Penghargaan kepada ibu tidak harus dibuat secara bermusim
Roy Rasul
Tue | May 12, 09 | 1:25:03 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Penghargaan terhadap segala pengorbanan ibu kepada anak-anaknya yang tidak ternilai tidak harus bersifat 'bermusim' atau hanya sekadar satu hari, ujar Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh.
Dedikasi agung sepanjang masa katanya, perlu diberikan kepada seluruh kaum ibu sejajar dengan pengorbanan melahirkan dan mendidik generasi sehingga ke hari ini,
Katanya, wanita yang bergelar seorang ibu berhak mendapat penghormatan, pengiktirafan, penghargaan dan ihsan atau kebaikan daripada anak-anak.
Malah katanya, Allah S.W.T menyuruh manusia mengabdikan diri kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mensyukuri Allah.
Dengan itu katanya, tidak selayaknya perit seorang ibu hanya dikenang dengan memberi anugerah dan penghormatan pada satu hari dalam setahun.
"Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendapat para ibu sewajarnya sentiasa didekati dengan kasih sayang, perhatian, penghormatan oleh anak-anak dan keluarga.
"Biarlah dekat seorang ibu dengan perhatian, rahmat dan kasih sayang Allah atas ketulusan budi dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi," katanya dalam satu perutusan hari ibu baru-baru ini.
Katanya, seorang ibu tidak mengharapkan kepada balasan atas pengorbanan mereka tetapi kerana ibu memiliki sekeping hati yang diselaputi rasa kasih sayang sehingga segala kesukaran dan kesulitan semasa mengandung sehingga anak-anak membesar tidak membekas di sanubarinya.
Ujarnya, institusi keluarga yang berjaya adalah keluarga yang di dalamnya wujud 'rasa mahabbah' atau kasih sayang yang didasari oleh pemupukan dan penerapan nilai-nilai Islam yang murni.
Asas penting pembinaan keluarga ujarnya, untuk membajai 'fahaman Islam' sehingga nukleus kecil dalam pembentukan keluarga akan berkembang kepada proses pembentukan masyarakat yang harmoni.
Oleh yang demikian katanya peranan ibu sebagai 'mahaguru alam' tidak dapat dinafikan. Mahaguru inilah yang memainkan peranan paling awal untuk mendidik generasi.
"Wanita, tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya bisa menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang," katanya.
Sebagai pendidik alam ini katanya, kaum ibu perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan melalui proses tarbiyah supaya mampu memberi didikan yang seimbang kepada anak-anak dalam semua aspek kehidupan.
Didikan tersebut katanya, dalam membentuk aspek pembinaan material semata-mata, tetapi bermula dari membentuk jati diri seorang individu dengan akhlak yang mulia.
Katanya, pengurniaan taraf seorang ibu banyak tercatit dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w..
"Berbuat baiklah kepada ibu kita..ingati dengan segar terhadap segala budi baik mereka semasa mengandungkan kita selama sembilan bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, malah mendidik kita...temanilah ibu dikala senang dan susah, hargailah mereka, sayangilah mereka, doakanlah ibu sentiasa dilindungi dan dipermudahkan dalam segala perkara," katanya. - mns
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment