Monday, May 18, 2009

Wabak influenza A: Saringan mesti diperketatkan, tidak lalai

Wabak influenza A: Saringan mesti diperketatkan, tidak lalai
Roy Rasul
Mon | May 18, 09 | 2:13:10 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh) - Saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa yang menerima kemasukan pelawat dari negara-negara yang dilanda wabak influenza A(H1N1) perlu dilakukan dengan telus serta diperketatkan.

Ini tegas, Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman, kes pertama wabak influenza H1N1 yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan pada Jumaat lalu di negara ini yang melibatkan seorang pelajar yang baru pulang dari Amerika Syarikat berkemungkinan berlaku kelalaian di segi itu.

Beliau yang dihubungi berharap kerajaan melaksanakan pengawasan secara menyeluruh.

Malah katanya apabila hasil saringan kesihatan pelawat didapati mempunyai wabak tersebut mereka perlu dikuarantin.

"Sesiapa saja yang memasuki ke negara ini sama ada melalui darat, laut dan udara perlu dibuat pemeriksaan secara terperinci.

"Kerana sebelum ini negara kita tiada kes lagi, jadi apabila tiba-tiba wabak itu berada di negara ini, mesti ia dibawa dari negara luar.

"Mangsa itu balik daripada luar negara maksudnya kita punya pemeriksaan tak betul-betul telus," katanya.

Beliau berkata, wujudnya wabak influenza A(H1N1) itu mungkin ada kebocoran atau kelalaian di mana-mana pintu masuk.

Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican dipetik berkata, mangsa wabak tersebut seorang pelajar berusia 21 tahun dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, pelajar yang pulang ke tanah air pada 13 Mei lalu itu mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan pada keesokan harinya dan dibawa ke hospital pada hari yang sama kira-kira pukul 6.45 petang.

Mengulas lanjut, Dr Hayati berkata, pemeriksaan yang dilakukan di negara ini tidak setaraf.

"Contohnya di Pulau Pinang, didapati pemeriksaan suhu badan dibuat ke atas orang dewasa dan kanak-kanak berbeza. Di mana orang dewasa dibuat di dahi dan kanak-kanak di dalam telinga. Sedangkan cara paling berkesan dalam telinga.

"Sebenarnya jika di periksa atas dahi bacaan suhu mereka tidak tepat kerana mungkin mereka baru lepas berada dalam penghawa dingin," jelasnya.

Selain itu katanya, pengisian borang semasa sampai di pintu masuk negara perlu juga telus sama ada mereka mempunyai selsema atau tidak.

Katanya, walaupun simptom-simptom wabak tersebut hampir sama dengan selsema biasa tetapi apa yang wabak tersebut telah masuk ke negara ini.

Namun katanya, rakyat negara ini tidak perlu terlalu risau dan panik kerana ia satu kes terpencil.

Apa yang penting tegasnya, kerajaan perlu mengetatkan kawalan di semua pintu masuk di negara ini. - azm

No comments:

Post a Comment