13 Mei 2009: Kelantan cetus deklarasi perpaduan nasional
Lanjusoh | Foto Md Yusri Amin
Wed | May 13, 09 | 1:30:18 pm MYT
KOTA BHARU, 13 Mei (Hrkh) - Tanggal 13 Mei 1969, sejarah hitam negara tercatat. Ramai penduduk menjadi mangsa rusuhan antara kaum. Ia masih diingati sehingga ke hari ini.
Mungkinkah peristiwa seumpama itu berulang kembali, seperti yang pernah berlaku di Kampung Medan beberapa tahun lalu.
Ekoran peristiwa itulah kerajaan mengubal Dasar Ekonomi Baru (1970 - 1990). Dan paling menarik apabila PAS dipelawa Tun Abdul Razak Hussien berada dalam kerajaan Barisan Nasional pada 1974.
Mengingatkan peristiwa itu buat julungkali kerajaan PAS di Kelantan mencetus deklarasi perpaduan nasional dan keamanan sejagat 13 Mei 2009 pada satu sidang akhbar yang agak luar biasa hari ini.
Sidang akhbar itu dihadiri hampir kesemua anggota Exco kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, sebahagian wakil rakyat, penjawat awam dan pemimpin PAS yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara ini.
"Maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.
"Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahu pun dalam negeri sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan.
"Saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidaktentuan dan serba salah. Mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi," katanya.
Menurutnya apa yang ada dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara kini hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana berkecamuk.
Kata beliau sekarang banyak berlaku ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang memegang amanah, namun telah mengkhianatinya.
"Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan
"Maka hari ini 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu," katanya.
Oleh itu beliau mengajak rakyat di negara ini kembali kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah SWT sebagai premis kebahagiaan yang pertama.
Dan keduanya rakyat negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat. - mj/mks.
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment