Thursday, May 14, 2009

Gabungan ulama dan profesional bentuk kestabilan ummah - Mat Iraq

Gabungan ulama dan profesional bentuk kestabilan ummah - Mat Iraq
Zuharman MN
Thu | May 14, 09 | 1:22:49 pm MYT

MACHANG, 14 Mei (Hrkh) - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud Iraqi tidak menolak gabungan ulama dan profesional mampu membentuk kestabilan ummah.

Beliau berkata, sebenarnya tidak ada jurang di antara ulama dan profesional.

"Mereka harus duduk bersama demi kekuatan sistem pemerintahan Islam. Bagaimanapun sejarah membuktikan gerakan Islam menjadi kaku sekiranya ulama dinafikan peranannya.

"Ulama menjadi tonggak kepada perjuangan Islam sejak dahulu dan ia tidak boleh dipertikai," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan kali ke-38 di Markaz Dewan Ulama di Labok, semalam.

Mohamed berkata, peranan ulama bermula sejak zaman Rasulullah saw kemudian diwarisi para sahabat sehingga diteruskan ulama sampai sekarang.

"Peranan ulama dalam institusi kepimpinan negara sangat besar, lebih-lebih lagi ketika menghadapi dunia global penuh cabaran dan rintangan.

"Meskipun begitu, syiar Islam harus diutamakan. Jadi ulama tidak terkecuali daripada tanggungjawab menghadapi sebarang situasi� katanya.

Pada muktamar tersebut semua jawatan utama Dewan Ulamak PAS Kelantan dikekalkan tanpa ada sebarang pertandingan.

Mohamed kekal menerajui dewan tersebut, timbalannya, Ustaz Hassan Mohamood dan naib ketua, Dato' Hassan Mohamad.

Manakala dua ulama muda dilantik sebagai anggota jawatankuasa baru iaitu Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Dewan Pemuda PAS Ketereh, Nik Mahadi Nik Mahmud.

Hassan ketika berucap sebelum itu berkata, ulama umpama kilang memproses manusia untuk menjadi bertakwa kepada Allah Taala.

Menurutnya sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin dengan syarat perlu ada ilmu agama dan arif dalam konteks perundangan Islam.

Beliau juga berharap ulama perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan hal ehwal semasa di samping mendalami ilmu keagamaan. - mj

No comments:

Post a Comment