Selepas Zambry tersingkir, bubar Dun langkah terbaik
Mohd Nor Yahya
Mon | May 11, 09 | 6:55:24 pm MYT
KOTA BHARU, 11 Mei (Hrkh) - Kemelut politik di Perak hanya akan berakhir apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan.
Lebih-lebih lagi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengembalikan jawatan Menteri Besar Perak kepada Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan menyingkirkan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir selepas hanya berkuasa tiga bulan.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, rakyat perlu diberi hak membuat keputusan memilih kerajaan baru setelah kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti awal Febuari lalu.
"Saya akan menghantar surat secepat mungkin kepada Pemangku Sultan Perak, Dr Raja Nazrin Shah supaya mengambil keputusan sebaik mungkin dengan membubarkan Dun Perak," katanya selepas satu majlis di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengumumkan Nizar sebagai menteri besar sah Perak biar pun digugurkan jawatan tersebut melalui rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN), awal Februari lalu.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya dalam persidangan Dun seperti kes Stephen Kalong Ningkan.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri turut menyokong pendirian pemimpin Hindraf, P Uthayakumr yang enggan berterima kasih kepada kerajaan selepas dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Uthayakumar semalam dilaporkan berkata, beliau tidak akan berterima kasih kepada kerajaan selepas ditahan sejak Disember 2007 kerana tidak melakukan sebarang kesalahan.
Turut dibebaskan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan. Kesemua 13 tahanan dibebaskan.
Husam berkata, setiap rakyat yang ditahan perlu melalui proses siasatan dan bukan menahan tanpa bicara dalam tempoh begitu lama.
"Orang ramai juga sebelum ini digegerkan dengan berita Adun terbabit mahu meletak jawatan kerana kecewa tidak dapat berkhidmat kepada rakyat di kawasan diwakilinya.
"Mungkin juga sebagai salah satu punca pembebasan dilakukan kerajaan BN sekarang," katanya.
Bagaimanapun beliau kecewa kerana masih ramai lagi ditahan kerajaan BN sehinggakan ada mangsa ditahan ISA lebihi lapan tahun antaranya Ahmad Shah Shakri.
Menurutnya juga mereka yang dibebas daripada tahanan kali ini hanya kaum India sahaja, sedangkan masih ramai lagi orang Melayu yang ditahankan di bawah ISA.
Ditanyai tindakan pemimpin BN yang mengusung secara paksa Speaker Dun Perak, V Sivakumar keluar dewan Khamis lalu, katanya adegan tersebut amat memalukan dewan yang mulia.
"Pakatan Rakyat akan menyediakan video terhadap kejadian sebenar yang berlaku dalam dewan 7 Mei lalu dan akan diedarkan kepada umum," katanya. - mj
POLITIK : JUMAAT 28 OGOS 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment