Sunday, May 17, 2009

Tiada lagi budaya suapan projek di Selangor

Tiada lagi budaya suapan projek di Selangor
Zuharman MN
Sun | May 17, 09 | 7:27:09 pm MYT

KETEREH, 17 Mei (Hrkh) - Kerajaan Selangor mendedahkan ada pihak mengadu sukar melaksanakan projek di negeri terbabit kerana tidak ada budaya suapan sejak diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.

Anggota Exco, Elizabeth Wong berkata, ketelusan yang diamalkan menyebabkan budaya suapan yang berleluasa di bawah kerajaan terdahulu tidak lagi berlaku sekarang.

Katanya, budaya suapan tidak berlaku kerana pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menggunakan wang rakyat untuk tujuan peribadi seperti makan angin ke Disneyland atau jumpa Mickey Mouse dan Donald Duck.

"Tapi wang rakyat digunakan untuk rakyat. Contohnya kerajaan negeri mengadakan skim Takaful untuk warga emas seperti dilaksanakan di Kelantan.

"Kerajaan Selangor juga akan menubuh tabung khas bayi baru lahir. Dan apabila usianya meningkat 18 tahun mereka boleh keluarkan tidak kurang dari RM1,500," katanya pada ceramah di Taman Puspa, Kok Lanas, malam semalam.

Oleh itu Elizabeth mendedahkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor banyak menerima tekanan pelbagai pihak termasuk Umno dan golongan kapitalis sejak memerintah negeri terbabit.Image

Bagaimanapun katanya, tekanan itu tidak mematahkan semangat kerajaan yang sentiasa menyedari mendapat sokongan padu rakyat.

"Kita tidak takut kepada sebarang tekanan. Kita dipilih oleh rakyat. Maka amanah rakyat menjadi kewajipan kita. Tidak ada sebab untuk takutkan kepada tekanan," jelasnya.

Menurutnya juga keseluruhan rakyat Selangor menerima baik kerajaan sekarang kerana banyak membawa pembaharuan kepada kestabilan tanpa mengira kaum.

Pada ceramah itu beliau melahirkan rasa terharu di atas nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika beliau berdepan dengan peristiwa mengaibkan peribadinya sebelum ini.
Image "Nasihat Tuan Guru membuatkan saya merasa tenang menghadapi segala dugaan dan cabaran. Tuan Guru adalah the best and the great.

"Saya akan ingatkan nasihat Tuan Guru selama-lamanya. Benar kata Tuan Guru, sabar itu separuh daripada iman. Saya terima hakikat itu dengan penuh keyakinan," ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua PAS Ketereh, Senator Dato' Ahmad Rusli Ibrahim dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw. - mj

Tidak wajar tuduhan tanpa bukti disebarkan - Nik Aziz

Tidak wajar tuduhan tanpa bukti disebarkan - Nik Aziz
Salmah Mat Husain
Sun | May 17, 09 | 6:59:13 pm MYT

KOTA BHARU, 17 Mei (Hrkh) - Perwakilan PAS diharap tidak berkompromi dengan calon-calon yang dikatakan mengamalkan 'politik wang' pada pemilihan sempena muktamar PAS pada bulan depan.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita sekiranya benar ada pemimpin PAS yang cuba menyogok wang bagi mendapat kedudukan dalam parti.

"Sewajarnya orang sedemikian ditolak perwakilan bagi memastikan ia tidak wujud dalam PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

"Orang berpeluang menuduh kita sekiranya kita membiarkan diri melakukan sesuatu yang bercanggah," katanya selepas meraikan bakal pendaki Gunung Everest, di pejabatnya hari ini.

Baru-baru ini Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud mendakwa ada calon yang akan bertanding pada muktamar PAS bulan depan difahamkan memberi saguhati kepada perwakilan.

Ketika ditanya berhubung tindakan yang perlu diambil sekiranya ada calon yang bakal bertanding turut mengamalkan politik wang beliau berkata, calon seperti itu hendaklah ditolak.

"Sebagaimana saya sering sebut sebelum ini 'beri gula kacau, beri kain pakai, beri lembu sembelih, tetapi bila mengundi pangkah calon PAS' hendaklah terus dipraktikkan.

"Duit yang dia bagi kita ambil, tetapi jangan undi dia, akhirnya dia akan perit setelah dia berasa dia bodoh dan tertipu," ujarnya.

Oleh itu beliau menasihatkan perwakilan PAS tidak membiarkan gejala seperti yang menimpa Umno sekarang menjangkiti PAS.

Beliau juga bersetuju tindakan perlu diambil terhadap orang yang membuat tuduhan tanpa dapat mengemukakan bukti yang kukuh.

Menurutnya setiap dakwaan mesti ada fakta kerana tuduhan tanpa bukti ia akan menggelirukan masyarakat.

"Seharusnya perkara seperti itu tidak didedahkan kepada masyarakat, sebaliknya masih ada lagi jalan untuk diselesaikan sekiranya ia benar-benar berlaku.

"Dalam Islam sendiri tidak dibenarkan penganutnya menyebarkan benda yang tak baik kepada masyarakat, kalau ia sekadar berupa teguran tidak mengapa kerana tuduhan dan teguran dua perkara yang berbeza," ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila Presiden PAS, Dato� Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding biar pun sebelum ini media sering membuat spekulasi jawatan itu akan ditandingi.

Kata beliau biar pun media sering memperbesarkan isu pengganti presiden, namun sebagai sebuah gerakan Islam pemimpin yang berkemampuan wajar dikekalkan.

"Selagi beliau masih sihat, Insya-Allah amat wajar Ustaz Hadi terus menerajui kepimpinan parti. Ini ketokohan beliau diakui di seluruh dunia apabila sering dijemput hadir menyampaikan ucapan.

"Sememangnya payah hendak dicari pemimpin macam itu. Kalau ada yang silap sedikit sebanyak, kita pakat tegur. Saya pun begitu juga, ada salah boleh tegur, saya sangat suka orang tegur saya, tetapi teguran biarlah berfakta," katanya.

Beliau juga memberitahu ada PAS kawasan mencalonkannya bertanding jawatan presiden, namun beliau menolak cadangan itu.

Katanya beliau sudah serik dengan pengalaman ketika menandingi jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS pada tahun 1960-an iaitu menentang Haji Husin Rahimi.

"Saya terkilan sampai ke hari ini kenapa melawannya pada waktu itu. Sebab itulah sampai sekarang saya telah serik untuk bertanding merebut apa-apa jawatan," ujarnya. - mj

Segalanya 2 di Perak, 1 halal dan 1 haram - Sivakumar

Segalanya 2 di Perak, 1 halal dan 1 haram - Sivakumar
Lanjusoh | Rizal Tahir
Sun | May 17, 09 | 5:17:06 pm MYT

KOTA BHARU, 17 Mei (Hrkh) - Aneh lagi luar biasa. Mungkin juga boleh menjadi tarikan pelancong. Ini kerana segalanya ada dua di Perak sekarang. Bermula dua kerajaan, dua Menteri Besar dan dua Speaker.

Selain itu ada dua setiausaha kerajaan negeri dan dua setiausaha Dewan Undangan Negeri (Dun). Namun harus diingatkan satu daripadanya haram dan satu lagi halal.

Speaker Dun Perak, V Sivakumar berkata, semua perkara yang tidak berlaku di negara-negara lain ada di Perak sekarang.

"Ketika saya masih lagi speaker yang sah, Adun Barisan Nasional melantik pula speaker baru. Speaker tersebut diibaratkan duri dalam daging.

"Apa yang lebih menggelirukan lagi apabila setiausaha kerajaan negeri pula cuba bertindak bagi pihak speaker dengan melarang media yang tidak pro Umno membuat liputan pada persidangan Dun 7 Mei lalu.

"Sedangkan kuasa bagi menentukan seseorang boleh atau tidak masuk dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker," katanya pada ceramah menjelaskan isu terbaru di Perak di Putik malam tadi.Image

Ceramah itu mempertemukan dua Speaker iaitu Sivakumar dan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud di satu pentas. Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya apa yang berlaku pada 7 Mei lalu adalah satu penghinaan terhadapnya kerana yang menentukan segala urusan dalam dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker.

Begitu juga katanya bagi menentukan kedudukan ahli Dewan sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang ditentukan speaker.

Katanya pada peringkat awal persidangan 7 Mei lalu beliau mengarah Penasihat Undang-Undang Negeri supaya duduk di bahagian kerajaan (kanan).

"Namun selepas dua kali diarah pindah pegawai terbabit tidak mengendahkan menyebabkan saya menyebut kepadanya kalau tidak mahu ikut speaker boleh keluar dewan.

"Saya dari awal lagi sudah menjangka satu konspirasi dilakukan kerana ada pakatan di kalangan pegawai kerajaan dan Adun BN supaya tidak mengikut arahan Speaker," katanya.

Menurutnya beliau juga mengarahkan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya yang dilantik serta tiga wakil rakyat Bebas keluar dewan bagi membolehkan persidangan dimulakan.

Bagaimanapun katanya, keputusan beliau sebagai Speaker tidak diendahkan sehingga Timbalan Speaker, Hee Yit Foong cuba mengambil alih tugasnya.

"Saya hairan dia menggunakan kuasa mana mengambil alih tugas Speaker. Sedangkan mengikut Perintah Tetap Dewan selagi Speaker ada di kerusinya timbalan speaker tidak ada kuasa," katanya.

Beliau juga berkata, Umno gagal menggugurnya sebagai speaker memandangkan beliau tetap mempertahankan kerusi sejak bermula persidangan jam 8.45 pagi hingga 2 petang tanpa keluar minum atau ke bilik air. Image Bagaimanapun tambahnya, Umno menggunakan kekerasan dengan bantuan anggota polis mengusungnya keluar dan mengurung dalam bilik pegawal selama lebih sejam.

Oleh itu katanya, perjumpaan anggota dewan hari itu tidak boleh dikatakan sebagai persidangan biasa kerana ia tidak menepati peraturan dewan.

Nusuruddin pula mencadangkan kerusi Speaker di Perak menggunakan tali pinggang keledar pada masa akan datang bagi mengelakkan ada lagi orang yang mengusung keluar Speaker.

Beliau juga berkata, Perkara 4 Peraturan Tetap Dewan menyebut Speaker berkuasa penuh bagi menentukan perjalanan mesyuarat anggota dewan.

Katanya, jawatan seseorang speaker hanya boleh gugur apabila dia berhenti secara sukarela atau meletak jawatan sebagai Adun.

Selain itu apabila bermula persidangan penggal baru selepas pilihan raya dan speaker juga boleh dijatuhkan melalui usul tidak percaya. - mj

Isu Altantuya Najib PM baru takut ke luar negara

Isu Altantuya Najib PM baru takut ke luar negara
Saidah Hairan
Sun | May 17, 09 | 1:30:52 pm MYT

SHAH ALAM, 17 Mei (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyelar sikap Dato' Seri Najib Tun Razak yang sudah menjadi Perdana Menteri selama dua bulan tetapi tidak berani membuat lawatan ke luar negara kecuali Manado, Sulawesi dan Thailand.

Menurut beliau, sudah menjadi amalan Perdana Menteri sebelum ini selepas mengambil alih pentadbiran langkah pertama dilakukan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan di luar negara.

Bagaimana pun katanya, perkara itu tidak berlaku terhadap Najib kerana beliau berasa takut disebabkan isu berkaitan dengan dirinya (kes pembunuhan Altantuya) sudah didedahkan dalam 11 akhbar antarabangsa.

Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana meraikan petugas negeri Selangor di Stadium Melawati, Shah Alam. Turut berceramah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali.

Mengulas laporan akhbar terhadap Najib katanya, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang telah memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

Katanya, akhbar tersebut secara terang-terangan menyiarkan gambar Dato' Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al- Qaeda, dan sedang di tahan di Guantanamo Bay.

Menurut beliau, Daily Mirror telah mengakui kesilapan di atas laporan palsu tersebut dan telah menyiarkan permohonan maaf tersebut di akhbar dan web mereka.

"Tetapi perkara ini tidak dilakukan oleh Najib, kenapa Najib tidak saman akhbar tersebut. Kalau Presiden boleh saman satu akhbar, Najib ada 11 akhbar kalau menang banyak dapat...," katanya disambut sorakan hadirin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok tidak sabar menanti tarikh 15 Jun bermulanya sidang Dewan Rakyat kerana Nizar akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Bukit Gantang.

"Saya mendapat maklumat pihak Parlimen sukar untuk meletakkan tempat duduk Nizar. Sebab Nizar bukan saja Ahli Parlimen tetapi beliau juga Menteri Besar."

"Paling seronok saya hendak melihat Ahli Parlimen Kepala Batas, dulu tempat duduk Perdana Menteri sekarang jadi seperti saya Ahli Parlimen," katanya.

Petugas PAS diajak berkampung di Penanti

Petugas PAS diajak berkampung di Penanti
Mohd Sabri Said
Sun | May 17, 09 | 10:48:10 am MYT

PERMATANG PAUH, 17 Mei (Hrkh) -Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menyeru semua jentera PAS seluruh negara berkampung di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti untuk membantu calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman selepas hari penamaan calon pada 23 Mei ini.

Beliau ketika berceramah bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kampung Pak Elong semalam menambah, semangat juang yang tinggi amat penting diterjemahkan oleh semua gabungan parti dalam Pakatan Rakyat untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat tidak mustahil boleh jadi pemerintah lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

BN diamanahkan memerintah Malaysia selama 50 tahun lebih nyata bukan membawa kecemerlangan bahkan memeritkan rakyat dengan berbagai kenaikan yang tidak sewajarnya.

"Datanglah beramai-ramai ke Dun Penanti untuk memberikan tenaga dan buah fikiran untuk memastikan calon Pakatan Rakyat berjaya di situ. Kejayaanya kelak bukan kejayaan KeADILan sahaja malahan PAS dan DAP, " tambahnya.

PAS dengan bantuan PAS Pulau Pinang akan memberitahu di mana lokasi negeri-negeri akan ditempatkan bersama jentera KeADILan termasuk DAP.

Tambahnya, setelah bersama melaksanakan tugasan yang diberikan semua gabungan Pakatan Rakyat akan merancang strateji bagaimana untuk menjatuhkan pengaruh BN yang telah hampir punah.

BN dan Umno sebenarnya kata Dr Hatta, berada di garisan penamat untuk terjun ke lautan dalam maka menjadi tugas Pakatan Rakyat menolak parti itu bersama rakyat yang sudah muak dengan telatah mereka.

"Pilihan raya kecil Penanti merupakan satu lagi peluang untuk menolak Umno maka laksanakan tugas dengan sempurna tanpa ada perasaan tidak puas hati. Yang penting Umno kalah dan terus menderita, " tegasnya lagi. - mks.

Soal ketelusan badan kehakiman, Mahfuz sanggah Khairy

Soal ketelusan badan kehakiman, Mahfuz sanggah Khairy
Irwan Muhammad Zain
Sun | May 17, 09 | 10:40:44 am MYT

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung ketelusan badan kehakiman negara.

Mahfuz menegaskan kepada Harakahdaily, menjadi amalan biasa bagi orang yang melakukan kesalahan untuk menafikan apa yang berlaku.

Khairy juga, tegas Mahfuz, menafikan apa saja yang tidak kena dengan Umno termasuk menafikan beliau disiasat lembaga displin Umno sebelum pemilihan parti itu Mac lalu.

"Buktikan apa saja kepada Khairy, beliau akan nafikan termasuk menafikan disiasat lembaga displin Umno sebelum pemilihan Umno Mac lepas.

"Perkara ini bukan perkara baru dan sudah menjadi tradisi bagi pihak yang melakukan kesalahan untuk menafikan segala bentuk kecaman terhadap mereka," tegas Mahfuz.

Beliau tetap mengatakan kenyataan yang dibuatnya berhubung keputusan mahkamah berhubung isu di Perak mempunyai asas kerana Ketua Hakim Negara merupakan ahli Umno dan pernah memegang jawatan dalam parti tersebut.

Mahfuz menegaskan kerana adanya individu seperti Tan Sri Zaki Tun Azmi maka tidak mustahil Umno akan menggunakan ejen-ejen mereka dalam badan kehakiman untuk membuat keputusan yang berpihak kepada mereka.

Sehubungan dengan itu, beliau mencabar Khairy untuk berdebat secara terbuka isu ketelusan institusi kehakiman tidak kira di mana-mana tempat.

Sebelum ini Khairy dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam sebuah akhbar pada 15 Mei lalu berkata tidak ada 'tangan-tangan ghaib' yang mencampuri urusan Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan terhadap kemelut politik di Perak.

Sebaliknya beliau berkata, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar yang membuat dakwaan tidak berasas dalam isu tersebut. - mks.

Iktibar daripada cerita Presiden Obama

Iktibar daripada cerita Presiden Obama
A Kadir Jasin
Sun | May 17, 09 | 9:49:09 am MYT

SEBUAH universiti di Amerika memutuskan tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Presiden Barack Obama kerana dia belum cukup berjasa dan terbukti prestasinya.

Di Malaysia, universiti berlumba-lumba memberi ijazah kehormat kepada menteri, bekas menteri dan isteri menteri.

Tidak mengapa kalau isteri menteri atau isteri bekas menteri itu tidak jelas atau belum terbukti jasa, kepakaran dan kecemerlangannya. Yang penting dia isteri menteri.

Maaf cakaplah. Macam sesetengah gelaran diraja, gelaran kehormat universiti pun, kata orang putih, sudah jadi "a dime a dozen" atau dalam loghat Kedah, sedozen sekupang.

Di sesetengah negeri, gelaran diraja (termasuk oleh Gabenor) sudah jadi macam lawak. Budak 20-an tahun pun boleh dapat asalkan bapanya jutawan yang pemurah dengan "derma" dan "sedekah".

Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, ada pengarang media massa yang dapat lima atau enam gelaran Datuk daripada negeri dan wilayah. Tak cukup dengan gelaran Datuk, diberikan pula gelaran Datuk Seri.

Khabarnya, di sebuah organisasi media arus perdana, pengurusan baru telah mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan yang ditawarkan anugerah diraja melaporkan terlebih dahulu kepada pengurusan.

Saya terbaca sebuah berita dari bandar Tempe di Negeri Arizona, Amerika Syarikat di mana Arizona State University tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Obama kerana pencapaiannya setakat ini belum melayakkannya menerima anugerah itu.

Dengan berseloroh, Obama berkata bukan pihak universiti itu sahaja yang berpendapat beliau perlu menunjukkan lebih banyak kejayaan malah isterinya sendiri, Michelle, juga berpendapat demikian.

Obama berkata begitu ketika menjadi tetamu kehormat di majlis konvokesyen universiti berkenan. Adalah tradisi universiti di Amerika menganugerahkan ijazah kehormat kepada tetamu khas majlis konvokesyen.

Sebaliknya pihak universiti itu menamakan salah satu skim biasiswanya mengikut nama Obama.

Dengan berseloroh, Obama berkata: "Saya datang ke sini bukanlah untuk mempertikai cakap-cakap bahawa pencapaian saya belum memadai. Buat permulaan, Michelle setuju dengan penilaian ini. Dia mempunyai senarai panjang mengenai apa yang belum saya laksanakan, yang menanti saya di rumah."

Kalau di Malaysia, sang isteri akan mengatakan suaminya layak dianugerahkan itu dan ini walaupun sang suami baru sehari menjadi menteri atau menjawat jawatan tinggi.

Kita suka orang luar kata kita sederhana atau "modest". Tetapi ramai orang kita sebenarnya amat suka menunjuk-nunjuk dan gila pangkat.

Mereka tidak begitu peduli pandangan masyarakat terhadap mereka. Akibatnya mereka sangat serius mencari anugerah, pangkat dan gelaran, tetapi mereka tidak berkelakuan seperti orang ternama.

Maka berlakulah situasi di mana budak "kanyir" dan jutawan segera yang entah apa sumbangannya kepada masyarakat dan negara diberikan pelbagai gelaran dan anugerah, termasuk gelaran diraja.

Tidak hairan jugalah kalau begitu ramai penyandang anugerah diraja yang terbabit atau dikaitkan dengan akhlak buruk, skandal dan jenayah.

Ada negeri dan wilayah tertentu di bumi Malaysia ini yang menjadikan penawaran anugerah sebagai cara mencari pengaruh politik dan sumbangan kewangan.

Harap-harap institusi pengajian tinggi kita mengambil iktibar daripada tindakan Arizona State University dengan tidak sewenang-wenang memberi ijazah kehormat kepada sebarang Ali, Ah Kau dan Muthu. - kadirjasin.blogspot.com.