Tuesday, May 12, 2009

PAS curiga keputusan Mahkamah Rayuan

PAS curiga keputusan Mahkamah Rayuan
Irwan Muhammad Zain
Tue | May 12, 09 | 3:04:17 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dikhuatiri dipengaruhi kepentingan politik Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi menegaskan, PAS sentiasa menghormati keputusan mahkamah namun dalam masa yang sama juga khuatir keputusan tersebut dipengaruhi pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Mahfuz menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan itu dibimbangi diputuskan bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan di bawah pemerintahan BN.

"Kita melihat keputusan ini dibuat bagi membolehkan Zambry kembali menjadi Menteri Besar dan seterusnya mereka akan memohon untuk dibubarkan Dun.

"Jika Dun dibubarkan, BN akan menjadi kerajaan sementara dalam tempoh tersebut dan inilah yang dimahukan oleh mereka supaya sebarang keputusan atau peruntukan dapat dikawal oleh mereka," tegas Mahfuz.

Beliau juga menegaskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu tidak menyelesaikan kemelut di Perak sebaliknya menambahkan kerumitan dan kebuntuan serta keresahan rakyat Perak.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali tegas Mahfuz sepatutnya mempertimbangkan situasi persekitaran dan tidak hanya membuat keputusan berdasarkan undang-undang semata-mata.

"Hakim sepatutnya mengambil kira keresahan rakyat Perak yang mengharapkan penyelesaian total dapat segera dilaksanakan," tegas beliau.

Justeru, PAS tegas Mahfuz mendesak jika pembubaran Dun dilakukan dalam tmpoh terdekat, kerajaan sementara yang mentadbir Perak dalam tempoh tersebut hendaklah diwakili oleh Pakatan Rakyat dan BN.

Hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengah hari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Dato' Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan Kerajaan Pusat. - mns

Rayuan Zambry : PR Perak bermesyuarat bincang langkah seterusnya

Rayuan Zambry : PR Perak bermesyuarat bincang langkah seterusnya
Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | May 12, 09 | 5:03:16 pm MYT

IPOH, 12 Mei (Hrkh) - Pakatan Rakyat Perak kini sedang bermesyuarat bagi membincangkan langkah seterusnya berikutan tindakan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pagi tadi.

Kini pimpinan Pakatan Rakyat Perak sedang mendengar taklimat dan perkembangan daripada peguam antaranya, Hanipa Maiden yang terlibat secara langsung dalam perbicaraan.

Antara yang hadir dalam mesyuarat di Badan Perhubungan PAS Perak petang ini ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang; Menteri Besar, Dato'Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan saf kepimpinan pakatan yang lain.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. /wann

Bubar DUN - Peluang Sultan Azlan Shah muncul terhormat

Bubar DUN - Peluang Sultan Azlan Shah muncul terhormat
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Tue | May 12, 09 | 9:35:38 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mengharapkan Sultan Azlan Shah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, bagi membolehkan rakyat negeri itu membuat pilihan secara demokratik selepas Mahkamah Tinggi semalam memberikan kemenangan dari segi undang-undang kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, inilah masa yang terbaik bagi institusi Di Raja Perak yang amat dihormati sebelum ini, untuk membuktikan bahawa mereka adil dan saksama.

"Institusi ini tidak harus dilihat bertindak memihak kepada satu golongan tetapi bertindak berteraskan peraturan dan undang-undang. Prinsip-prinsip demokrasi harus dihormati.

"Peluang institusi Diraja Perak keluar dari kemelut ini dengan tahap imej yang lebih tinggi adalah terbuka luas. Bubarkan saja DUN Perak dan biarkan rakyat memutuskan penghakiman mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Husam, bagi PAS dan Pakatan Rakyat, pembubaran Dun tidak semestinya memberikan keuntungan kepada Pakatan Rakyat kerana, rakyat Perak bebas membuat pilihan mereka sendiri.

Katanya, pembubaran Dun merupakan tetap langkah terpuji yang membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat adalah pemain demokrasi yang jujur dan pruden serta berani meletakkan rakyat di tempat teratas.

"Kuasa bukan segala-galanya tetapi prinsip-prinsip utama lebih didahulukan," tegas beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Naib Presiden PAS itu juga menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengembalikan jawatan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah mengejutkan.

Katanya, keberanian Hakim Abdul Aziz Rahim membawa Mahkamah Malaysia keluar sebagai institusi yang bebas dan berintegriti adalah amat mengejutkan.

"Beliau adalah seorang hero baru," kata Husam.

Husam juga menempelak Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana beliau sepatutnya tidak lagi menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan krisis Perak yang beliau sendiri mulakan.

Tegasnya, walaupun keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu, tetapi, rakyat tetap beranggapan bahawa pemecatan Nizar adalah tidak sah, dan ianya telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,

Menurutnya, Najib harus berani menerima realiti dan berani menyelesaikan kemelut ini mengikut saluran politik adalah langkah yang paling baik.

"Jika rayuan itu nanti masih memihak kepada Nizar, Najib dan Umno akan menanggung malu yang lebih besar. Jika keputusan itu atas apa sebab pun memihak kepada BN, rasa euphoria rakyat atas bebasnya kehakiman negara ini kembali menjadi negatif.

"Jika Najib berani bertindak bersama Pakatan Rakyat untuk memujuk Sultan Perak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, BN mendapat dua markah iaitu bebasnya kehakiman di bawah pentadbiran Najib dan yang kedua, kerana berani mencari jalan penyelesaian kepada krisis atas prinsip kembalikan kuasa penentuan kepada rakyat," ujar Husam.

Katanya, Umno dan BN mungkin tewas dalam pilihanraya itu nanti, tetapi maruah politik dan integriti BN akan dapat dihindarkan dari terus koyak.

"Ia telah pun koyak dengan parah sebelum ini. Umno-BN mendapat kuasa di Perak, tetapi ia meranapkan imej BN di seluruh negara, bahkan dunia. Harganya terlalu mahal.

"Samada Najib ingin terus bermandi dalam lumpur politik yang tidak mungkin dibersihkan selagi ia menggonggong kuasa di Perak melalui jalan di luar batas undang-undang dan amalan demokrasi yang terpuji atau kembali ke pangkal jalan," tegasnya.

Umno 'bermatian' halang pilihan raya kecil di Perak

Umno 'bermatian' halang pilihan raya kecil di Perak
Lanjusoh
Tue | May 12, 09 | 2:59:15 pm MYT

KOTA BHARU, 12 Mei (Hrkh) - Kini hanya tinggal satu pilihan, bubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi menyelesaikan segala kemelut politik di Perak.

Tanpa tindakan tersebut rakyat negeri terbabit akan terus menjadi mangsa.

Ketidakstabilan politik boleh menjejaskan segala-galanya.

Ini kerana hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Sedangkan Hakim Mahkamah Tinggi semalam mengisytiharkan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pembubaran Dun sahaja satu-satunya jalan keluar yang ada di Perak sekarang.

"Kejayaan Zambry menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam menambah lagi kerumitan isu tersebut.

"Polemik ini tidak ada kesudahannya dan sudah pasti kehidupan harian rakyat akan terjejas," katanya di sini.

Hari ini Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam selepas mendengar permohonan Zambry.

Peguam Zambry berhujah penangguhan keputusan mahkamah semalam bertujuan menghalang Nizar mendapatkan perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dun.

Penangguhan keputusan mahkamah itu turut mendapat sokongan Peguam Negara.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, Umno dan BN tidak perlu gusar bagi mendapatkan semula mandat rakyat kerana mereka sering kali mendakwa parti itu kuat di bawah Perdana Menteri baru.

"Umno tidak perlu gusar untuk menghadapi pilihan raya semula. Namun tindakan Zambry mengemukakan rayuan segera secara jelas menggambarkan mereka begitu takut berdepan gelombang rakyat," katanya.

Menurutnya Umno kelihatan bekerja bermati-matian bagi menghalang pilihan raya diadakan sehingga terpaksa mendapat bantuan Mahkamah Rayuan.

Beliau juga berkata, sekiranya pilihan raya diadakan lagi di Perak, Dewan Pemuda PAS Kelantan bersedia menghantar lebih ramai lagi petugas membantu jentera kempen. - mj

Mahkamah Rayuan tangguh keputusan Mahkamah Tinggi

Mahkamah Rayuan tangguh keputusan Mahkamah Tinggi
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 2:13:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Menurut laporan penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas, demikian lapor Malaysiakini.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat. - azm

KeADILan Perak buat laporan polis kes hina Speaker

KeADILan Perak buat laporan polis kes hina Speaker
Ekmal Yusof
Tue | May 12, 09 | 1:36:57 pm MYT

SUNGAI SIPUT, 12 Mei (Hrkh) - Parti KeADILan Rakyat Negeri Perak telah membuat laporan polis serentak semalam mengenai penghinaan dan kekerasan yang dilakukan terhadap Speaker V. Sivakumar oleh Umno/BN di pembukaan DUN Perak 7 Mei lalu.

Dalam kejadian tersebut V. Sivakumar yang masih kekal jawatan Speaker Dun Perak yang sah telah diusir dan diheret keluar oleh pihak Umno/BN yang tiada memakai lencana pengenalan diri ketika Sidang Dewan Negeri Perak sedang berjalan.

Malah dilaporkan juga tragedi ditanggalkan jubah pakaian rasmi Speaker secara paksa oleh anggota polis yang dikatakan tiada pakaian seragam dan tanpa memakai tanda pengenalan diri.

Semalam tepat jam 3.30 petang pimpinan PKR yang diketuai oleh Timbalannya Haji Ahmad Zainal telah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut di Balai Polis di sini.

Menurut Ketua KeADILan di sini Haji Mohd Aun Mansor partinya juga akan membuat aduan polis mengenai pemecatan tugas Ketua Kampung dan AJKKK Kerajaan Pakatan Rakyat oleh Umno/BN baru-baru ini. - mns_

Penghargaan kepada ibu tidak harus dibuat secara bermusim

Penghargaan kepada ibu tidak harus dibuat secara bermusim
Roy Rasul
Tue | May 12, 09 | 1:25:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Penghargaan terhadap segala pengorbanan ibu kepada anak-anaknya yang tidak ternilai tidak harus bersifat 'bermusim' atau hanya sekadar satu hari, ujar Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh.

Dedikasi agung sepanjang masa katanya, perlu diberikan kepada seluruh kaum ibu sejajar dengan pengorbanan melahirkan dan mendidik generasi sehingga ke hari ini,

Katanya, wanita yang bergelar seorang ibu berhak mendapat penghormatan, pengiktirafan, penghargaan dan ihsan atau kebaikan daripada anak-anak.

Malah katanya, Allah S.W.T menyuruh manusia mengabdikan diri kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mensyukuri Allah.

Dengan itu katanya, tidak selayaknya perit seorang ibu hanya dikenang dengan memberi anugerah dan penghormatan pada satu hari dalam setahun.

"Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendapat para ibu sewajarnya sentiasa didekati dengan kasih sayang, perhatian, penghormatan oleh anak-anak dan keluarga.

"Biarlah dekat seorang ibu dengan perhatian, rahmat dan kasih sayang Allah atas ketulusan budi dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi," katanya dalam satu perutusan hari ibu baru-baru ini.

Katanya, seorang ibu tidak mengharapkan kepada balasan atas pengorbanan mereka tetapi kerana ibu memiliki sekeping hati yang diselaputi rasa kasih sayang sehingga segala kesukaran dan kesulitan semasa mengandung sehingga anak-anak membesar tidak membekas di sanubarinya.

Ujarnya, institusi keluarga yang berjaya adalah keluarga yang di dalamnya wujud 'rasa mahabbah' atau kasih sayang yang didasari oleh pemupukan dan penerapan nilai-nilai Islam yang murni.

Asas penting pembinaan keluarga ujarnya, untuk membajai 'fahaman Islam' sehingga nukleus kecil dalam pembentukan keluarga akan berkembang kepada proses pembentukan masyarakat yang harmoni.

Oleh yang demikian katanya peranan ibu sebagai 'mahaguru alam' tidak dapat dinafikan. Mahaguru inilah yang memainkan peranan paling awal untuk mendidik generasi.

"Wanita, tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya bisa menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang," katanya.

Sebagai pendidik alam ini katanya, kaum ibu perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan melalui proses tarbiyah supaya mampu memberi didikan yang seimbang kepada anak-anak dalam semua aspek kehidupan.

Didikan tersebut katanya, dalam membentuk aspek pembinaan material semata-mata, tetapi bermula dari membentuk jati diri seorang individu dengan akhlak yang mulia.

Katanya, pengurniaan taraf seorang ibu banyak tercatit dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w..

"Berbuat baiklah kepada ibu kita..ingati dengan segar terhadap segala budi baik mereka semasa mengandungkan kita selama sembilan bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, malah mendidik kita...temanilah ibu dikala senang dan susah, hargailah mereka, sayangilah mereka, doakanlah ibu sentiasa dilindungi dan dipermudahkan dalam segala perkara," katanya. - mns