Tuesday, May 12, 2009

Mangsa tsunami tuntut janji Tun Abdullah

Mangsa tsunami tuntut janji Tun Abdullah
Mohd Sabri Said
Tue | May 12, 09 | 1:17:42 pm MYT

KUALA MUDA, KEDAH, 12 Mei (Hrkh) - Janji bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalanya waktu itu, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk membina rumah tsunami dengan peruntukan Kerajaan Pusat masih belum tertunai sepenuhnya di Permatang Katong, Kuala Muda, Kedah.

Pembinaan 120 buah rumah mangsa tsunami yang ada sekarang tidak memadai kerana terdapat ramai lagi mangsa yang dijanjikan masih terpinga-pinga kerana mereka juga berhak mendapatkan rumah di situ memandangkan 61 relong telah di gezet untuk pembangunan rumah tsunami fasa kedua.

Wakil penduduk, Ismail Othman memaklumkan, sepatutnya Kerajaan mengutamakan pembinaan perumahan di Permatang Katong bukan di Kuala Muda, Seberang Perai.

Ini kerana, di kawasan berkenaan hanya sebahagian kecil sahaja yang terlibat dengan tsunami berbanding di Kuala Muda, Kedah.

"Penduduk tak puas hati dengan janji Kerajaan yang mahu membantu mangsa tsunami di Kuala Muda, Kedah. Yang dibina di Kuala Muda, Seberang Perai walhal mereka bukan mangsa teruk," ujarnya mengulas laporan akhbar 53 keluarga mangsa akhir tsunami di Kuala Muda Seberang Perai terima kunci rumah daripada Tun Abdullah di Dewan Mellinium baru-baru ini.

Katanya, pemberian itu mendukacitakan 300 keluarga lagi yang perlu dipindahkan di sepanjang Kampung Tepi Sungai sehingga ke Pulau Sayak.

Pengambilan tanah di Permatang Katong telah dibayar kepada pemilik tanah asal tetapi sebahagian besar masih kosong.

Bukti jelas kawasan ini dilanda tsunami pada 26 Disember 2004 itu ialah pembinaan ' Memorial Tsunami' di Kampung Kepala Jalan manakala di Kuala Muda, Seberang Perai tiada tanda-tanda teruk kejadian.

"Kenapa peruntukan yang sepatutnya dihantar ke Permatang Katong tidak ditunaikan. Kita bimbang Tun Abdullah mahu mengambil hati pengundinya di Penaga," katanya. - mns

No comments:

Post a Comment