ini diketengahkan kerana ianya adalah satu isu antarabangsa dan kemanusiaan yang melangkau batas sempadan bangsa, agama dan negara. Tindakan biadap Zionist Israel adalah satu ancaman yang berbahaya kepada seluruh umat manusia di dunia ini,"katanya.
Selain itu beliau berharap,Perdana Menteri Malaysia akan memanjangkan isu keselamatan dan nasib Masjid Al-Aqsa di peringkat antarabangsa semasa kunjungan beliau ke luar negara.
"Kita juga berharap semasa lawatannya ke China kelak, Perdana Menteri dapat mengemukakan isu ini agar China selaku salah satu kuasa besar dunia baru juga dapat memberikan tekanan kepada pihak Israel agar serius dan serta merta menghentikan apa jua aktiviti yang boleh mengancam dan menjejaskan struktur Masjid Al-Aqsa ini,"jelasnya lagi.
Di samping itu,katanya,"AMK Selangor juga berharap semua pertubuhan politik di negara ini juga dapat menjadikan isu ini sebagai satu isu serius antarabangsa yang utama ketika ini."
Menurutnya, perbezaan fahaman dan politik yang berlaku di negara ini tidak wajar dijadikan penghalang dan tembok untuk bersama-sama bergerak dalam satu suara rakyat Malaysia untuk menghentikan rancangan jahat pihak Zionis Israel yang memang jelas merancang untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa ini bila-bila masa sahaja ketika umat Islam dan masyarakat dunia difokuskan kepada masalah ekonomi dan kewangan dunia.
"AMK Selangor berkeyakinan bahawa semua rakyat Malaysia boleh bersama-sama dalam mendesak kerajaan Malaysia agar aktif dan berperanan besar dalam menggerakkan kesedaran global kepada nasib Masjid Al-Aqsa ini,"katanya lagi.
Ujarnya, dunia pastinya tidak mahu melihat peristiwa tragis kemusnahan Masjid Al-Aqsa angkara konspirasi jahat Zionis Israel ini daripada berlaku.
Tambahnya, resolusi PBB tidak akan lagi mempunyai erti dan makna lagi jika perancangan konspirasi Zionis Israel ini mencapai kejayaan.
"AMK Selangor mengajak semua pimpinan parti politik, NGO dan pihak kerajaan menjadikan isu antarabangsa nasib kemusnahan Masjid Al-Aqsa mendapat liputan dan perhatian dunia antarabanga.
"Sudah tiba masa dan ketikanya sekali lagi di waktu kita berbeza pandangan dan pendapat di negara ini, kita seiringan dan senada satu suara menggerakkan dan menyedarkan dunia mengenai satu lagi kezaliman dan perancangan konspirasi jahat Zionis Israel,"tegasnya. - mks.



