Elak imej PM baru tercalar, BN tolak tanding di Penanti
Lanjusoh
Tue | May 19, 09 | 5:53:04 pm MYT
KOTA BHARU, 19 Mei (Hrkh) - Mengejutkan apabila presiden baru Umno, Dato' Seri Najib Razak tiba-tiba mengumumkan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil Dun Penanti, 31 Mei ini.
Ini satu sejarah yang tidak pernah berlaku dalam Umno. Mungkin satu petanda kehadiran Najib melengkapkan teori RAHMAN.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat juga meluahkan rasa terkejut apabila pemimpin Umno tiba-tiba sekarang bercakap mahu mengikut perlembagaan.
"Apakah Umno mengisytiharkan darurat di Kelantan (Mageran) ketika merampas negeri ini pada 1978 adakah ia mengikut perlembagaan.
"Begitu juga menahan seseorang dalam tahanan ISA adakah mengikut perlembagaan sedangkan kita ada mahkamah," kata Mursyidul Am PAS ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Begitu juga katanya dengan tindakan Umno merampas kuasa di Perak adakah ia mengikut perlembagaan.
Kata beliau rakyat Perak telah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri itu mengapa tiba-tiba pemimpin Umno memerangkap tiga wakil rakyat Pakatan untuk menubuh pula kerajaan lain.
"Adakah semuanya itu Umno lakukan mengikut perlembagaan. Apa yang jelas usia Umno sudah berada di penghujung sekarang," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.
Semalam Najib mengumumkan keputusan BN tidak bertanding di Penanti dengan mengemukakan alasan iaitu kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan.
Kerusi Dun Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Umno boleh berdalih bermacam-macam seumpama budak-budak dadah berdalih ketika polis cekup mereka, biar pun ada dadah dalam poket semasa ditangkap.
"Alasan Umno itu cakap seperti budak dadah memberi alasan. Sekarang bukan sahaja pemimpin Umno yang tidak mahu letak calon, pengundi pun tiada lagi selera hendak mengundi BN.
"Bala menimpa Umno akhir-akhir ini. Dia sendiri yang menggali lubang. Pertama Umno tolak Islam. Sedangkan Allah telah menjelaskan dalam al Quran Islam itu cahaya iaitu jalan ke akhirat," katanya.
Menurutnya seperti budak dadah kerana mereka tidak terfikir hari tua ketika kulit badan sudah koyak dan buah pinggang tebus baru hendak insaf.
Kata beliau sepatutnya orang yang tolak Islam ialah mereka belum lagi Islam.
Umno umpama orang buta
Beliau berkata, orang Melayu dikurniakan Islam tiba-tiba menolaknya seumpama orang buta yang diberi tongkat tetapi menempisnya dengan sombong.
"Dia mahu bercakap hendak jaga Islam, demokrasi pun dia tidak boleh jaga. Kacau bilau di Perak sekarang kerana angkara mereka.
"Masalah yang berlaku sekarang kerana Umno membuangkan konsep takwa kepada Allah Taala, kita kena jaga Islam dan bukan jaga nasionalis," ujarnya.
Pengerusi KeADILan Kelantan, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, langkah BN tidak meletak calon di Penanti semata-mata bagi menggelirukan rakyat.
Menurutnya BN cuba meraihkan simpati dengan cuba memberi gambaran kononnya mereka sekarang lebih mengutamakan rakyat.
"Yang pasti setelah kajian dibuat, peluang BN menang adalah tipis menyebabkan Umno tidak mahu meletak calon pada pilihanraya kecil Penanti," ujarnya.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, Umno telah mencipta sejarah dunia apabila parti pemerintah tidak mahu menyertai pilihan raya.
Angkat bendera putih sebelum bertempur
Kata beliau parti pemerintah lebih awal mengangkat bendera putih sebelum bertempur.
Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, keputusan BN tidak meletak calon di Penanti menggambarkan Najib lebih lemah berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menurutnya, alasan Umno tidak mahu membazirkan duit rakyat tidak betul kerana perbelanjaan tetap dikeluarkan kerajaan untuk membolehkan SPR mengendalikan pilihan raya tersebut.
"Apa yang dimaksudkan membazir duit rakyat. Bagi saya BN sudah serasi dengan budaya politik wang membeli undi setiap kali pilihan raya diadakan," katanya yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan.
Selain itu mereka juga menggunakan jentera kerajaan sewenang-wenangnya.
"Mungkin itukah yang dimaksudkan tidak mahu membazir duit rakyat," tambahnya.
Biar apa alasan sekali pun Zaki berkata, Najib takut kepada bayangan kekalahan dalam pilihan raya kecil Penanti seperti yang berlaku di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebelum ini.
Kata beliau Najib lebih takut imejnya tercalar lagi kerana baru mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan presiden Umno.
Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, Umno dan BN kini semakin takut kepada demokrasi rakyat. - mj
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment