Tuesday, May 26, 2009

Layakkah Ibrahim Ali label Pakatan hipokrit?

Layakkah Ibrahim Ali label Pakatan hipokrit?
Mat Zain Mat Isa
Tue | May 26, 09 | 12:52:54 pm MYT

Tiba-tiba saja bersipongang di serata negara seruan agar semua pihak akur dan menghormati keputusan mahkamah. Semua pihak diharapkan dapat menerima hakikat yang diputuskan institusi kehakiman itu, sama ada memihak kepada mereka atau sebaliknya.

Serentak itu juga pihak yang tidak menang diingatkan agar jangan terus berusaha memanjangkan isu yang mereka anggap telah selesai. Kata mereka, rakyat sudah bosan melihat pertikaian ini. Kini, akhirnya telah terbukti dan telah sah siapa betul dan siapa salah.

Itulah gambaran betapa hipokritnya mereka ini, bukan? Isu dimaksudkan ialah pertikaian mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah. Mereka itu pula ialah para pemimpin dan pendokong Barisan Nasional (BN).

Kenyataan mereka dalam nada itu hanya tingkah-meningkah setelah keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Jumaat (22 Mei) memihak kepada BN.

Sedangkan seruan dan sikap serupa tidak mereka pamerkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 11 Mei lalu. Mengapa ketika itu tidak dikatakan kebenaran telah terbukti dan semua pihak jangan lagi memanjangkan itu tersebut?

Sebaliknya, BN selaku pihak yang kalah tidak bertangguh untuk membantah keputusan tersebut. Mereka tidak mengambil masa walau 24 jam untuk mendapatkan perintah mahkamah menghalang pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Hanya sempat beberapa jam menyambung tugas rasminya sebagai Menteri Besar, Nizar terus diperintahkan meninggalkan pejabatnya.

Dalam kenyataannya menyambut keputusan Mahkamah Tinggi, Nizar bertekad menghadap Sultan Perak bagi mempersembahkan permohonan perkenan Baginda agar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan. Perjuangan Pakatan Rakyat, jelasnya, tidak akan selesai hanya setakat keputusan mahkamah. Kemelut politik Perak hanya dapat diakhiri dengan memulangkan kembali hak memilih kerajaan kepada rakyatnya.

Malangnya, hasrat yang disuara dan didambakan pelbagai pihak itu gagal dihayati BN. Mereka tidak bersdia menerima penyelesaian itu. Sebaliknya terbukti mereka lah yang memanjangkan pertikaian tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Jumaat lalu memutuskan menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Ia sekali gus menidakkan segala hujah dan pandangan Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim yang memihak Nizar.

Kini, apabila Nizar dan pasukan peguamnya berura-ura memfailkan rayuan atas keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan, ada pula pihak yang menuduh mereka sengaja memanjangkan isu tersebut. Mereka mendakwa isu telah selesai dengan keputusan Mahkamah Rayuan. Kata mereka, Nizar dan Pakatan Rakyat perlu akur bahawa BN memang berhak ke atas kerajaan Perak.

Di masa sama ada pula pihak yang melabelkan Nizar dan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai hipokrit. Orang itu tidak lain daripada Dato' Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas yang menang atas tiket PAS, tetapi kini secara terbuka 'melompat' ke pangkuan BN.

"Apa lagi yang nak bising-bising apabila mahkamah telah membuat keputusan dan kalau mereka yakin sangat rakyat Perak mengundi mereka, tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang," katanya, sepertimana dipetik akhbar mingguan, Ahad (24 Mei).

Tadi sudah dijelaskan bahawa sikap dan pendirian Pakatan Rakyat dalam mendesak Dun Perak dibubarkan bukan satu hipokrasi. Ia telah disuarakan sedari awal krisis politik negeri itu dicetuskan BN, awal Februari lalu. Sikap dan pendirian itu juga kekal dipegang Pakatan Rakyat hingga ke saat ini. Justeru, apa yang hipokritnya pada desakan itu?

Sedangkan yang lebih layak disifatkan hipokrit ialah BN dan Ibrahim sendiri. Selain sikap yang ketara berbeza dalam menerima keputusan dua mahkamah, mereka juga tidak konsisten dengan keyakinan terhadap sokongan rakyat.

Mereka mendakwa kononnya rakyat sudah bosan dengan karenah dan sikap gila kuasa Pakatan Rakyat, bagi menggambarkan kononnya rakyat sudah bulat dan sepakat di belakang BN. Malangnya, apabila didesak memberi peluang kepada rakyat menentukan hakikat itu, mereka bermati-matian pula mengelaknya. Bukankah itu juga hipokrit?

Ibrahim Ali sendiri memang diketahui sangat takut untuk berhadapan dengan perhitungan rakyat Pasir Mas. Beliau telah dicabar mengenai perkara itu dan telah menzahirkan sifat hipokritnya. Apakah layak orang seumpama itu melabelkan orang lain sebagai hipokrit? - mns_

Ibrahim Ali tengah dapat restu BN tu hehe
Pelik bila dia dok sebut pembangkang, pembangkang, dia tu bukan pembangkang ker?

Ringankan beban kanak-kanak, keluarga mangsa ISA

Ringankan beban kanak-kanak, keluarga mangsa ISA
Azamin Amin
Tue | May 26, 09 | 11:00:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Harakah dan Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (GMI) sedang giat mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada keluarga mangsa ISA yang ditahan di Kamunting sejak bertahun lamanya.

"Ayah dikurung di Kamunting, ibu terpaksa mencari nafkah, lebih malang anak-anak tercicir dari sekolah malah ada yang tidak mengenal huruf."

Begitulah antara 'rangkap' keperitan yang dilalui oleh mereka khususnya kanak-kanak tidak berdosa yang tidak mengerti apa-apa tentang kezaliman akta tersebut terhadap ayah mereka.

Justeru, Ketua Pengarang Harakah dan Harakahdaily Ahmad Lutfi Othman memohon jasa baik dan simpati orang ramai untuk sama-sama membantu, paling tidak sedikit untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan kanak-kanak ini yang perlu diberi perhatian oleh seluruh masyarakat di negara ini yang prihatin terhadap tanggungjawab meneruskan pelajaran demi masa depan mereka.

"Yuran, buku sekolah, pakaian dan bayaran pengangkutan menjadi beban besar kepada keluarga mangsa ISA kerana ketua keluarga, ayah mereka tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu. Ada yang tiada sumber pendapatan malah, terpaksa mencari sesuap nasi dengan pelbagai cara yang menyulitkan.

"Demi masa depan mereka, saya meminta jasa baik orang ramai supaya dapat menghulurkan bantuan dana untuk diagihkan kepada mereka yang tidak bernasib baik," kata Ahmad Lutfi yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Ahmad Lutfi berharap dengan sumbangan dana dan apa jua bantuan orang ramai itu dapat mengembalikan dan menyuntik semangat keluarga mangsa ISA untuk meneruskan persekolahan anak-anak mereka sekaligus matlamat untuk melihat kanak-kanak tidak berdosa ini berjaya dalam pelajaran dan mengubah masa depan keluarga tercapai.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan,bolehlah dimajukan dana tersebut ke HARAKAHDAILY DOT COM akaun Maybank 564070000336.

Segala simpati dan sumbangan diberi, hanya Allah yang membalasnya. - azm

Umno buat rombongan 31 Mei, elak keluar mengundi?

Umno buat rombongan 31 Mei, elak keluar mengundi?
Mohd Sabri Said
Tue | May 26, 09 | 10:59:11 am MYT

PENANTI, 26 Mei (Hrkh)-Umno Bahagian Permatang Pauh dipercayai mengadakan rombongan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan tujuan melarikan sebahagian besar ahlinya pada 31 Mei ini.

Kegiatan tersebut dipercayai semata-mata menghalang ahlinya daripada menyertai pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti yang menyaksikan pertandingan empat penjuru tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) iaitu tiga bebas dan seorang calon Pakatan Rakyat.

Harakahdaily dimaklumkan oleh sumber, bas disediakan di semua cawangan dan terpulang kepada ahlinya untuk turut serta atau sebaliknya.

"Kepada mereka yang tidak kesempatan menyertai rombongan tersebut mereka dinasihatkan memboikot pilihan raya berkenaan bagi mengurangkan peratus jumlah keluar mengundi," kata sumber terbabit.

Pada pendapat mereka, kata sumber itu jika peratus jumlah keluar mengundi turun tidak mustahil calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman kalah dan menyukarkan pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri 1 yang tinggalkan penyandangnya sebelum ini Mohamad Fairus Khairudin.

Tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri bahkan boleh mencetuskan salah faham dan perpecahan sesama parti gabungan Pakatan Rakyat.

Ini merupakan peluang untuk Umno dan BN membalas dendam kekalahan bertubi-tubi mereka ketika berhadapan dengan Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini.

Namun kata sumber itu, bagi mengatasi perkara ini daripada berlaku jentera Pakatan Rakyat harus melipat gandakan gerakan penerangan kepada rakyat betapa pentingnya pilihan raya kecil ini diadakan untuk melincinkan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng yang jelas berjaya memperkenalkan beberapa strategi pembangunan serta membantu golongan miskin tegar walaupun baru memerintah setahun berbanding Umno dan BN. - azm

Mohammad Sabu turut bertanding Timbalan Presiden PAS

Mohammad Sabu turut bertanding Timbalan Presiden PAS
Harakahdaily
Tue | May 26, 09 | 9:57:36 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu telah mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan PAS awal Jun depan.

"Saya akan tetap bertanding dan tidak akan tarik diri," katanya kepada sebuah akhbar online.

Menurut Mohammad Sabu, beliau telah menghantar borang penerimaan pencalonan kepada jawatankuasa pemilihan parti tiga hari lalu.

Urusan penerimaan pencalonan pemilihan PAS ditutup semalam.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, lima orang calon layak bertanding iaitu Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Murysidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din dan dua Naib Presiden PAS sedia ada, Dato' Paduka Husam Musa dan Mohammad Sabu sendiri.

Minggu lalu, Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah dan Haron Din telah mengumumkan tidak akan bertanding jawatan tersebut.

Pengesahan itu Mohammad Sabu melengkapkan saingan tiga penjuru bagi jawatan nombor dua parti itu.

Pagi semalam Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Salor turut mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut manakala Ustaz Nasharuddin, Timbalan Presiden PAS sejak dua penggal, mengesahkan akan mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga. - azm

Mogok lapar : Lima ditahan di Wisma DAP

Mogok lapar : Lima ditahan di Wisma DAP
Harakahdaily
Tue | May 26, 09 | 9:49:25 am MYT

IPOH, 26 Mei (Hrkh) - Lima orang dari firma pengurusan majlis yang dilantik Pakatan Rakyat ditahan polis ketika cuba menguruskan mogok lapar di luar Wisma DAP di sini pagi ini.

Mereka ditahan kira-kira 7 pagi. Acara itu sepatutnya dijadual dirasmikan pukul 10 pagi ini.

Selain ditahan, pihak polis juga merampas sebiji belon besar yang sepatutnya dilepaskan ke udara ketika pelancaran mogok lapar nanti.

Menurut laporan sebuah laman web, petugas DAP mendakwa belon berharga RM2,000 itu ditempah khas untuk pelcaran tersebut dan ditulis dengan �Daulat Tuanku' dan �Bubarkan DUN' .

Setakat ini, tiada wakil rakyat Pakatan yang berada di Wisma tersebut ketika penahana dan rampasan itu berlaku.

Namun sehingga 9.15 pagi tadi, sepasukan polis termasuk 20 FRU kelihatan berada di pejabat DAP terbabit.

Pelancaran mogok lapar ini adalah bertujuan untuk meminta Sultan Perak untuk membubarkan DUN negeri itu dan dijangka akan dirasmikan jam 10 pagi ini oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Speaker V Sivakumar. - azm

Aminah digesa balik tarik balik tuduhan - Saifudin

Aminah digesa balik tarik balik tuduhan - Saifudin
Mohd Sabri Said
Tue | May 26, 09 | 9:08:00 am MYT

PENANTI, 26 Mei (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan menyerahkan semua tuduhan calon bebas, Aminah Abdullah kepada pihak peguam kononnya terdapat bukti mendapat sogokan dan tawaran oleh dua orang kepimpinan KeADILan .

Pengarah Pilihanraya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya di Yayasan Aman, Penanti pagi tadi menyebut, apa yang disuarakan oleh Puan Aminah belum terbukti kesahihan dan jika sekiranya tidak betul maka parti tidak teragak-agak meminta pihak peguam mengantar surat supaya beliau meminta maat atau tarik balik tuduhan tersebut.

"KeADILan tidak teragak-agak mengambil tindakan saman sekiranya apa dipertuduhkan tidak sahih dan kabur. KeADILan tidak mahu ia dijadikan isu kerana lebih mementingkan agenda memperkenalkan calon dan agenda perjuanganya bilamana memenangani pilihan raya nanti, " tegasnya.

Bukan masanya KeADILan melayan kerenah bekas ahlinya yang telah pun mengistiharkan keluar parti tetapi lebih menumpukan pada soal penerangan kepada pengundi.

Semasa sidang media pagi tadi, Aminah mendedahkan beliau didatangi dua orang wakil KeADILan iaitu Pegawai Khas kepada Exco dan salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan untuk membincangkan beberapa tawaran jawatan dan gantirugi serta menceritakan masalah dalaman parti.

Perkembangan lain Saifudin yang juga Ahli Parlimen Machang memberitahu, KeADILan telah mengatur 15 program sehari termasuk satu program perdana untuk calon N12 Penanti, Dr Mansor Othman turut padang berjumpa semua lapisan masyarakat.

Masa sekarang bukan memperbincangkan soal peribadi sebaliknya isu semasa yang boleh mempamerkan kejituan kerjasama di samping menerangkan kepentingan pilihanraya kecil ini.

"Jika menang di Penanti kita dapat meneruskan agenda yang telah di atur bersama Kerajaan Negeri. Dr Mansor yang akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 pasti memperkasakan apa yang menjadi agenda yang dekat di hatinya, " jelas beliau. - azm

Tengku Mahkota Kelantan dilantik Pemangku Raja

Tengku Mahkota Kelantan dilantik Pemangku Raja
Atiff Idris
Mon | May 25, 09 | 4:39:14 pm MYT

KOTA BHARU, 25 Mei (Hrkh) - Tengku Mahkota Kelantan kini dilantik sebagai Pemangku Raja memandangkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra sedang gering.

Tengku Muhammad Faris Petra menjalankan tugas Sultan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Pelantikan tersebut berkuatkuasa pada 24 Mei 2009 sehingga Tuanku Ismail Petra sembuh daripada kegeringan.

Pengisytiharan mengenai perkara itu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Mohd Aiseri Alias dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

"Hendaklah ada satu pangkuan Raja di dalam negeri apabila Sultan gering dan tidak boleh menjalankan tugas menjaga hal ehwal negeri, maka Majlis Perajaan Negeri hendaklah melantik seorang Pemangku Raja atau satu Majlis Pangkuan Raja," katanya

Kelmarin Majlis Perajaan Negeri mengadakan mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersetuju melantik Tengku Muhammad Faris, iaitu anakanda sulung kepada Sultan Kelantan sebagai Pemangku Raja.

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak 14 Mei lepas bagi menjalani rawatan setelah mengadu mengalami masalah pernafasan.

Baginda kemudian didapati mengalami masalah jantung.

Bagaimanapun semalam baginda dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. - mj _