Tuesday, May 26, 2009

Aminah digesa balik tarik balik tuduhan - Saifudin

Aminah digesa balik tarik balik tuduhan - Saifudin
Mohd Sabri Said
Tue | May 26, 09 | 9:08:00 am MYT

PENANTI, 26 Mei (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan menyerahkan semua tuduhan calon bebas, Aminah Abdullah kepada pihak peguam kononnya terdapat bukti mendapat sogokan dan tawaran oleh dua orang kepimpinan KeADILan .

Pengarah Pilihanraya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya di Yayasan Aman, Penanti pagi tadi menyebut, apa yang disuarakan oleh Puan Aminah belum terbukti kesahihan dan jika sekiranya tidak betul maka parti tidak teragak-agak meminta pihak peguam mengantar surat supaya beliau meminta maat atau tarik balik tuduhan tersebut.

"KeADILan tidak teragak-agak mengambil tindakan saman sekiranya apa dipertuduhkan tidak sahih dan kabur. KeADILan tidak mahu ia dijadikan isu kerana lebih mementingkan agenda memperkenalkan calon dan agenda perjuanganya bilamana memenangani pilihan raya nanti, " tegasnya.

Bukan masanya KeADILan melayan kerenah bekas ahlinya yang telah pun mengistiharkan keluar parti tetapi lebih menumpukan pada soal penerangan kepada pengundi.

Semasa sidang media pagi tadi, Aminah mendedahkan beliau didatangi dua orang wakil KeADILan iaitu Pegawai Khas kepada Exco dan salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan untuk membincangkan beberapa tawaran jawatan dan gantirugi serta menceritakan masalah dalaman parti.

Perkembangan lain Saifudin yang juga Ahli Parlimen Machang memberitahu, KeADILan telah mengatur 15 program sehari termasuk satu program perdana untuk calon N12 Penanti, Dr Mansor Othman turut padang berjumpa semua lapisan masyarakat.

Masa sekarang bukan memperbincangkan soal peribadi sebaliknya isu semasa yang boleh mempamerkan kejituan kerjasama di samping menerangkan kepentingan pilihanraya kecil ini.

"Jika menang di Penanti kita dapat meneruskan agenda yang telah di atur bersama Kerajaan Negeri. Dr Mansor yang akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 pasti memperkasakan apa yang menjadi agenda yang dekat di hatinya, " jelas beliau. - azm

Tengku Mahkota Kelantan dilantik Pemangku Raja

Tengku Mahkota Kelantan dilantik Pemangku Raja
Atiff Idris
Mon | May 25, 09 | 4:39:14 pm MYT

KOTA BHARU, 25 Mei (Hrkh) - Tengku Mahkota Kelantan kini dilantik sebagai Pemangku Raja memandangkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra sedang gering.

Tengku Muhammad Faris Petra menjalankan tugas Sultan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Pelantikan tersebut berkuatkuasa pada 24 Mei 2009 sehingga Tuanku Ismail Petra sembuh daripada kegeringan.

Pengisytiharan mengenai perkara itu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Mohd Aiseri Alias dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

"Hendaklah ada satu pangkuan Raja di dalam negeri apabila Sultan gering dan tidak boleh menjalankan tugas menjaga hal ehwal negeri, maka Majlis Perajaan Negeri hendaklah melantik seorang Pemangku Raja atau satu Majlis Pangkuan Raja," katanya

Kelmarin Majlis Perajaan Negeri mengadakan mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersetuju melantik Tengku Muhammad Faris, iaitu anakanda sulung kepada Sultan Kelantan sebagai Pemangku Raja.

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak 14 Mei lepas bagi menjalani rawatan setelah mengadu mengalami masalah pernafasan.

Baginda kemudian didapati mengalami masalah jantung.

Bagaimanapun semalam baginda dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. - mj _

Monday, May 25, 2009

Mogok lapar di Perak - Ustaz Ahmad Awang beri penjelasan

Mogok lapar di Perak - Ustaz Ahmad Awang beri penjelasan
Mohd Rashidi Hassan
Mon | May 25, 09 | 1:13:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan keputusan Badan Perhubungan PAS Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan munajat sewaktu berhadapan dengan kemelut politik di negeri Perak adalah selaras dengan Islam.

Dalam kenyataannya sebentar tadi, Ustaz Ahmad berkata, hikmah berpuasa juga bertepatan dengan sunnah apabila umat Islam digalakkan berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan hijrah iaitu 1 Jamadil Akhir (esok).

Katanya, keputusan PAS selaras dengan hasrat parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mahu menganjurkan mogok lapar tiga hari mulai esok sebagai membantah kezaliman Barisan Nasional terhadap rakyat di negeri itu.

"Saya sudah bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam daripada DAP dan KeADILan, mereka mengatakan mogok lapar yang dianjurkan tidak dibuat sehingga menyeksa diri.

"Lagi pun mereka menyediakan khidmat doktor yang akan sentiasa memantau keadaan," katanya.

Sekaligus Ustaz Ahmad menolak kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria yang mengatakan umat Islam haram melakukan mogok lapar.

"Jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat.

"Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Hassan dalam sebuah akhbar harian hari ini yang menolak mogok lapar, saya fikir tidak sesuai," tegasnya.

Ustaz Ahmad memberitahu, beliau sudah mengarahkan PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan pada Khamis (hari ketiga berpuasa) malamnya diadakan solat hajat dan munajat.

Tegasnya, matlamat utama berpuasa sunat dan munajat diadakan ialah untuk memohon kepada Allah agar digerakkan hati pihak yang berkuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Kita tidak mahu terlalu hampa dengan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kita masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan, apa yang kita mahu, sebagai orang Islam, kita mesti sentiasa dekat kepada Allah dan memohon pertolongan dari-Nya," tegas beliau.

Sehubungan itu beliau mempelawa umat Islam yang berpuasa di Perak untuk menyerai majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak selama tiga hari berturut-turut mulai esok. - mks

Ulama PAS perlukan perubahan

Ulama PAS perlukan perubahan
Harakahdaily
Mon | May 25, 09 | 1:23:38 pm MYT

DUNGUN, 25 Mei (Hrkh) - Gagasan "Kepimpinan Ulama" yang dimulakan sejak tahun 1982 berjaya meletakkan PAS ke tahap sekarang namun di waktu yang sama perubahan ke arah kepimpinan yang lebih baik dan mantap adalah perlu.

Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Dato' Husin Awang berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Terengganu ke-44, di Dewan Darul Bayan Pinang Merah, Paka, Dungun, baru-baru ini.

"Kita (Dewan Ulama) juga mengharapkan perubahan dalam kepimpinan ini ke arah yang lebih agresif, maju dan mantap," tegasnya.

Katanya, ulama dan profesional bukan lagi menjadi isu dalam kepimpinan PAS kerana golongan ulama� yang profesional boleh memimpin masyarakat serta mentadbir urus negeri dengan baik.

Kata Dato' Husin lagi, kepimpinan ulama wajar memimpin parti dan masyarakat bagi mengekang bencana akidah dan politik yang semakin membarah.

"Ulama harus memimpin masyarakat kerana golongan ini menjadi pengawal kepada agama, menegakkan yang hak dan mencegah kemungkaran," ujarnya.

Tambahnya, iklim politik negara semakin berubah dari tahun ke tahun dan memerlukan pendekatan serta interaksi yang menyakinkan rakyat.

Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS negeri itu telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohammad Daud Iraqi. - mks

Isu politik wang hanya mainan media

Isu politik wang hanya mainan media
Khairul Azlam Mohamad
Mon | May 25, 09 | 1:21:53 pm MYT

DUNGUN, 25 Mei (Hrkh) - Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Muhammad Daud Iraqi menafikan membuat kenyataan wujudnya politik wang dalam PAS menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat Jun ini.

Apa yang pasti, kenyataan beliau hanya berbentuk nasihat serta peringatan agar tidak berlaku kejadian seumpama itu dalam PAS.

Menurutnya, pihak media sengaja membuat laporan yang menggambarkan seolah-olah wujud politik sogokan dalam PAS.

"Saya tidak buat kenyataan. Saya tidak pernah membuat kenyataan bahawa ada sogokan wang. Cuma saya telah menasihatkan kawan-kawan dalam (Dewan) Ulama jangan jadi ada (sogokan) seperti bagi baju atau bagi apa-apa dalam masa pemilihan menjelang Muktamar Tahunan PAS akan datang," jelasnya ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Terengganu di Dewan Darul Bayan Pinang Merah, Paka, Dungun baru-baru ini.

Menurutnya, aktiviti kurang sihat itu amat tidak wajar diamalkan terutama dalam kepimpinan Ulama PAS yang berteraskan Islam.

Katanya, ulama juga adalah tonggak, contoh dan teladan kepada rakyat.

"Kita minta jika ada hentikan dan jika tidak ada tinggalkanlah. Ulama ini merupakan tonggak, contoh dan teladan kepada rakyat," ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Muhammad menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang bentuk laporan atau aduan tentang wujudnya gejala tersebut.

"Laporan atau aduan tidak ada cuma laporan surat khabar (media) tulis macam itu. Saya hanya beri peringatan sahaja dan saya tidak buat kenyataan akhbar seperti orang lain," jelasnya terhadap kekeliruan yang timbul.

Beliau yang menarik diri daripada mempertahankan jawatan Ketua Ulama PAS Pusat menjelaskan bahawa dasar Kepimpinan Ulama yang diperjuangkan PAS wajar diteruskan.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Yahya Ali dan Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Dato' Husin Awang. - mks. _

Husam, Mahfuz sahkan bertanding

Husam, Mahfuz sahkan bertanding
Harakahdaily
Mon | May 25, 09 | 1:15:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa sahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan Muktamar Jun depan.

"Saya buat keputusan muktamad pagi tadi...saya dah serahkan borang terima pencalonan sebentar tadi," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Nasharuddin, Timbalan Presiden PAS sejak dua penggal, pagi tadi juga mengesahkan akan mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

Husam telah memaklumkan perkara itu kepada Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Dato' Abdul Nik Aziz Nik Mat pagi tadi dan akan berbuat demikian juga apabila menemui Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang tengah hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar turut mengesahkan bahawa beliau bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan akan datang. - azm/mks.

Kejayaan Umno 2004 tak mungkin berulang

Kejayaan Umno 2004 tak mungkin berulang

Mon | May 25, 09 | 1:09:15 pm MYT

JELI, 25 Mei (Hrkh) - Ketika Umno mengharapkan suntikan baru dengan pelantikan Dato' Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, namun di jajahan ini minat golongan muda bersama PAS pula meningkat.

Keadaan itu menggambarkan anak-anak muda tidak lagi bersama Umno memandangkan kecamuk parti itu dengan masalah dalaman.

Malah penduduk di sini berpendapat anggota parlimen Jeli itu tidak mampu mengulangi kejayaan ketika mengetuai Umno Kelantan semasa menghadapi pilihan raya umum 2004.

Ramai berhujah kejayaan Umno yang hampir menumbangkan PAS ketika itu bukan kerana faktor Mustapa, sebaliknya aura Dato� Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Yang Dipertua PAS Jeli, Haji Mohd Apandi Mohamad berkata, biar pun Mustapa dikembalikan ke jawatan lama di Perhubungan Umno Kelantan, namun fenomena yang berlaku sekarang berlainan.

"Pada pilihan raya umum 2004 Umno berjaya melonjakkan kedudukan kerana pengaruh Abdullah yang dilihat warak dan jujur ketika mula-mula berada di kerusi Perdana Menteri.

"Gambaran yang diberi media mempamerkan Abdullah mengimamkan solat tidak dinafikan berjaya mempengaruhi orang ramai.

"Namun Perdana Menteri sekarang tiada kelebihan tersebut. Sebaliknya imej beliau banyak tercemar dengan pelbagai isu. Maka kehadiran pengerusi baru dilihat tidak lagi dapat membantu Umno seperti berlaku pada pilihan raya 2004," katanya pada program 'Jom Sertai PAS' di sini, baru-baru ini.

Program itu dianjurkan Dewan Pemuda PAS Jeli dengan kerjasama Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO.

Ia diadakan di Padang Istiadat Jeli.

Sempena program itu juga Mohd Apandi melancarkan Liga Bolasepak Dun dan Parlimen peringkat Jeli.

Pelbagai program menarik diadakan antaranya persembahan dikir barat oleh kumpulan Dikir Barat Sri Kalai yang diketuai Jen Endoro.

Manakala bekas penyanyi rock yang baru menyertai PAS, Ringgo Arrow menyanyikan lima lagu yang bertemakan ketuhanan dan perjuangan.

Program tersebut berjaya menarik 32 permohonan untuk menyertai PAS.

Sementara itu di majlis berasingan, lebih 100 imam dan bilal surau dan madrasah mukim Jeli menyertai kursus yang dianjurkan Urusan Ulama PAS Jeli dengan kerjasama Unit Dakwah Halaqat.

Perasmiannya juga disempurnakan Mohd Apandi. - mks.