Wednesday, May 13, 2009

13 Mei 2009: Kelantan cetus deklarasi perpaduan nasional

13 Mei 2009: Kelantan cetus deklarasi perpaduan nasional
Lanjusoh | Foto Md Yusri Amin
Wed | May 13, 09 | 1:30:18 pm MYT

KOTA BHARU, 13 Mei (Hrkh) - Tanggal 13 Mei 1969, sejarah hitam negara tercatat. Ramai penduduk menjadi mangsa rusuhan antara kaum. Ia masih diingati sehingga ke hari ini.

Mungkinkah peristiwa seumpama itu berulang kembali, seperti yang pernah berlaku di Kampung Medan beberapa tahun lalu.

Ekoran peristiwa itulah kerajaan mengubal Dasar Ekonomi Baru (1970 - 1990). Dan paling menarik apabila PAS dipelawa Tun Abdul Razak Hussien berada dalam kerajaan Barisan Nasional pada 1974.

Mengingatkan peristiwa itu buat julungkali kerajaan PAS di Kelantan mencetus deklarasi perpaduan nasional dan keamanan sejagat 13 Mei 2009 pada satu sidang akhbar yang agak luar biasa hari ini.

Sidang akhbar itu dihadiri hampir kesemua anggota Exco kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, sebahagian wakil rakyat, penjawat awam dan pemimpin PAS yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara ini.
Image
"Maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.

"Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahu pun dalam negeri sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan.

"Saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidaktentuan dan serba salah. Mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi," katanya.

Menurutnya apa yang ada dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara kini hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana berkecamuk.

Kata beliau sekarang banyak berlaku ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang memegang amanah, namun telah mengkhianatinya.
Image
"Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan

"Maka hari ini 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu," katanya.

Oleh itu beliau mengajak rakyat di negara ini kembali kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah SWT sebagai premis kebahagiaan yang pertama.

Dan keduanya rakyat negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat. - mj/mks.

Nik Aziz tolak kerajaan perpaduan bersama Umno

Nik Aziz tolak kerajaan perpaduan bersama Umno
Muhammad Yusri Amin & Mohd Nor Yahya
Wed | May 13, 09 | 6:23:57 pm MYT

KOTA BHARU, 13 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sama sekali tidak bersetuju cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Beliau berkata, PAS sudah hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana penipuan yang dilakukan semasa PAS berada dalam kerajaan Perikatan pada 1974.

"Kerajaan perpaduan di antara PAS dan BN tidak mungkin berlaku walau pun ada dakwaan kononnya saya akan bersetuju sekiranya PAS ditawarkan jawatan penting termasuk Menteri Pelajaran atau Menteri Kewangan.

"Saya sudah tidak percaya kepada keikhlasan mereka yang pernah menipu PAS. Mereka pernah menendang PAS keluar daripada kerajaan Perikatan pada 1978.

"Oleh itu sekiranya berlaku lagi kerajaan perpaduan di antara PAS dan Umno, apa jaminan Umno tidak akan menendang kami keluar lagi," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009 di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau sekali lagi mengulangi analoginya diibarat PAS menolak kereta lama Umno-BN, setelah enjin kereta itu hidup, kereta itu berjalan meninggalkan PAS di belakang yang sudah terpalit asap dan lumpur.

Mengenai deklarasi Perpaduan Nasional yang baru dicetusnya, beliau berkata PAS ada penawarnya bagi menjalin hubungan dengan Umno dengan syarat dasar parti itu ditukar daripada kebangsaan kepada Islam.

"Sekiranya Umno menukar dasarnya dengan persetujuan daripada cawangan dan negeri-negeri kepada Islam maka PAS akan menyokong.

"Tidak ada sebab kita hendak melawan dasar dan perjuangan Islam. Kami melawan sekarang kerana Umno membawa jalan sesat," katanya.

Beliau juga berkata, Umnolah punca kekalutan dalam politik di negara ini kerana mereka hanya mementingkan bangsa, sedangkan Islam milik sejagat.

Menyentuh suasana politik di Perak yang semakin kalut katanya, biarlah rakyat yang menjadi hakim bagi memilih seseorang Menteri Besar.

Namun katanya kini sudah terbalik pula apabila mahkamah yang menjadi hakim memilih ketua kerajaan.

"Saya hairan di Malaysia nampaknya ada pihak-pihak tertentu yang menjadi dalang kepada wujudnya suasana kalut ini," ujar beliau.

Ditanya mengenai konsep 1 Malaysian yang diuar-uarkan Perdana Menteri sekarang katanya, BN hanya mencedok apa yang telah dilaksanakan PAS.

Menurutnya PAS membawa dasar perjuangan Islam sehingga masyarakat Cina dan India sudah menerima konsep tersebut seperti yang berlaku di Kelantan sekarang.

"Di Kelantan, kita ada wakil masyarakat bukan Melayu dalam kerajaan bagi menghubungkan mereka dengan bukan kaum Islam," ujarnya.

Sementara itu, seorang usahawan Kenny Chua, 53 berkata, keluarganya mendapat perlindungan di kediaman Menteri Besar Kelantan, Dato' Asri Muda semasa berlaku peristiwa 13 Mei 1969.

Menurut beliau bapanya Chua Say Paw pernah memberitahu PAS satu hari nanti akan berjaya memerintah Kelantan sekiranya mereka mengambil berat masyarakat bukan Islam seperti yang berlaku sekarang. - mj

Anak KP Harakah kritikal

Anak KP Harakah kritikal
Azamin Amin
Wed | May 13, 09 | 2:30:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Anak Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman kini berada dalam keadaan kritikal setelah dimasukkan ke hospital dua hari lalu.

Ahmad Shafiq, 13 telah dimasukkan ke Hospital Ampang pada malam 11 Mei akibat demam denggi yang berlarutan selama lebih lima hari.

Melalui sistem pesanan ringkas Lutfi kepada Harakahdaily jam 2.00 petang tadi memaklumkan keadaan kesihatan anaknya itu.

"Anak saya kritikal. Mohon doakan kesejahteraan anak saya semoga dia sembuh," katanya melalui sms.

Syafiq, anak ketiga daripada lima adik beradik ini kini ditempatkan di Wad 6B, bilik dan nombor katil 24 di hospital tersebut.

Harakahdaily meminta jasa baik orang ramai dan sesiapa yang turut bersimpati untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan anak Lutfi agar pulih sedia kala. - azm_

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak
Irwan Muhammad Zain
Wed | May 13, 09 | 12:18:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Dato' Dr Zambry Abd Kadir diminta supaya tidak menambahkan lagi kebuntuan dan kekalutan yang dihadapi rakyat Perak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masih sah dan tidak seharusnya Zambry bertindak berlawanan dengan keputusan tersebut.

"Mahkamah Rayuan hanya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi bukannya membatalkan.

"Kerana itu Zambry harus ingat bahawa dia bukanlah Menteri Besar yang sah dan untuk itu beliau tidak boleh bertindak di luar dari apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi," tegas Mahfuz.

Zambry, tegas Mahfuz dalam keadaan sekarang tidak boleh meluluskan sebarang projek dan hanya boleh mempengerusikan mesyuarat exco untuk berbincang soal pentadbiran semata-mata.

Mahfuz dalam masa yang sama berpendapat Mahkamah Rayuan sepatutnya memberikan syarat tertentu kepada Zambry bila memutuskan untuk menerima permohonan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara syarat yang boleh diberikan tegas Mahfuz, Zambry tidak dibenarkan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan, PAS bimbang jika syarat seperti itu tidak diberikan, Zambry akan membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada kewangan Perak.

Semalam Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mei lepas yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. - mks.

Nizar dijadual ke KL, DAP akan buat laporan polis berhubung insiden Dun Perak

Nizar dijadual ke KL, DAP akan buat laporan polis berhubung insiden Dun Perak
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | May 13, 09 | 11:59:51 am MYT

IPOH, 13 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin dijadualkan ke Kuala Lumpur petang ini bagi menghadiri forum di Petaling Jaya malam ini.

Menurut Setiausaha Politiknya, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Nizar akan menyertai forum itu bersama beberapa panelis lain bagi membincangkan pergolakan politik di Perak.

Sementara esok, Nizar juga akan menghadiri mesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja Laut difahamkan berhubung strategi terkini selepas isu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam mesyuarat Pakatan Rakyat Perak semalam, langkah seterusnya masih belum diputuskan memandangkan peguam Nizar masih memperhalusi tindakan seterusnya.

Setakat ini kata Pesuruhjaya PAS Perak,Ustaz Ahmad Awang Pakatan Rakyat masih menunggu 'signal' dari peguam dan perkembangan seterusnya.

Sementara di pihak DAP pula, dikhabarkan akan membuat laporan polis terhadap insiden di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Namun, isu spesifik yang dilaporkan masih belum diketahui.

Sementara di Perak, situasi seperti biasa rakyat mula bekerja dan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan pejabat Menteri Besar terus dikawal rapi oleh pasukan simpanan persekutuan (FRU).

Semalam, Mahkamah Rayuan pada 12 Mei membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Sementara sehari sebelumnya, ( 11 Mei), Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai menteri besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Pada 13 Februari, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan yang beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugasnya sebagai menteri besar.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihanraya umum ke-12, juga memohon diisytiharkan bahawa Zambry tidak berhak memegang jawatan menteri besar.

Pembangkang dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan 59 kerusi itu selepas tiga ADUN pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas dan yang keempat keluar dari PKR dan menyertai semula Umno.

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan melantik Dr Zambry selepas mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam Dewan.

Zambry memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan dan notis rayuan, 16 jam selepas Mohammad Nizar kembali menjadi Menteri Besar.

Berikutan keputusan itu, tokoh DAP Lim Kit Siang berkata Pakatan Rakyat akan memfailkan segera rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan perintah penangguhan.- wann/mks.

Kerajaan Najib mahu naikkan harga minyak

Kerajaan Najib mahu naikkan harga minyak
Abdul Aziz Mustafa
Wed | May 13, 09 | 11:36:29 am MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) Satu Malaysia akan menanggung beban apabila alasan tidak munasabah didahulukan dan kenaikan harga minyak diutamakan.

Apa yang menghairankan, kenaikan hara minyak itu disebabkan minyak petrol RON97 yang digunakan oleh sebahagian besar pemilik kenderaan di negara ini akan dijadikan produk premium dengan harganya dinaikkan kepada RM2 seliter berbanding RM1.80 seliter sekarang.

Atas alasan apa minyak kegunaan majoriti rakyat itu dijadikan produk premium tidak pula dinyatakan dengan munasabah dan meyakinkan.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, langkah itu berkuat kuasa 1 September ini serentak dengan pelancaran minyak baru RON95 berharga RM1.75 seliter di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilik kenderaan termasuk yang berkuasa tinggi tidak perlu risau dengan kenaikan RON97 kerana mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan minyak RON95.

''Kelebihannya RON95 adalah lebih baik daripada RON92 dengan harganya tidak jauh berbeza.

''Tujuannya ialah untuk menyediakan rakyat dengan minyak yang dari segi prestasi serta kualitinya lebih tinggi dan semua kenderaan termasuk yang selama ini menggunakan RON97 boleh mendapatkan minyak dengan harga lebih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan minyak petrol RON95 di stesen minyak Petronas di Presint 9D di Putrajaya semalam.

Petronas Dagangan Berhad berjaya merealisasikan pengeluaran RON95 apabila mulai hari ini dan esok, dua stesen minyak Petronas di Presint 9 di sini mula menjual minyak jenis itu atau dikenali Primax95.

Berkuat kuasa 1 September ini, semua stesen minyak di seluruh negara akan menjual minyak RON95 termasuk pelaksanaan spesifikasi EURO2M bagi petrol dan diesel dalam pasaran.

Sebelum ini, penjualan RON92 adalah lebih rendah iaitu lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol di negara ini sejak tahun 2000.

Spesifikasi minimum bagi kebanyakan enjin kenderaan yang digunakan di negara ini adalah RON91.

Menurut Ismail Sabri, penggunaan petrol RON97 yang besar selama ini adalah satu bentuk pembaziran kerana kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Eropah menggunakan RON yang lebih rendah.

''Keadaan ini menggambarkan bahawa pengguna di negara ini tidak mendapat maklumat yang lebih tepat mengenai produk petrol yang sesuai untuk enjin kenderaan mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, kerajaan sebenarnya tetap memberikan subsidi bagi minyak RON95 iaitu tiga sen seliter sebagaimana sekarang RON97 yang diberikan subsidi sebanyak enam sen seliter.

''Kita tidak boleh kata apabila RON97 dijual dengan harga RM2, kerajaan akan membuat keuntungan kerana trend harga minyak dunia sekarang sedang naik.

''Apa yang penting, harga minyak yang kita tentukan itu tetap akan kekal meskipun harga minyak dunia mungkin mengalami peningkatan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri enggan mengulas ketika ditanya adakah kerajaan mengalami tekanan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bagi menaikkan harga petrol RON97 sebanyak 20 sen.

Sebaliknya, beliau mahu orang ramai memberikan tumpuan kepada pengenalan RON95 yang lebih murah berbanding RON97 atau produk petrol premium yang lain.

''Sebenarnya sebelum ini sudah ada produk premium seperti V-Power yang dijual oleh Shell dengan harganya lebih tinggi dan ia tidak dikawal oleh kerajaan.

''Biarpun tidak dikawal tetapi setiap kali ada cadangan untuk menaikkan harga, syarikat minyak perlu membincangkannya dengan kerajaan," katanya. - mks.

Beri hak rakyat pilih kerajaan Perak - Suhakam

Beri hak rakyat pilih kerajaan Perak - Suhakam
Harakahdaily
Wed | May 13, 09 | 10:29:02 am MYT

KUALA LUMPUR 13 Mei (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpendapat bahawa krisis politik di Perak mungkin tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Osman yang dipetik daripada agensi berita.

Hanya sebuah kerajaan yang stabil akan mampu memastikan hak untuk keamanan dan pembangunan, kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Artikel 21 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 memperuntukkan bahawa kesungguhan seseorang hendaklah menjadi asas kuasa kerajaan.

"Berdasarkan perkembangan yang berlaku berikutan pelantikan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, insiden pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei dan keputusan Mahkamah yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, adalah sangat sukar isu Perak akan ditangani melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat,"kata beliau.

"Tindakan Mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak,"kata Abu Talib.- azm _