Tuesday, May 12, 2009

Penghargaan kepada ibu tidak harus dibuat secara bermusim

Penghargaan kepada ibu tidak harus dibuat secara bermusim
Roy Rasul
Tue | May 12, 09 | 1:25:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Penghargaan terhadap segala pengorbanan ibu kepada anak-anaknya yang tidak ternilai tidak harus bersifat 'bermusim' atau hanya sekadar satu hari, ujar Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh.

Dedikasi agung sepanjang masa katanya, perlu diberikan kepada seluruh kaum ibu sejajar dengan pengorbanan melahirkan dan mendidik generasi sehingga ke hari ini,

Katanya, wanita yang bergelar seorang ibu berhak mendapat penghormatan, pengiktirafan, penghargaan dan ihsan atau kebaikan daripada anak-anak.

Malah katanya, Allah S.W.T menyuruh manusia mengabdikan diri kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mensyukuri Allah.

Dengan itu katanya, tidak selayaknya perit seorang ibu hanya dikenang dengan memberi anugerah dan penghormatan pada satu hari dalam setahun.

"Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendapat para ibu sewajarnya sentiasa didekati dengan kasih sayang, perhatian, penghormatan oleh anak-anak dan keluarga.

"Biarlah dekat seorang ibu dengan perhatian, rahmat dan kasih sayang Allah atas ketulusan budi dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi," katanya dalam satu perutusan hari ibu baru-baru ini.

Katanya, seorang ibu tidak mengharapkan kepada balasan atas pengorbanan mereka tetapi kerana ibu memiliki sekeping hati yang diselaputi rasa kasih sayang sehingga segala kesukaran dan kesulitan semasa mengandung sehingga anak-anak membesar tidak membekas di sanubarinya.

Ujarnya, institusi keluarga yang berjaya adalah keluarga yang di dalamnya wujud 'rasa mahabbah' atau kasih sayang yang didasari oleh pemupukan dan penerapan nilai-nilai Islam yang murni.

Asas penting pembinaan keluarga ujarnya, untuk membajai 'fahaman Islam' sehingga nukleus kecil dalam pembentukan keluarga akan berkembang kepada proses pembentukan masyarakat yang harmoni.

Oleh yang demikian katanya peranan ibu sebagai 'mahaguru alam' tidak dapat dinafikan. Mahaguru inilah yang memainkan peranan paling awal untuk mendidik generasi.

"Wanita, tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya bisa menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang," katanya.

Sebagai pendidik alam ini katanya, kaum ibu perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan melalui proses tarbiyah supaya mampu memberi didikan yang seimbang kepada anak-anak dalam semua aspek kehidupan.

Didikan tersebut katanya, dalam membentuk aspek pembinaan material semata-mata, tetapi bermula dari membentuk jati diri seorang individu dengan akhlak yang mulia.

Katanya, pengurniaan taraf seorang ibu banyak tercatit dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w..

"Berbuat baiklah kepada ibu kita..ingati dengan segar terhadap segala budi baik mereka semasa mengandungkan kita selama sembilan bulan, bertarung nyawa melahirkan kita, malah mendidik kita...temanilah ibu dikala senang dan susah, hargailah mereka, sayangilah mereka, doakanlah ibu sentiasa dilindungi dan dipermudahkan dalam segala perkara," katanya. - mns

Mangsa tsunami tuntut janji Tun Abdullah

Mangsa tsunami tuntut janji Tun Abdullah
Mohd Sabri Said
Tue | May 12, 09 | 1:17:42 pm MYT

KUALA MUDA, KEDAH, 12 Mei (Hrkh) - Janji bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalanya waktu itu, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk membina rumah tsunami dengan peruntukan Kerajaan Pusat masih belum tertunai sepenuhnya di Permatang Katong, Kuala Muda, Kedah.

Pembinaan 120 buah rumah mangsa tsunami yang ada sekarang tidak memadai kerana terdapat ramai lagi mangsa yang dijanjikan masih terpinga-pinga kerana mereka juga berhak mendapatkan rumah di situ memandangkan 61 relong telah di gezet untuk pembangunan rumah tsunami fasa kedua.

Wakil penduduk, Ismail Othman memaklumkan, sepatutnya Kerajaan mengutamakan pembinaan perumahan di Permatang Katong bukan di Kuala Muda, Seberang Perai.

Ini kerana, di kawasan berkenaan hanya sebahagian kecil sahaja yang terlibat dengan tsunami berbanding di Kuala Muda, Kedah.

"Penduduk tak puas hati dengan janji Kerajaan yang mahu membantu mangsa tsunami di Kuala Muda, Kedah. Yang dibina di Kuala Muda, Seberang Perai walhal mereka bukan mangsa teruk," ujarnya mengulas laporan akhbar 53 keluarga mangsa akhir tsunami di Kuala Muda Seberang Perai terima kunci rumah daripada Tun Abdullah di Dewan Mellinium baru-baru ini.

Katanya, pemberian itu mendukacitakan 300 keluarga lagi yang perlu dipindahkan di sepanjang Kampung Tepi Sungai sehingga ke Pulau Sayak.

Pengambilan tanah di Permatang Katong telah dibayar kepada pemilik tanah asal tetapi sebahagian besar masih kosong.

Bukti jelas kawasan ini dilanda tsunami pada 26 Disember 2004 itu ialah pembinaan ' Memorial Tsunami' di Kampung Kepala Jalan manakala di Kuala Muda, Seberang Perai tiada tanda-tanda teruk kejadian.

"Kenapa peruntukan yang sepatutnya dihantar ke Permatang Katong tidak ditunaikan. Kita bimbang Tun Abdullah mahu mengambil hati pengundinya di Penaga," katanya. - mns

Ceramah 'Krisis Perak' di Stadium Melawati, 16 Mei

Ceramah 'Krisis Perak' di Stadium Melawati, 16 Mei
Saidah Hairan
Tue | May 12, 09 | 1:09:24 pm MYT

SHAH ALAM, 12 Mei (Hrkh) - Jabatan Pilihan raya PAS Negeri Selangor akan mengadakan ceraman perdana 'Krisis Perak, Demokrasi Tercabar' di Stadium Melawati pada Sabtu 16 Mei ini.

Ceramah besar-besaran itu bertujuan memberi penerangan mutakhir berhubung situasi di Perak terutama selepas rampasan kuasa di Perak.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhamad Nizar Jamaluddin, Speaker Sivakumar merupakan penceramah istemewa pada malam itu. Turut berceramah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Gobala Khrishnan (KeADILan) dan Ronnie Liu (DAP).

JPN Selangor mengharapkan kupasan krisis Perak ini mampu memberi iktibar serta pengajaran kepada seluruh pendukong Pakatan Rakyat untuk tidak alpa dengan setiap permainan musuh BN, serta diberi kekuatan mental dan strategi yang amat kukuh di dalam memerintah 5 negeri pada masa ini.

Sebarang pertanyaan untuk tempahan gerai pada malam itu hubungi Firdaus 019-3885792 atau Khairul 012-6519014. - mns

Maruah Presiden Umno tergadai di Perak

Maruah Presiden Umno tergadai di Perak
Zuharman MN
Tue | May 12, 09 | 11:55:15 am MYT

KOTA BHARU, 12 Mei (Hrkh) - "Mana hendak letak maruah Umno dan presidennya sekarang," kata seorang pakcik sambil minum pagi di sebuah kedai roti canai di pinggir bandar pagi tadi.

Tiada topik hangat melainkan isu Dato' Seri Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco kerajaan kudeta terpaksa meninggalkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri, selepas hanya lebih tiga bulan bergelar Menteri Besar.

"Segalanya bermula dengan rampasan kuasa secara haram 5 Febuari lalu. Zambry hanya menjadi kambing hitam kepada Dato' Seri Najib Razak yang menjadi dalang dalam isu di Perak," kata pakcik tadi.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Konflik politik di Perak dibawa ke mahkamah selepas Umno yang diketuai Najib merampas kuasa pada 5 Febuari lalu, selepas berjaya mempengaruhi tiga bekas Adun Pakatan Rakyat.

Mengulas isu yang sama, bekas Naib Ketua Umno Kubang Kerian, Dato' Mohamad Ghani berkata, Umno Perak telah dinasihati barisan peguam secara salah sehingga sanggup merampas kuasa rakyat di Perak.

"Penasihat yang mempunyai sifat bodek atau suka mengampu tidak layak untuk duduk kerusi itu kerana ia boleh menyebabkan huru hara seperti berlaku di Perak sekarang.

"Umno perlu terima hakikat keputusan mahkamah memihak kepada Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah," katanya di sini tanpa mendedahkan siapa peguam Umno terbabit.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia berkata, Umno perlu melantik penasihat yang jujur dan berkemampuan menasihat perkara sebenar dan bukannya menangguk di air keruh.

Malam tadi Menteri Besar Perak menggantungkan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang, Dato' Ahmad Kamal Shahid.

Tindakan tersebut adalah antara enam langkah segera yang diumumkan Nizar sebaik sahaja Mahkamah Tinggi memutuskan yang beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah. - mj _

Aduan salahlaku SUK Perak kepada KSN

Aduan salahlaku SUK Perak kepada KSN
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 10:03:32 am MYT

SURAT TERBUKA KEPADA TAN SRI KETUA SETIAUSAHA NEGARA MALAYSIA

Semoga Tan Sri dalam peliharaan Allah dan sihat walafiat bagi memimpin perkhidmatan awam Negara Malaysia.

Tan Sri rajin-rajinlah turun padang melawat Negeri Perak kerana Pegawai-Pegawai Kerajaan Perak sekarang berada dalam keadaan serba salah dan menghadapi tekanan kerja yang sengaja diada-adakan.

Professionalisme meraka tercabar, kesetiaan mereka dipersoal dan semangat kerja mereka rendah. Puncanya hanya kerana mereka berketuakan seorang Pegawai Kerajaan yang bernama Abdul Rahman bin Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tan Sri timbang-timbangkan aduan-aduan berikut demi memulihkan kembali semangat kerja berpasukan anaknanak buah Tan Sri di Perak. Semua aduan-aduan ini adalah dari sumber-sumber Pegawai Kerajaan sendiri.

i) Di awal-awal pemerintahan Pakatan Rakyat beliau dilaporkan memberitahu secara tertutup kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan Kanan supaya hanya memberikan kerjasama yang minima kepada Kerajaan Negeri Perak ketika itu.

ii) Dato� Seri Nizar, MB Perak di bawah Pakatan Rakyat sering mengeluh tentang agenda licik Abdul Rahman Hashim yang enggan memberikan kerjasama yang baik kepada Menteri Besar.

iii) Pernah dikesan Abdul Rahman Hashim menghadiri program bersama pimpinan Umno di bangunan Umno Perak walaupun pada masa yang sama Menteri Besar berada bersama DYTM Raja Muda dalam acara rasmi Kerajaan Negeri. Hebatkan anak buah Tan Sri ini.

iv) Tindakan biadap beliau kepada Y.A.B Dato� Seri Nizar, Exco-Exco Kerajaan dan wartawan pada pagi 6 Februari 2009 walaupun secara sah mereka masih lagi memegang jawatan kerana MB baru masih belum mengangkat sumpah jawatan. Peristiwa ini dirakam oleh media-media tempatan dan antarabangsa.

v) Tindakan beliau yang menganaktirikan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri (PTN) dan memberikan layanan emas kepada Pegawai-Pegawai tadbir diplomatik (PTD). PTN khususnya di majlis-majlis Kerajaan tempatan dan Jabatan Agama Islam sangat sukar untuk naik pangkat walaupun mereka sangat layak. Jika ada jawatan-jawatan baru yang diwujudkan cepat-cepat di isi dengan PTD dengan cara-cara teknikal memanipulasi gred dan klasifikasikan jawatan. Kumpulan PTN di Negeri Perak mempunyai moral kerja yang sangat rendah tetapi gigih membangunkan Negeri Perak.

vi) Dalam menangani kemelut politik Perak Abdul Rahman Hashim adalah perancang politik yang mengenepikan professionalisme beliau. Benar Pegawai Kerajaan mesti patuh kepada 'government of the day' tetapi yang beliau lakukan adalah melampau :

a) Merelakan Setiausaha Dewan DUN Perak hadir dibangunan Umno Perak dalam mesyuarat konspirasi menjatuhkan Speaker DUN Perak. Mesyuarat tersebut adalah dihadiri oleh ahli-ahli politik BN dan bukan mesyuarat berkaitan pentadbiran.

b) Merancang supaya semasa sidang DUN 7 Mei 2009 dimasukkan ramai Pegawai-Pegawai Polis Cawangan Khas sebagai tetamu yang menyamar. Dapat dikesan Pegawai-Pegawai Khas tersebut membawa senjata api ke dalam bilik persidangan. Siapa yang nak ditembak?

c) Mengarahkan kerja-kerja jahat supaya sistem pembesar suara dalam DUN dimanipulasikan. Pembesar suara Speaker tidak berfungsi. Satu penghinaan kepada Dewan yang Mulia.

d) Sangat cuai tentang keselamatan Dewan persidangan sehinggakan dapat diceroboh masuk oleh bomoh kurafat pada 30 April 2009. Dewan tersebut adalah dibawah tanggungjawab beliau sepenuhnya.

vii) Abdul Rahman Hashim juga pernah terlibat dalam pembaziran melampau kerana memberi cenderamata yang sangat mahal (RM8,000-10,000) kepada beberapa individu tertentu. Bertentangan dengan dasar jimat cermat Kerajaan.

Banyak lagi sikap dan tindakan beliau yang hanya dapat dibongkar jika Tan Sri berusaha turun padang dan minta Pegawai-Pegawai di Perak beri maklumat secara telus. Cuma pastikan mereka tidak dianiaya akibat keberanian mereka memberi maklumat - demi keadilan dan kebaikan bersama.

Yang penting bukan individu tapi perkhidmatan awam. Ahli perkhidmatan awam mesti bebas daripada politik parti kerana gaji mereka rakyat yang membayar. Semoga Perak akan maju dengan professionalisma Pegawai-Pegawai yang bertugas kerana Allah. Manusia adalah hamba Allah semata-mata dan bukan hamba manusia yang lain.

Semoga Allah memberkati hidup kita bersama.

Daripada,

Dr Khairuddin Bin Dato' Abd Malik Hasibuan
Pengerusi JAMAIY (Jaringan Muafakat NGO Islam Perak). - mr_

Nizar masuk pejabat MB pagi ini menuju Istana Iskandariah

Nizar masuk pejabat MB pagi ini menuju Istana Iskandariah
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 8:56:57 am MYT

IPOH, 12 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bersama lapan exconya memasuki bangunan SUK jam 7.31 pagi tadi selepas mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Turut bersama rombongan itu ialah V. Sivakumar yang Khamis lalu disingkirkan oleh Barisan Nasional (BN) daripada kedudukan Speaker DUN.

Difahamkan seorang pegawai pejabat SUK menghalang rombongan Nizar dengan meminta makluman pelaksanaan keputusan mahkamah semalam. Untuk itu hanya Nizar dan lapan Exconya dibenarkan masuk ke bangunan SUK.

Kira-kira jam 7.45 pagi, Nizar dilaporkan meninggalkan bangunan SUK menuju ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar dan mengemukakan surat minta perkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang dihantar oleh pembantu Nizar sendiri kepada pihak istana. - azm _

Nizar gantung tugas SU, Penasihat Undang-undang

Nizar gantung tugas SU, Penasihat Undang-undang
Harakahdaily
Tue | May 12, 09 | 9:07:43 am MYT

IPOH, 12 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim dan Setiausaha Kewangan Negeri, Dato' Jamalludin Al Amini Ahmad berkuatkuasa serta-merta.

Tugas mereka itu akan dipangku oleh timbalan masing-masing dan ia merupakan beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco pimpinan beliau di ibu pejabat PAS negeri, tengah malam tadi, demikian menurut sebuah akhbar online.

Petang semalam, Nizar turut menggantung tugas Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Ahmad Kamal Md Shahid berkuat kuasa serta merta sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada pagi esok, Mohammad Nizar berkata, beliau akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Sultan Azlan Shah.

"Bukan menghadap, kami hanya mengemukakan permohonann untuk menghadap," katanya kira-kira pukul 12.30 malam tadi.

Mohammad Nizar berkata, beliau dan kesemua Exconya akan memulakan tugas seperti biasa pada pukul 7.15 pagi ini.- azm