Muslimat PAS Muar bina rumah ibu tunggal
Salman Hussin
Mon | May 11, 09 | 12:26:01 pm MYT
MUAR, 11 Mei (Hrkh) - Warga emas ibu tunggal di Parit Penyengat Parit Jawa, dekat sini, bakal menduduki rumah baru sumbangan Dewan Muslimat PAS Muar bagi menggantikan rumah lama beliau yang sudah tidak selamat untuk diduduki.
Sebelum ini Misah Mohamad 66, yang tidak mempunyai anak tinggal di warung yang sekaligus dijadikan tempat tinggal beliau.
Bagaimanapun pondok yang sudah begitu uzur itu sering kali dimasuki pencuri mengakibatkan beliau kerap mengalami kerugian.
Sehubungan itu, Muslimat PAS Muar yang begitu prihatin dengan nasib Misah mengambil inisiatif menubuhkan tabung khas bagi membantu beliau.
Usaha murni Muslimat PAS kawasan ini membuktikan keperihatinan PAS terhadap rakyat daif yang memerlukan bantuan.
Menurut Ketuanya, Fatimah Ismail, selain sumbangan dari PAS kawasan, Muslimat PAS Muar juga menerima sumbangan daripada kalangan ahli-ahli Umno setempat selain individu muslimat kawasan tersebut.
"Kos untuk membina rumah ini dianggarkan berjumlah RM20,000 dan sekarang ini jumlah kutipan yang sudah terkumpul sekitar RM15,000; dan dengan wang yang ada ini pembinaan rumah warga emas ini sudah boleh dimulakan," jelasnya.
Menurut Fatimah, kerja-kerja membina rumah itu sudah dimulakan 1 Mac lalu oleh Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Sungai Balang yang diketuai Penyelianya, Malik Md Diah dengan dibantu Unit Amal serta sukarelawan PAR Zon tersebut.
"Pembinaan rumah ibu tunggal ini adalah sebahagian daripada kegiatan kemasyarakatan Muslimat PAS Muar dan insya Allah berbagai kegiatan lain akan diteruskan untuk membantu golongan kurang berkemampuan di kawasan ini," ujarnya.
Sementara itu Misah ketika ditemui memberitahu, sebelum ini Ketua Umno kampung itu telah memberi borang bantuan rumah dan berjanji mengambil semula borang itu seminggu kemudian.
Setelah tidak muncul seperti yang dijanjikan, Ketua Umno itu ujar Misah, datang menemuinya setelah mendapat tahu PAS akan membina rumah dan warung baru untuk beliau.
"Bila dia tengok Malik (Penyelia PAR Zon Sungai Balang) dengan beberapa kawannya sedang mengukur dan memeriksa rumah mak cik beberapa hari lalu, dia pun datang dan bertanya kepada mak cik siapa yang nak buat rumah dan warung mak cik ini.
"Mak cik beritahu PAS yang akan buatkan rumah mak cik; bila dia dapat tahu sudah ada pihak yang nak buatkan rumah mak cik, dia pun berlalu tanpa berkata apa-apa," katanya.
Misah yang telah ditinggalkan suami sejak lebih 40 tahun lalu turut mengucapkan terima kasih kepada Muslimat PAS Muar dan PAR Zon Sungai Balang kerana sudi membantu.
"Selama ini mak cik sentiasa tinggal dalam kebimbangan kerana rumah dan warung mak cik sering dimasuki pencuri, hasil pendapatan berniaga sarapan pagi yang tidak seberapa ini selalu saja kena curi.
"Mudah-mudahan bila rumah dan warung yang baru ini siap kelak, mak cik boleh tinggal dengan lebih selesa dan selamat; mak cik ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada PAS yang sudi membantu mak cik," ucapnya lagi.- tajdid
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment