Wednesday, May 20, 2009

Krisis Perak, bimbang ada campur tangan di Mahkamah Rayuan esok - Mahfuz

Krisis Perak, bimbang ada campur tangan di Mahkamah Rayuan esok - Mahfuz
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 20, 09 | 4:37:26 pm MYT

SEREMBAN, 20 Mei (Hrkh) Ketua Penerangan PAS, Dato� Mahfuz Omar melahirkan kebimbangan sebarang campur tangan Umno/BN terhadap keputusan Mahkamah Rayuan esok berhubung permohonan Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin membatalkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Nizar selaku Menteri Besar Perak yang sah.

Mahfuz melihat, semacam ada signal yang telah dilontarkan mengenai hal itu daripada kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Dato� Seri Najib Tun Razak apabila menyatakan hanya akan berbincang dengan Pakatan Rakyat selepas keputusan Mahkamah Rayuan esok.

�Kita bimbang jika peristiwa campur tangan Umno/BN berulang kembali seperti dalam kes-kes perbicaraan Dato�Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, kes Pita Lingam, dan kita bimbang dengan kedudukan Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi yang jelas ahli Umno dan pernah memegang jawatan pentang dalam satu lembaga dalaman Umno,� katanya ketika mengulas isu itu sebentar tadi.

Mahfuz berkata, petunjuknya mudah apabila hakim yang akan membuat keputusan esok ialah mereka yang didakwa pernah terlibat dalam kes Pita Lingam, dan hal ini membuatkan �persepsi� kini mula berlegar akan keraguan keputusan esok.

�Saya bimbang dengan kenyataan itu dan merasakan keputusan esok menyelebahi Dato� Dr Zambry Abdul Kadir, dan kenyataan Najib bahawa akan berbincang dengan pakatan selepas keputusan esok hanyalah untuk menjadikan pakatan sebagai pihak yang tertekan.

�Saya pasti jika perbincangan diadakan dengan Nizar selaku MB yang sah, pastinya BN pula yang berada dalam keadaan tertekan,� katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak kehakiman agar menyetujui permohonan Nizar supaya kes esok didengar dan diputuskan oleh panel lima orang hakim dan bukannya seorang.

�Lima hakim juga perlu dari kalangan mereka yang berintegriti, bebas dari kaitan dengan kes-kes rasuah atau sebagainya yang ada kepentingan mana-mana pihak,�ujarnya.

Begitupun, jika keputusan esok menyebelahi Zambry, beliau masiah berharap jika BN mempunyai maruah dan mahu dilihat �bersih�, BN perlu mencadangkan pembubaran Dun.

Terdahulu Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar mengesahkan telah menghantar surat permohonan itu melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Berikutan keputusan itu, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali.

Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu./wann _

Umno Perlis bergolak, ada usaha burukkan imej Isa Sabu

Umno Perlis bergolak, ada usaha burukkan imej Isa Sabu
Bashir Ishak
Wed | May 20, 09 | 3:21:41 pm MYT

KANGAR, 20 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melihat desas-desus penyertaan 1,000 orang ahli Umno Bahagian Kangar ke dalam KeADILan sebagai satu mainan politik kotor dalaman Umno sendiri.

Menurut beliau, perkara ini ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Md Isa Sabu yang baru dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri baru-baru ini.

"Saya menyifatkan ini adalah satu usaha untuk mencalar imej Md Isa yang baru dilantik menerajui Umno Perlis serta jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagaian Kangar.

"Ini adalah satu permainan politik dalaman Umno oleh pihak tertentu yang bertujuan menjatuhkan sesama mereka. Berita ini ditimbulkan sebagai satu usaha membantah pelantikan Md Isa Sabu sebagai Pengerusi Umno negeri yang baru.

"Dengan beberbuat demikian ianya akan dilihat seolah-olah Md Isa gagal mengawal parti dengan baik," katanya.

Apapun, Ustaz Hashim tidak menolak adanya kemasukan ahli-ahli Umno ke dalam KeADILan.

"Saya difahamkan memang ada yang masuk parti KeADILan. Kami mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam parti sahabat kita. Apapun yang berlaku saya melihatnya sebagai masalah dalaman Umno itu sendiri," ujarnya lagi. - mns_

PAS tuntut hakim berwibawa

PAS tuntut hakim berwibawa
Abdul Aziz Mustafa
Wed | May 20, 09 | 2:40:59 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) PAS bukan sekadar menuntut panel lima hakim mahkamah rayuan dibentuk bagi mendengar permohonan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengetepikan keputusan mahkamah itu sebelum ini, malah menuntut hakim-hakim tersebut hendaklah mempunyai integriti yang tidak dipersoalkan rakyat.

Ketika menegaskan perkara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS tidak mahu kes itu dianggotai oleh hakim yang didakwa dicadangkan oleh Datuk V K Lingam.

"Kita memberi perhatian yang serius kepada dakwaan bahawa Datuk Ramly Ali iaitu hakim mahkamah rayuan yang membenarkan permohonan (Datuk Seri Dr) Zambry (Abd Kadir) untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah dahulu adalah antara hakim yang disebut oleh Lingam dalam rakaman videonya yang disiasat suruhanjaya khas dahulu," katanya.

Dalam rakaman video tersebut, Lingam didengar berkata: "Then, there is a letter. According to Tengku, I�m going to see him tomorrow, there is a letter sent to ah � CJ � I mean to Tan Sri Dzaiddin that Datuk Heliliah, Datuk Ali � and Datuk Ramli and Datuk Maarop be made judges � and ah � he rejected ah � that Dr Andrew Chew and apa itu, Zainuddin Ismail lah because Zainuddin Ismail who condemned your appointment and Tan Sri Mohtar�s appointment".

Mahfuz seterusnya menegaskan PAS juga menuntut supaya hakim-hakim yang membicarakan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu tidak menganggotai panel lima hakim yang dituntut itu.

"Kita tidak cuba menyatakan mereka bersalah atau tidak. Tetapi hakim yang dipertikaikan kredibiliti dan integriti mereka oleh sebahagian besar rakyat negara ini tidak sewajarnya mendengar rayuan Nizar itu," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Memandangkan hubungan rapat Ketua Hakim Negara kini dengan Umno di mana beliau pernah menjadi peguam Umno serta pernah menganggotai Lembaga Disiplin Umno, katanya lagi, PAS tidak mampu menolak kebimbangannya terhadap rayuan itu.

"Kita tidak lupa bagaimana Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang mendedahkan bahawa beliau diarah menerusi telefon supaya menolak tanpa perbicaraan petisyen ke atas keputusan pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas," kata Mahfuz.

Hashim Jasin tidak mahu tanding Timbalan Ketua Dewan Ulama

Hashim Jasin tidak mahu tanding Timbalan Ketua Dewan Ulama
Bashir Ishak
Wed | May 20, 09 | 1:55:10 pm MYT

KANGAR, 20 Mei (Hrkh) - Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hashim Jasin menyatakan hasrat beliau untuk tidak bertanding mengekalkan jawatan tersebut walaupun mendapat pencalonan.

Pada 18 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali telah membuat pengumuman berhubung senarai penuh pencalonan bagi pemilihan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Muslimat.

Dalam pengumuman tersebut, Ustaz Hashim disenaraikan layak bertanding jawatan berkenaan bersama-sama dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yaakob.

"Saya sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk berundur daripada jawatan Timbalan Ketua Dewan Ulama ini dalam mesyuarat jawatankuasa Dewan Ulama Pusat.

"Walaupun saya belum lagi menerima surat tawaran tersebut, namun hari ini saya mengumumkan menolak pencalonan tersebut," jelas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis.

Sehubungan itu, Ustaz Hashim berharap agar Dato' Ahmad Yaakob tidak menolak pencalonan tersebut.

"Biarlah jawatan ini tidak dipertandingkan dan biarlah jawatan ini disandang oleh muka baru pula," katanya.

Ditanya tentang pencalonan beliau untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hashim berkata beliau masih lagi mempertimbangkan untuk menerima pencalonan tersebut. - mns

Krisis Perak, PAS tidak akan goyah walau demokrasi lumpuh!

Krisis Perak, PAS tidak akan goyah walau demokrasi lumpuh!
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 20, 09 | 10:43:11 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengulangi dakwaan bahawa Barisan Nasional lah punca kepada krisis politik di Perak berlanjutan.

Semasa mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa pembangkang punca kepada krisis itu, Presiden PAS menyifatkan "Bak kata pepatah Arab dia memukul saya, dia yang menangis,"

"Dia yang zalimi saya dia yang mengadu" sambung Presiden PAS meneruskan ulasannya ketika ditemui Harakah pada 18 Mei lalu di pejabatnya dekat sini.

Beliau juga mempersoalkan pihak mana yang terlebih dahulu menimbulkan kekecohan sehingga rampasan kuasa berlaku di Perak.

"Siapa yang menimbulkan kekecohan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak?.Semua tahu BN melakukan rasuah politik dan rasuah," katanya.

BN juga kata Tuan Guru Abdul Hadi mengambil langkah melantik Menteri Besarnya dan memecat MB yang sah (Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin) tanpa tanpa mengikut prosedur termasuk melalui sidang dewan atau mengikut perlembagaan.

Tuan Guru Abdul Hadi juga menyatakan tindakan BN itu membelakangi proses demokrasi yang baik.

Beliau juga berpendirian seandainya tidak berlaku pembubaran Dun, negara menuju ke arah melumpuhkan demokrasi.

"Kita beri amaran, perjuangan PAS tidak akan luntur walaupun demokrasi dilumpuhkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Pakatan Rakyat mahu Dun Perak dibubarkan dan hak memilih kerajaan yang sah perlu diserahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Pakatan Rakyat menghormati Istana tetapi yang membuat keputusan bukan Istana, bukan hakim tetapi rakyat.

"Di Perak kita yakin akan menang lebih besar kerana (rakyat) mahukan perubahan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman menegaskan sudah tiba masanya rakyat Perak diberi peluang menggunakan hak mereka bagi menentukan kerajaan pilihan mereka.

Ujar Abu Talib, perkara itu adalah selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan hanya kerajaan yang stabil akan dapat memastikan hak kepada keamanan dan pembangunan.

Insiden yang berlaku semasa sidang Dun Perak 7 Mei lalu, dimana polis dan kakitangan awam bertindak bersama kerajaan yang memperoleh kuasa dengan keadaan yang kontroversi membelakangi prinsip hak asasi, katanya.

Mereka yang bertugas dalam polis dan pentadbiran mesti tetap setia kepada kepentingan awam dan menghormati hak asasi manusia, katanya.

"Usul memecat Speaker Dewan yang sah dan pengusiran beliau dari dewan serta tindakan polis menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ahli masyarakat keseluruhannya.

"Seterusnya menimbulkan persoalan sama ada kepentingan politik mengatasi kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan pada 18 Mei kepada media.

Menurutnya, Malaysia adalah negara demokratik yang berpegang kepada hak asasi manusia dan sistem perundangan adil.

Namun, kecelaruan yang berlaku pasti meninggalkan titik hitam dalam usaha kita mempromosi prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Sehubungan itu, katanya kerajaan diharap akan dapat bertolak ansur dan menghargai demonstrasi awam secara aman berbanding polisi dan tindakan yang dianggap kurang popular. _

Ustaz Azizan tarik diri bertanding Timbalan Presiden

Ustaz Azizan tarik diri bertanding Timbalan Presiden
Harakahdaily
Wed | May 20, 09 | 10:29:48 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Azizan Abdul Razak mengambil keputusan menarik diri dari merebut jawatan Timbalan Presiden pada muktamar Pas awal Jun ini.

Menteri Besar Kedah dalam kenyataannya itu memberitahu keputusannya disebabkan mahu menumpukan kepada kerja pembangunan negeri dan parti di peringkat negeri.

Menurut laman web Muktamar55.pas.org.my beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah menyatakan kesediaannya untuk bertanding mempertahankan jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat (AJK) yang disandangnya sejak lebih 10 tahun.

Azizan antara lima orang yang dicalonkan bertanding, melepaskan peluang jawatan tersebut kepada mereka yang lebih layak dan lebih muda untuk memimpin PAS di peringkat nasional.

Manakala dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu telah mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut.

Dua lagi yang dicalonkan ialah Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa. - azm _

Anwar cabar kesahihan pemecatan TPM di Mahkamah Rayuan esok

Anwar cabar kesahihan pemecatan TPM di Mahkamah Rayuan esok
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 20, 09 | 10:22:30 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan rayuan bagi didengar di Mahkamah Persekutuan Putrajaya esok bagi mencabar keputusan berkaitan kesahihan pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar atas fakta yang diberikan beliau mempunyai kuasa mutlak kerana Perdana Menteri yang membuat lantikan, justeru beliau juga berhak memecat.

Bagaimanapun Anwar memfailkan saman terhadap TMahathir berdasarkan pemecatan itu berlawanan dengan prosedur.

Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk mendengar rayuan Anwar berhubung pemecatan beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Anwar mencabar kesahihan pemecatan tersebut kerana ianya tidak menuruti lunas Perlembagaan.

Sebelum itu saman beliau diketepikan, justeru beliau mengemukakan rayuan, dan akan didengar hari Khamis (esok, 21 Mei 2009) mulai jam 9.00 pagi.