Nelayan terjerat bayar balik pinjaman dana tsunami
Mohd Sabri Said
Sun | May 10, 09 | 2:39:31 pm MYT
KUALA MUDA, KEDAH, 10 Mei (Hrkh) - Dana Khas Tsunami Nelayan yang diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LIKM) akhirnya menjerat nelayan Tepi Kuala Sungai, Kuala Muda, Kedah apabila ramai antaranya tidak dapat membayar balik pinjaman akibat bantuan yang diperolehi telah rosak.
Pemimpin masyarakat nelayan sekitar Kuala Tepi Sungai, Ismail Othman menegaskan, sepatutnya mereka yang benar-benar terlibat dengan bencana tsunami tidak dipelawa meminjam Dana Khas Tsunami sebaliknya diberikan borang Skim Pinjaman Kemesraan Rakyat (SPKR).
Sekarang ini mangsa seramai 44 orang yang secara langsung hilang mata pencarian sewaktu ancaman tsunami itu bimbang diheret ke mahkamah berikutan sudah dua ke tiga kali surat daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda diterima.
"Saya sendiri pun menerima surat kali ketiga untuk pergi berbincang dengan PNK cara pembayaran seterusnya. Tak apalah saya masih turun ke laut bagaimana pula kalau mangsa merupakan warga tua yang kini sedang sakit," ujarnya.
Semasa LKIM menerusi PNK memperkenalkan borang itu dulu para nelayan sudah terasa bahang pembayaran balik tetapi apa boleh buat waktu itu memang semua peralatan ke laut seperti perahu, pukat dan enjin rosak.
Nelayan tiada pilihan lain melainkan dana tersebut walaupun sedar ia boleh menimbulkan risiko jika gagal menjelaskan. Bila bantuan seperti bot, pukat atau enjin rosak nelayan terpaksa mencari dana lain untuk membeli peralatan kerana kerja ke laut adalah mata pencarian mereka seharian.
"Kita tahu waktu isi borang ramai yang berpusu-pusu memohon bantuan sehingga setengahnya berbohong kononnya hilang mata pencarian. Walhal dalam senarai yang ada pada saya hanyalah 44 orang. Sekarang ini 44 individu yang menjadi mangsa terperangkap dengan dana tersebut kerana ada yang sudah tua, sakit malahan yang telah mati pun ada," jelas beliau.
Lebih baik katanya, pinjaman itu dilupuskan daripada kalangan mangsa sebenar terutamanya golongan yang daif, tua dan sudah tidak ke laut daripada terus mencengkam hidup mereka.
Seorang mangsa, Roslan Awang 46 berkata, perahu yang diperolehi daripada bantuan dana itu telah rosak akibat terkena cerucuk besi yang dibina oleh sebuah syarikat pengorek pasir di persisiran pantai kampung berkenaan.
Malangnya, sampai hari ini syarikat berkenaan tidak membayar ganti rugi dengan alasan syarikat itu kini tidak lagi seaktif dulu melaksanakan projek besar.
"Sekarang saya nak bayar macamana perahu dah rosak. Saya pinjam RM35 ribu dan bayaran sebulan RM460.00. Buat masa ini saya pakai perahu pinjam daripada ayah saya yang sudah tidak ke laut," katanya sedih.
Dana Khas Tsunami diberikan kepada nelayan yang terlibat dengan trajedi tsunami pada 26 Disember 2004 lalu di mana bayaran balik dikenakan sebahagianya sahaja contohnya sesiapa yang meminjam RM15 ribu mereka dikehendaki membayar balik sejumlah RM750.00. - mns
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment