BN cenderung bubar DUN Perak?
Abdul Aziz Mustafa
Tue | May 19, 09 | 12:09:19 pm MYT
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Hrkh) Kata sepakat dalam Barisan Nasional (BN) memutuskan bahawa walaupun keputusan mahkamah rayuan Khamis ini memihak kepada parti itu, Sultan Perak akan tetap dipohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu supaya pilihan raya semula dapat diadakan, laporkan Malaysian Insider semalam.
Jika laporan itu benar, Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyifatkan keputusan itu lebih baik dari tindakan melepaskan beban kepada Sultan Perak.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terserah kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk memutuskan sama ada DUN Perak harus dibubarkan atau tidak.
"Jangan bebankan Sultan untuk menanggung kesan politik gangster yang menakut-nakut serta memperalatkan orang yang menghadapi tuduhan rasuah, menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di tengah jalan kononnya kerana Raja Muda hendak berjumpa dan mengumpan rasuah.
"Jika benar Najib dan BN bersedia berhadapan dengan rakyat dan akan memohon Sultan membubarkan DUN, ia sepatutnya dilakukan lama dahulu dan bukan bertindak memburukkan lagi krisis politik di Perak," katanya.
Menurut Malaysian Insider, krisis Perak adalah agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat BN semalam.
Parti itu takut menghadapi semakin meluasnya persepsi rakyat yang melihat BN sebagai pihak yang bertindak jahat dalam krisis itu.
Jika meluasnya persepsi itu tidak ditangani, BN akan kehilangan lebih banyak kredibiliti.
Beberapa pemimpin BN memberitahu Malaysian Insider tentang betapa berkesannya tindakan Pakatan Rakyat (PR) menggambarkan BN sebagai perampas kuasa.
Kesediaan BN untuk membubarkan DUN Perak itu dilihat bertujuan mengurangkan bencana yang bakal dihadapinya di mana besar kemungkinan parti itu akan ditolak terus oleh rakyat.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan supaya BN mengemukakan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin jika mempunyai suara majoriti dalam DUN Perak.
Beliau berpendapat, BN akan kalah jika DUN dibubarkan untuk memberi laluan bagi pilihan raya baru.
"Kalau nak buat pilihan raya, kita sudah tahu apa kesudahannya.
"Pakatan akan menang jadi mengapa kita nak adakan pilihan raya, tapi itu hanya pandangan saya. Saya tak buat apa-apa survey, undian. Ia hanya pandangan saya selepas melihat perkembangan di Bukit Gantang dan juga cakap-cakap dengan orang," katanya_
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment