Malaysia lebih aman damai tanpa ISA dan Akta Hasutan
Mohd Ezli Mashut
Sun | May 10, 09 | 2:30:47 pm MYT
Angkatan Muda Keadilan Selangor yakin Malaysia lebih aman damai dan dipandang tinggi di peringkat antarabangsa tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan Akta Hasutan 1948. Tindakan terbaru kerajaan dengan melepaskan tahanan ISA menjadi autoriti terkuat untuk membuktikan bahawa Malaysia akan lebih aman dan demokratik tanpa akta ISA ini.
AMK Selangor juga menyatakan harapan penutupan segera Kem Tahanan ISA di Kamunting akan dapat dilaksanakan segera. Semua tahanan yang masih ditahan juga digesa dibebaskan segera atau dibawa ke mahkamah untuk mendapat perbicaraan yang adil dan saksama. Penutupan Kem Kamunting akan menaikkan nama dan imej negara di peringkat antarabangsa. Selagi ia tidak ditutup ia akan terus menerima kecaman keras dan negatif daripada masyarakat antarabangsa dan pertubuhan dunia.
AMK Selangor juga mendesak agar ruang lingkup dan perbincangan yang baik dan berhemah dapat berjalan di negara ini. Justeru Akta Hasutan 1948 tidak wajar menjadi alternatif kepada pihak tertentu mutakhir kini untuk terus menakut-nakutkan rakyat dan menekan pihak-pihak yang menuntut keadilan dan kebebasan.
Akta Hasutan 1948 merupakan suatu akta undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta ini sebenarnya digubal oleh penjajah British pada tahun 1948. Akta ini menjadikan ucapan yang "mempunyai kecenderungan menghasut" sebagai suatu kesalahan jenayah.
AMK Selangor melihat kecenderungan pihak-pihak tertentu menggunakan Akta Hasutan 1948 ini untuk hanya bertujuan menutup suara-suara rakyat dan perbincangan yang baik untuk negara ini. Justeru AMK menggesa semua pihak membuat desakan kuat kepada pihak kerajaan agar akta yang sudah lagi tidak relevan masa kini dimansuhkan sahaja.
AMK Selangor menaruh harapan yang tinggi segala isu-isu yang sensitif ini dapat dibincangkan dengan suasana kasih sayang, ilmiah dan berfikiran terbuka. Malahan dengan wujudnya suasana ini negara akan lebih aman sentosa. Penggunaan ISA dan Akta Hasutan 1948 hanya akan menjadikan suasana siasah dan perbincangan isu-isu sensitif semakin sukar diselesaikan dan dirungkaikan. Ianya juga akan menjadi 'api dalam sekam' dalam masyarakat Malaysia untuk membina suasana siasah negara ini yang lebih kepada sifat berkasih sayang dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.
AMK Selangor juga menggesa agar kita semua mempelajari kebangkitan tamadun-tamadun besar dunia masa silam dalam melaksanakan dan membawa negara yang hebat. Kita perlu mempelajari suasana Tamadun Andalusia yang menangani dengan baik serta berhemah suasana perbezaan masyarakat pelbagai agama, bangsa dan ras pada ketika itu. Akhirnya tamadun Andalusia menjadi obor sinar kepada masyarakat di benua Eropah yang berada dalam suasana gelap-gelita pada ketika itu.
AMK Selangor menaruh keyakinan ini kerana masyarakat Malaysia yang mendapat didikan tinggi semakin meningkat dan jumlahnya amat besar. Revolusi maklumat dan informasi yang bergerak pantas juga menjadi pemangkin kesedaran ilmiah yang semakin tinggi di kalangan masyarakat di negara ini.
AMK Selangor berkeyakinan segala isu-isu sensitif yang timbul di negara ini mampu diselesaikan dalam semua peringkat. Kita perlu mewujudkan suasana perbincangan isu-isu sensitif ini dengan semangat kasih sayang, mesra dan berfikiran positif serta terbuka. Malaysia sudah mengecapi nikmat kemerdekaan lebih 50 tahun, justeru dengan umur yang matang ini menuntut juga semua lapisan kepimpinan dan masyarakat menuju perubahan minda yang lebih dinamik dan sejajar dengan perubahan besar dunia.
Akhirnya, AMK Selangor menaruh harapan dan sinar baru untuk Malaysia yang lebih aman damai tanpa ISA dan Akta Hasutan 1948 ini. Suasana perbincangan isu-isu sensitif yang tidak pernah selesai semenjak Malaysia merdeka akan menjadi lebih mudah dirungkaikan dan dimuktamadkan segera tanpa adanya lagi ISA dan Akta Hasutan 1948.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment