Lutfi, isteri ucap terima kasih atas keprihatinan pembaca
Atriza Umar
Mon | May 18, 09 | 5:05:57 pm MYT
Allahmdulillahi Rabbil 'alamin. Dengan limpahan Rahmat-Nya, yang memberi sesuatu ujian dan menyelesaikan dengan timbunan Maghfirah dan Mawaddah. Pada petang Ahad, anak ketiga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Ikmal Syafiq Ahmad Lutfi dibenarkan keluar dari wad setelah seminggu terlantar akibat demam denggi di wad 6B, Hospital Ampang, Selangor.
Ujian yang ditempuhi dengan bergunung usaha, kesabaran, doa dan tawakal oleh keluarga Ahmad Lutfi Othman dan Siti Hawa Samsam dibalasi dengan sebaik-baik balasan. Alhamdulillah.
Dengan ini, saya mewakili beliau dan isterinya, Siti Hawa merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu terutama di waktu Ikmal Syafiq dalam keadaan kritikal pada pagi Rabu lalu, iaitu hari ketiga ditempatkan di wad, sebelum dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU), khususnya buat para doktor, jururawat, termasuk pelatih dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau terharu
Lutfi cukup terharu dengan sikap warga Hospital Ampang yang terbabit bertungkus-lumus menyelamatkan anaknya. "Mereka bertugas dengan begitu cemerlang sekali. Hanya Allah dapat membalas jasa baik mereka, kami pasti tidak akan dapat melupakan mereka," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya ke atas keprihatinan pembaca Harakahdaily yang tidak putus-putus memberi dorongan, kata perangsang, selain petua-petua bermanfaat untuk merawat demam denggi yang dihidapi anaknya. Ada juga yang mengirim air penawar dan rawatan alternatif.
Beliau juga memohon maaf kerana tidak sempat membalas begitu banyak SMS yang memberi dorongan dan kata-kata nasihat daripada pembaca Harakahdaily di seluruh negara.
Difahamkan ramai juga pimpinan PAS yang turut menziarahi Ikmal Syafiq. Begitu juga banyak majlis doa selamat dan solat hajat, terutama yang diadakan selepas solat Jumaat lepas.
"Doktor mengesahkan Ikmal diserang dengue shock syndrome. Saya difahamkan ia sering mengakibatkan kematian secara tiba-tiba jika tidak mendapat rawatan sewajarnya dalam waktu kritikal itu," kata Lutfi yang pernah kehilangan anak perempuannya, Nurul Syafiqah yang disyaki diserang penyakit sama, pada hari pertama Ramadan, Oktober 2005.
Sepanjang tujuh hari di wad Hospital Ampang, Lutfi dan isteri berasa cukup puas hati dengan layanan yang diberikan, termasuk oleh para pengawal keselamatan di situ. "Terutama jururawat di ICU tingkat tiga, mereka memberikan khidmat penuh cemerlang, terutama dalam menghadapi karenah anak saya di waktu genting itu," tambahnya.
Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja di Harakah dan sahabat taulan yang bertali arus menziarahi anaknya.
Sesungguhnya hanya Allah yang dapat membalas kebaikan dan doa kalian. Insya-Allah perjuangan ini akan diteruskan._
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment