Krisis Perak, PAS tidak akan goyah walau demokrasi lumpuh!
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 20, 09 | 10:43:11 am MYT
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengulangi dakwaan bahawa Barisan Nasional lah punca kepada krisis politik di Perak berlanjutan.
Semasa mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa pembangkang punca kepada krisis itu, Presiden PAS menyifatkan "Bak kata pepatah Arab dia memukul saya, dia yang menangis,"
"Dia yang zalimi saya dia yang mengadu" sambung Presiden PAS meneruskan ulasannya ketika ditemui Harakah pada 18 Mei lalu di pejabatnya dekat sini.
Beliau juga mempersoalkan pihak mana yang terlebih dahulu menimbulkan kekecohan sehingga rampasan kuasa berlaku di Perak.
"Siapa yang menimbulkan kekecohan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak?.Semua tahu BN melakukan rasuah politik dan rasuah," katanya.
BN juga kata Tuan Guru Abdul Hadi mengambil langkah melantik Menteri Besarnya dan memecat MB yang sah (Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin) tanpa tanpa mengikut prosedur termasuk melalui sidang dewan atau mengikut perlembagaan.
Tuan Guru Abdul Hadi juga menyatakan tindakan BN itu membelakangi proses demokrasi yang baik.
Beliau juga berpendirian seandainya tidak berlaku pembubaran Dun, negara menuju ke arah melumpuhkan demokrasi.
"Kita beri amaran, perjuangan PAS tidak akan luntur walaupun demokrasi dilumpuhkan," katanya.
Sementara itu, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Pakatan Rakyat mahu Dun Perak dibubarkan dan hak memilih kerajaan yang sah perlu diserahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.
Pakatan Rakyat menghormati Istana tetapi yang membuat keputusan bukan Istana, bukan hakim tetapi rakyat.
"Di Perak kita yakin akan menang lebih besar kerana (rakyat) mahukan perubahan," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman menegaskan sudah tiba masanya rakyat Perak diberi peluang menggunakan hak mereka bagi menentukan kerajaan pilihan mereka.
Ujar Abu Talib, perkara itu adalah selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan hanya kerajaan yang stabil akan dapat memastikan hak kepada keamanan dan pembangunan.
Insiden yang berlaku semasa sidang Dun Perak 7 Mei lalu, dimana polis dan kakitangan awam bertindak bersama kerajaan yang memperoleh kuasa dengan keadaan yang kontroversi membelakangi prinsip hak asasi, katanya.
Mereka yang bertugas dalam polis dan pentadbiran mesti tetap setia kepada kepentingan awam dan menghormati hak asasi manusia, katanya.
"Usul memecat Speaker Dewan yang sah dan pengusiran beliau dari dewan serta tindakan polis menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ahli masyarakat keseluruhannya.
"Seterusnya menimbulkan persoalan sama ada kepentingan politik mengatasi kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan pada 18 Mei kepada media.
Menurutnya, Malaysia adalah negara demokratik yang berpegang kepada hak asasi manusia dan sistem perundangan adil.
Namun, kecelaruan yang berlaku pasti meninggalkan titik hitam dalam usaha kita mempromosi prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.
Sehubungan itu, katanya kerajaan diharap akan dapat bertolak ansur dan menghargai demonstrasi awam secara aman berbanding polisi dan tindakan yang dianggap kurang popular. _
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment